APA PUN, PAS TAK SALAH SEBAB PARTI ITU "SANGAT BERSIH"?
Membaca sangkalan YB Fadhli Shaari terhadap wacana seorang ahli akademik berkenaan "poligami politik" boleh menyebabkan ramai yang ketawa. Bukan "ketawanya pendek sahaja, bagaikan seperti direka" seperti lirik lagu Sohaimi Mior Hassan. (Apabila Isteriku Tertawa, 2007) bila bercakap mengenai" harga rumah yang mahal", tetapi sebuah ketawa panjang dan sinis bila melihat aksi Mr Beans yang melucukan. (Rujuk: https://www.facebook.com/share/p/1ANQFSJzH9/)
Bila sebut sahaja nama Fadhli Shaari entah kenapa minda saya terus teringat kepada dua situasi yang tidak akan terpadam selama-lama: karikatur berpakaian macam "maharaja" tetapi dengan kimono dari jenis tuala dan kedua, karikatur dikejar oleh calon DAP dalam PRK Kuala Kubu Baharu setelah "terciduk" dengan sijil akademik. Fadhli enggan menunjukkan sijil akademiknya setelah calon DAP yang didakwanya tiada kelulusan bahasa Malaysia yang baik dalam SPM.
Kali ini, beliau "terciduk" sekali lagi, beliau sedang melaksanakan tanggungjawab sebagai propagandis PAS, yakni akan tetap melihat PAS adalah sebuah parti yang bersih, tidak melakukan apa-apa kesalahan sama dari landasan politik, budaya dan aksi politik, serta ucapan-ucapan yang menghina terhadap parti politik lain.
PAS seolah-olah sebuah parti yang cukup setara dengan sifat-sifat "maksum" walaupun ramai tahu, banyak aksi politiknya melampaui "pedas daun kesum" sebagai perencah kerabu, dan ada ketikanya menjadi "racun pemikiran" politik beradab. Kadangkala terbuai-buai seperti orang mabuk minum air ketum.
Tidak ada satu pun parti politik di Malaysia dalam sejarahnya menjadi sebuah epitome konflik perhubungan dan kerjasama sehingga muncul istilah "suka bermain di banyak kolam". Poligami PAS dalam politik kesemuanya berakhir dengan perpisahan, sama ada diceraikan "tebus talak" atau pun parti itu sendiri membuat keputusan tinggalkan kerjasama. Terlalu banyak tindakan nusyuz dalam rumah tangga politik poligami.
Tentunya, apabila PAS diceraikan, ada sebab yang patut PAS melihat apa kesalahannya, kenapa diceraikan. Begitu juga bila seseorang isteri minta cerai, isteri sudah bosan dengan perangai si suami, tiada lagi rasa hormat. Manakala bila seorang suami menceraikan isteri, ada dua hal yang menjadi penyebabnya. Pertama, sebab isteri sudah tidak lagi mampu berperanan sebagai seorang isteri dan kedua, sebab suami tertarik dengan wanita lain yang di matanya "sangat cantik" ataupun banyak orang lain melihat isterinya melimpah Wow!.
Saya ada sedikit pengalaman dalam konflik politik antara PAS dan UMNO sehingga kerjasama antaranya dalam BN menjadi titik pertaruhan. Ketika BN dibentuk, hasrat adalah untuk mengurangkan politiking dan memenuhi tuntutan terhadap pembinaan negara akibat rusuhan kaum yang berlaku. Tragedi 13 Mei 1969 sebagai satu "titik munsah" hubungan antara etnik yang saling bertentangan, masing-masing dengan tuntutan sendiri sehingga melupakan asas sebenar penerimaan orang Melayu. Maksudnya, tolak ansur.
Kita kenali ia sebagai kontrak sosial, walaupun tidak menatijahkan sebagai satu dokumen dasar. Ia dijadikan teras bernegara dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan-peruntukan itu tidak boleh dipinda dengan mudah, walaupun mendapat persetujuan konsensus di Dewan Rakyat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan Yang di Pertuan Agung. Di situlah peranan institut terbabit sebagai pelindung dan penyelamat, yang kekal dipertahankan orang Melayu.
Dari perspektif mententeramkan hubungan kaum dan sengketa politik, maka tertubuhlah BN pada tahun 1973/74. Ketika berhadapan dengan PRU 1974, Nik Aziz Nik Mat memberikan pandangan ia sesuatu yang baik untuk setiap daripada pemimpin politiknya memikirkan persoalan pembangunan dan pembinaan negara, dan bertekad untuk mengurangkan "politiking".
Namun, ia tidak kekal lama apabila PAS menggunakan peluang "menerobos masuk" ke kawasan-kawasan yang dikuasai oleh UMNO, yakni menubuhkan cawangan PAS di beberapa buah rancangan pembangunan tanah seperti FELDA. Ia menimbulkan rasa tidak senang UMNO. Ia boleh diibaratkan sebagai percubaan PAS untuk memperdaya "isteri orang". Kalau dalam kasar, "menceroboh rumah kawan"
UMNO kemudiannya tidak boleh berkompromi lagi, maka itulah sebabnya tahun 1977 memecat PAS. PAS mula marah lantas berusaha menyingkirkan pemimpinnya sendiri yang menyebelahi BN. Maka, itulah yang berlaku, gerakan menumbangkan kepimpinan Datuk Haji Mohd Nasir sebagai MB. Selepas itu, berlakulah perpecahan dalam PAS sehingga tertubuhnya Berjasa yang pro BN.
Tidak cukup dengan itu, PAS turut melakukan "coup de tat" terhadap Presidennya, Datuk Haji Mohd Asri yang menjadi arkitek "mengorat isteri orang" di kawasan pembangunan dan kemajuan tanah. "Coup de tat" itu sekali lagi membawa perpecahan sehingga Asri disingkirkan dan kemudian menubuhkan Hamim.
Kumpulan yang disokong oleh Nik Aziz Nik Mat terus menghidupkan PAS sehinggalah PAS mendapat nafas baharu apabila berlaku krisis kepimpinan politik UMNO di Kelantan. Hubungan politik dan istana semakin bermasalah. Ia berlaku akibat kesombongan pemimpin UMNO sendiri, yang kadangkala membelakangkan istana dan mengambil keputusan menukarkan penjawat awam (1987/1988).
Kita masih ingat bagaimana Mursyidul Am PAS memberi amaran kepada pemimpin PAS yang bercadang untuk bekerjasama dengan UMNO selepas PRU 2004, bagi mengekang penguasaan bukan Melayu di kawasan bandar, dan ketika itu, PAS hampir "tewas" di Kelantan. Krisis itu menyebabkan kata dua berlaku, bahkan Mursyidul Am PAS bercadang untuk menilai semula calon-calon bukan anak Kelantan yang berhasrat mewakili PAS dalam pilihan raya di Kelantan.
Akhirnya, Nasarudin Mat Isa tersingkir dan kalah mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS. Mohamad Sabu muncul sebagai calon baharu yang cukup menanjak naik walaupun pernah didakwa atas kesalahan berkhalwat, yang dinamakan Akok Norma..Kemudian, kisah asmara Mohd Sabu dijadikan senjata kempen dalam pemilihan 2015, atas keperluan kembali kepada kepimpinan ulama.
Nik Aziz memberikan kata dua kepada sekelompok kecil pemimpin PAS yang ingin membentuk kerajaan perpaduan, dan akhirnya beliau berkata: PAS perlu "buang buah busuk" kerana beliau adalah orang yang "menyiram dan membajai" sehingga parti terus kekal dan berkembang (tidak mati). Ia turut menyindir Presiden PAS yang gagal mempertahankan kuasa politik di Terengganu, dan Haji Hadi dikenali sebagai MB Sepenggal.
UMNO turut dilanda krisis kepimpinan akibat perebutan jawatan dalam pemilihan parti pada tahun 1987. 1988 UMNO diharamkan dan apabila dihidupkan kembali beberapa hari kemudian sebagai UMNO (Baharu), kumpulan yang menentang establishmen tidak dibenarkan menyertai UMNO. Ia kemudiannya memunculkan Parti Melayu Semangat 46.
PRU 1990 menjadi kemenangan yang sangat besar buat PAS. Ia kemudiannya membentuk Angkatan Perpaduan Ummah bersama 46. Ia menjadi titik penguasaan PAS kali kedua selepas berjeda selama lima belas tahun (1974-1990). Malangnya, PAS kurang semangat setiakawan, berusaha membolot hampir kesemua jawatan dalam barisan kepimpinan negeri Kelantan. Situasi itu menimbulkan rasa tidak senang 46 dan akhirnya PAS menawarkan jawatan Timbalan MB II kepada Rozali Isohak, salah seorang pemimpin muda yang dipercayai oleh Presiden 46, Tengku Razakeigh Hamzah.
Fakta ini menjawab dakwaan Fadhil Shaari yang cuba menyalahkan Rozali Isohak walhal apa yang patut dijelaskan, kalau dalam sebuah rumah tangga, suami yang menjadi ketua tidak sepatutnya mengongkong isteri keterlaluan sehingga isteri tidak ada hak untuk bersuara atau memberikan pendapat. Isteri bukan robot atau budak suruhan.
Begitulah juga dengan 46. PAS berusaha mengunci suara 46 dan mahukan setiap keputusannya dihormati tetapi tidak menghormati hak seorang isteri. Itulah gambaran yang berlaku.
46 kemudiannya kembali ke pangkuan UMNO dan parti itu dibiarkan pada tahun 1996. Ketika itu, kedudukan PAS semakin mengukuh di Kelantan, dan melihat potensinya cukup besar sehingga ada andaian bahawa PAS akan kuasai politik Malaysia pada tahun 2000. PAS gagal walaupun cuba memanfaatkan krisis yang berlaku dalam UMNO sekali lagi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim oleh Dr Mahathir.
Setelah kemunculan Abdullah Ahmad Badawi, PAS menjadi semakin kerdil dan kemudiannya bercadang untuk bekerjasama. Namun, ia tidak menjadi kenyataan. PAS kemudian sedar, selagi parti-parti pembangkang tidak saling bekerjasama, kekuatan UMNO/BN tidak akan dapat ditumbangkan.
Parti-parti pembangkang kemudiannya menubuhkan Pakatan Rakyat dan pada tahun 2008, mereka berjaya dengan misinya,.iaitu mengurangkan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat. Saya teringat kepada sebuah teori politik, kemenangan BN yang berterusan sejak merdeka adalah disebabkan kedudukan parti-parti pembangkang yang lemah, tidak bersatu. PRU 2008 menjadi titik permulaan yang menggerunkan dan pada PRU 13, BN diramalkan akan hilang dominasi politik di Malaysia.
Ia menjadi kenyataan pada PRU 14 (2018) dan ia menjadi bukti kesepaduan parti-parti pembangkang cukup menarik. Tetapi, kesepaduan itu tidak kekal lama, sebabnya ada keinginan besar parti-parti dalam komponen pembangkang untuk mendominasi. Ada tuntutan dari dalam yang memaksa kerajaan PH tumbang dan meremehkan euforianya sendiri.
Saat pencapaian Pakatan Rakyat menafikan kuasa dua pertiga BN di Dewan Rakyat, boleh dikatakan hampir setiap bulan diusahakan oleh Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan Kerajaan, termasuk mendesak beberapa PRK, selain merancakkan "political bashing' walaupun atas isu yang direka-rekakan. Politik Malaysia menjadi tidak keruan dan tahap ketidaktentuan itu semakin meluap-luap echonya ketika PH menerajui pentadbiran politik selepas PRU 14 (2018). Mulai itulah kita mengenali bahawa sistem berkerajaan di Malaysia tidak lagi berlaku kerjasama politik hanya sebelum pilihan raya, ia mengubah bentuk kepada istilah kerajaan campuran, kerajaan yang dibentuk menerusi kerjasama parti politik yang bermusuhan semasa pilihan raya. Benar-benar berbentuk seperti "kahwin kontrak", kerana hanya satu tujuan dalam tempoh tertentu.
Apa yang kita tahu, PAS juga tidak setia bila berkawan dalam Pakatan Rakyat. PAS berdendam dengan DAP, kerana tidak melantik wakil tunggalnya menduduki jawatan EXCO Pulau Pinang, hanya sekadar dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
PAS melakukan tindakan yang sama, wakil tunggal DAP di Kedah tidak diberikan jawatan, sebaliknya menimbulkan isu cadangan memindahkan rumah penyembelihan babi di luar bandar Alor Setar. Akhirnya PAS tidak lagi dapat berkompromi dengan DAP apabila melihat kejayaan DAP semakin besar dan mula mendapat sokongan daripada sebahagian kecil orang Melayu yang berpendidikan agama.
Jika kekal berada dalam Pakatan Rakyat, PAS tidak mampu menentang bahkan bersuara pantang. PAS belajar bagaimana berusaha mengalah sehingga mengorbankan aktivisnya sendiri sebagaimana berlaku di Selangor. PAS kemudiannya sedar, krisis politik di Kedah ada hal yang cukup membimbangkan, sekumpulan teknokrat dalam PAS lebih cenderung bekerjasama dengan DAP sebagai lebih besar, maka muncullah apa yang dinamakan kempen kepimpinan ulama dalam parti, yang sebelum ini hampir dilupakan. Krisis itu sukar diselesaikan, malah PAS perlu membuat keputusan besar bagi mempertahankan idealisme politiknya. Salehudin Ayub yang dipanggil Kofi Anan PAS pun tidak mampu selesaikan , hanya sekadar gencatan senjata sementara.
Akhirnya, kelompok teknokrat atau dikenali dengan Anwarinas atau parair menurut istilah Dr Hasan Ali perlu disingkirkan. Ia berlaku dalam Muktamar PAS 2015, tersingkirlah kelompok-kelompok yang dikatakan golongan liberal tersebut yang kata Haji Hadi "tidak diketahui spesies datang dari mana"? Akhirnya, tahalluf siyasi ditamatkan dan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.
PAS bukan dipecat atau diceraikan, tetapi PAS sendiri yang mengambil keputusan untuk bercerai. Ertinya, PAS merasakan jika terus kekal dalam Pakatan Rakyat suaranya akan tenggelam dan ia lebih menguntungkan DAP, akan dikuasai oleh idealisme politik DAP. Ibarat akan rumah tangga yang dikawal oleh isteri, queen control.
Tuduh menuduh berlaku dan lebih menyedihkan ialah andaian bahawa DAP sudah berjaya menerima Islam hasil "dakwah politik PAS". Konsep pemerintahan ala Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi 'lelucon politik" akhirnya lenyap begitu sahaja tanpa kesan. Sindir menyindir mula kedengaran, termasuklah kunjungan Nik Aziz ke kediaman Karpal Singh sempena ulang tahun kelahiran singa DAP itu
Peranan Presiden PAS ketika itu sedikit tenggelam kerana tidak boleh membelakangi Mursyidul Am PAS. Ia hampir sama dengan suara Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu yang tenggelam dengan suara Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu.
Setelah meninggalnya Mursyidul Am PAS, Haji Hadi mempunyai kekuatan tunggal untuk menentukan hala tuju PAS. Haji Hadi kemudiannya berbaik dengan UMNO dan dalam masa yang sama berusaha menubuhkan Gagasan ketiga dalam politik Malaysia. Malangnya, Gagasan Sejahtera dikuburkan oleh Presiden PAS setelah tidak berjaya dalam PRU 2018.
Ia kemudiannya merintis jalan penubuhan Muafakat Nasional (September 2019) untuk membina semula idealisme politik Melayu, kerana BN juga tersingkir. Tanpa binaan itu, dikhuatiri politik Melayu akan hilang kerana dua kekuatan selama ini - parti politik yang berteraskan Melayu (UMNO) dan Islam (PAS) - akan tinggal sejarah sekiranya tiada langkah penyatuan berlaku.
Awalnya, penyatuan longgar itu dianggap bakal memulihkan semula sokongan orang Melayu yang semakin berpecah. Namun, oleh kerana "imbuhan" yang diperoleh PAS, parti itu mula "gelap mata" dan cuba memaksa untuk membawa masuk Bersatu. Bersatu waktu itu adalah cabaran terbesar UMNO kerana Bersatu bersama untuk melumpuh atau mentalqinkan UMNO, sebab Bersatu menerima katak-katak politik.
PAS pula tidak boleh menerima Amanah, kerana Amanah cuba menggantikan PAS. PAS mengambil alasan UMNO tidak mahu menerima Bersatu sebagai alasan untuk melebarkan berkonfrontasi. Itu strategi politik yang dicipta oleh PAS, dengan harapan UMNO/BN akan memecatnya sekali lagi. UMNO/BN tidak berbuat demikian, sebaliknya membiarkan PAS bayangan politiknya. Bagi UMNO jika mengkritik tingkah laku sebegitu, PAS akan mengecam sebagai tindakan "tikam kawan" atau "kawan makan kawan".
PAS seolah-olah "termakan budi" dengan Bersatu, lantas bersedia meninggalkan Muafakat UMNO. Tetapi, PAS bijak bermain syllogism politik, dengan mengatakan, jika UMNO menguasai (menang) di Melaka,.ia juga merupakan kemenangan buat PAS. Walhal, secara terang-terangnya PAS dan UMNO bertembung sesama sendiri. Ia menjadi lebih getir apabila PAS mengeluarkan kata-kata menghina kepada keputusan UMNO menawarkan empat kerusi dalam PRN Johor.
Semua orang ingat komen awal Timbalan Presiden PAS seolah-olah UMNO "tamak" dan kemudian Presiden PAS menggelarkan UMNO sebagai "itik tempang yang cuba berenang sendiri". Sebab apa, UMNO tidak bagi lebih kerusi. UMNO berbuat demikian kerana realiti politik PAS sendiri hanya ada satu kerusi DUN di Johor. PAS terus kekal dengan Bersatu setelah ditawarkan bertanding lebih banyak kerusi.
Keputusannya PAS hanya menang dua kerusi dan DUN Bukit Pasir yang dimilikinya jatuh ke tangan UMNO. Itu adalah hakikat yang tidak boleh diterima oleh PAS masih terus mahu persalahkan UMNO. Kemudian bila berlaku PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram, gabungan PN kalah.
Ia jelas menggambarkan PN semakin tidak diterima oleh pengundi Johor, jadi kenapa nak salahkan UMNO/BN. Dakwaan yang sengaja dibuat untuk menyembunyikan kesilapan sendiri, kerana berperasan cukup kuat dan berpengaruh. Budaya yang terus mengajar dalam nadi politik PAS. Sukar mengakui kesalahan dan kebodohan diri. Itulah yang dapat saya lihat apa yang tersorak keluar dalam sanggahan Fadhil Shaari terhadap pendapat Dr Tawfiq.
Tentunya, jika cadangan Muafakat Nasional 2.0 tak jadi, hal yang sama akan dikitar semula oleh Fadhil Shaari kerana itulah prinsip propaganda: hapuskan rasa bersalah dan keluarkan kenyataan yang mampu menyembunyikan kesalahan sendiri biarpun dengan mengecam seteru. Kita tahu, strategi seperti itu kerap digunakan, apatah lagi dalam keadaan PN sedang dipersoalkan riwayatnya yang dilihat semakin pendek.
PAS perlu mencari "kawan baharu" atau "kembali kepada kawan kama" sekiranya dilihat "kawan lama" boleh berikan nafas lega. PAS ketika ini seakan lemas dengan "tebuk atap dari dalam" yang tidak mampu dijelaskan kenapa tiga wakil rakyatnya sanggup kemukakan SD bagi menjatuhkan Mohd Rushdi Ramli sebagai MB.
Nak salahkan Bersatu sepenuhnya sudah tidak mampu, kerana ADUN PAS juga terbabit. Keputusan PAS melucutkan keahlian ke atas tiga ADUNnya tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai ADUN bebas, tidak lagi terpaksa tunduk kepada kehendak parti, mereka boleh tentukan sendiri, kerana kekosongan tiga DUN itu pun sudah ditarik balik oleh Yang di Pertua DUN Perlis. PAS perlu memindahkan isu itu, kerana ia akan menenggelamkan imej PAS sendiri, tercalar oleh tindakan sendiri.
Awalnya dilihat sebagai keputusan yang tepat, tetapi setelah menarik balik pengisytiharan kekosongan membawa maksud, PAS bukan sahaja gelabah, bahkan "tertiarap" dalam tindakannya sendiri. Itulah yang merisaukan Fadhli Shaari. Sebab itulah cuba disanggahnya pandangan Dr Tawfiq dengan membandingkan tesis kediktoean yang sebelumnya berbeza dengan pandangan terbaharu. Ia tidak boleh menerima dinamika pendapat dan perbezaan hipotesis dalam kerangka pemikiran yang bukan bersifat mutlak.
Itu bukan sesuatu yang menggambarkan hipokrasi, kerana hukum politik tidak pernah kekal selama-lamanya. Sedangkan PAS hukum yang kekal haram pun boleh dihalalkan, kerana dalam politik "fitnah" atau "bohong" dibolehkan sedangkan Islam tetap melarang. Itulah sebabnya kita tidak boleh terima PAS sebagai parti Islam, kerana PAS kekal sampai bila-bila menjual agama untuk dapatkan kuasa, yakni meraih kemenangan politik.
Islamisme dan Islam adalah dua entiti yang berbeza. Islam adalah agama, kepercayaan dan perilaku spiritual yang menjurus kepada sifat manusia sebagai hamba, menurut perintah Allah SWT. Islamisme adalah ideologi politik yang menggunakan agama, lebih mengarahkan kepada kehendak politik, iaitu kuasa.
Benar ada konsep maqasid syariah, tetapi tidak ada normalisasi fitnah, bohong dan memberikan panggilan buruk kepada seseorang, tetapi kesemuanya itu tidak pernah terpisah daripada budaya politik PAS kerana mereka melihat "kelompok mereka sahaja lah yang betul, benar dan suci".manakala orang lain semuanya buruk, keji dan tidak betul.
Sampai bila? Sampai orang itu menutup mata dan bertaubat, dan PAS tidak lagi mengatasnamakan agama untuk kehendak politik.
Bayan Lepas, 3 Januari 2026.
KAMARUN KH
