CINTA DAN TRAGEDI (VI)
"Sekalipun engkau dibenci, engkau hanya dibenci oleh manusia, lalu, kenapa engkau bersedih?
Sekalipun engkau dicintai, engkau hanya dicintai oleh manusia, lalu kenapa engkau sangat bangga?."
Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Bouthi, 1929-2013).
******
Secara hakikinya, dalam diri setiap manusia ada dua realiti abstrak, menurut Almarhum Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Bouthi ulama Syria yang telah dibunuh pada 21 Mac 2013, di Masjid al-Imam, Damsyik, Syria selepas selesai solat Maghrib, (rujuk: https://share.google/RE0EuhpadUk8namqW): " iaitu akal yang mampu memahami segala sesuatu dan emosi yang merupakan dasar dari cinta atau benci terhadap segala sesuatu....
"Tercermin dalam otak hingga membentuk kesedaran dan pengetahuan. Tercermin dalam otot jantung hingga menimbulkan emosi-emosi yang mendorong, menolak, dan membanggakan. Maksudnya cinta, kebencian, dan penghormatan....
"...roh manusia merupakan bahagian yang menikmati unsur-unsur persepsi dan pengetahuan, yang mana itulah yang memberi entiti manusia sebuah realiti sensasi dan perasaan. Itulah yang membekalkan entiti manusia dengan cinta, kebencian, dan kehormatan.
"Dengan demikian, tidak ada yang tersisa dalam diri apa yang disebut al-Insan (manusia) kecuali visual daging, darah dan tulang." (Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Bouthi, Ketika al-Qur'an Berbicara Cinta, terjemahan al-Hubb fi al-Qur'an wa Daur al-Hubbi fi Hayah al-Insan oleh Kasturi Irham Munawar dan Malik Supar, Mojokerto, Jawa Timur: Penerbit Kalam dan Ulama Nusantara, 2022, hal.131-132).
Cinta yang dimanifestasikan dalam makna kasih sayang, perhubungan yang mesra, kadangkala berakhir dengan tragedi. Sifat kasih sayang yang hadir dan menjadi jalan pertemuan atau perhubungan antara manusia, tidak semuanya berlaku dalam situasi yang mekar sepanjang hayat ketika kedua-duanya menyulam makna cinta.
Banyak juga cerita yang berakhir dengan tragedi, pembunuhan dan penyeksaan batin sehingga jiwa menjadi tidak tenteram, penuh prejudis dan pedih walaupun luka fizikal tidak kelihatan.
Kekecewaan itulah yang membuai rasa marah, bahkan dendam yang tidak kunjung padam sehingga melantun seperti bola getah yang dihentak ke lantai. Tidak kurang pula yang tidak mampu melawan lantunan tersebut, ada kejadian yang lebih dahsyat seperti membunuh diri, atau membunuh orang lain yang dianggap sebagai tembok yang menghalang cinta yang pernah hadir dalam diri. Hal ini banyak kita saksikan dalam episod drama, atau sinetron.
Saya ambil sebuah kisah benar yang berlaku pada tahun 1999 di tingkat dua sebuah apartment wilayah Nishi, Nagoya, Jepun. Tanggal 13 November 1999, Namiko yang merupakan suri rumah, sedang melayan puteranya, Yusuke tiba-tiba bangun membuka pintu setelah diketuk berkali-kali.
Ketika itu, suaminya, Satoru Takaba berada di pejabat. Namiko memutuskan panggilan percakapan telefon dengan rakannya, dan berjanji akan menelefon balik kerana ada tetamu yang datang.
Setelah pintu dibuka, tetamu itu masuk, lalu ditikam bertubi-tubi tanpa diketahui apakah salah yang menyebabkan dirinya dibunuh. Namun, anak kecilnya tidak menangis, terus berdiri di samping mayat ibunya. Salah seorang penghuni di aras bawah, mengesyaki sesuatu terjadi, kerana beberapa saat sebelumnya kedengaran seperti satu pergaduhan berlaku di tingkat atas, iaitu di unit yang didiami oleh Namiko, derap kaki yang terdesak turun tangga.
Satoru kemudiannya menelefon ke rumah, tiada jawapan. Satoru menjadi gelisah, akhirnya membuat keputusan untuk pulang ke rumah lebih awal. Satoru tiba di rumah sekitar jam empat petang. Setelah pintu dibuka, Satoru melihat sekujur tubuh yang berdarah berada di lorong masuk (genkan), dan puteranya, berada di sisi jasad itu tanpa tangis ataupun mengerti bahawa ibunya telah mati.
Satoru kemudian memangku puteranya, dilihat keseluruh tubuh, tidak ada kesan luka atau lebam. Polis kemudiannya datang memeriksa, dan memulakan siasatan, namun Satoru kecewa kerana tidak ada keputusan mengenai siapakah yang melakukan angkara itu, biarpun terdapat beberapa bukti yang boleh dijadikan asas pencarian pembunuh.
Apartmen itu adalah unit yang disewa. Satoru tidak melepaskan unit itu, lalu terus menyambung sewaan selama bertahun-tahun sehinggalah, dia sendiri dapat petunjuk, siapakah yang membunuh isterinya yang tidak diketahui ada musuh sebelumnya.
Walaupun tidak lagi tinggal di apartment itu, Satoru akan tetap beberapa jam seminggu berada di sana, untuk menyapu dan membuang debu yang terkumpul. Sebelumnya, debu-debu itu tidak dibenarkan berkumpul, Namiko rajin membersihkannya. Satoru terus kekal menyambung kontrak sewaan sehinggalah, dia yakin sudah menemui petunjuk siapakah sebenarnya yang membunuh isterinya.
Beberapa petunjuk yang dijumpai, sisa minuman, susu fermantasi dan kasut wanita berukuran 24 cm belum cukup sebagai petunjuk untuk menjejaki siapakah pembunuhnya. Namun, titik-titik darah yang masih belum terhapus itulah akhirnya menjadi petunjuk, yang ketika itu teknologi pengesanan DNA masih cukup maju.
Satoru sabar menunggu sehinggalah teknologi pengesanan forensik DNA benar-benar membawa kepada penemuan langsung siapakah yang melakukan angkara itu. Ia mengambil masa selama 26 tahun. Maknanya, selama itulah Satoru terus membayar sewa apartment yang menjadi lokasi pembunuhan isterinya, Namiko.
Pada bulan Oktober 2025, muncul titik terang setelah pihak berkuasa menyiasat kembali kematian Namiko, memeriksa sampel darah dan air liur yang ditemukan. Akhirnya, data DNA itu telah menunjukkan kepada satu nama, iaitu Kumiko Yasufiku, seorang wanita yang berusia 69 tahun.
Berdasarkan siasatan selanjutnya, selepas Kumiko ditahan, beliau adalah teman sekelas Satoru ketika di sekolah menengah atas. Kumiko tidak kenal Namiko, tetapi setelah mendapat tahu Satoru berkahwin, hatinya mula menyimpan dendam, atas dasar kecewa dan cemburu. (baca:https://www.japantimes.co.jp/.../nagoya-killing-husband/).
Setelah dihubungkan dengan bukti DNA, akhirnya, Kumiko mengakui bahawa dialah yang membunuh Namiko, akhir Oktober lalu. Kumiko, sejak sekian lama sangat mengharapkan Satoru akan berkahwin dengannya, kerana cintanya sungguh dalam, tiada lelaki lain lagi yang berjaya singgah dalam jiwanya.
Bertahun dilanda gila bayang, tetapi Kumiko tidak sekalipun mengungkapkan cintanya kepada Satoru. Cinta sebelah tangan, dan cinta yang mekar sebagai dendam kerana cemburu dengan kebahagiaan yang dimiliki oleh Namiko dan Satoru.
Cinta yang tidak kesampaian itulah membawa kepada jejak-jejak yang panjang, sehinggalah Kumiko dapat menjejaki di manakah cinta dan perhubungan antara Namiko dan Satoru dipupuk dan dibajai, dan diikatkan dengan kehadiran seorang anak, Yusuke.
Dalam diri manusia, sekiranya tidak dapat apa yang diinginkan, tanpa ada sifat saling memaafkan, manusia akan terus hidup dalam dendam dan kemarahan. Sebab itulah, hati dilihat sebagai satu entiti yang menggerakkan pelbagai bentuk tindakan, dari seringan-ringan kata-kata sehinggalah melakukan tindakan ganas, atas alasan "rasa puas" ke atas dendam yang tersimpan terlalu lama.
Dendam itulah tragedi; dendam itulah yang menghancurkan, diri dan orang lain. Dendam itulah yang membawa makna, selagi hati tidak mampu dibersihkan, selagi itulah akan ada sinisme dan aroganisme, termasuk dalam cinta dan kehidupan, kerana manusia seringkali berpegang pada deraan jiwa: kalau aku tidak dapat apa yang aku inginkan, orang lain yang mendapatkannya, harus menanggung sama beban kecewa yang aku rasakan.
Semoga kita dijauhkan, tetapi, kita juga harus berhati-hati kerana dalam "jalan kehidupan ini, akan tetap ada orang lain yang akan merampasnya tanpa memberikan apa-apa isyarat". Itulah makna, cinta yang hadir dalam bentuk emosi, cinta yang lahir dalam bentuk dorongan kebencian, walaupun asalnya, bermula dengan ketertarikan dan keinginan untuk memiliki, memenuhi naluri yang hadir dalam bentuk nafsu.
Nasihat Syeikh Abdul Qodir Jailani (1078-1166): Musuhmu yang paling dekat ialah nafsumu sendiri. Ia tidak pernah tidur, ia tetap berusaha menghiaskan diri, mencantikkan kesalahan dan memperelokkan kelemahanmu. Maka, janganlah engkau mempercayainya."
Jika setiap orang dapat menjaga, mengawal dan menuntutnya ke jalan kebaikan, amanlah kehidupan ini. Tiada sengketa, tiada dendam dan tiada prejudis.
KAMARUN KH
