Print

 

TASAWUF DAN KRITIK KEBUDAYAAN SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS.

SEBAIK sahaja kita bercakap mengenai tasawuf, satu bidang kajian Islam itu selalunya digasak dengan pelbagai pertanyaan: asal-usul, sifat-sifat dan kepentingannya dalam pengayaan dimensi batin ibadat lahiriah; dan tidak kurang ialah persoalan-persoalan yang mengakibatkan lahirnya tragedi dalam sejarah peradaban Islam.

Menurut Dr Syamsudin Arif, pensyarah dari Universiti Darusalam, Gontor dan Penyelidik Kanan di Institut Kajian Pemikiran Islam dan Peradaban (INSISTS), Jakarta, istilah tragedi (dalam bahasa Yunani)  terbentuk daripada dua perkataan: tragos (kambing) dan aiedein (bersenandung). Secara harafiah, tragedi membawa maksud ‘nyanyian kambing’.Ia berdasarkan tiga pendapat:

Pertama, kerana adanya hadiah berupa seekor kambing yang diberikan kepada para pelaku (subjek) yang dianggap terbaik dalam memainkan peranannya. Kedua, kerana salah seorang pemain dalam pentas tragedi memakai gaun daripada kulit kambing.Adapun kemungkinan ketiga adalah kerana tragedi itu awalnya adalah sebuah upacara keagamaan yang dipimpin oleh ketua agama bersama para pendeta dan disaksikan oleh seluruh warga, di mana ada seekor kambing yang dikorbankan sebagai bahagian dalam ritual kuno itu.”

Tragedi merupakan roh peradaban barat,”  tambah Dr Syamsudin Arif, “yang mengajarkan dualisme, rasionalisme, relativisme, humanisme, sekularisme, naturalisme dan sebagainya. “ (Kata Pengantar, “Loka dan Lakon Manusia, Antara Luka dan Telaga,” dalam Ismail al-’Alam, Tasawuf dan Tragedi: Kritik Kebudayaan Perspektif Syed Muhammad Naquib al-Attas, Kuala Lumpur: Rihla Media dan Yayasan Bentala Tamadun Nusantara, 2021, hal.xiii-xvi). Perbincangan ini mengambil beberapa bahagian daribuku tersebut, yang  mengupas pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas (SMNA), cendekiawan tanah air yang cukup dihormati mengenai pandangan falsafah dan nilai budaya masyarakat Melayu berbingkaikan Islam.

SMNA dilahirkan dalam keluarga Ba’alawi dan nasabnya sampai kepada Imam Hussain bin Ali, iaitu cucunda Nabi Muhammad SAW. SMNA merupakan anak kedua daripada tiga bersaudara –Syed Hussien al-Attas (1928-2007), ahli sosiologi; dan adiknya, Syed Zedal.SMNA merupakan sepupu Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz (1922-2020), iaitu bapa kepada Tan Sri Dr Zetty Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank Negara, suami kepada Datk Dr Tawfiq Ayman. Dr Tawfiq dan dua anaknya dikatakan telah menerima jutaan ringgit dana 1MDB di Singapura. 

SMNA dilahirkan 5 September 1931 di Bogor, Jawa Barat.Nama penuhnya ialah Syed Muhammad Naquib ibn Ali ibn Abdullah ibn Muhsin al-Attas. Bapanya merupakan anak lelaki kepada Syed Abdullah, seorang wali yang cukup berpengaruh di Nusantara dan Arab manakala ibunya, Sharifah Raguan al-‘Aydrus, keturunan bangsawan (ningrat) dari etnik Sunda daripada Surakarta.

Mula mendapat pendidikan ketika berusia lima tahun di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor (1936-194) dan semasa Jepun menyerang Tanah Melayu, SMNA kembali ke Jawa dan menyambung pendidikan di Madrasah al-Urwatul Wutsqa, Sukabumi (1941-1945). Kembali ke Johor selepas Jepun menyerah kalah dan  meneruskan pendidikan di English College Johor Bharu (1946-1951).

SMNA kemudiannya belajar sastera Melayu di Universiti Malaya, Universiti McGill (Montreal, Kanada) dan Universiti London. Sebelumnya, SMNA diterima sebagai kadet pelatih dalam Rejimen Askar Melayu dan dihantar ke England untuk mendapat pendidikan ketenteraan di Eaton Hall, Wales oleh Pesuruhjaya British di Tanah Melayu, Sir Gerald Templer. SMNA seterusnya belajar di Royal Military Army, Sandhurst (1952-1955). Ketika di Sandhurst, SMNA mula meminati metafizika tasawuf, dan berpeluang membaca  karya-karya ‘Abd Rahman Jami’ (meninggal 1492). (hal. 25).

Disebabkan kecenderungan akademik, SMNA berhenti secara sukarela untuk melanjutkan pengajian dalam bidang saster di Universiti Malaya, Singapura (1957-1959).Selepas tamat pengajian kedoktoran (1965) di Kanada, SMNA dilantik sebagai Ketua Jurusan Sastera, Fakulti Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, yang sudah berpindah  Kampus dari Singapura ialah pada 25 Mei 1959. Universiti Malaya pada asalnya adalah gabungan (1946) antara Maktab Perubatan King Edwards dan Maktab Raffles.

SMNA cukup terkenal dalam bidang pengajian Melayu dan pemikiran (falsafah, kalam, dan tasawuf) Islam. Tahun 1970, beliau merupakan penggerak kepada penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ucapan pelantikan sebagai professor yang berjudul Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, menjadi rujukan akademik yang tidak dapat ditolak oleh setiap pengkaji yang cuba mendalami asas dan pola kebudayaan Melayu hingga kini. Semasa di UKM, SMNA berjaya menubuhkan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM).

Tahun 1980 dilantik menduduki Kerusi Tun Abdul Razak di bidang Kajian Asia Tenggara di Universiti Ohio, Amerika Syarikat. Selepas kembali ke tanah air, SMNA dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Tetap Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan dilantik sebagai Profesor Pemikiran dan Peradaban Islam, sekaligusmengetuai International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) pada Disember 1987.

Dr Syamsudin Arif adalah salah seorang anak murid SMNAketika menuntut di peringkat ijazah pertama di UIAM dan  sarjana dan kedoktoran di ISTAC. Pernah bertugas sebagai Pengarah di INSISTS, Jakarta; pensyarah di UIAM (2007-2012) dan  CASIS, UTM (2012-2015). Kini, Dr Syamsudin merupakan pensyarah di Universitas Darusalam, Gontor. Buku ini merupakan sebahagian tesis ijazah sarjana Ismail al-‘Alam yang dikemukakan kepada Universiti Paramadina, Jakarta dan diterbitkan pertama kali pada tahun 2020 (edisi Indonesia) dan 2021 edisi bahasa Melayu (Malaysia).

Menurut Ismail al-’Alam, Dr Syamsudinadalah salah seorang yang guru yang begitu “memperhatikan perkembangan intelektual” dan “membimbing membaca teks-teks utama dalam falsafah Islam danBarat (Plato, Aristotle,Ibnu Sina, al-Ghazali, al-Razi, Descartes, Kant, Foulcault, dan karya-karya orientalis).” (hal..xix).

*****

Ada beberapa pandangan mengenai istilah tasawuf. Dalam tradisi Islam, tasawuf  dikatakan berasaskan kata dasar sufi. Istilah sufi pula dikaitkan dengan pakaian yang dipakai oleh pengamal tasawuf,  yang diperbuat daripada bulu, berstektur kasar dan dikaitkan sebagai ‘perlambangan sikap zuhud dan menghindari kenikmatan dunia.’ Ada juga penulis menelusuri istilah tasawuf itu berasal daripada istilah safa, yang bermaksud ‘menjadi suci’ manakala sebahagian penulis lain mengambil perkataan saffah sebagai akar kata tasawuf, yang bermaksud ‘serambi Masjid Nabawi yang digunakan oleh para sahabat miskin untuk menuntut ilmu ‘ daripada Nabi Muhammad SAW.

Dr Syamsudin Arif berpendapat, sekurang-kurangnya ada lima teori asal tasawuf yang muncul dalam kalangan orientalis setelah karya William Jones (1746-1794), On The Mystical Poetry of the Persian and Hindus (1794). William Jones adalah seorang orientalis pelopor yang memperkenalkan puisi-puisi Hindu kepada masyarakat Barat, khususnya British antara tahun 1782-1812.Jones adalah pengamal undang-undang di Syarikat Hindia Timur (East India Company) dari 1783 hingga meninggal dunia 1794.

Teori pertama, diperkenalkan oleh Margaret Smith (meninggal 1970) “sebagai produk sampingan yang muncul setelah persinggungan Islam dengan tradisi dan agama yang lebih tua dalam lingkungannya, terutama Kristian. Hujah Smith ialah ‘ketika itu umat Islam masih sangat terkebelakang sehingga bergantung dalam segala urusan kepada umat Kristian.” (hal. 45)

Teori kedua, akar tasawuf berasal daripada ajaran Unpanishad dan Vedanta–Hinduisme- berdasarkan pendapat Alfred von Kromer (meninggal 1889), RC Zaehner (meninggal 1974) dan Max Hotten (meninggal 1945).Ignaz Goldziher (meninggal 1921) mengaitkan pula dengan Buddhisme. Jadi, ciri-ciri ‘menolak atas kenikmatan dunia, cara hidup sederhana dan perasaan berdosa ’ oleh pengamal tasawuf adalah “kesamaan” dengan tradisi Hinduisme dan Budhisme.

Teori ketiga dikatakan berasal daripada tradisi Yunani Kuno, iaitu daripada perkataan Sophos. Pengkaji Adalbert Merx (meninggal 1909) mengaitkannya dengan tradisi mistik pemikiran (pseudo) Dionysus Aeropagita, Stephen Bar Sudaili (Sudhalie), Simon Magos (meninggal 65M), Iraneus (meninggal 202M), dan lain-lain. Dikaitkan juga dengan Aristotleanisme dan Neo-Platonisme oleh RA Nicholson, namun ia hanya pada peringkat teori dan bukan praktik.

Teori keempat, berlakunya sentuhan antarabudaya Yunani Kuno dan Parsi. Ia dikaitkan dengan permulaan tradisi tasawuf yang berasal dari Parsi (Iran) dan diajukan oleh Sir Muhammad Iqbal (1877-1938) :“tasawuf adalah ekspresi sikap beragama dan cara masyarakat dalam meluapkan keyakinan yang terpendam dalam rangka menghidupkan kembali Zoroastrianisme, Manicheanisme dan Mazdaisme.” (hal.46)

Menurut Ismail al-‘Alam, “Ia kemudian memberi contoh seperti shatahat Abu Yazid al-Bustami (meninggal 874M), konsep hulul dan ittihad dari al-Hallaj (meninggal 922), juga falsafah Ishraq daripada Suhrawardi”. (hal. 47).

Teori kelima, lahir daripada sifat tasawuf itu sendiri yang: “mengutamakan ekspresi pengalaman mistik – asal usul sinkritisme- yang dibawa oleh Richard Hartman (meninggal 1965) dan Martin Schreiner (meninggal 1926)”. Mereka mengatakan “tidak ada kebudayaan yang berdiri sendiri dari ruang hampa, maka setiap capaian peradaban adalah hasil daripada pengaruh tradisi yang sudah ada.” (hal.46-47).

Bagaimanapun, kesemua teori tersebut ditolak ramai cendekiawan Islam termasuk Fazlur Rahman (1919-1998), di mana asal istilahtasawuf bukan diambil dari mana-mana tradisi sebelumnya.Tasawuf berasal daripada ajaran Islam, iaitu unsur batin (spiritual) manusia dan ia dilakukan secara konsisten dalam diri Nabi Muhammad SAW. Ia kemudiannya mengalami perkembangan teori dan praktis manakala pengaruh luaran diakui mula memasuki bidang tasawuf tetapi secara minimum (terbatas).

Pengaruh luaran itu lebih terkemudian, iaitu dibawa masuk dalam praktis tasawuf sesudah ianya dianggap sudah baku. Perubahan hanya berlaku dalam ‘praktik perseorangan’ sebagai tindak balas terhadap sikap hidup Bani Umayyah (bermewah-mewahan dan kepentingan peribadi) dan faham pemencilan golongan Khawarij sehingga membentuk doktrin mengkafirkan sesama Muslim jika bertentangan dengan pendapat atau pendirian mereka. (hal.47).

Salah seorang tokoh terkenal dalam praktik tasawuf ialah Hasan al-Basri (Abu Sa'id ibn Abi al-Hasan Yasar al-Basri, 641-728.Hasan lahir di Madinah pada zaman Khalifah Umar al-Khattab dan pernah disusui (semasa kecil) oleh Ummu Salamah, salah seorang isteri Rasulullah SAW.Bapanya, Abol Hasan (Pirouz) merupakan seorang pemilik tanah di Khuzestan.Hasan belajar ilmu-ilmu agama daripada sahabat Rasulullah SAW dan turut digelar tabi’in (generasi selepas sahabat Rasulullah SAW).

Hasan al-Basri merupakan penyokong kuat zuhud di mana doktrin yang diyakininya ialah takut adalah asas kepada moral dan sedih adalah ciri agama.Hasan terkenal sebagai seorang yang suci jiwanya dan sangat menentang pelantikan khalifah secara dinasti (warisan keluarga), yang dipelopori oleh Dinasti Umayyah. Bagaimanapun, Hasan sangat tidak menyokong tindakan menjatuhkan seseorang khalifah menerusi pemberontakan.

Pergeseran mengenai tasawuf mula berlaku pada separuh pertama Abad 3H/9M. Menurut Ismail al-‘Alam, pada kurun ini telah berlaku pertentangan yang akhirnya mempengaruhi pengamal tasawuf selanjutnya. Misalnya kemunculan Harith al-Muhasibi (meninggal 857), muridnya Junayd al-Baghdadi (meninggal 910), al-Kharraz (meninggal antara 899-890) :  “mengusahakan satu laku rohaniah yang terjaga oleh penyerahan diri kepada Allah melalui syari’at (ibadah lahiriah) dan pada gilirannya, menjaga pelaksanaan syari’at tersebut agar sentiasa memiliki kualiti rohaniah.Namun di samping mereka terdapat pula benih-benih perselisihan tasawuf dengan orthodoksi Islam yang mengutamakan syari’at itu, seperti beberapa ungkapan ekstrim Abu Yazid al-Bustami (meninggal 874)  bahawa “Mahasuci Aku; maha besar keagunganku” dan “Akulah tuhanmu, panjiku lebih hebat daripada panji Muhammad.” (hal.48).

*****

SMNA menolak pandangan yang mengatakan para sufi mengenakan pakaian daripada bulu ‘bagi membezakan diri dengan orang lain’. SMNA bersetuju dengan asal  istilah tasawuf daripada perkataan sufi. Warna putih kain yang diperbuat daripada bulu adalah simbol kemurnian, ada hubung kait dengan pekataansafa:berasal daripada kata s-f-w, yang bermaksud ‘menjadi murni’. Turut ditolak ialah telah perkataan asal Sophia kerana ia ‘tidak terdapat jejak keterkaitan tradisi mistisisme Yunani dalam kehadiran para sufi terawal, huruf sigma yang terkemudian diserap menggunakan hurufsin, bukan sad seperti awalan kata sufi. Ajaran utama tasawuf terdapat dalam al-Qur’an, dicontohkan oleh Nabi, dan diikuti oleh para generasi awal yang tercerahkan (enlightened early Muslims)”. (hal.57)

Dibezakan secara tegas dengan asketisme para sufi daripada tradisi Kristian, yakni pertapaan (mengasingkan diri), juga dengan apa yang diamalkan dalam Hinduisme-Budhisme. Para ahli sufi, terutama dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad SAW tidak sepenuhnya mengasingkan diri daripada masyarakat bahkan sentiasa hidup bersama masyarakat termasuk menyertai dan memimpin setiap peperangan melawan musuh dan pembebasan daripada kongkongan kaum kafir. Dalam tradisi agama lain, mereka yang memilih hidup sebagai agamawan (paderi atau sami) tidak digalakkan berkahwin. Perkahwinan dianggap sebagai halangan dalam mengabdikan diri kepada agama.Hal ini tidak berlaku dalam agama Islam, walaupun ada segelintir daripada mereka enggan berkahwin.

SMNAmengambil contohSalman al-Farisi, orang Parsi yang dilahirkan dalam kalangan penganut Zoroaster. Salman kemudian menganuti agama Kristian (Majusi) dan menemui kebenaran mengenai Islam. Sebagai ‘pencari kebenaran sejati’, Salman al-Farisi menurut SMNA telah ‘dinisbahkan sebagai pengasas tasawuf oleh beberapa tarekat yang datang kemudian melalui suatu genealogi spiritual.”(hal.58).

Tasawuf, menurut SMNA adalah ‘falsafah Islam yang sebenarnya’ kerana di dalamnya ‘terdapat kesatuan pengetahuan berdasarkan wahyu, akal, pengalaman dan intuisi.Bukan hanya di peringkat pengetahuan (epistimologi), kesatuan tersebut bahkan berada di peringkat Wujud (ontologi).(hal.66).

*****

Tragedi asalnya adalah dalam bidang estatika yang berkembang dalam kebudayaan Yunani.Istilah ini mengalami pelbagai perkembangan dalam bentuk teori mahupun dalam bentuknya yang popular. Ia dikembangkan oleh pelbagai pihak (media massa, penulis, ahli muzik, ahli politik, pendidik, orator (penceramah) dan sebagainya) hingga menjelma makna sebagai suatu peristiwa yang sangat memilukan (sedih), atau dikenali sebagai “tragik”. Istilah itu telah menimbulkan pelbagai ‘kebingungan’ dan ia bukanlah suatu persoalan yang ada (muncul) dalam Islam. Ia muncul dalam satu adegan drama (teater) pada Abad ke-5 SM di Yunani, yang merujuk kepada ‘peniruan suara kambing oleh paduan suara (koir) pengiring pertunjukan dan para penonton mereka; sebagai perlambangan pengorbanan kambing yang setiap tahun dipersembahkan kepada dewa Dionysus.’ (hal.73)

Dalam masyarakat Barat, tragedi merupakan sebahagian daripada budaya sehingga menjengah ke dalam gereja pada Abad Pertengahan, misalnya tafsiran Dosa Asal yang menjadi doktrin agama Kristian. Nabi Isa AS disalibkan kerana ingin ‘menebus dosa warisan’ dan seterusnya dikembangkan sebagai seruan berperang melawan Islamdalam siri Perang Salib selama 200 tahun. Dosa, bagi mereka yang menyertai Perang Salib akan terhapus. Doktrin “menebus dosa” itulah menarik minat keluarga bangsawan, raja-raja di Eropah untuk menyertai Perang Salib setelah Pop Urbanus II membuat deklarasi pada tahun 1095.

Selepas itu, tragedi menjadi persoalan falsafah yang cukup rancak dibahas dengan mengambil pelbagai pendekatandan hasilnya ia bertambah rumit untuk dirumuskan selepas jalur pemikiran Arthur Schopenhauer (1788-1860), Rene Descartes (1596-1650), Friedrich Nietsche (1844-1900) dengan ‘nyah manusiawi’ (dehumanization), Albert Camus (1913-1960) dengan kekaburan makna (absurdity) dan Soren Abye Kiekergard (1813-1855) dengan “kebenaran subjektif dan objektif” yang membentuk pemikiran dan asas falsafah existensialisme atau nihilisme.

Kehilangan nilai-nilai kerohanian dalam peradaban barat disentuh dengan menarik oleh Seyyed Hoessin Nasr dalam Islam dan Nestapa Manusia Moden (edisi terjemahan daripada Islam and the Plight of Man 1975), sehingga terpaksa berhadapan dengan keadaan disorientasi dan kerosakan persekitaran. Jika dilihat daripada perkembangan semasa, maka permulaan kepada kehidupan dan kerosakan persekitaran telah dimulai oleh peradaban barat, dan kini, kita berhadapan dengan masalah perubahan iklim.Ia berlaku kerana gangguan dan percerobohan ke atas ekosistem, penggunaan bahan fosil yang keterlaluan atas kepentingan industri dan kapitalisme, pelepasan gas (karbon dioksida rumah hijau) yang terlah menaikkan suhu maksimum dan menyebabkan ais mudah cair. Setelah mereka memulakannya, Barat mula mencanangkan pelbagai tindakan mengurangkannya dengan dasar yang keras ke atas negara-negara bukan Barat.

Umat Islam juga berhadapan dengan situasi yang rosak itu kerana sudah tidak lagi kembali kepada akar dan praktis tasawuf dalam kehidupan seharian mereka, melupakan tuntutan al-Qur’an sebagaimana dijelaskan oleh Muhammad Iqbal sebagai “ punca kemunduran” dan juga Syed Abul Hassan Ali an-Nadwi (1913-1999).  Umat Islam telah kehilangan ‘jati diri’ dilanda sikap tamak, terpesona dengan nikmat dunia, sikap individualistik dan bersedia berbohong, menerima rasuah, salah laku, melanggar fitrah dan sebagainya.

Kalau sebelumnya tasawuf dikaitkan dengan tragedi kemanusiaan akibat perbezaan pendirian falsafah mistik, maka pada saat ini umat Islam disebut bakal mencipta sebuah peradaban yang lebih kuat menerusi pendekatan dan pengamalan tasawuf.Tasawuf dikaitkan dengan tragedi sebagaimana diceritakan oleh Junayd al-Baghdadi ke atas muridnya Mansur al-Hallaj (Abu Abdullah Husain bin Mansur al-Hallaj).

Cerita Junayd: Aku melihat di alam musyadahku, sekeping papan berwarna merah darah dan darah itu adalah darah kamu sendiri.

Mansur al-Hallah tersenyum ketika mendengarnya, lalu berkata:Wahai tuan guru, pada ketika itu tuan sendiri telah menanggalkan jubah sufi dan memakai jubah orang awam.”

Ketika Mansur telah ditangkap kerana dituduh menyeleweng daripada akidah dan  dijatuhkan hukuman bunuh. Namun, sebelum hukuman itu dilaksanakan, Khalifah meminta fatwa daraipada pelbagai pihak untuk menentukan sama ada Mansur al-Hallaj itu itu kafir atau masih Islam?

Akhirnya, setelah mendengar beberapa fatwa, Mansur al-Hallaj dituduh kafir dan wajib dihukum bunuh. Masih tinggal hanya seorang lagi yang belum memberikan fatwanya, iaitu Junayd al-Bagdhadi, iaitu guru Mansur al-Hallaj.

Dikatakan sebanyak enam pucuk surattelah dihantar kepada Junayd. Kesemuanya tidak dibalas. Khalifah kemudiannya menghantar surat ke-7 sebagai yang terakhir, sebelum Mansur al-Hallaj dihukum bunuh.

Setelah menerima surat terakhir, Junayd melakukan munajat pada setiap malam bagi mendapatkan jawapan dan akhirnya dibalas: Jika menurut hukum syari’at, Mansur al-Hallaj adalah kafir dan wajar dihukum bunuh. Akan tetapi, jika menurut sudut Haq Allah, Mansur al-Hallaj adalah benar

Sebahagian ulama mewajarkan hukuman mati itu atas alasan bida’ah. Ini kerana Islam tidak menerima pandangan bahawa ‘manusia bersatu dengan Allah’ sebagaimana dikatakan oleh Mansur al-Hallaj dalam pandangan sufinya:.Akulah Kebenaran dan komentarnya yang terakhir berbunyi: “Aku hairan bahawa kita boleh menerima semak belukar terbakar (yakni, mengacu kepada percakapan Allah dengan nabi Musa AS) yang menyatakan Aku adalah Allah, serta meyakini bahawa kata-kata itu adalah kata-kata Allah, tetapi kita tidak boleh menerima ucapan al-Hallaj, 'Akulah Kebenaran', padahal itu adalah kata-kata Allah sendiri!"

Bahkan, Jalaludin Rumi (1207-1273) pernah menulis dalam Masnawi: "Kata-kata 'Akulah Kebenaran' adalah pancaran cahaya di bibir Mansur, sementara Akulah Tuhan yang berasal dari Fir'aun adalah kezaliman."

Mansur akhirnya dibunuh pada hari Selasa 26 Mac 922 berhampiran pintu gerbang Ath-Thaq.

Dalam kajian Islam, terdapat tiga dimensi tasawuf:tasawuf akhlaki, tasawuf amali dan tasawuf falsafah. Tasawuf akhlaki merujuk kepada teori danpraktik tasawuf yang sesuai dengan Islam othordok:  mengutamakan aspek pelatihan jiwa untuk memperbaiki akhlak dan tingkahlaku seseorang mengenai  urusan kehidupan dunia, iaitu menyelaraskan antara tasawuf dan fiqh, antara hukum dan pengabadian (ibadah). Antara tokoh-tokohnya  ialah Hasan al-Basri (meninggal 728), al-Muhasabi (meninggal 857), Junayd al-Baghdadi (meninggal 922), al-Kharraz (Abu Said al-Karraz, meninggal 1899. Nama sebenar ialah Ahmad bin Isa, seorang tukang kasut dan merupakan orang yang pertama mengutarakan konsep ‘fana dan baqa’ dalam dunia sufi) dan al-Ghazali (1058-1111).

Tasawuf amali pula memberikan penekanan kepada amalan peribadi dan kolektif dibawah  kendalian seorang guru (mursyid) dan penataan para penempuh (murid) jalan tasawuf (hal.53), dengan mengamalkan ritual dan zikir tertentu, berdasarkan rumusan pengasasnya (pengasas tarekat). Antara tokoh-tokohnya ialah Abdul Qadir Jailani (1078-1166), Abu Hasan al-Shadili (meninggal 1258) dan Ibn Atha’ilah al-Sakandari (meninggal 1309).

Tasawuf falsafah pula berusaha menjadikan pengalaman spiritual (keadaan makrifat) sebagai sebuah wacana falsafah berdasarkan premis-premis rasional. Pengalaman intuitif dijadikan dasar penteorian tasawufdan ia telah menuai kritik serta konflik. Antara tokoh-tokohnya  ialahAbu Yazid al-Bustami (meninggal 874), Mansur al-Hallaj (meninggal 922), Suhrawardi (meninggal 1191), Ibnu Arabi (meninggal 1240) dan Mulla Sadra (meninggal 1640). Antara dimensi yang menuai kritikan hebat ialah wahdatul wujud (kesatuan wujud)yang digagaskan oleh Ibnu Arabi.Ia dikritik kerana ‘hubungan Tuhan dan alam jatuh pada penyamaan Tuhan dengan makhluk, melainkan – dan hanya dengan istilah Islam hari ini, ia dapat dijelaskan – Tauhid itu sendiri.”(hal.54).

Doktrin ini sangat dikecam oleh al-Ghazali dengan alasan, merosakkan dan meruntuhkan akidah.Al-Ghazali membahaskan 20 perkara di mana 17 daripadanya merupakan bida’ahdhalalah manakala tiga lagi adalah kufur.Al-Ghazali turut mengkritik pandangan ahli falsafah di atas ketidakjujuran mereka mengenai Tuhan sebagai Pencipta Alam, yakni menganggap sebagai bersifat metafora atau kiasan (majaz).Mereka berpegang kepada prinsip emanasi (al-Faidh), iaitu alam ini hanya melimpah keluar daripada Tuhan, bukannya dicipta ari tidak ada (cretio ex nihilo), terpengaruh dengan aliran falsafah Aristotle dan Neo-Paltonisme.

Menariknya buku ini ialah dimensi kerangka budaya yang digagaskan oleh SMNA sebagai satu kaedah ‘kritik budaya’ yang kini dikenali sebagai cultural studies. Selain itu SMNA  cukup terkenal dalam pendekatan ‘Islamisasi Ilmu’.

Dalam bidang kajian budaya, khususnya mengenai Islam Naquib al-Attas menurut Ismail al-‘Alam: (1) memiliki pandangan yang tulen tentang falsafah dan tragedi; (2) ketika membahaskan tragedi, al-Attas menjadikan tasawuf sebagai landasannya; (3) tasawuf dan tragedi ada relevansinya untuk kajian budaya, termasuk persoalan perkembangan pemikiran Arab-Islam pada Abad ke-20. Namun, Ismail al-‘Alam mencadangkan agar kajian seperti ini diperluaskan ke ruang perilaku pengguna (customer behaviour), budaya popular atau perkembangan dalam bidang kesusasteraan sebagai ‘penjelajahan intelektual’ masyarakat Islam dalam mendepani cabaran semasa yang tidak pernah berhenti mengdeskreditkan Islam.

KAMARUN KH

Nama Buku: Tasawuf dan Tragedi: Kritik Kebudayaan Perspektif Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Nama Pengarang: Ismail al-‘Alam

Nama Penerbit : Rihla Media dan Yayasan Bentala Tamadun Nusantara, Kuala Lumpur, 2021.

Jumlah Halaman: 155 +xxiv

Written by Admin
Category: Resensi Buku
Hits: 1779