DI MANA SUARA MAJORITI 118 MP MELAYU INI? — PERKASA
KENYATAN MEDIA PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)
MAJORITI MUTLAK 118 AHLI PARLIMEN MELAYU DITUMPULKAN OLEH IDEOLOGI PARTI DAN MATLAMAT POLITIK SEMPIT
Daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat, komposisi Ahli Parlimen (MP) mengikut pecahan kaum adalah seperti berikut:
Melayu: 121 kerusi (54.5%)
Bumiputera Sabah & Sarawak (Muslim): 28 kerusi (12.6%)
Bumiputera Sabah & Sarawak (Bukan Muslim): 18 kerusi (8.1%)
Cina: 43 kerusi (19.4%)
India & Lain-Lain: 12 kerusi (5.4%)
Sekiranya kita menolak 3 orang MP Melayu daripada DAP (Bangi, Bentong, dan Bukit Bendera), jumlah Ahli Parlimen Melayu daripada pelbagai parti lain masih mencecah 118 kerusi (53.2%). Malah, jika digabungkan keseluruhan suara Bumiputera, jumlahnya mencecah 167 kerusi (75.2%).
Angka 118 kerusi MP Melayu ini sudah melebihi ambang majoriti mudah (112 kerusi) untuk membentuk sebuah pentadbiran yang stabil dan berpendirian teguh di Parlimen.
Di Mana Suara Majoriti 118 MP Melayu Ini?
Perkasa menuntut jawapan tegas bagi pihak rakyat:
Mengapakah dengan angka 118 kerusi majoriti mutlak ini, suara, agenda, dan hak orang Melayu serta Bumiputera masih kelihatan lemah, terhakis, dan sering dikompromikan? Apakah ideologi kepartian telah membuatkan sebahagian MP Melayu mengkhianati amanah bangsa dan rakyat?
Realiti hari ini menunjukkan bahawa perpecahan tegar akibat doktrin parti politik telah menumpulkan kuasa majoriti ini:
Ideologi Parti Menenggelamkan masalah Bangsa
Sebahagian Ahli Parlimen Melayu lebih patuh kepada percaturan politik parti dan ‘mastermind’ masing-masing berbanding mempertahankan prinsip serta hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Gadai Prinsip Demi Survival dan Kedudukan
Demi mengekalkan kuasa atau mengikut telunjuk rakan koalisi yang mempunyai agenda bertentangan, ada di antara wakil rakyat Melayu yang sanggup merestui dasar-dasar yang merugikan rakyat marhaen dan melepaskan pegangan asas agama serta bangsa.
Perpecahan yang Dieksploitasi
Keberadaan MP Melayu dalam pelbagai blok yang saling berbalah menyebabkan kuasa majoriti 118 kerusi ini dipecah-pecahkan (fragmented), sekali gus memberi ruang kepada kelompok minoriti untuk mencatur dan mendominasi hala tuju negara.
Pendirian dan Tuntutan PERKASA
PERKASA menegaskan bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat bukan lesen untuk mendahulukan ideologi parti politik melebihi amanah kedaulatan negara.
Penyatuan Isu Teras: PERKASA mendesak kesemua 118 MP Melayu (dan gabungan Bumiputera) untuk meletakkan sentimen kepartian di tepi apabila melibatkan isu-isu teras seperti kedudukan Islam, hak keistimewaan Bumiputera, kedaulatan Bahasa Melayu, dan keadilan sosioekonomi rakyat.
Hentikan Pengkhianatan Mandat: Menggunakan alasan “arahan parti” untuk menyokong keputusan yang menindas hak majoriti adalah satu pengkhianatan halus terhadap kepercayaan pengundi.
Tuntut Pertanggungjawaban: Rakyat sedang memantau setiap undian dan tindakan YB Melayu di Parlimen. Jangan sampai rakyat bangkit menolak kepimpinan yang gagal mempertahankan maruah dan hak mereka. Serta orang Melayu dikhianati oleh bangsanya sendiri, mereka yang memimpin mementingkan diri mereka sendiri daripada nasib Anak bangsa yang bakal merempat dibumi sendiri.
Irwan Fahmi Ideris
Naib Presiden
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
Sumber: Kenyataan media Perkasa
Petikan daripada bebasnews.my