CINTA DAN TRAGEDI (VIII)
"Perbuatan manusia sendiri yang menentukan kedudukannya, sama ada paling hina atau paling mulia. Manusia paling hina adalah manusia yang turun ke tahap kebinatangan, binatang buas dan syaitan. Dirinya menjadi tawanan nafsu serakah dan amarah. Manusia paling mulia pula adalah manusia yang mencapai tingkat malaikat dan bebas daripada nafsu serakah dan amarahnya." (Imam al-Ghazali, Ramuan Kebahagiaan, terjemahan Kimiya-yi Sa'adat oleh Farhan Affandi dan Anwar Yusof, K.Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2023, hal. xi).
*****
Sejak Jumaat lalu (12 Disember 2025) banyak post media sosial yang berkongsi saat-saat awal bahagia primadona filem Melayu, Erra Fariza (51) melangsungkan hari bersejarah untuk kali ketiga dengan suami baharu, yang dikenali sebagai Mr E (Mohamad Ezwan Mohamad Zain, 44). Erra sebelumnya berkahwin dengan Yusry Abdul Halim dan perkahwinan mereka cukup gilang gemilang sehingga digelar Wedding of the Year 2003, tetapi mereka kemudiannya bercerai pada tahun 2006. Erra kemudian kahwin kali kedua dengan Engku Emran Engku Zainal tahun 2007, dan bercerai pada tahun 2014. Perkahwinan kedua, lahir seorang puteri bernama Engku Aleesya Engku Amran yang kini berusia 16 tahun (lahir 30 Mac 2009).
Menariknya, Mr E juga mempunyai seorang anak perempuan, Dania Sofia Mohamad Ezwan). Mr E sudah lapan tahun menduda manakala Erra sudah sepuluh tahun bergelar ibu tunggal. Segala-galanya sudah tamat, kerana Erra dan Mr E membangunkan status baharunya sebagai pasangan baharu dengan masing-masing mempunyai seorang anak perempuan, yang tentunya akan memulakan perhubungan baharu sebagai sahabat "seibu" dan "sebapa", dalam kondisi keluarga yang lengkap.
Sebelumnya, ada seorang artis heboh di sosial media mendedahkan perangai buruk suaminya, bukan sahaja tidak suka menolong, bahkan secara tidak langsung menunjukkan sikap tidak baik dalam hidup berpasangan. Apa tidaknya, tulis artis berkenaan, suami tidak pernah merakamkan momen-momen indah bersama (bergambar) yang boleh dipamerkan di media sosial, sedangkan kita lihat bagaimana Mr E cuba membetulkan tudung yang dipakai oleh Erra pada hari bahagia itu.
Artis wanita yang terkilan "tidak ada gambar" dengan suami, merasakan mungkin suaminya "tidak romantik" sedangkan mereka yang menonton video Erra jelas Mr E sebagai seorang lelaki romantik. Terfikir oleh kebanyakan lelaki yang sudah bergelar suami, apakah dirinya "cukup romantik" dalam perhubungan mereka sebagai pasangan yang sudah bertahun-tahun berlalu?
Tentunya, ramai perempuan tahu, bahawa lelaki adalah makhluk yang paling "susah" untuk mengucapkan kata "I love you" setelah berkahwin. Mungkin sebelum berkahwin, ramai yang cenderung mengucapkan ucapan begitu. Tetapi, hakikatnya, hasil penyelidikan menunjukkan hanya 95 peratus lelaki tidak mengucapkan kata "sayang" atau "I love you". Apakah itu hanya satu-satunya petunjuk romantik?
Hanya 5 peratus sahaja yang berbuat demikian, bahkan memanggil isterinya sebagai "yang, singkatan sayang" atau "honey". Selebihnya, hanya memanggil nama manja, atau nama penuh, atau kama kelamaan berubah menjadi "mak-mu" dan isteri pula memanggil "ayah-mu". Sebenarnya, panggilan itu salah, dan tidak patut kerana ia tidak menunjukkan panggilan yang wajar, hanya lebih layak untuk anak-anak.
Lebih setahun lalu, ketika memfailkan proses penceraian (Oktober 2024), Fazura mendedahkan bahawa bekas suaminya, Fattah Amin yang sejak hidup bersama (berkahwin November 2017), tidak pernah memberikan "duit raya" untuk dirinya dan anaknya, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia 4 tahun. Malah, muncul pula dakwaan bahawa kebanyakan keperluan disediakan oleh Fazura, termasuk kereta mewah yang digunakan oleh Fattah. Fattah menjawab, kereta itu dibayar secara bulanan kepada syarikat setelah gajinya di syarikat dipotong, tidak perlu Fazura ungkitkan kerana Range Rover itu bukan hadiah.
Bagaimanapun, Fazura dan Fattah rasmi bercerai pada 7 Oktober 2024. Fattah sudah pun berkahwin untuk kali kedua dengan penyanyi Amira Othman pada 14 September 2025. Pada malam Anugerah Popular Berita Harian beberapa hari lalu, Fattah membantu Amira naik ke pentas untuk menyanyi berduet dengan adiknya, Irfan Haris, maklumlah, gaun Amira cukup labuh. Ada yang mengatakan sikap suka membantu Fattah itu satu tanda romantik, romantik pasangan yang masih memadu cinta yang baharu berputih dan sedang mekar.
Secara umumnya, kita memahami bahawa bahasa atau lisan cukup memberikan makna, yang kadangkala makna itu ditafsirkan sangat berbeza, ia berdasarkan bagaimana seseorang itu mendengar, konteksnya dan cara ianya disampaikan. Ada bahasa atau perkataan yang menggetarkan, ada juga yang memberikan interpretasi yang berbeza jika dilafazkan dalam konteks yang berbeza, dan nada yang berbeza.
Itulah kekuatan atau kelemahan bahasa, tetapi tidak kepada bahasa bukan lisan (non-verbal), yang boleh memberikan makna yang seragam. Contohnya, Mr E membetulkan tudung Erra dan Fattah memimpin tangan Amira sambil melihat juraian gaunnya yang labuh agar tidak terhalang "menyapu lantai".
Dalam beberapa kajian, peranan bahasa atau kata-kata yang dilafazkan seseorang kepada seseorang mempunyai kesan yang berbeza. Misalnya, ketika seseorang itu lapar, apabila seseorang mengajak kita ke restoran, seseorang yang lapar itu akan memberikan reaksi sama ada secara jelas atau dengan simbolik. Secara jelas, seseorang itu akan setuju dan secara simbolik seseorang itu cuba meraba-raba perutnya yang terasa sudah berkeroncong. Jika seseorang mengajak ke restoran seseorang yang tidak lapar, reaksinya adalah berbeza, mungkin ia memberikan cadangan, tunggu dahulu atau "nantilah".
Profesor Bahasa dari University Sydney, Australia, Nick Enfield, yang menulis buku Language VS Reality: Why Language is Good for Lawyers and Bad for Scientist (2022) menggambarkan, bahasa adalah ciptaan manusia yang paling unggul dan berjaya, namun, kadangkala bahasa menjadi rosak kerana terlalu kerap digunakan untuk tujuan pembingkaian (framing). Apatah lagi dalam keadaan "penuh persaingan" yang berusaha merebut akumulasi persepsi terhadap sesuatu, misalnya merebut cinta dari dua orang yang cukup mengharapkan (ambition).
Walaupun Nick Enfield cuba membandingkan penggunaan dan kepentingan bahasa antara bidang kepeguaman dan ahli sains, kita boleh menumpang hasil penyelidikannya tentang bahasa. Bahkan dalam sebuah artikel yang ditulisnya, Language Conceals Reality, Enfield mengambil contoh bagaimana seseorang melihat imej yang cukup popular dan digunakan oleh Max Wertheimer, Wolfgang Kohler dan Kurt Kaffka dalam kajiannya tentang persepsi, antara tahun 1910-1912. Idea itu awalnya dicetuskan oleh Ernest Mach pada tahun 1886, yang dinamakan sebagai Gestalt Psychology.
Gambar itu hanya dicetak dalam dua warna yang kontras, iaitu hitam dan putih, imej dua orang yang sedang bersemuka (berwarna putih) manakala di tengah-tengahnya ia membentuk seperti sebuah trofi berwarna hitam. Apabila dilihat, sekali imbas kita akan membuat kesimpulan bahawa imej yang muncul ialah sebuah trofi, kerana kesan warna hitam yang menonjol. Sedangkan, asalnya ialah imej dua orang lelaki yang sedang bertentangan mula (confrontation). Ertinya, imej yang nampak lebih jelas itulah yang mempengaruhi psikologi seseorang sehingga membuat kesimpulan bahawa gambar itu adalah sebuah trofi. Inilah dunia media yang menakjubkan, kerana boleh mengubah realiti kepada persepsi yang bersifat "fast decision".
Kata Enfield: "...linguistic framing. It is one of the things that language is especially good for. Framing is not a just different way of viewing a scene. It is an act of influence.
"It uses language to direct people to see things is one way as opposed to the other ways they might have seem them. This tends to shut off our awareness of those other ways of seeing.
"Framing can be used intentionally to distract from other available frames. But even when you have no interest in misleading people, as with the trophy-feces image, you have no choice but to pick one way of seeing things at a time." (Baca: https://iai.tv/art.../language-conceals-reality-auid-2756...).
Ini yang banyak berlaku dalam dunia sekarang sehingga sesuatu yang pernah dianggap taboo, sekarang boleh dibincangkan secara terbuka. Misalnya, bagaimana media sosial digunakan untuk mempengaruhi, sehingga netizen lebih percayakan apa yang ditulis atau diulas oleh "influencer", walhal pempengaruh itu bukanlah pakar apa yang dibicarakan. Mereka membesar "sebagai johan" kerana semakin banyak follower, semakin besarlah pendapatannya. Ribuan ringgit dibayar untuk mengulas produk, dilantik sebagai duta ataupun jurucakap produk.
Namun, kesan media sosial yang pada mulanya untuk membangunkan ghairah bersosial antara sahabat, kini menjadi medan yang cukup mual dengan "luahan emosi", lantunan kebencian dan sinisme. Apa yang kita dapat apabila media sosial mendedahkan tentang hantaran kahwin Erra dengan Mr E, luahan marah Fazura terhadap Fattah Amin dan artis wanita komen, suaminya tidak pernah bergambar romantis.
Romantik? Apakah romantik itu satu-satu formula kebahagiaan hidup berpasangan? Apakah romantik itu sentiasa hadir pada setiap masa, waktu dan berpanjangan sehingga akhirnya? Romantikkah bila si isteri tidak lagi menemani suami makan? Romantikkah apabila suami pulang dari kerja isteri masih berbaju kelawar dan suami buka pintu sendiri? Itu pertanyaan yang seringkali muncul apabila sesebuah perkahwinan itu sudah menjangkau usia melepasi tahap kematangan, sedang menuju fasa "berebut kuasa". Kalau itulah dinamakan romantik, maka kita mungkin dapat atasi fenomena bercerai pada usia warga emas. Romantik yang pudar atau tersalah alamat.
Makna romantik yang sepatutnya ialah "suasana kasih sayang, keindahan, kemesraan, atau gambaran yang menyerupai cerita percintaan (romance)" sudah jauh terpesong, lebih menghala kepada "sex appeal", erotisme dan seksisme. Itu jelas berdasarkan tafsiran bahawa cinta itu tidak ada apa pun maknanya, jika seks atau kata Sigmund Freud, cinta hanya bererti bila di ranjang.
Toni Morrison, seorang penulis novel dari Amerika Syarikat dalam bukunya, The Bluest Eye, menulis bahawa idea cinta romantik itulah salah satu "of the most destructive ideas in the history of human thought". Fikiran yang merosakkan, kerana cinta romantik itu adalah ilusi, "sustain our fantasy" dan "substitute romance for love". Ertinya, makna cinta dan penghayatan cinta itu sendiri semakin hilang bentuk dan arah.
Boleh sahaja kita perhatikan apa yang ada di media sosial, ada wanita - sanggup mengungkap kata-kata erotik dan seksis untuk memikat - tetapi sebenarnya apa yang dikatakan itu tidak sanggup dilakukan selama-lamanya bagi mengekalkan cinta dan kesetiaan. Bayangkan, bila kita ketemui video wanita separuh baya, atau sekitar 30-an berkata: kebunku sudah lama tidak ditanam singkong. Apa yang kita faham. Apa ekspektasi seorang lelaki apabila ada wanita menulis: kebunku masih sempit, tapi cukup untuk kamu menanamnya. Ada lagi yang lebih seksis bahkan ada yang membuat kira-kira senggamanya pada setiap waktu.
Dahsyat hidup ini, kerana semakin lama semakin percaya kepada kata-kata Sigmund Freud, ahli psikoanalisa yang melihat seorang bayi yang menyusu sebagai objek ketertarikan seks, walhal bayi masih belum memahami seks.Cinta bukan sepenuhnya seks, seks hanya sebagai pengerat dan bukan penyakit yang kekal. Pada suatu ketika, seks itu tidak ada apa maknanya, tetapi yang lebih bermakna ialah saling memahami dan saling membantu, bukan saling membatu, kesunyian dalam dakapan kasih sayang, hilang gurau senda, hanya berteman diri sendiri walaupun masih suami isteri. Mengapa perpisahan (penceraian) berlaku diisi senja, sedangkan pada ketika itu cinta yang sudah lama tumbuh sepatutnya sudah stabil dan tiada apa-apa masalah lagi.
Drastiknya hidup ini, penceraian di usia tua cukup membimbangkan, walaupun perangkaan rasmi tidak dikeluarkan bagi kita melihatnya secara terus-terang apa yang berlaku, kita hanya didedahkan dengan perangkaan jumlah pasangan yang bercerai setiap tahun. Tahun 2024, berlaku penceraian sebanyak 60,457 penceraian pasangan Islam, meningkat 4.1 peratus dari tahun 2023 (58,095) dan bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, ia mencatatkan lebih 50,000 pasangan Islam bercerai. Apa anaknya semua ini? Sudah pudarkah cinta? Sudah hilanglah rasa bahagia hidup berdampingan antara lelaki dan perempuan dalam ikatan perkahwinan? Perkahwinan itu adalah hidup bersama, bukan hanya sekadar tinggal di rumah yang sama.
Ingatlah: Jika perpisahan berlaku atas sebab yang engkau sendiri mahukan, ia mungkin hal yang menyenangkanmu. Tetapi, tidak semua yang kaukejari itu sampai ke destinasinya. Jika engkau terpaksa melepaskan kerana ada perseteruan yang bahaya, mungkin itulah pilihan terbaik, kerana Tuhan sedang memisahkan dua hati untuk tidak memusnahkan satu jiwa.
Kata Rumi:
"Aku amat kecil
Hampir-hampir tidak terlihat
Bagaimana mungkin CINTA agung ini
Ada dalam diriku?
Lihat matamu
Kecil bukan?
Tapi ia mampu melihat
Benda-benda besar."
(dipetik dari Haidar Bagir, Belajar Hidup Dari Rumi: Serpihan-Serpihan Puisi Penerang Jiwa, Bandung: Penerbit Mizania/Noura, cetakan ke-7, 2021, hal. 137).
KAMARUN KH
