GISBH | RUNTUHNYA EMPAYAR PERHAMBAAN

Dengan penahanan ‘money man’, atau pengendali aliran tunai GISB Holdings, maka akan terjawab persoalan sama ada syarikat kontroversi ini benar-benar peneraju ekonomi Islam, atau sebaliknya. Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin mengesahkan penahanan Shuhaimee Mohamed, yang dipercayai akan membantu pengesanan semua transaksi kewangan GISBH.

Namun kini, setelah hampir sebulan Op Global dijalankan, muncul pula pelbagai naratif yang mengelirukan. Fokus kepada isu jenayah dan penyelewengan aqidah, sudah bermutasi menjadi isu perbalahan, politik, dan mencari kesalahan. Apakah agenda di belakang naratif yang muncul, dan bagaimana cara untuk umat Islam mengemudinya?

Sistem Ma’ash Arqam-GISBH

Menurut GISB Holdings, syarikat ini telah bertapak di 16 buah negara seluruh dunia dan mempunyai sebanyak 412 premis perniagaan. Dakwaan ini digunakan sebagai salah satu propaganda syarikat, untuk membina keyakinan orang awam dan menyebarkan imej kejayaan dari sudut kewangan mereka.

Tetapi melalui siasatan PDRM yang dijalankan setakat ini, terdapat bukti bahawa dakwaan ini tidak benar, dan sumber kewangan GISBH bukanlah semata-mata daripada hasil perniagaan. Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin, serta pengakuan beberapa orang bekas ahli jemaah GISBH, pekerja tidak diberikan gaji yang tetap, sebaliknya mereka hanya disediakan penginapan, makanan dan keperluan asas.

Menurut Dr. Najaa’ Mokhtar, anak kepada Ustaz Mokhtar Yakub yang pernah menjadi Timbalan Syeikhul Arqam, sistem Ma’asy di mana pekerja wajib bekerja untuk kepentingan jemaah tanpa gaji, menjadi amalan dari zaman Al-Arqam lagi. Hasilnya, GISBH tidak perlu risau tentang pembayaran gaji, KWSP, SOCSO dan sebagainya.

Hal ini bertentangan dengan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud; “Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.” - H.R Ibn Majah

Imam al-Munawi mensyarahkan hadith ini bahawa haram menunda gaji pekerja dalam keadaan tiada kekangan, apatah lagi tidak membayar gaji langsung. Dalam satu hadith qudsi juga, Nabi SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman;

“Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari Kiamat… (salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan.” - H.R. al-Bukhari (2227) dan Ibn Majah (2442)

Justeru sistem Ma’asy yang diamalkan GISBH bukanlah sistem mu’amalah Islam, tetapi lebih mirip sistem Komunis-sosialis, di mana negara memiliki semuanya dan rakyat hanya diberikan keperluan asas. Di dalam kes GISBH pula, kesemua harta daripada perniagaan ditadbir oleh pemimpin jemaah. Ahli-ahli mereka berkahwin lebih seorang, mendapat anak yang ramai dan kemudian bekerja dengan GISBH. Tiada istilah gaji atau upah, tiada istilah membina kekayaan sendiri. Yang kaya-raya dan hidup dalam kemewahan, hanyalah pemimpin atasan, manakala ahli biasa hidup seperti hamba.

Penipuan Rumah Amal dan Anak Yatim

Faktor kedua yang dipercayai menyumbang kepada kekayaan GISBH, serta kemewahan ahli lembaga penasihatnya, adalah dakwaan bahawa berlaku penyelewengan dana daripada rumah amal berkaitan dengan syarikat. PDRM telah membekukan 96 akaun bank membabitkan GISBH, mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Ia disusuli dengan penahanan pengendali aliran tunai syarikat itu, yang mengurus pergerakan wang, termasuk daripada rumah-rumah amal yang kemudian disalurkan kepada Ahli Lembaga Penasihat syarikat.

Menurut Tan Sri Razarudin, polis sedang menyiasat kemungkinan GISBH menipu orang awam dengan mendakwa kanak-kanak di rumah amal mereka adalah anak yatim, untuk mendapatkan derma orang awam, sedangkan kanak-kanak itu sebenarnya anak-anak ahli syarikat. Anak-anak ini diajar supaya mengatakan tidak mengenali ibu-bapa mereka, dan ada yang di bin atau binti-kan Abdullah, bertujuan untuk mengaburi pihak penderma. Penipuan ini juga telah disahkan oleh beberapa bekas anak rumah amal syarikat.

Timbul persoalan bagaimana sebuah syarikat yang menonjolkan imej Islami, mendakwa sedang “Memperkasa Ekonomi Islam”, tidak cakna dan teliti dengan hal-ehwal anak yatim. Apabila menipu orang awam tentang status anak jemaah GISBH, secara tidak langsung ia telah menyeleweng derma awam dari sampai kepada tangan anak yatim yang sebenar, dan menafikan hak mereka.

Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 10 yang bermaksud; “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” - Surah An-Nisa’, Ayat 10

Berdasarkan ayat ini, memakan harta anak yatim tanpa sebab yang munasabah seolah-olah menjurus kepada memakan api yang menyala-nyala di akhirat kelak. Ayat ini jelas bahawa Allah SWT memberi azab yang dahsyat bagi mereka yang mengambil hak anak yatim tanpa sebab.

Khutbah Jumaat baru-baru ini di negeri Selangor terbitan JAIS juga membawa mesej yang baik, dengan memberi peringatan bahawa anak-anak adalah amanah daripada Allah SWT, untuk dijaga kemuliaan dan kebajikan mereka. Keutamaan dalam memelihara dan mendidik anak-anak sebenarnya adalah satu tuntutan dalam Islam. Ia berkaitan secara langsung dengan tujuan memelihara kemaslahatan agama, nyawa, akal, harta dan   keturunan mereka.

Fokus Umat Islam

Maka dengan hasil siasatan pihak polis serta pengakuan bekas ahli syarikat ini, terbukti bahawa persepsi kejayaan dan kemewahan GISBH sebagai “pemerkasa” atau “peneraju” ekonomi Islam hanyalah sebuah falasi. Falasi ini termasuk juga dengan apa yang dinyatakan oleh setiausaha agung sebuah parti politik negara, bahawa beliau “...percaya sisi-sisi positif kumpulan ini, termasuk perniagaan jaringannya yang luas, hendaklah dipelihara dan dilindungi daripada tindakan terburu-buru dan tidak adil…”

Keadilan merupakan ciri utama dalam Islam. Para ulama’ bersepakat bahawa objektif kedatangan Islam untuk membawa maslahat dan menolak kemudaratan. Hal ini dapat dilihat melalui ungkapan Imam Ibnu Qayyim; “Syariat Islam yang diturunkan, pada dasarnya serta asasnya adalah untuk tujuan kemaslahatan hamba-Nya di dunia dan di akhirat kelak. Syariat Islam kesemuanya merupakan keadilan, rahmat, kemaslahatan dan mempunyai hikmah.”

Maka di dalam kes GISBH, keadilan bukan hanya perlu berpihak kepada mereka yang ditahan oleh pihak berkuasa, ia juga perlu dilihat dari perspektif mereka yang dizalimi, yang dipisahkan dari keluarga, serta anak-anak yang telah dianiaya. Kebijaksanaan dalam melaksanakan keadilan terletak di bawah kearifan mahkamah, dan umat Islam dalam negara perlu sedar bahawa ia bukan tugas yang mudah, malah memerlukan ketelitian sepenuhnya. Kehidupan hari ini dipenuhi manusia yang menyangka bahawa mereka memiliki segala kepakaran, baik dalam bidang kehakiman, kedoktoran, penyiasatan dan macam-macam lagi bidang.

“Apa keperluan untuk menyekat, membekukan akaun dan menjalankan perniagaan yang dimiliki oleh orang Melayu dan orang Islam?”, kata seorang netizen yang tidak tahu-menahu tentang kegiatan GISBH. Realitinya, pihak berkuasa sudah pun menjelaskan tindakan mereka, di bawah akta apa dan sebagainya. Para pemerhati atau pempengaruh, tidak sepatutnya membawa naratif seperti syarikat inilah sahaja satu-satunya lambang perniagaan Melayu-Islam. Ia adalah langkah yang tidak kondusif dan cenderung kepada sentimen politik.

Umat Islam yang cerdik seharusnya mengambil langkah lebih aktif, dalam menonjolkan imej Islam yang sebenar. Islamofobia adalah sentimen yang benar dan nyata, baik di dalam mahu pun luar negara. Ejen-ejen Islamofobia sudah tentu akan menunggang kes ini untuk meneruskan agenda mereka. Umat Islam harus menerangkan bahawa agama Islam tidak terikat dengan GISBH, penganiayaan, kultus dan sebagainya, tetapi adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

Ketika kes GISBH sedang memenuhi ruang media maya, ia sepatutnya diambil sebagai peluang oleh orang Islam, khususnya agamawan untuk menunjukkan keindahan agama ini. Ini masa yang tepat untuk praktikkan adab Islam, akhlak yang baik, wacana intelektual, sifat ihsan dalam menolong mereka yang terjejas dan ingin kembali ke masyarakat.

Langkah salah-menyalah yang diambil sesetengah pihak adalah langkah yang tiada solusi, hanya menimbulkan perbalahan yang kemudian digandakan oleh pembesar-pembesar suara di media sosial. Akhirnya orang awam diajak untuk mengejek dan menghina sesama muslim, dan hati menjadi keras. Apakah tujuan sebenar mengaitkan amalan menyeleweng GISBH dengan amalan tasawuf yang dibawa sesetengah tarekat? Ia hanya akan mengakibatkan tindak-balas negatif, mengaitkan pula kes serangan balai polis Ulu Tiram dengan aliran Salafi-Wahhabi. Tidak perlu mengikut jejak langkah GISBH yang mengeksploitasi jemaah dan kanak-kanak, dengan mengeksploitasi pula isu ini untuk menjaja naratif populis dan menyalahkan semua pihak, kecuali diri sendiri. Ini adalah amalan yang tidak menguntungkan agama, hanya kelompok sendiri.

Langkah proaktif yang dilakukan oleh Puan Mona Din, Ustaz Noor Deros, Ustaz Syihabuddin, peguam Mahmud Jumaat, Caprice, MIASA dan pasukan mereka untuk memberi sokongan moral serta pemulihan bagi bekas jemaah GISBH harus diberi pujian. Mereka telah menjalinkan kerjasama dengan PDRM dan jabatan agama negeri supaya kebajikan ahli-ahli yang selama ini diperlakukan seperti hamba, dijaga.

Penyelesaian kes GISBH memerlukan minda yang objektif dan matang, bukan permainan sentimen, menyalahkan pihak-pihak lain dan membuat keputusan yang tergopoh-gapah. Semoga Allah SWT memberi keadilan kepada ahli jemaah yang dizalimi.

Catatan: Ibnu Majid

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com