Print

 

POTRET PENJAJAHAN DAN SADISNYA GADIS BADWI- PART 3

Liku-liku penjajahan Palestin sudah pun bermula secara tidak langsung sebaik sahaja Pertubuhan Yahudi Antarabangsa (World Zionis Organisation, WZO ditubuhkan dalam keputusan Persidangan Yahudi Antarabangsa pada tahun 1897. Pengasasnya, Theodore Herzl, seorang Yahudi berasal daripada Hungary. Dia berjaya menyakinkan para peserta Yahudi bahawa sebuah negara untuk orang Yahudi mesti dibentuk bagi menyelesaikan ‘masalah orang Yahudi’ dan setelah itu, ia dimotivasikan sebagai ‘penyelesaian terakhir’. Theodore Herzl merupakan seorang Yahudi berasaskan keturunan, tetapi dari segi amalan agama, beliau dikatakan seorang yang tidak mempercayai agama Yahudi atau tuhan, yakni ateis.

Sejak itu, kapitalis Yahudi yang menguasai ekonomi di Eropah menggunakan lobi untuk meyakinkan matlamat itu tercapai. Dalam masa yang sama, Eropah turut dilanda semangat nasionalisme, menyebabkan beberapa negara mula merasa kecewa dengan perilaku orang Yahudi dan berusaha untuk menyingkirkan mereka.

Namun, proses penyingkiran Yahudi bukan perkara yang mudah, apatah lagi dalam kelompok elit politik yang berkuasa, sebahagian daripada anggota kabinet adalah mereka yang berketurunan Yahudi, termasuk Sir Arthur James Balfour (1948-1930), yang menjadi ‘penyelesai’ masalah Yahudi. 

Balfour ketika itu ketua Parti Konservatif, Menteri Luar Britain (10 Disember 1916 - 23 Oktober 1919) dan sebelumnya sebagai PM Britain (12 Julai 1902 - 4 Disember 1905) memberikan persetujuan dan berusaha mendapat persetujuan parlimen British mengenai hasrat menubuhkan sebuah negara Yahudi.

Sejak itu (1917), Deklarasi Balfour menjadi pegangan yang jelas manakala perjanjian sulit antara British dan Perancis yang dikenali sebagai Skyes-Picot Agreement (196) menatijahkan dua kuasa besar Eropah mendokong hasrat Theodore Herzl dan WZO. Sebagaimana diketahui, di Eropah, Perancis dan Britain merupakan adikuasa yang cukup berpengaruh. Dua buah negara itu tidak pernah sepi daripada peperangan membabitkan penguasaan wilayah, sehinggalah muncul beberapa tindakan untuk membolehkan keduanya tidak lagi saling menumpahkan darah.

Antaranya melalui perkahwinan antara keturunan di raja Perancis dan Britain. Namun, setelah King Henry II dan King Louis VII bersatu dalam misi Perang Salib II (1147-1149, dilancarkan pada tahun 1145), pertautannya terjalin apabila berlakunya penjodohan antara puteri King Louis, Alais dengan putera King Henry II, Richard the Lionheart. Dalam Perang Salib II, permaisuri Perancis, Eleanor de Atiquitance (meninggal 1204) dikatakan terbabit sumbang mahram dengan bapa saudaranya (Raymond de Anatolia).

Ketika itu, Eleanor berusia 25 tahun dan skandal itu menyebabkan King Louis VII mengawasinya sehingga Perang Salib II tamat).. Setelah Perang Salib II tamat, dan mereka kembali ke Perancis, King Louis VII menceraikan Eleanor (Mac 1152), yang kemudiannya berkahwin dengan King Henry II (18 Mei 1152 ketika masih edah setelah bercerai). Alasannya, kerana Eleanor tidak mampu memberikan zuriat lelaki. Hasil perkahwinan selama hampir 15 tahun, Eleanor melahirkan dua orang puteri, Marie dan Alix. Anak-anak itu diberikan hak penjagaan kepada King Louis VII. (James Reston Jr., Perang Salib III: Perseteruan Dua Kesatria: Salahuddin al-Ayubbi dan Richard si Hati Singa, edisi terjemahan bahasa Indonesia, Tengerang, Indonesia: Penerbit Lantera Hati, 2007, hal.38).

Richard The Lionheart (Richard I) dilahirkan (8 September 1157). Richard merupakan putera ketiga pasangan Eleanor dan King Henry II. Namun, Eleanor yang berasal dari selatan Perancis (anak keluarga pemilik hartanah yang kaya raya) cemburu dan merancang pembunuhan salah seorang gundik King Henry II. Akibatnya, Eleanor dikenakan tahanan istana sehinggalah King Henry meninggal dunia (selama 16 tahun, 1173-1189).

Richard ditunangkan dengan Alais (tahun 1161, ketika itu Richard berusia 4 tahun). salah seorang puteri King Louis VII daripada isteri yang lain. Setelah mengikat tali pertunangan, Alais dibawa ke istana Britain untuk menjalani kehidupan istana dan memahami selok belok protokol istana. Alais kemudiannya menjadi gundek kepada King Henry II, sehingga melahirkan seorang anak perempuan.

Richard (1157 - 1199) dan Philips Augustus (1165 -1 223) dikatakan pernah ‘bercinta’. Richard merupakan seorang pengamal homoseksual. Namun, atas ‘aib’ yang berlaku, hubungan cinta antara Richard dan Philips Augustus terlerai, terus membingkai sebagai ‘dendam’ setelah Richard menolak untuk memperisterikan adik tirinya, Alais yang ddijadikan gundek oleh King Henry II, raja bermata keranjang. (James Reston Jr, Perang Salib III, hal. 88)

Akibat perlakuan itu, Richard menolak untuk berkahwin dengan Alais. Penolakan itu menimbulkan ‘permusuhan semula’. Setelah King Louis VII meninggal (1180), takhta Perancis diterajui oleh King Philips Augustus (berusia 15 tahun), abang tiri Alais. King Philips Augustus akhirnya mendendami King Richard I, yang mengambil alih pemerintahan Britain apabila ayahnya, King Henry II meninggal dunia (1189).

Dalam Perang Salib III (1189-1192), Richard dan King Philips Augustus menyertainya, Namun, oleh kerana Eleanor berusaha mengahwinkan puteranya dengan puteri Sepanyol, Berengaria, ketibaan Richard di medan Perang Salib III agak lewat.

Setelah Richard selesai berkahwin dan membawa Berengaria bersama-sama ke medan Perang Salib, King Philips Agustus mencari ruang dan helah untuk pulang ke Perancis. Ia disebabkan kehandalan King Rchard lebih meluas diperkatakan berbanding ketangkasan dirinya. Akhirnya, Perang Salib III diterajui oleh Richard sepenuhnya. Namun, King Philips Augustus tidak berdiam diri.

Setelah pulang ke Perancis, dia memulakan pelbagai dakyah dan sehingga mempengaruhi ramai pemimpin Eropah, juga salah seorang saudara Richard yakin bahawa abangnya tidak akan kembali ke England. Richard mungkin akan mati dibunuh atau ditawan oleh Tentera Islam, yang dipimpin oleh Salehuddin al-Ayubbi. Itulah sebabnya, Richard terpaksa mempercepatkan perang dengan bersetuju memberikan kemenangan ke atas Tentera Islam.

Di Britain Richard berhadapan dengan ‘coup de tat’ oleh saudaranya, yang termakan propaganda Philips Augustus. Di beberapa kerajaan di Eropah, Richard berhadapan dengan rasa kebencian oleh sekutu Perancis. Sebab itu, semasa dalam perjalanan pulang ke England. Richard berjaya ditawan, dan akhirnya dijual kepada salah seorang penguasa yang mendendami. Bagi membebaskan Richard, ibunya, Eleanor bersama para paderi bertungkus lumus berusaha. Richard akhirnya dibebaskan setelah berjaya ditebus oleh ibunya, Eleanor, yang mengambil inisiatif memerintah England semasa Richard berada di medan Perang Salib.

Beberapa tahun kemudian, Richard terkena panah beracun. Richard meninggal beberapa hari kemudian (6 April 1199) akibat racun telah memasuki ke pembuluh darah. Tahta England diambil alih oleh saudaranya, John Lackland (anak bongsu Henry II dan Eleanor).

Penjajahan Palestin sebenarnya bermula apabila wilayah kekuasaan Utsmaniah diletakkan di bawah pentadbiran British manakala negara-negara Arab diberikan hak memerintah sendiri setelah kepimpinannya mendokong hasrat British sebelum dan semasa Perang Dunia I. Syria, Aljeria diberikan kekuasaan kepada Perancis, berdasarkan pembahagian wilayah dalam Perjanjian Skyes-Picot (dirancang pada 3 Januri 1916 dan diratifikasikan pada 9-16 Mei 1916).

Ini bererti, dua kuasa besar Eropah itu sudah lama menginginkan wilayah di Timur Tengah atas pelbagai sebab, termasuk kepentingan strategic dan ekonomi. Ia menjadi bertambah kuat apabila minyak ditemui di bumi Arab dan pembukaan Terusan Suez yang memendekkan perjalanan Barat ke Timur dan sebaliknya.

Sebab itu, kuasa-kuasa barat sedia mempertahankan Israel, walaupun pelbagai desakan telah dibuat di peringkat antarabangsa. Namun, selepas dua kuasa besar Eropah semakin dihimpit masalah kewangan untuk mentadbirkan koloni, dan juga menghabiskan lebih banyak wang terbabit dalam peperangan, keupayaan semakin mengecil telah menjadikan Amerika Syarikat yang dilihat sebagai kuasa besar baharu muncul sebagai pendokongnya.

Kapitalis Yahudi, sama ada yang sudah pun bermastautin di sana dan yang masih memegang tampok ekonomi di Eropah memainkan peranannya sebagai pelobi. Mereka akhirnya berjaya menjadikan Amerika Syarikat sebagai ‘anjing suruhan’ dan keadaan inilah menyemarakkan keinginan Israel untuk melakukan genosid dan menghalau penduduk Palestin. (John Mearsheimer dan Stephen Walt, The Israel Lobby and the US Foreign Policy, New York: Farrar, Straus and Giroux, 2007).

Khabarnya, selepas gencatan senjata Israel-Hamas, sebaik sahaja Donald Trump kembali menduduki RUmah Putih, beberapa dasar yang lebih kejam dikeluarkan, termasuk menghantar senjata termoden (bom MK 84 seberat 907 kg, yang mampu menembusi konkrit tebal dan logam, dengan mewujudkan radius letupan yang luas) ke Israel dan rencana mengambil alih Gaza, untuk dijadikan Riveira Timur Tengah. (Sinar Harian, 19 Februari 2025 dan Sinar Harian, 5 Februari 2025)

Dan, tentunya, ramai yang melihat persetujuan Israel untuk menandatangani gencatan senjata pada 19 Januari 2025 sebagai ‘ proses pemulihan’ semangat tenteranya yang terpaksa melakukan tugas dalam tempoh yang panjang (475 hari atau 15 bulan). Tentunya, dalam tempoh tersebut, IDF kehilangan banyak senjata dan peralatannya, dan dengan sendirinya bermakna gencatan senjata adalah masa yang dikira untuk melengkapkan kembali senjata dan peralatan yang canggih. Donald Trump sedia melakukannya, walaupun ditentang oleh lawan politiknya sendiri.

Itulah yang menjadikan Israel cukup besar kepala. Jika tanpa bantuan dan dilindungi Amerika Syarikat, Israel sebenarnya tidak mampu berperang dengan Palestin, yang hadir dalam keadaan penuh semangat untuk membebaskan tanah airnya. Oleh kerana sebahagian negara Arab sangat bergantung dengan ketentuan dasar Rumah Putih, mereka tidak lagi dilihat cukup bersatu dalam tindakannya menentang Israel, hanya sekadar mengeluarkan tekanan dan kenyataan.

Negara-negara Arab takut Amerika Syarikat bertindak dan melakukan sekatan ekonomi sebagaimana berlaku kepada Iran, Afghanistan, Rusia dan perang perdagangan dengan China. Ia sangat merugikan, kerana nilai eksport minyak dan gas ke Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah cukup tinggi. Sekiranya dilakukan embargo, negara-negara Arab akan hilang sumber ekonomi, dan sekaligus membantu pelan pembangunan infrasturktur mega yang sedang berjalan dan dalam perancangan.

Itulah yang dapat dibaca. Namun, sekaligus ia menjadi sesuatu malang buat Palestin. Bagi rakyat Palestin, selagi bernyawa mereka akan tetap berjuang memerdekakan tanah air yang dirampas dan diduduki secara haram, walaupun nyawa menjadi taruhannya. Kekentalan semangat itu turut tercermin dalam diri Adania Shibli dalam penjelajahan kembali ke Palestin untuk mencari ‘perincian kecil’ ekoran pendedahan laporan kematian seorang gadis Badwi, yang menjadi semacam travelog dalam bahagian kedua novella Perincian.

Getus Adania: Banyak sempadan diterapkan di sini. Orang perlu memberikan perhatian terhadapnya dan bergerak mengikut ketetapan, agar terpelihara dari akibat buruk…Ada orang yang mahir meniti sempadan-sempadan ini tanpa pernah melanggarinya, tetapi orang sebegini hanyalah sedikit dan aku bukan salah seorang daripada mereka” (hal. 64).

Sejak menduduki bumi Palestin, Israel membahagikan bumi Palestin kepada empat kawasan. Setiap penduduk di sesebuah kawasan ditandai kad pengenalan dengan warna yang berbeza. Warna hijau sebagai pemastautin kawasan A., yang merupakan lokasi rumah sewaan Adania.

Tetapi menurut undang-undang, sesiapa saja dari  Kawasan A berhak ke kawasan B, jika tiada keadaan politik atau ketenteraman istimewa boleh menghalangnya. Tetapi, akhir akhir ini, keadaan-keadaan istimewa itu sudah menjadi kebiasaan, dan orang dari Kawasan A langsung tidak terfikir untuk ke Kawasan B. Beberapa tahun kebelakangan, aku tidak pernah pergi sejauh pos Qalandiya pun, yang memisahkan Kawasan A dengan Kawasan B. Jadi, bagaimana aku terfikir hendak pergi ke tempat yang begitu jauh, hampir memasuki Kawasan D?

“Orang di Kawasan B pun tidak boleh melakukannya, dan barangkali demikianlah warga Kawasan C, termasuk orang dari Jerusalem, yang kewujudannya dianggap sebagai satu ancaman keselamatan jika mereka menyebut sepatah perkataan Arab di luar kawasan mereka. Benar, mereka dibenarkan untuk berada di Kawasan A, demikian juga dengan penduduk Kawasan B yang sering melawatinya, dan kadangkala berpindah ke sana, meskipun tempat itu serupa sebuah penjara sekarang.

“Di pekerjaan baruku misalnya, selain orang sepertiku dari Kawasan A, ramai rakan sekerja yang datang dari Kawasan lain. Mereka semua baik-baik. Pada suatu hari di tempat kerja, aku bercerita secara rahsia kepada rakan dari Kawasan C, dari Jerusalem, bahawa aku perlu ke kawasannya atau mungkin lebih jauh untuk menguruskan hal peribadi; lagipun, tidak aneh bagi orang dari Kawasan A mempunyai keperluan untuk ke Kawasan C atas urusan peribadi, begtu juga orang dari Kawasan C ke Kawasan A.

“Mendengarkan hal itu, rakan sekerjaku menawarkan untuk memberi pinjam kad pengenalannya berwarna biru, memandangkan pada akhirnya kita semua bersaudara, dan rupa kita pun sama, setidak-tidaknya menurut mata askar yang berjaga di pos pemeriksaan.” (hal. 74-76).

Cara Israel mengawal mobility penduduk, terutama penduduk asal Palestin memang merupakan suatu tindakan yang keji, seolah-olah ada negara kecil dalam sebuah negara Israel, sebuah bentuk diskriminasi atau proses isolasi dan penghinaan. Bagi Ilan Pappe, sejarawan generasi baharu Israel, pendudukan Israel sama ada di Tebing Barat ataupun Gaza harus ‘difahami sebagai penjara. Ada dua model penjara yang berperanan dalam sejarah pendudukan.

Pertama, model penjara terbuka – yang “dihadiahkan” oleh Israel kepada bangsa Palestin untuk menyelenggarakan dasar dalam negeri, sementara menyerahkan semua semua dasar keamanan dan ekonomi penting ke tangan Israel. Salah satu ‘hadiahnya’ ialah berupa kebenaran untuk pekerja Palestin bekerja di wilayah Israel.

“Kedua, model penjara dengan ‘keselamatan maksimum’ . Model tersebut meliputi hukuman kolektif seperti penangkapan tanpa diadili, pembunuhan, cedera parah, penggelidahan rumah, pengusiran, dan kebebasan bagi pemukim Yahudi Israel untuk menyerang serta membuli warga Palestin.” (“Prakata” edisi bahasa Indonesia, Palestine: The Biggest Prison on Earth,  Jakarta: Penerbit Naoura Books, 2024, hal. 7-8).

Model pertama antara tahun 1967 dan 1987, 1993-2000, kata Profesor Ilan lagi, sampai batas tertentu antara tahun 2007 hingga 2021, meskipun period terakhir ini berlaku di Tebing Barat saja.

Setiap kali bangsa  Palestin menolak “kesepakatan” ini, mereka dihukum dengan diperlakukan dengan model penjara kedua.: Itu dapat kita bayangkan bagaimana IDF, pemukim Yahudi haram dan kerajaan negara haram memperlakukan tindakan yang cukup menghina dan melanggar Konvensyen Geneva dan peraturan antarabangsa mengenai perang. Misalnya, dalam kes penahanan seorang remaja Palestin, Ahed Tamimi hanya kerana ‘menghalau tentera IDF’ yang mencari ruang strategik di kawasan rumahnya untuk melakukan tembakan ke atas penunjuk perasaan (pendemo) di Nabi Salleh.

Dalam masa yang sama, Ahed dan sepupunya, Nour ‘melawan’ salah seorang tentera IDF apabila seorang lagi sepupunya, remaja lelaki Muhammad Tamimi mengerang kesakitan akibat terkena tembakan peluru hidup. Muhammad Tamimi mengalami luka parah, dan disahkan boleh menyebabkan kecederaan yang fatal, kemungkinan lumpur setelah tembakan peluru hidup telah mengenakan bahagian kanan kepalanya.

Oleh kerana tentera IDF merakamkan pertengkaran tersebut, Ahed kemudiannya ditahan selepas empat hari (19 Disember 2017). Rumahnya digelidah oleh sepasukan tentera (sekitar 30 orang) jam 3 pagi. Ahed kemudiannya dibawa ke Penjara Ofer, yang terletak dalam wilayah Israel. Hal ini merupakan kesalahan yang jelas, melanggar Konvensyen Geneva, yang melarang mereka yang ditahan dalam sesebuah wilayah dibawa ke wilayah yang lain, yang berbeza pentadbirannya.

Keesokan harinya (20 Disember 2017), ibu Ahed, Nariman Tamimi  dan sepupu Ahed, Nour  berkunjung ke Penjara Offer untuk melihat keadaan anak perempuan tunggalnya. Mereka kemudiannya ditangkap dan dipenjarakan. Nour kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin 5,000 sekhel, tetapi Ahed dan ibunya terus mendekam dalam penjara. Beberapa hari kemudian, Bassem Tamimi, ayah Ahed menyambut hari kelahiran Ahed Tamimi ke-16 (lahir 31 Januari 2001) tanpa isteri dan puteri tunggal mereka. Ahed dan ibunya, Nariman Tamimi dibebaskan pada 29 Julai 2018, setelah mendekam dalam penjara selama 8 bulan tanpa pembelaan yang wajar dan semuanya ditentukan mengikut peraturan tentera. 

Penelitian Ben Ehrenreich dalam Selagi Bernyawa: Kisah Kehidupan dan Kematian di Palestin (edisi terjemahan bahasa Melayu), Shah Alam, Selangor: Kelas Buku Sdn. Bhd,, 2024; dan Manar Tamimi, Paul Heron, Paul Morris dan Peter Lahti, Gadis Palestina Yang Melawan Tirani Israel: Ahed Tamimi, (edisi terjemahan bahasa Indonesia), Bandung, Indonesia: PT Mizan Pustaka, 2018 dapat membantu pembaca yang ingin mengetahui bagaimana penyiksaan dan dehumanisasi dilakukan oleh Israel.

(ADANIA SHIBLI, Perincian, terjemahan dari novel berbahasa Arab, Tafsil Thanawi  (2017) oleh Al-Mustaqeem M Radhi dan Abdul Jabbar Md Salleh, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2025, 132 halaman).

(BERSAMBUNG)

Kamarun KH

Petikan dari alfalahmadani.my

 

Written by Admin
Category: Perempuan
Hits: 557