Print

 

ANTARA TAKDIR DAN KERAKUSAN TANGAN MANUSIA

Kamus Dewan (edisi ketiga, cetakan ketiga, terbitan 1997 dan halaman 676)  mentakrifkan kiamat sebagai (1) kehidupan semula atau kebangkitan sekalian manusia (daripada mati); (2) akhir zaman, penghabisan dunia; (3) berakhir (dunia, zaman); dan (4) (kiasan) rosak binasa, kacau bilau, mendapat bencana (kecelakaan).

Istilah kiamat dalam bahasa Arab dikaitkan hari, iaitu hari kiamat. Hari kiamat terbina dari dua suku kata, iaitu yaum al-Qiyamah, yang bermaksud “hari kebangkitan.” Secara istilahnya, “hari kiamat” itu bermaksud “hari kehancuran alam semesta dan juga segala isinya” dan dianggap sebagai “pintu gerbang menuju ke akhirat yang kekal abadi.”

Dalam al-Qur’an, sekurang-kurangnya terdapat 27 istilah yang dikaitkan dengan gambaran kiamat. Antaranya: al-Sa’at (waktu), yaum al-khuruj (hari keluar), yaum al-hisab (hari perhitungan), yaum al-fasl (hari keputusan), yaum al-akhir (hari terakhir), al-ghasiyah (bencana yang tidak tertahan), yaum al-talaq (hari perpisahan), yaum al-din (hari akhir agama), yaum al-khulud (hari kekal), yaum al-hasrah (hari penyesalan), yaum al-ba’th (hari kebangkitan), yaum al-jam’l (hari pengumpulan), yaum al-rajifah (hari gempa), yaum al-taghabun (hari terbukanya aib), yaum al-tanad (hari pemanggilan), yaum al-azilah (hari mendekati), yaum al-wa’id (hari ancaman), yaum a’zim (hari agung), an-naba’ al-a’zim (berita agung), al-sakhah (bencana yang menggerunkan), yaum masyhud (hari penyiksaan), al-haqqah (kebenaran besar), al-waqi’ah (peristiwa besar), al-tammah al-kubra (bencana besar yang melanda), dan  alqari’ah (bencana yang menggetarkan).

Menurut Mohd Zuhdi Ahmad Kasasi penulis buku Dahsyatnya Petaka Kiamat:Apakah kita akan selamat? (2015, halaman 12-23), alam akhirat mempunyai 13 fasa yang amat panjang, dan semua manusia mempunyai peluang untuk merasainya. Fasa-fasa tersebut ialah alam barzah (tempat persinggahan pertama si mati), sangkakala kehancuran (tiupan kehancuran), sangkakala kebangkitan (manusia dibangkitkan/dihidupkan semula), padang masyhar (tempat pengadilan), syafaat (mencari pertolongan untuk cepat dihisab), hisab amalan, mahkamah Ilahi, penyerahan buku catatan amalan, telaga kautsar (air minuman dari telaga nabi masing-masing), timbangan mizan, ujian tapisan keimanan, titian sirat, dan jambatan kedua (menuju ke syurga). 

Berdasarkan gambaran bahawa kiamat adalah saat kehancuran alam semesta dan kemudian semua makhluk musnah (mati), manusia akan dibangkitkan semula untuk dihitung. Semasa sangkakala ditiup, bumi akan begoncang dengan dahsyat dan gunung-ganang akan berterbangan. Al-Qur’an memberikan pengesahan bahawa : Sesungguhnya Sa’ah (hari kiamat) itu pasti datang, tidak ada keraguan padanya dan bahawasanya Allah membangkitkan semua orang di dalam kubur” (surah al-Hajj:7)

Kiamat dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu kiamat kecil (sughra), kiamat pertengahan dan kiamat besar (qubra). Kiamat kecil berlaku apabila matinya seseorang manusia dan berada di alam barzah (kubur). Kiamat sederhana merujuk tentang kematian kesemua makhluk pada sesuatu generasi atau pupusnya sesuatu suku kaum seperti dialami oleh kaum Aad dan Tsamud. Kiamat besar bermaksud pengakhiran kehidupan dunia secara keseluruhan dan diikuti oleh kebangkitan semula dari alam kubur untuk meneruskan kehidupan di akhirat bagi disempurnakan balasan amalannya semasa hidup di dunia. Sebab itulah kehidupan di dunia disifatkan sebagai jambatan ke akhirat.

Allah SWT menjelaskan: Ketika ditanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah, “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hal tersebut hanyalah di sisi Allah.” Dan, apakah caranya untuk kamu mengetahui? Boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.” (al-Ahzaab:63).

“Aku bersumpah dengan hari kiamat. Dan Aku bersumpah dengan an-nafsu lawwamah (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati). Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkan semula)?” (al-Qiyamah: 1-3).

Mengenai gambaran peristiwa kiamat, Allah SWT menjelaskan:”Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, dan berkatalah manusia dengan perasaan gerun:”Apa yang sedang berlaku pada bumi?” Pada hari itu bumi menceritakan khabar beritanya, bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amalan-amalan mereka.” (Az-Zalzalah:1-6)

Allah SWT berfirman lagi, “Hari yang menggemparkan. Apa dia hari yang menggemparkan itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? (Hari itu adalah hari kiamat),  hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, dan gunung-ganang menjadi bulu seperti bulu yang dibusar berterbangan.” (al-Qaariah:1-5)

Tanda-tanda kiamat muncul secara berurutan menyebabkan: (1) fenomena alam begitu aneh – bulan terbelah dua, bulan sabit kelihatan besar, gempa bumi, waktu dirasakan semakin pendek, nisbah antara jantina begitu ketara, Sungai Furat menyingkap Gunung Emas, api muncul dari Tanah Hijaz, kemunculan sungai rumput di negara-negara Arab, khazanah bumi melimpah ruah, kehancuran kota-kota besar, fitnah hembusan angin panas; (2) peperangan bertali arus (perang saudara, perang antara agama, dan penaklukan Baitulmaqdis); (3) keparahan akhlak manusia (leluasanya zina, darah tidak bernilai, merebaknya fitnah, hiburan menggila dan pemujaan artis, kerosakan sistem kemasyarakatan, meluasnya pengidah penyakit jiwa yang kronik, putus asa, maksiat dan kezaliman melata, kemiskinan dan penindasan, mementingkan diri sendiri (individualistik), penyebaran berita palsu, mengejar kebendaan tanpa peduli halal dan haram); dan, (4) agama dipermainkan (kemunculan nabi-nabi palsu, muncul golongan anti-hadith, dunia Islam menjadi tumpuan, Islam hanya pada nama, Yahudi dan Nasrani jadi ikutan, ilmu agama semakin hilang, tiada imam untuk sholat berjemaah, agama hanya perhiasan, agama diperdagangkan, ulama dihina, orang keji dipilih sebagai pemimpin, Islam semakin terasing). 

Tanda kiamat besar pula ialah munculnya imam Mahadi, Dajjal, Nabi Isa a.s. turun ke bumi, matahari terbit dari barat, munculnya yakjuj dan makjuz, keluarnya binatang dabbatul ard dari bumi, dunia dilitupi asap atau kabus tebal, angin mematikan mereka yang beriman, al-Qur’an dan segala kebaikan diangkat dari bumi, gempa bumi yang dahsyat dan munculnya api besar  sehingga menyebabkan manusia kucar-kacir, huru-hara dan diakhiri dengan tiupan sangkakala.

Mengenai binatang dabbatul ard, Allah SWT berfirman: “Dan apabila sampai masanya manusia dihukum Kami keluarkan kepada mereka sejenis binatang dari bumi yang akan menyatakan kepada mereka bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.” (an-Naam: 82.)

Secara jelasnya, tanda-tanda kiamat sama ada kecil atau besar merupakan peringatan Allah SWT terhadap kefasadan dan kerakusan manusia apabila lebih cenderung kepada aktiviti kemungkaran berbanding amar makruf. Misalnya, atas desakan untuk menguasai dan mendominasi sumber alam, manusia dengan rakusnya melakukan kerosakan terhadapnya sedangkan Allah SWT telah memberikan amaran bahawa:Telah lahir pelbagai kerosakan dan bala bencana  di darat dan di laut dengan sebab apa-apa diusahakan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan amal perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum:41)

Abu Said al-Khudri misalnya, memberikan petunjuk bahawa Rasullullah SAW telah bersabda:” Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran dilakukan di hadapannya maka dia hendaklah mencegahnya dengan tangannya. Jika dia tidak berkuasa maka dia hendaklah mencegahnya dengan lidahnya, dan jika dia tidak dapat berbuat demikian maka dia hendaklah berasa benci di dalam hatinya, dan ini adalah selemah-lemah iman.”

Bagaimanapun, usaha mencegah dan menegah sesuatu kemungkaran dari “dalam hati” adalah selemah-lemah iman, tetapi disebabkan oleh persekitaran kehidupan moden, seseorang tidak boleh mencegahnya secara fizikal atau “dengan tangannya” atas alasan tertentu. Misalnya, apabila melihat kepada perlakuan maksiat di hadapan mata, seseorang itu hanya mampu menegur dan kadangkala dicabar, kenapa sakit hati dan suka menjaga tepi kain orang lain.

Begitu juga apabila melihat kepada fenomena judi yang semakin berkembang dengan pelbagai kaedah dan bentuk. Perbuatan sedemikian tidak dapat dicegah, kecualilah sebagai orang Islam kita perlu melaporkan pihak berkuasa. Sayangnya, sebahagian kecil pihak yang terlibat dengan penguatkuasaan menjadi tepu dan melindungi perbuatan berkenaan, ia memerlukan satu pihak lagi yang memantau pembabitan tersebut.

Kisah beberapa orang penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melindungi perniagaan maksiat, dan sebagai imbalannya, pihak penguatkuasaan itu diberikan “perlindungan bulanan” menggambarkan betapa terlucutnya keimanan mereka.

Ia turut menyemarakkan kemungkaran dalam kalangan masyarakat, termasuklah mereka yang bertindak membocor rahsia operasi yang hendak dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang, hanya kerana memperoleh “bayaran perlindungan” atau “imbuhan” tanpa mengambil kira, kerosakan yang bakal melanda masyarakat. Menyemaraknya maksiat, judi dan adu domba merupakan petunjuk yang jelas kepada kemungkaran sehingga Allah SWT menurunkan bala dan bencana kepada manusia.

Seperti kerakusan membakar hutan, menyebabkan lebih ramai manusia menderita sehingga meningkatkan kematian akibat lemas, bertambahnya bilangan mereka yang terjejas akibat penyakit sesak nafas, kerugian ekonomi, penutupan sekolah dan tentunya meningkatkan perbelanjaan pengurusan harian dalam kalangan masyarakat. Negara perlu memberikan tentangan yang kuat, mereka yang melakukan bencana itu perlu dihukum kerana tidak berusaha melestarikan keharmonian alam, menjaga ekosistem sistem.

Penebangan hutan dan pembalakan sudah diberikan pengajaran, Kelantan dilanda “bah kuning” penghujung tahun 2014 yang menyebabkan ada jiwa yang terkorban, ribuan rumah dihanyutkan, infrastruktur musnah dan yang membebankan ialah trauma yang sukar untuk dipulihkan dengan cepat.

Islam mengajar umatnya untuk memperbetulkan segala kesilapan dan meningkatkan keyakinan keimanan diri terhadap pemilik-Nya, kerana hidup dan mati manusia adalah ditentukan oleh Allah SWT. Bencana dan malapetaka hanya sekadar mengingatkan manusia, ia adalah ujian Allah SWT bagi menginsafkan manusia. Tetapi, keyakinan kepada kiamat akan membangunkan sikap untuk memperbanyakkan amalan yang baik (amar makruf), kerendahan diri di sisi Allah SWT, berhubung sesama manusia dengan citra harmoni dan mesra, bersederhana dalam menguruskan sumber alam dan lebih penting ialah, sentiasa bermuhasabah, setiap apa yang manusia lakukan, ada “reward” dan “punishment”.

Tentunya, “reward” dan “punishment” yang lebih adil akan dilaksanakan sebaik sahaja manusia dikembalikan kepada-Nya, yang akan menentukan destinasi manakah mereka akan dimasukkan kea lam kehidupan yang lebih kekal, syurga ataupun neraka. Semuanya itu ditentukan oleh amalan kita sepanjang kehidupan sementara di dunia, yang diuji oleh pelbagai kehendak dan kepentingan.

Kitalah yang menentukan apa yang bakal kita tuai dan yang menjadi bekal dalam perjalanan keabadian dijanjikan oleh Allah SWT sebagai “petunjuk” agar kita tidak dilalaikan dan menjadi orang yang berjaya (Al-Baqarah:1-5, 163,186, 216 dan, 285; al-Imraan: 104 dan 190-191; Luqman: 17; an-Nahl:125; An-Kabut: 25; dan as-Saff:2-3).

Apa sebenarnya pilihan kita dalam usaha mencegah kemungkaran dan meningkatkan amar makruf untuk memperoleh “reward” nanti? Ingatlah, Rasullullah SAW pernah memberikan ingatan, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri: Seorang lelaki telah datang kepada Rasullullah SAW dan bertanya “Siapakah manusia yang paling utama?” Jawab Rasullullah SAW:”Seorang mukmin yang berjihad dengan dirinya dan hartanya di jalan Allah”.

Dalam hadith yang lain, Muslim dan Bukhari meriwayatkan: Ketika RAsullullah SAW ditanya: “Siapakah Mukmin yang paling sempurna keimanannya?” Rasullullah SAW menjawab: “Orang yang berjuang dengan dirinya dan hartanya dan lelaki yang menyembah Allah di tempat-tempat sunyi ketika manusia telah bermaharajalela dalam melakukan kejahatan.”

Keharmonian kehidupan perlu ditempa oleh setiap manusia untuk hidup di dunia dan di akhirat. Sebab itulah, ada orang yang resah dan gelisah kerana berhadapan dengan pelbagai musibah menggambarkan resah itu sebagai petanda dunia akan segera kiamat. Soal sebenar kiamat akan tiba, ia bukanlah menjadi urusan manusia, ia adalah urusan Allah SWT.

Manusia yang merasakan bencana yang melanda sebagai sebahagian tanda kiamat, merupakan manusia yang insaf tentang kehidupannya, maka keinsafan itu hendaklah digunakan untuk mengingati Allah SWT bagi melaksanakan tanggungjawab mencegah kemungkaran dan membudayakan amalan baik, semoga hari pembalasan nanti memperoleh “reward” sebagaimana dijanjikan.

Allah SWT tidak pernah dan akan memungkirkan janji-Nya, tetapi manusia hanya insaf ketika petaka melanda, bila keadaan kembali tenang sikap dan kerakusan hidupnya kembali bersarang. Ia adalah “kiamat dalam diri dan masyarakat” yang disebabkan oleh tangan manusia sendiri.

Monosin Sobri

Written by Admin
Category: Semasa
Hits: 1073