CINTA DAN TRAGEDI (VII)
"Jangan mencintai seseorang terlalu dalam, sehingga engkau dapat memastikan engkau juga dicintai dengan kedalaman yang sama. Sebab, kedalaman cintamu hari ini adalah kedalaman lukamu esok." (Nizar Tawfeq Qabbani, 1923-1998).
*****
Cintaku kepadamu, sedalam-dalamnya. Akan ku turuti ke mana pergi, meskipun ke lautan api. Ungkapan biasa yang kita dengar, tetapi ungkapan itu jugalah yang akhirnya tidak sanggup dipatuhi. Janji sehidup semati, menjadi terpecah dan memihak "aku hidup, engkau mati'; kerana hidup cukup keras dan sangat terjal.
Di awal percintaan ia mungkin hal yang cukup biasa, tetapi, apa pun boleh berlaku atas perubahan waktu dan suasana. Misalnya, seseorang menulis sejambak puisi cinta:
"Engkau tahu apa yang ku perlu darimu?
bukan emas, mutiara atau permata
tapi hanya sesuatu yang sangat sederhana
bergandingan tangan bersama
ke syurga yang telah janjikan oleh-Nya".
Syukur Alhamdulillah jika cinta yang dianyam itu berlandaskan agama, berpaksikan syariat: saling memahami tanggungjawab dan melengkapi dengan basuhan kalimat Ya Allah, "tuntunlah jalan kami berdua bersama CINTA yang Engkau bukakan hati-hati kami." Saya tidak tahu, berapa ramaikah pasangan yang mengayam cinta zaman kini benar-benar meneladani makna cinta yang benar dan boleh dicop matikan sebagai sejati?
Cinta, benar-benar ada, tetapi cinta juga boleh berlaku dengan pura-pura. Ya! Jika cinta benar-benar ada dan menepati makna cinta sejati, tidak akan ada kemarahan, kebencian, hipokrasi dan saling menjerat. Cinta sejati, adalah cinta yang lahir atas kesucian niat dan keikhlasan hati menerima, tanpa ada teka-teki dan validasi.
Cukup dengan mahar seadanya, bukan bermewah-mewahan seperti seunggun ufti emas seberat puluhan gram atau sebuah rumah agam penuh perabut, dan hantaran beratus ribu ringgit kerana "lulus universiti". Tidak perlu majlis resepsi berhari-hari, seperti cerita dongeng zaman Cinderella mahupun Snow White. Cukup dengan majlis kecil-kecilan, asal syarat ijab dan kabul terlaksana menurut adabnya.
Namun, dalam dunia yang penuh persaingan dan menunjuk-nunjuk ini, boleh menyebabkan cinta cukup hilang maknanya. Ada yang mengejar cinta dengan menarik lapisan material dan status. Ada yang membungkam terlalu lama akibat belanja kahwin yang terlalu mencekik. Ada yang melupakan "niat baik" kerana duit hantaran belum cukup lagi. Tetapi, sayangnya, setelah "mengenal hati budi", cinta pudar oleh waktu dan putaran keganasan yang cukup berlawanan.
Apabila kita lihat data rasmi, pasangan yang memahami dan memuncak hasrat cinta tidak selama-lamanya berjaya berada di jalan cinta; mereka berpisah kadangkala dalam sebab yang tidak boleh dianggap munasabah. Sama dengan hakikat cinta, yang sangat tidak rasional. Hanya kerana bau tertentu, pasangan boleh bercerai. Hanya kerana tabiat tertentu, semuanya menjadi beban dan kemudian berpisah.
Situasi itu walaupun membimbangkan, setakat ini belum ada satu "blueprint" yang dapat dijadikan pedoman. Setiap tahun ia terus meningkat, dan kadangkala kita bertanya sendiri, juga menjawab sendiri: apa dah jadi? Cinta bukan lagi mekar mewangi setelah dua kekasih disatukan, semuanya masih menurut ego masing-masing, tiada toleransi dan kosong adaptasi.
Penceraian, biarpun sedih dan pilu, ia tidak sedahsyat dengan "cinta berubah menjadi pisau". Mana mungkin "cinta berubah menjadi pisau"? Cinta adalah emosi, pisau adalah senjata. Tetapi, emosilah yang menyebabkan cinta dihancurkan oleh pisau, atas sebab yang tidak dapat dikawal lagi. Dalam satu kenyataan, ketika menyambut Hari Wanita Antarabangsa pada 25 November lalu, terdedah bahawa sepanjang tahun 2024, sejumlah 11,204 kes keganasan ke atas wanita (16-64 tahun), 47.6 peratus adalah kes keganasan rumahtangga.
Maknanya, semakin ramai wanita terperangkap dalam hubungan yang boleh mengancam nyawa. Beberapa hari lalu, kita mendapat berita, seorang suami akhirnya ditangkap setelah membuat laporan polis tentang kematian isterinya. Si suami rupa-rupanya telah menyimpan mayat isteri selama empat hari, dan akhirnya disiasat polis, kerana membunuh isteri sendiri. Kes itu berlaku di sebuah pangsapuri di Seberang Jaya, Pulau Pinang. (Malaysia Gazette, 13 Disember 2025).
Tidak lama sebelumnya, kita juga mendengar satu berita, seorang suami cuba "melupuskan" isteri dengan menolaknya jatuh ke gaung di hutan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dekat Gerik. Namun, harapannya berkecai, kerana isteri yang ditolak ke gaung tidak mati, sebaliknya merangkak naik dalam keadaan luka dan lemah. Beliau kemudiannya berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital. (Berita Harian, 1 Ogos 2024).
Awal bulan ini, seorang isteri yang baharu pulang ke rumah dari Kuala Lumpur maut ditikam menggunakan sebilah pisau di dapur rumah mereka di Kg Paku, Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan. Mastura Abdullah, 40, bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor, dilaporkan berkahwin selama 14 tahun, mempunyai dua orang anak berusia 10 dan 12 tahun, merupakan isteri ketiga kepada seorang lelaki berusia 63 tahun. (Sinar Harian, 1 Disember 2025).
Pada 4 Jun 2025, polis mengesahkan motif kejadian seorang penganggur mengelar isterinya sehingga mati di Bukit Gambir, Tangkak, Johor berpunca daripada masalah keluarga. Mangsa yang berusia 34 tahun ditemukan tidak sedar diri dalam keadaan berselimut di ruang tamu, setelah suspek membakar sebuah kereta dan motosikal. (Berita RTM, 4 Jun 2025).
27 Ogos 2025, seorang guru disyaki cuba membunuh isterinya di kediaman mereka di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Pulau Pinang sebelum cuba mencederakan diri sendiri. Awalnya, si suami disyaki mengalami masalah mental, tetapi selepas didiagnosis, beliau akhirnya dihadapkan ke mahkamah (4 Disember 2026) atas dakwaan cuba membunuh Hanis Sofea Hamdan, 28. Muhammad Nazmi Izzuddin Muhammad Zubairi, 30 bagaimanapun mengakui tidak bersalah. (Rujuk: https://www.freemalaysiatoday.com/.../guru-mengaku-tak...).
Mengapa kekejaman ini berlaku? Antaranya apabila emosi menguasai, semuanya akan menyebabkan akal tidak dapat berfungsi secara rasional. Emosi menjentik alasan, isteri menjalin hubungan dengan lelaki lain, si suami seolah-olah merasakan dirinya dipermainkan.
Namun, si suami tidak pula memikirkan emosi isteri, maka itulah muncul pertengkaran yang akhirnya membawa kepada keputusan tragik. Pertengkaran boleh berlaku kerana isteri kecewa, kecewa dengan sikap suami yang tidak peduli dengan keperluan seorang isteri. Mungkin kerana beban kerja rumah yang tidak pernah putus, manakala suami hanya tahu menyalahkan.
Begitu juga bila si isteri merasakan dirinya "paling benar", setelah memahami tabiat suami, merasakan ia perlu diajar, sebab melakukan hal yang sama, seperti lupa menyidai tuala selepas mandi, lupa buang sampah dapur, atau hanya tahu penat sendiri, tidak tahu penat isteri yang kerjanya tanpa ada jeda (masa rehat).
Juga mungkin kerana kehidupan dalam keadaan serba tidak cukup, isteri kadangkala memendam emosi, bersikap dingin dan mudah marah. Mungkin juga suami yang panas baran, atau ada masalah yang sudah lama tersimpan sehingga pada ketika kejadian itu ia meletup seperti gunung berapi. Tanpa asap, tetapi lava panas menggelegak sehingga mengalir darah ke lantai.
Namun, apa yang menjadi asas kepada kemusnahan cinta itu ialah kerana budaya hidup yang semakin serakah, serakah dengan unsur-unsur yang melekakan, termasuklah andaian-andaian tertentu apabila salah seorang ada hubungan dengan orang ketiga.
Apa yang menyumbang kepada kelakuan sebegitu, bukan hanya berlaku pada waktu tersebut, ia mungkin sudah berkumpul sejak sekalian lama, yang tidak diluahkan, memendam rasa dan mahu mempertahankan rumah tangga atas pelbagai alasan, termasuk anak-anak, komuniti, ahli keluarga dan kutukan masyarakat.
Biasanya, kutukan masyarakat lebih terarah kepada perempuan, walhal lelaki juga sepatutnya dikutuk kerana gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami, ketua keluarga dan ayah kepada anak-anaknya sendiri.
Menarik juga pandangan Prof Emeritus, Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar (rujuk: https://www.facebook.com/share/p/16eBdjHsac/) yang menyatakan dirinya sebagai seorang pencerap tentang iklim rumahtangga, bila memberikan istilah Hakisan Senyap dalam tiga situasi: (1) medan perang hati; (2) beban tak kelihatan; dan (3) tukul dingin. Lalu disyorkan, medan perang dingin yang bermula dengan perselisihan wajar ditukar kepada memerangi perselisihan, ertinya mewujudkan iklim komunikasi yang berkesan.
Iklim komunikasi berkesan hadir dalam bentuk perbincangan bersama untuk mendapatkan persefahaman, bukan hanya bercakap tanpa henti dan tiada peluang orang lain mengemukakan pandangan. Komunikasi bukan sahaja bercakap, ia juga meliputi aktiviti mendengar dengan berkesan.
Bagaimana "beban tidak kelihatan" boleh ditukar menjadi aktiviti bersama, tolong menolong dan membangunkan kemesraan pasangan. Biasanya, seorang suami menyerahkan seratus peratus urusan rumah tangga kepada isteri, kerana isteri adalah komander rumahtangga. Bukan semua beban rumah tangga isteri mampu boleh laksanakan, kerana isteri juga berhadapan dengan "burnout"; tugasnya tidak berhenti.
Suami, sebagai pencari nafkah seharian keluar rumah bekerja, tidak bermakna, suami pulang ke rumah untuk berehat. Suami boleh menolong isteri, dalam beberapa perkara, misalnya melayan anak-anak yang memerlukan perhatian.
Memang, mencari nafkah bukan mudah, tetapi tugas di rumah juga perlu dibuat. Apakah tidak wajar bila seorang suami tidak segan mencuci pinggan selepas makan?. Apakah macho lelaki akan terjejas dengan menolong isteri memasak atau ketika cuti hujung minggu membersihkan kawasan rumah?
Tukul Dingin, kata Prof Emeritus Dr Sahol Hamid, "mempersenjatakan emosi". Bab emosi inilah yang seringkali menggugat keharmonian rumah tangga, seperti kata Gary Chapman: "we must be willing to learn our spouse's primary love language if we are to be effective communicators of love." Apa yang terjadi ialah "people speak different love languages." (Gary D Chapman, The Five Love Languages: How to Express Heartfelt Commitment to Your Mate, Chicago: Northfield Publishing, 2004).
Dalam mencari solusi, mungkin kita boleh melihat salah satu kisah yang diceritakan oleh Jalaludin Rumi dalam magnum opusnya, Mathnawi, Jilid II. Ceritanya mengenai empat orang India Muslim mengerjakan solat zuhur. Maryam Mafi menulis semula cerita itu dalam bentuk prosa, dengan judul Four Indians in Prayer.
"As they stood shoulder to shoulder, each with a different hope in his heart, they began to pray.
"Halfway through their prayer, the sound of muezzin rose in the air, casting doubt in their minds whether they had been too hasty in beginning to pray.
"One of the four men turned to the muezzin caller and asked him: "Dear public crier, are you sure you're not late calling out the muezzin?"
"One if the Indians was quick to address his friend: "My dear fellows, what have you done? You spoke in the midst of praying, and now your prayer is annulled!"
"The third Indian turned to the second and acclaimed: " Hey, why do you blame him? You did exactly the same and have now broken your own prayer!"
"Thank God I didn't blurt out needlessly like these three!" declared the fourth Indian. "I'm too clever to commit such stupid mistakes! My prayer is still valid!" he boasted, unaware of his own equally damaging shortfall.
"Such was the manner in which the prayers of all four men, who had tried to out do each other in their judgements, were annulled that day."
(Maryam Mafi, The Book of Rumi: 105 Stories and Fables that Illumine, Delight, and Inform, Vancouver: Hampton Roads Publishing Company Inc., 2018, hal. 61).
Sebuah anekdot yang mengingatkan kita, menyatakan sesuatu mesti ada masa, kaedah dan situasi yang sesuai, jika dibuat tanpa ketentuan-ketentuan itu, tukul dingin boleh berubah menjadi tukul yang mematikan: berdarah dan cukup tragik.
Begitulah, hidup ini, jika emosi melawan emosi, maka bermulalah perang emosi yang kesannya cukup memanjang, jiwa menjadi semakin hilang kawalan dan fikiran rasional dirasuk gempita sengketa tak berkesudahan dengan aman dan damai.
KAMARUN KH
