Print

 

KECELAKAAN KE ATAS PENGKHIANATAN AMANAH & KESOMBONGAN MANUSIA

Oleh: Mohd Shauki Abd Majid

Di lembah Kathmandu Nepal, angka korban terus meningkat susulan banjir lumpur dan tanah runtuh paling dahsyat dalam beberapa dekad. Lebuh raya utama terputus, perkampungan di kaki Himalaya tenggelam di bawah sisa runtuhan, dan ribuan keluarga hilang tempat berteduh.

Namun beribu batu dari pergunungan itu, ketegangan ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Iran di Selat Hormuz kini berada pada titik terakhir. Menanti masa untuk meletus menjadi konflik berskala penuh yang boleh melumpuhkan urat nadi tenaga global.

Adakah semua malapetaka ini benar-benar sekadar takdir Allah SWT, atau ia akibat perbuatan tangan manusia sendiri?

Bencana Dalam Al-Quran

Al-Quran tidak pernah mengajar umatnya untuk bersikap naif atau mencuci tangan dengan alasan "sudah takdir". Lebih 1,400 tahun yang lalu, Allah SWT telah menurunkan satu deklarasi yang sangat tegas dalam Surah Ar-Rum, ayat 41: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan fasad di darat dan di laut akibat perbuatan tangan manusia sendiri, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."

Allah menggunakan kalimah Fasad atau kerosakan di darat dan di lautan dikaitkan secara langsung dengan apa yang diusahakan oleh tangan manusia. Allah tidak menyatakan bahawa kerosakan itu berlaku tanpa sebab.

Dalam neraca Sunnatullah, setiap kali manusia melanggar hukum keseimbangan ekosistem ciptaan Allah (al-Mīzān), maka alam akan bertindak balas mengikut ketetapan hukum fizik dan ekologi yang telah diciptakan. Maka bencana alam adalah cermin yang memantulkan kembali pengkhianatan amanah dan kesombongan manusia yang menyangka mereka mampu merosakkan ciptaan Tuhan tanpa perlu membayar harganya.

Tangan Manusia Yang Rakus

Apabila meneliti tragedi banjir di Nepal, para penyelidik geologi dan iklim mengesahkan bahawa malapetaka ini diburukkan oleh penyahutanan berskala besar, pemotongan cerun bukit yang tidak terkawal demi membina jalan raya komersial yang rapuh, serta pencairan glasier Himalaya yang semakin pantas akibat pemanasan global.

Laporan demi laporan daripada saintis iklim dunia (IPCC) menunjukkan bukti yang tidak boleh disangkal bahawa industrialisasi melampau, pelepasan ratusan bilion tan karbon oleh konglomerat bahan api fosil, dan pemusnahan hutan tropika telah mengubah pola atmosfera bumi. Ia merupakan kesombongan industri moden, tetap berdegil meneruskannya demi keuntungan wang kertas.

Di rantau kita sendiri di Asia Tenggara, fenomena jerebu negara jiran yang merentas sempadan pula bukanlah fenomena biasa. Ia merupakan pengkhianatan bersiri dengan pembakaran tanah gambut secara haram dan sistematik demi membuka ladang komersial mega.

Paras air laut kini meningkat setiap tahun, mengancam untuk menenggelamkan bandar pesisir pantai dari Jakarta, Bangkok, Amsterdam, hingga kepulauan Pasifik. Namun media menggunakan terma "bencana alam" sebagai topeng untuk menyembunyikan dosa manusia tidak beradab. Realitinya, kerakusan manusia sendiri yang membunuh bumi, kerana memerah isi perutnya tanpa memikirkan tentang hari esok.

Hegemoni Global & Ummah Yang Berpecah

Bagaimana pula dengan pertumpahan darah yang membakar tamadun?

Al-Quran telah merakamkan dialog abadi sebelum penciptaan manusia dalam Surah Al-Baqarah, ayat 30.

"Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu pihak yang akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan mensucikan-Mu?"

Malaikat telah melihat potensi kebinasaan yang ada pada fitrah manusia apabila nafsu mendahului akal. Kebangkitan kuasa-kuasa hegemoni yang rakus telah mencetuskan perang proksi dari Timur Tengah hingga ke Eropah Timur semata-mata demi mengekalkan dominasi mata wang, penjualan senjata ketenteraan, dan kawalan ke atas laluan maritim strategik.

Namun pada masa yang sama, negara-negara Arab dan Teluk lebih gemar bersaing membina bangunan tertinggi, menandatangani perjanjian normalisasi dengan kaum penindas, atau saling memusuhi dan membiayai puak-puak bertelagah di Yaman, Syria, dan Sudan. Di rantau Nusantara, dua negara rumpun yang berkongsi akidah dan sejarah, didominasi perbalahan tentang asal-usul makanan atau manhaj, sedangkan pada masa yang sama, kedaulatan ekonomi rantau ini terus dicengkam oleh kuasa-kuasa besar luar. Persis seperti buih di lautan; ramai pada bilangannya, tetapi mengikut arus dan tiada wibawa.

Dunia Sudah Tua

Manusia hari ini bukan sekadar melakukan kerosakan, tetapi melakukannya dengan penuh takbur, seolah-olah sedang mencabar kekuasaan Allah SWT.

Sejarah al-Quran dan sunnah sarat dengan amaran tentang natijah keangkuhan ini. Kita diingatkan tentang Firaun yang mendabik dada mengaku dirinya tuhan yang maha tinggi, dan Abu Jahal yang dibutakan oleh ego serta status sehingga menolak kebenaran wahyu di depan mata.

Tidakkah kita sedar bahawa dunia ini sebenarnya sudah terlalu tua? Bumi semakin letih menanggung beban dosa kebiadaban manusia. Segala bencana ini adalah rintihan fizikal alam ciptaan Allah terhadap keangkuhan makhluk bernama manusia.

Jika kita mahu memahami penyakit jiwa ini, lihatlah cermin sejarah yang dirakamkan dalam al-Quran dan Sunnah melalui sosok Abu Jahal. Rasulullah ﷺ pernah menyifatkan Abu Jahal sebagai “Firaun bagi umat ini.” Firaun merupakan simbol mana-mana watak manusia yang memiliki pengaruh dan kekuasaan, lalu menggunakan kelebihan itu untuk menindas manusia dan membesarkan egonya di hadapan Allah SWT. Abu Jahal menolak kebenaran wahyu bukan kerana tidak tahu, tetapi kerana kesombongan darjat dan keengganan tunduk.

Tidakkah itu persis sikap para pemimpin hegemoni dunia, konglomerat perosak bumi, dan elit politik kita hari ini? Kepada watak-watak seperti inilah, Allah SWT menurunkan tempelakan paling keras di hujung Surah Al-Qiyamah: "Celakalah engkau! Maka celakalah engkau! Kemudian celakalah engkau! Maka celakalah engkau!"

Imam al-Biqā‘ī menafsirkan pengulangan empat kali ayat ini sebagai gambaran kecelakaan demi kecelakaan yang bakal menimpa para penderhaka. Namun ayat ini juga menjadi amaran terakhir supaya mereka berhenti sebelum terlambat. Kematian itu pasti. Jangan tunggu sehingga nyawa sampai ke halkum, baru tergesa-gesa mahu mengakui kebenaran bahawa bencana-bencana ini adalah jeritan fizikal alam semesta yang menolak kesombongan makhluk bernama manusia.

Hadith Al-Waliyy

Rasulullah ﷺ bersabda bahawa Allah SWT berfirman: "Sesiapa yang memusuhi wali (kekasih)-Ku, maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tidak ada cara bagi hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku yang lebih Aku cintai berbanding fardhu (perkara wajib) yang telah Aku tetapkan keatasnya. Hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Akulah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengannya, tangannya yang dia memegang dengannya, dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan, dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku, nescaya Aku berikan perlindungan."

Maka di saat manusia melihat segala bencana dan kerosakan yang berlaku, muncul persoalan bahawa adakah ia menunjukkan kekurangan atau kehilangan para Awliya’ Allah? Hamba-hamba kekasih Tuhan yang ikhlas, yang tangisan tahajjud mereka menahan bala daripada menimpa bumi, yang doa tulus mereka menjadi benteng menolak azab Allah SWT. Apakah kerana hilangnya orang-orang soleh dan terputusnya doa para awliya', pintu-pintu langit kini seakan-akan tertutup daripada mencurahkan rahmat?

Sesungguhnya keuzuran dunia, amaran bencana alam dan kerosakan yang dilakukan manusia ini ditakdirkan oleh Allah SWT bukan untuk umat Islam berputus asa. Sebaliknya, ia adalah peringatan keinsafan, agar manusia meruntuhkan ego dan kesombongan sebelum terlambat.

Runtuhkan kesombongan diri dan hentikan pengkhianatan terhadap amanah hidup di bumi Allah SWT. Sebelum bumi ini benar-benar menghukum keangkuhan tangan manusia, ambil langkah untuk kembali kepada Allah dengan sejengkal taubat, agar Allah menyambut kita dengan sehasta rahmat dan perlindungan-Nya.

Written by Admin
Category: Semasa
Hits: 71