Print

 

POTRET PENJAJAHAN DAN SADISNYA GADIS BADWI- PART 2

Semua orang tahu, Israel tidak akan pernah berhenti membunuh, menjarah dan menyeksa (menghalau dan menindas) setiap penduduk Palestin, kerana meletakkan orang Palestin sebagai bukan manusia. Dehumanisasi dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk membohongi dunia bahawa Palestin adalah ‘tanah yang dijanjikan’ dan Israel (orang Yahudi) adalah pemiliknya.

Selagi setiap inci bumi Palestin masih belum menjadi miliknya, maka selagi itulah rakyat Palestin akan dihapuskan. Lebih menyedihkan kurang sebulan lalu (4 Februari 2025), presiden terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan pelan pemindahan penduduk Gaza, pemindahan secara kekal kerana Gaza tidak lagi selamat.

Tanpa mengendahkan tekanan negara-negara Arab, Donald Trump menjelaskan penduduk Gaza akan dipindahkan ke Mesir dan Jordan, Gaza akan dibersihkan dan dibangunkan sebagai ‘Rivera Timur Tengah’. Ertinya, penduduk Gaza yang asal tidak akan dibenarkan kembali ke Gaza setelah dipindahkan.

Mesir dan Jordan secara terbuka menolak cadangan tersebut. Namun Israel menyambutnya dengan nada sombong dan angkuh, bahkan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz merancang proses pemindahan tersebut di mana sebuah urusetia akan ditubuhkan di bawah seliaan Kementerian Pertahanan Israel. Tragedi keangkuhan dan kebiadapan yang menampakkan Donald Trump semakin berjaya dianjingkan oleh Benjamin Neetanyahu.

Dengan membaca novel ini, gambaran kekejaman dan dehumanisasi penduduk Palestin menjadi cukup sadis walaupun kita pernah menonton adegan pembunuhan kejam dengan menggunakan senjata, bom, peluru berpandu dan dron pembunuh, secara psikologinya, kita akan menjadi lebih beremosi apabila gadis remaja dibunuh kejam sebagai tindakan menghapus bukti kebiadapan platon IDF merogolnya secara bergilir-gilir. Suhu emosi kita menjadi cukup panas, dan kadangkala menyumpah benci.

Saya cuba petik perlakuan yang saya anggap cukup kontradiksi dengan nilai kemanusiaan. Setelah gadis itu ditawan, mereka membawanya ke khemah dan dibersihkan. Secara sinisnya Adania menyindir dalam bentuk perlakuan secara cognitive dissonance, antara sikap mementingkan kebersihan dan nafsu kebinatangan. Ketika gadis remaja itu dimandikan, ia menjadi semacam satu bentuk pesta yang menggiurkan.

Askar-askar yang sedang berkerumun sehingga membentuk bulatan di sekeliling mereka senyap-senyap mengalihkan pandangan darinya kepada gadis itu” dan sebaik sahaja hos [hos air] diberikan, ‘pegawai itu’, “menerkam gadis itu, menanggalkan tudung hitam dari kepala dengan tangan kanannya kemudian mencekak bahagian leher pakaian gadis itu dengan kedua-dua tangannya, sambil tetap memegang hos di tangan kanan, dan menyentap sehingga terhasil bunyi koyakan yang membelah sunyi.

Kemudian dia mengitari gadis itu, menarik-narik sisa pakaian yang telah koyak dari badannya, kemudia dia melemparkan pakaian itu sejauh-jauhnya bersama segala cebisan kain lain yang dipakai oleh gadis itu. Pelbagai bau terkumpul pada bebenang kain itu: najis binatang ternakan, bau air kencing dan busuk peluh lama bercampur peluh baru….Dengan pantas, dia mengacukan muncung kepada gadis itu dan air mula mencurah-curah ke atas badannya.

“Dia terus menyembur gadis itu, sambil melengkung-lengkungkan badannya bagi mengelak air terpercik ke sana sini. Dia berpusing di sekeliling gadis itu, kemudian ke kepala, belakang, kaki dan tapak kaki yang kulitnya berpasir, seterusnya kembali ke batang tubuhnya. Selepas seluruh badannya basah kuyup, dia menutup muncung dengan ibu jaru, menoleh kepada askar yang berkerumun di sekelilingnya, dan mengarahkan askar pertama yang dilihat untuk membawakan seketul sabun dengan segera.

Askar-askar itu saling menjeling antara satu sama lain, dan memandang gadis itu yang mengerekot seperti sebiji bola di atas tanah sambil menggigil sehingga sabun tiba….Dia memandang tepat ke mata gadis itu, menjerkah dan menyuruhnya mengutip sabun. Askar-askar yang berbual dan ketawa tadi terdiam serta merta. …

“Perlahan-lahan gadis itu menyuakan tangannya dan mengutipnya. Air mengalir di tubuhnya. Dia meluruskan tubuhnya sedikit dan mula menggerakkan sabun dalam bentuk bulatan di atas kepalanya, kemudian ke dada, sehingga tidak lama kemudian ia terlitup oleh lapisan buih putih yang halus, seraya menyembunyikan seketika kulitnya yang perang [brown] (hal. 30-32)

Selepas semuanya selesai, “pegawai itu” mengarahkan untuk memberikan seragam pakaian kepada gadis itu, “beberapa orang askar yang berlumba-lumba untuk melaksanakannya. Tidak lama kemudian, salah seorang daripada mereka kembali dengan memegang sehelai pakaian, dan yang lainnya membawa seluar pendek, Dia mengambil dengan tangan kananya lalu dihulurkan kepada gadis itu.”  (hal. 32).

Jelas kelihatan seperti cukup ramah dan sangat menggiurkan setelah beberapa minit memerhatikan gelagat gadis Badwi ditelanjangkan dan mandi dalam geliat dalam air daripada hos yang dipancutkan. Imaginasi itu membawa kepada persoalan yang menyedihkan, perogolan gadis Badwi secara bergilir setelah semuanya selesai dibersihkan, termasuk setelah rambutnya yang panjang dipotong. Dalam keadaan sebegitu, nafsu para askar Israel semakin menguat dan akhirnya dipindahkan ke khemah kedua.

Lebih kurang jam sembilan setengah malam [12 Ogos 1949], pegawai berdiri lagi dan meminta setiap orang untuk diam. ..Dia mengingatkan mereka tentang gadis yang dibawa ke kem pada siang hari, dan berkata bahawa diberi dua pilihan undian: sama ada gadis itu dihantar untuk bekerja di dapur kem, atau semua mereka boleh berbuat apa saja kepadanya.

“Buat seketika pada askar tergamam, Ada yang cuba melihat reaksi melalui mata komradnya, da nada yang mengalihkan pandangan dek keliru dan syak; mereka semua tidak pasti sama ada pegawai itu benar-benar bermaksud demikian, atau sengaja memasang perangkap, atau dia cuma mabuk.

“Lalu dengan beransur-ansur individu-individu mula bersuara, dan dengan pantas ia berubah menjadi suara majmuk nan riuh yang menyokong pilihan kedua. Hingar bingar dan sorakan mereka terus kedengaran di dalam kem, tatkala para askar mula asyik merancang bagaimana masa antara mereka dengan gadis itu akan diagihkan.

“Skuad pertama akan mendapat giliran hari pertama, skuad kedua hari kedua, skuad ketiga hari ketiga, manakala pemandu, doktor, kumpulan penyelenggara, para tukang masak bersama para sarjan, komander skuad, koperal, dan pegawai itu membentuk sebuah kumpulan lagi….

“Selepas makan malam, dia terus pergi ke bangsal kedua. Dia mengarahkan pengawal untuk membawa gadis itu dan mengikutinya, dan dia berjalan ke bangsalnya diikuti mereka berdua, serta anjing yang mengekori pengawal. Dalam perjalanan ke sana, dia singgah di depoh bekalan di tengah-tengah kem, dan muncul semula seketika kemudian dengan membawa katil lipat…..menempatkan gadis di tepi katil, di sebelah kiri bilik, ….mengarahkan pengawal untuk berdiri di sisi pintu dan menghalang sesiapa memasuki bangsalnya.” (hal.40-43).

Dalam kesejukan menjelang dinihari, dan menahan kesakitan akibat digigit labah-labah,  pegawai itu nampaknya cuba melempiaskan nafus jantannya, dengan tidak lagi menghiraukan bau yang busuk, seperti bau petrol yang masih tersisa di rambut gadis itu. Petrol dicurah kepada rambut gadis itu sebelum digunting, bagi mengelakkan daripada kutu membiak.

Menjelang siang, gadis itu dibawa ke kawasan terbuka “Tiba-tiba jeritan nyaring membelah udara. Gadis itu berlari sambil meratap, kemudian dia rebah ke atas pasir sebelum bunyi tembakan senapang kedengaran. Suasana kembali hening.

‘Darah mencurah-curah daripada pelipis kanannya ke atas yang menelannya secara berterusan, sementara cahaya matahari tengahari menyinari bahagian bawah badannya yang telanjang, warna sama dengan warna pasir.

“Pegawai itu meninggalkan pengawal, yang terus menggali lubang,serta timbalannya dan pemandu yang berdiri di sebelahnya tadi, lalu dia kembali ke kenderaan. Dia menggigil apabila pemandu menghampirinya sebentar kemudian, dan berkata bahawa mungkin gadis itu belum mati. Mereka tidak boleh meninggalkannya begitu, kebih baik kematiannya dipastikan.

“Dia terus menggigil, kaku dengan sakit yang seolah-olah menarikkan ususnya,. Akhirnya dia menggerakkan mulut dan mengarahkan pemandu untuk memberitahu timbalannya untuk menyelesaikan misi itu. Sebentar kemudian, detusan enam das tembakan kengaran di udara, kemudia suasana kembali sunyi.” (hal. 57-58). Riwayat gadis itu berakhir tengahari  itu, dan kisah kekejaman tersebut membawa Adania Shibli terus mengembara mencari dan mengumpulkan butiran lengkap, walaupun tidak sepenuhnya berjaya. Hati dan emosi kita sebagai pembaca terus bergerak kencang, marah dan benci, mengecam dan menyumpah terhadap peta tindakan dehumanisasi tersebut.

Usaha untuk mengungkapkan kisah tersebut, kekejaman akibat penjajahan yang berlaku di tanah leluhur, Adania Shibli yang terbaca sebuah laporan mengenai perogolan seorang gadis Badwi yang membawa kepada pembunuhan kejam, ditanam dalam kubur yang singkat (tidak dalam) dengan berkata: “…sekumpulan askar menangkap seorang gadis, merogolnya, lalu membunuhnya, dua puluh lima tahun sebelum hari aku dilahirkan; perincian kecil ini,  yang mungkin tidak diendahkan oleh orang lain, akan menghantuiku selama-lamanya meski aku begini, walau sekeras mana usahaku untuk melupakannya.

“Hakikatnya ialah ia tidak akan berhenti mengejarku, lantaran diriku yang rapuh selemah pokok di luar sana di sebalik kaca di jendela. Mungkin tiada apa yang lebih penting berbanding perincian kecil ini, jika kita mahu mencari kebenaran menyeluruh yang tidak didedahkan oleh artikel itu yang sengaja tidak menceritakan kisah gadis tersebut.” (hal. 73-74)

Sebelum melakukan pengembaraan ke padang pasir Negev, Adania pergi ke Palestin dan menyewa sebuah rumah yang akan dijadikan sebagai ‘pejabat’ semasa pencarian itu. Bagi Adania, walaupun sudah terlewat 54 tahun, “…kejadian dalam artikel itu [laporan akhbar Haeretz, 29 Oktober 2003], yang menyebutkan pembunuhan beberapa orang, hanya menghantuiku kerana satu perincian tentang salah seorang korban. Hanya satu tahap, satu-satunya hal yang ganjil dalam pembunuhan yang merupakan kesudahan bagi rogol berkumpulan itu, adalah hakikat bahawa ia berlaku pada suatu pagi yang bertepatan dengan pagi kelahiranku [13 Ogos 1974], cuma dua puluh awal dua puluh lima tahun [3 Ogos 1949].” (hal.72).

Ketika laporan penyiasatan itu didedahkan, Adania berumur 29 tahun, namun prinsip hidupnya cukup terserlah ‘degil’ seumpama “Apabila sengenggam rumput disentap hingga akarnya, barangkali kita menyangka ia telah dicabut seluruhnya, tetapi akhirnya rumput yang sama jenis tumbuh kembali di titik yang sama selepas seperempat kurun kemudian.” (hal. 72-73). Pada pandangan Adania, jika tragedi seperti berlaku setahun selepas ‘negara haram Israel ditubuhkan”, tidak bermakna kes seumpamanya tidak akan berlaku pada masa-masa selepasnya. Kita tahu, Israel cukup tegar dengan tindakan ganas, yakni menghapuskan seboleh-bolehnya kesemua etnik Arab-Palestin, termasuk penganut Islam mahupun Kristian, dengan alasan etnik tersebut bukanlah “pemilik tanah yang dijanjikan” itu.

Saya petik beberapa ucapan pemimpin Israel berdasarkan kutipan yang dibuat oleh  Z.A Maulani, Zionisme: Gerakan Menaklukkan Dunia, edisi kedua, Jakarta: Penerbit Daseta, 2002, hal. 44-47:

Usir penduduk yang tidak berduit sesenpun itu keluar perbatasan (Pelstin) dengan cara menolak lapangan kerja…Kedua proses, baik meniadakan mereka dari kepemilikan mahupun pengusiran kaum melarat itu, harus dilaksanakan dengan cara yang sangat hati-hati dan dengan dengan kewaspadaan.” (Theodore Herzl, Complete Diaries of Theodore Herzl, 12 Jun 1895)

David Ben Gurion, dalam memoirnya pernah mengungkapkan: Kita akan menurunkan peranan penduduk Arab (di Palestin) menjadi tidak lebih daripada tukang potong kayu dan pelayan” dan “kita harus melakukan segala upaya untuk menjamin agar mereka (pelarian Arab-Paelstin) tidak akan dapat kembali (ke Palestin).” (dikutip dari Sabri Jirjas, “The Arab in Israel”).

Manakala Mosye Dayan (Haerezt 14 April 1969) berkata: Perkampungan Yahudi kita bangun di bekas perkampungan Arab. Kita bahkan tidak pernah tahu nama dari perkampungan Arab tersebut, dan saya tidak dapat menyalahkannya, kerana buku-buku ilmu bumi [geografi] (lama) tidak sangat dibaca; lagi pula perkampungan Arab sudah tidak ada lagi di sana, Nahlal dibangun di bekas kampung Mahlul; Kibbutz Gvat di bekas Jibta; Kibbutz Sarid di bekas Huniefi; dan Kefar Yeshuhua di bekas Tal al-Shuman. Tidak ada sepotong pun tempat yang dibangun bukan di bekas perkampungan Arab. (dikutip oleh Michael Ben-Zohar, Ben Gurion: The Armed Prophet, 1967)

Adalah menjadi kewajipan dari setiap pemimpin Israel untuk menjelaskan kepada masyarakat, dengan cara yang jelas dan berani, mengenai beberapa fakta tertentu yang sudah terlupakan bersamaan dengan lewatnya waktu. Yang utama di antaranya, bahawa tidak ada yang namanya Zionisme, kolonualisasi, atau negara Yahudi tanpa pengusiran orang Arab dan penyitaan tanah mereka.” (Yoram Bar Porath, Yediot Ahronot, 14 Julai 1972).

Kita harus menggunakan terror, pembunuhan, intimidasi, penyitaan tanah, dan pemutusan semua pelayanan sosial untuk membersihkan tanah Galilea dari penduduk Arab (Isael Koning, The Koenig Memorandum, 1978).

Secara jelasnya, Zionis merupakan sekelompok manusia yang memitoskan dirinya sebagai ‘manusia pilihan tuhan’ dan ‘bangsa pilihan’ sebenarnya bukanlah kelompok manusia yang mengikuti dan mengamalkan ajaran agamanya. Mereka adalah sekelompok manusia kejam yang bertindak atas kemahuan diri sendiri tanpa melihat kepada apa yang diajarkan oleh agama mereka, iaitu Judaisme atau dikenali sebagai agama Yahudi. (Ilan Pappe, Ten Myths About Israel, London: Verso Books, 2017; dan Roger Garaudy, Mitos Dalam Penubuhan Israel Moden, K.Lumpur: IIUM Press – ITBM, 2022)

Judaisme, atau agama Yahudi merupakan agama wahyu yang tertua. Agama itu mengikut sejarah dikaitkan dengan wahyu Tuhan ke atas Nabi Musa AS, dan ajaran-ajaran yang disampaikan itu terkumpul dalam kitab suci, yang dipanggil Tanakh. Tanakh mengandungi tiga kitab, iaitu Taurat (lima kitab Nabi Musa), Nevi’im dan Ketuvim. Tanakh boleh dikenal dalam pelbagai bentuk dalam kitab Bible, kitab agama Kristian (Nasarani) dan dalam beberapa variasi Perjanjian Lama.

Menurut Talmud, kebanyakan dari kandungan Tanakh dikumpul oleh para agamawan Judais sekitar 450 SM, iaitu pada zaman Sanhedrin Agung. Dalam pandangan sarjana agama, kitab Tanakh dikatakan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, iaitu dalam tempoh 400 tahun, antara 200 SM hingga 200 M.  Namun, apa yang jelas, agamawan Yahudi jugalah yang memain peranan untuk mengkhianati ajaran Nabi Isa AS. (Gary M Burge, Whose Land? Whose Promise?: What Christians Are Not Being Told About Israel ad the Palestinians, Massachuset, USA, Pilgrim Press, 2003; Dr Ghazali Basri, Sejarah Bani Israel: Sebuah Kajian Perbandingan Menurut Perjanjian Lama dan al-Qur’an, edisi kemaskini, Kajang, Selangor: Akademi Kajian Ketamadun (AKK), 2024; dan Dr Zafarullah Khan, Siapa Orang Asli Palestina?, cetakan ketiga, Ciputat, Indonesia: PT Pustaka Alvabet, 2023).

Tragedi itu turut menafikan laporan yang dibuat oleh pihak tentera Israel yang berkawal di gurun Negev, sebagaimana dilaporkan, di mana ketua platun merasakan dia layak dibunuh. Awalnya, dilaporkan sebagai remaja lelaki dalam sekumpulan tiga orang Badwi yang lengkap bersenjata. Sebenarnya, tawanan itu bukan daripada tiga remaja Badwi yang bersenjata, sebaliknya dia adalah salah seorang daripada sekumpulan orang Badwi yang tidak bersenjata,

Operasi mengawal sempadan, tidak jauh dari wilayah kawalan Mesir, Nirim di padang pasir Negev bermula 9 pagi 12 Ogos. Mereka disahkan tidak memiliki senjata tetapi pihak tentera tetap melakukan tembakan ke udara menyebabkan dua orang lelaki lari lintang pukang. Gadis itu tidak berdaya melarikan diri, akhirnya ditangkap. Suara-suara gadis itu meminta supaya dilepaskan tidak diendahkan oleh pasukan tentera yang menjalankan operasi. Kem tersebut dianggotai oleh pendatang asing (Yahudi) pelbagai negara (Eropah) yang tidak boleh berbahasa Ibrani. Mereka lebih banyak menggunakan bahasa isyarat. Mereka juga dilaporkan tidak mempunyai latihan yang cukup dan kurang disiplin.

Beberapa orang pegawai, termasuk ketua platun (Leftenan Kedua, Mosye) pernah bersama tentera British itulah yang menanda tangani laporan ringkas bertarikh 15 Ogos 1949 berkaitan dengan pembunuhan gadis itu. Tentera peninjau sampai ke kem itu pada tengah hari 12 Ogos, dan dalam masa yang sama, seorang pegawai tinggi IDF melawati kem itu. Menyedari adanya seorang remaja perempuan Badwi, pegawai tinggi itu mengarahkan ‘tawanan’ tersebut dibebaskan, tetapi arahan tersebut tidak dipedulikan.

Gadis itu ditelanjangkan dan dimandikan secara terbuka. Pada malamnya, berlakulah insiden memperkosakan gadis itu. Hal itu membuktikan bahawa askar IDF telah melakukan jenayah yang tidak boleh dimaafkan, akhirnya Leftenan Kedua Mosye mengaku salah dan dipenjarakan selama 15 tahun.

Kejadian tersebut berlaku dalam tempoh setahun tiga bulan (555 hari) berdirinya negara haram Israel. Laporan yang memakai tajuk "I saw fit to remove her from the world", mendedahkan kenyataan yang jelas, “oleh kerana dia (gadis itu) sudah diperkosa, saya fikir layaklah dia dibunuh.” Itu pengakuan Leftenan Kedua Mosye.

Pagi esoknya, 13 Ogos 1949, gadis itu diseret keluar sejauh 500 meter di luar kem. Seluarnya ditanggalkan, hanya tinggal baju menuju takdirnya yang maha perit. Pasukan kecil tentera itu membawa cangkul, yang akan digunakan menggali lubang bagi menghapuskan jasadnya.

Gadis itu tersedar bahawa nyawanya bakal melayang, dan cuba melarikan diri. Setelah melihat percubaan tersebut, sebutir peluru menyinggahi kepalanya dari arah kanan. Gadis itu jatuh tertiarap, dan untuk memastikan dia benar-benar mati, enam das lagi  tembakan dilepaskan kearah jasad yang sudahpun kaku. Jasad gadis itu kemudiannya ditanam di dalam sebuah lubang yang digali dalam kedalaman hanya satu kaki di Nirim, yang berdekatan dengan kibbutz (penempatan petani penjarah).

Tentunya, untuk memahami dengan lebih berkesan kisah tersebut, kita memerlukan penerokaan yang lebih luas terhadap kekejam tentera negara haram Israel dan meninjau sedikit sebanyak pensejarahan terorisme yang membawa kepada pembentukan negara haram Isrrael, Itulah sebabnya saya ikut memberikan sedikit imbasan dan serpihak ideologi Zion yang menjadi punca pencerobohan yang telah dibuktikan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hukum kemanusiaan.

 (ADANIA SHIBLIPerincianterjemahan dari novel berbahasa ArabTafsil Thanawi  (2017) oleh Al-Mustaqeem M Radhi dan Abdul Jabbar Md Salleh, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2025, 132 halaman).

(BERSAMBUNG)

Kamarun KH

Petikan dari alfalahmadani.my

 

Written by Admin
Category: Perempuan
Hits: 565