KEJAR SECUPAK, RUGI SEKAWAH

Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 menjadikan kerajaan PAS Kelantan dalam keadaan ‘kejar secupak, rugi sekawah’.

Bukan hanya setakat ‘rugi sekawah’ bahkan idealisme perjuangan politik yang dipelopori oleh PAS seumpama ‘tebing runtuh’ kerana kealpaannya sendiri apabila memasukkan 16 perkara yang disifatkan sebagai tidak berperlembagaan dan bukanlah mempunyai natijah hukum yang lebih baik daripada Kanun Kesiksaan yang sekian lama digubal serta dikuatkuasakan.

Dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan (Senarai Persekutuan) dinyatakan “Jika mana-mana undang-undang negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”

Itulah juga yang dinyatakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat dalam keputusan kes Nik Elin (Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman) vs Kerajaan Kelantan, di mana 16 daripada 18 Seksyen yang tidak selaras dengan mana-mana undang-undang persekutuan.

16 perkara yang memihak kepada petisyen Nik Elin itu ialah:

  • Seksyen 11 – Memusnahkan atau mencabar tempat ibadat;
  • Seksyen 14 – Liwat;
  • Seksyen 16 – Persetubuhan dengan mayat;
  • Seksyen 17 – Persetubuhan dengan bukan manusia;
  • Seksyen 31 – Gangguan Seksual;
  • Seksyen 34 – Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau pernyataan palsu
  • Seksyen 36 – Apa-apa yang mengkhayalkan;
  • Seksyen 39 – Mengurangkan ukuran, sukatan dan timbangan;
  • Seksyen 40 – Melakukan transaksi muamalat yang berlawanan dengan hukum syarak;
  • Seksyen 42 – Penyalahgunaan penandaan dan perbahasan halal;
  • Seksyen 43 – Menawar atau memberi perkhidmatan maksiat;
  • Seksyen 45 – Perbuatan sebagai persediaan melakukan maksiat;
  • Seksyen 47 – Perbuatan sumbang mahram; dan,
  • Seksyen 48 – Muncikari ---bapa ayam atau orang tengah yang menjadi perantaraan pelanggan dan orang yang menawarkan khidmat seks.

Dua perkara yang tidak memihak kepada Nik Elin ialah perihal larangan mengembangkan agama lain kepada orang Islam. Asalnya, Nik Elin memfailkan petisyen mengenai 20 perkara, namun dua perkara mengenai (1) orang yang mengakui dirinya jadi rasul, dan (2) orang yang berada di premis atau tempat judi, ditarik balik petisyennya di pertengahan proses tersebut.

Nik Elin dan anak perempuan mula memfailkan petisyen tersebut pada 22 Mei 2022. Yakni ketika kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui oleh Ismail Sabri Yaacob. Pada 30 September 2022, Mahkamah Persekutuan benarkan cabaran undang-undang oleh Nik Elin dan pada 13 Oktober 2022.

Malangnya ketika itu, PAS adalah sebahagian anggota kabinet Keluarga Malaysia, di mana Idris Ahmad adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Takiyudin Hasan adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli. Sebelumnya, Takiyudin adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Undang-undang) dalam kabinet Perikatan Nasional.

Namun, ketika cabaran itu dibuat, PAS tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menentang cabaran yang dibuat oleh Nik Elin, hanya sekadar riuh-rendah dalam ceramah dengan mendakwa cabaran itu seumpama mencabar syariah.

Sebelumnya, pada 21 Ogos 2019, PAS juga tidak melakukan bercakap mengenai kes liwat yang didakwa ke atas Iki Putra di Mahkamah Seksyen, Shah Alam dan pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan Iki Putra mencabar undang-undang, yang ketika cabaran dibuat, Takiyudin adalah Menteri Undang-undang.

Ini bermakna, jika tiada unsur politik, PAS tidak akan bersuara. Ia berbeza kali ini, apabila Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 Seksyen yang dikemukakan oleh Nik Elin tidak sah (terbatal), Takiyudin mengeluarkan kenyataan keputusan tersebut sebagai Black Friday, Jumaat Gelap atau Hitam.

Ia (keputusan itu) merujuk kepada keputusan Ketua Hakim Negara, berdasarkan keputusan lapan daripada sembilan hakim bersetuju (8-1). Lapan hakim berpihak kepada cabaran Nik Elin manakala Hakim Borneo (Sabah dan Sarawak) tidak bersetuju.

Dalam penghakiman itu, Tun Tengku Maimunah menyatakan: Kes ini bukan untuk menjatuhkan martabat Mahkamah Syariah. Pempetisyen hanya mencabar kuasa DUN Kelantan untuk membuat undang-undang, yang mana melanggar Perlembagaan.”

Ertinya, DUN masih mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang, tetapi perkara-perkara yang hendak digubal itu tidaklah melangkaui Perlembagaan dan mana-mana undang-undang Persekutuan atau bertindih dengannya. Jika hal itu berlaku (termasuk pertindihan) dengan rasminya terbatal.

Ini mengingatkan kita bagaimana hukum hudud yang cuba diperkenalkan di Kelantan dan undang-undang jenayah syariah Terengganu (Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001) telah menimbulkan pelbagai pertikaian serta pertelingkahan. Dr Mahathir, ketika mengulas mengenai hukum hudud yang hendak dilaksanakan di Kelantan mengingatkan banyak perkaran dan kelemahan yang boleh dicabar, termasuklah kesahihannya dalam Perlembagaan Persekutuan, serta saksi.

Bagi Dr Mahathir, seseorang yang melakukan hubungan seks haram kebiasaannya melakukan dalam situasi sembunyi dan ketiadaan saksi. Dalam peraturan, ia memerlukan sekurang-kurangnya empat orang saksi (yang memenuhi syarat). Ia tidak boleh diteruskan pendakwaan walaupun salah seorang daripada pelaku mengakuinya, kerana tidak ada saksi.

Begitu juga dengan bukti-bukti yang ada, yang bagi Presiden PAS, ia adalah tidak sah kerana bukti-bukti itu ‘tidak bernyawa’ termasuk bukti dalam visual dan juga rakaman audio. Tetapi, anehnya, dalam salah satu muktamar, bukti-bukti audio ‘perbualan lucah’ bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad @Mat Sabu disebarkan dengan meluasnya dengan tujuan mempengaruhi perwakilan dalam keputusan memilih. Mat Sabu akhirnya tewas dan Tuan Ibrahim Tuan Man menang jawatan Timbalan Presiden PAS.

Beberapa bulan selepas itu, Mat Sabu keluar PAS bersama pendokongnya dan menghidupkan sebuah parti kecil menjadi Parti Amanah Nasional (PAN atau singkatnya Amanah). Amanah kemudian berhasrat untuk menyaingi PAS dan mengambil peluang mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PAS dalam pakatan pembangkang, yakni Pakatan Rakyat yang terbubarnya dengan sendiri oleh tindakan tersebut.

Atas penolakan dan kritikan Dr Mahathir terhadap hukum hudud sekitar tahun 1990-an, memberikan nafas baharu kepada PAS untuk bernyawa setelah kedudukannya tidak meningkat di peringkat Persekutuan selepas gagal mengkerangkakan Negara Islam dan juga mengubah perspektif ekonomi dan pembangunan negeri.

Untuk mengaburi kegagalannya, PAS hanya menabur dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan berlaku zalim, termasuk tidak menyalurkan royalti petroleum dan gas, menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan untuk menyaingi kerajaan negeri dalam hal ehwal pembangunan infrastruktur. Sedangkan semasa memerintah Terengganu selepas PRU ke-10 (1999-2004), banyak tindakan PAS tidak mencerminkan nilai-nilai Islam yang diperjuangkan.

Setiap peruntukan yang diberikan kepada institusi pendidikan, diarahkan agar dipindahkan ke Bendahari Negeri dan diagihkan semula setelah diminta oleh institusi berkenaan. Muncul pula skandal konsesi balak kepada kroni pemimpin dan lebih ironi beredarnya perlakuan seks pemimpinnya di sebuah hotel sehingga ribut dengan kisah seluar dalam.

PAS akhirnya menggelarkan Dr Mahathir sebagai Mahafir’aun dan Mahazalim. Namun, PAS kali ini cuba bermain dengan penegakan hukum syariat yang dilihatnya cukup berbahaya dengan kemenangan Nik Elin. Itulah Takiyuddin menamakannya sebagai Black Friday.

Bila gelaran sedemikian diberi, ramai yang cuba mengaitkan dengan Perdana Menteri, di mana sejak mengangkat sumpah pada 24 Oktober 2023, Anwar tidak pernah disenangi oleh Perikatan Nasional, yang memilih untuk bertindak sebagai pembangkang selepas menolak pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Sejak tidak dapat membentuk kerajaan, dengan cara ‘tebuk atap’ atau ‘masuk ikut atap yang dikatakan bocor’ dan ‘pintu yang longgar engsel’, PAS menjadi cukup sombong dengan kedudukannya, dan kadangkala dilihat lebih kuah daripada isi, akibat sentiasa ditambah air, bukan perencahnya.

Atas kecenderungan diri yang besar, ramai yang melihat hubungannya dengan Bersatu sedikit bermasalah da nada berpendapat, dalam beberapa perkara, Muhyiddin mula rasa terancam. Apa tidaknya, tujuan utama PAS mencalonkan MB Terengganu, Dr Samsuri untuk ‘menonjolkannya sebagai calon Presiden, sekiranya Perikatan Nasional berjaya mengkehelkan Kerajaan Perpaduan.

Disebabkan oleh ‘niatnya tidak betul’, walaupun Samsuri menang dalam PRK Kemaman, Muhyiddin masih berangan-angan untuk kembali sebagai PM sekiranya PN menang atau berjaya ‘tebuk atap’.

Apa pun yang Muhyiddin inginkan, setakat itu belum menjadi kenyataan. Muhyiddin juga sedang dipertikaikan oleh kelompok tertentu dalam Bersatu. Namun, Presiden PAS, Tan Sri Haji Hadi Awang masih merasakan dirinya kuat, kerana kedudukannya sebagai Presiden PAS tidak tercabar dalam pemilihan tahun lepas.

Namun, yang menjadi sedikit terkilan ialah Presiden PAS ‘bersahabat’ dengan Dr Mahathir, yang merupakan tokoh paling lantang mengkritik dan menghentam parti yang disifatkannya sebagai ekstremis dan sesat. Muhyiddin juga pernah menggelarkan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat. Tetapi, disebabkan Dr Mahathir dan Muhyiddin tidak lagi bersama UMNO, kemudian bertindak mencabar UMNO.

PAS bersedia bekerjasama kerana PAS sendiri sebenarnya belum mampu untuk berkembang di peringkat yang lebih besar. Sebelumnya, PAS hanya dianggap sebagai sebuah parti yang popular di Kelantan dan Terengganu.

Disebabkan UMNO berpecah, sengketa dari dalam, maka PAS mula mendapat perhatian sehingga mampu kekal berkuasa di Kedah, Kelantan, Terengganu dan menjadi pencabar yang menarik di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang dan Selangor. Namun sebahagian kekuatan itu kerana adanya hubungan dengan Bersatu dan sedikit sebanyak aura Dr Mahathir walaupun beliau hanyut (hilang deposit) di Langkawi.

Kenapa Jumaat 9 Februari 2024 digelar Black Friday oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan? Sepintas lalu, ia adalah sesuatu yang lazim, kaedah double standard politik yang menjadi budaya politik sebuah parti yang menggunakan Islam sebagai ideologi, dengan pelbagai istilah buruk untuk menyerang lawannya, termasuk barisan kepimpinan kerajaan persekutuan yang memerintah.

Bagi Takiyuddin Hassan, disebabkan kekalahan kerajaan Kelantan dalam mempertahankan ketidakselarasan tersebut itu seolah-olah syariah akan berada dalam situasi bahaya dan kedudukan Mahkamah Syariah bakal terancam. Ia merupakan sesuatu yang berlebihan, yang menjadi titik permulaan propaganda yang baharu bagi menyerang Kerajaan Perpaduan, ibarat orang mengantuk disorongkan bantal setelah beberapa siri ‘masuk dari bumbung atau atap’ menemui kegagalan.

Bagi menteri yang bertanggungjawab dalam kabinet Kerajaan Perpaduan. Datuk Dr Naim Mokhtar, kegagalan kerajaan PAS Kelantan mempertahankan 16 daripada 18 Seksyen dalam Enakmen tersebut bukan bermakna telah membuka jalan kepada kelenturan syariat dan pemencilan Mahkamah Syariah. Sebaliknya, beliau berusaha menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk melihat kesan dan kaedah untuk terus memperkasakan peraturan syariah serta kedudukan Mahkamah Syariah.

Hal yang sama turut akan dilakukan oleh kerajaan Kelantan sebagaimana diulas oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamad Fadzli Haji Hasan yang cukup pakar dengan perundangan Islam, sebelum memasuki politik adalah pensyarah dalam bidang syariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia manakala Datuk Dr Naim adalah bekas Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah.

Dua orang tokoh undang-undang syariah itu nampaknya lebih rasional membuat komen berbanding Takiyuddin Hasan yang cukup melulu. Dr Fadzli dan Takiyuddin adalah di antara pemimpin PAS yang menghadiri perhimpunan yang berlangsung di perkarangan Mahkamah Persekutuan pada masa perbicaraan itu berlangsung, yang dilihat oleh aktivis PAS sebagai solidariti mendokong undang-undang Islam.

Kita mungkin masih ingat bagaimana ghairahnya PAS untuk mempertahankan peraturan syariah dalam setiap kali menjelang musim pilihan raya, atau dilihat adanya kelompongan dan munculnya isu dualism undang-undang. Namun, sayangnya, perjuangan PAS hanya sekerat jalan, yakni sebelum peroleh kuasa. Kisah perjuangan Presiden PAS terhadap RUU 355 cukup memberikan kita sebuah contoh daripada ‘jalan sekerat’ itu.

Begitu juga dengan usaha membentuk “Negara Islam” yang hingga kini belum menjadi kenyataan walaupun PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional dan Keluarga Malaysia. Idea ‘Negara Islam” yang didambakan oleh PAS muncul sejak parti itu ditubuhkan, walaupun asalnya berusaha mengadunkan perspektif politik –nasionalisme Islam- akhirnya kerana ghairah dengan idea Negara Islam, PAS secara terang-terangan menolak nasionalisme. Nasionalisme dilihat sebagai ‘bencana’ kerana ia lahir daripada darah daging sekular dan bersifat asabiyyah.

Tidak semua asabiyyah buruk dan bertentangan dengan Islam walaupun Islam adalah agama yang berjaya meruntuhkan faham kabilah dan kepuakan. Namun, dalam realiti sejarah muncul asakan dan tuntutan awal sebagai pengganti Nabi Muhammad SAW ialah dari kaum Quraisy sebagaimana muncul dalam perdebatan di Syafiqah Bani Sa’adah di hari wafatnya Rasulullah SAW.

Kelompok suku kaum Ansar menuntut agar pemimpin mereka dilantik memimpin umat Islam atas peranannya yang membantu Nabi Muhammad SAW dan rombongannya memulakan kehidupan baharu di Madinah pada permulaan Hijrah.

Dalam konteks politik Malaysia, dualism budaya politik PAS sejak akhir-akhir ini cukup jelas. Sebelumnya, baik presiden mahupun pemimpin PAS yang lain pernah mengatakan bahawa dalam Islam tidak ada asabiyyah (faham perkauman) sehingga ada pemimpinnya ‘malu menjadi Melayu’ dan dalam masa yang sama sangat bergantung harap undi daripada pengundi Melayu. PAS tidak pernah menang dalam mana-mana kawasan mengundi yang dikuasai oleh bukan Melayu, dan kerana itulah PAS sangat memberikan tumpuan di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Namun, atas kepentingan politik, PAS sentiasa tidak konsisten dengan hala tuju politiknya. Atas keyakinan bahawa PAS tidak mampu menguasai negeri-negeri Pantai Barat, PAS akhirnya mengendurkan perjuangan “Negara Islam” dan memperkenalkan “Negara Berkebajikan”. Selepas terbubarnya Pakatan Rakyat, PAS cuba mendekati pengundi bukan Melayu dengan memperkenalkan doktrin PAS for All, dan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai oleh bukan Melayu dan bukan Islam.

Budaya politik itu berubah lagi. PAS pernah meletakkan syarat, sebarang kerjasama politik (tahaluf siyasi) tidak akan dimeterai dengan DAP dan mana-mana parti politik yang disertai oleh DAP. Alasannya, kerana DAP adalah dianggotai oleh bukan Melayu dan bukan Islam, walaupun DAP merupakan sebuah parti bersifat multietnik. Lantaran itu, bagi menunjukkan kebenciannya, PAS menggunakan dakwaan yang tidak jelas, termasuk hubungan beberapa orang pemimpinnya dengan Parti Komunis Malaya yang telah diharamkan.

Salah seorang aktivis PAS (wakil rakyat) sedang berhadapan dengan dakwaan tersebut, di mana pemimpin DAP menyaman fitnah dakwaan ada hubungannya dengan PKM, atau ada hubungan keluarga dengan mendiang Chin Peng, Setiausaha Agung PKM.

Satu lagi perspektif politik bercapah PAS ialah apabila boleh menerima Dr Mahathir sebagai penasihat kepada empat buah negeri yang ditadbir oleh PAS (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis). PAS membungkam kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan oleh Dr Mahathir, termasuk cukup kritikal mengenai peraturan hudud dan pemberian garis politik ekstremis kepada Presiden PAS dalam beberapa kes, termasuk Amanat Haji Hadi (1982) yang mencetuskan fenomena perpecahan dalam masyarakat Melayu di Terengganu, Kelantan dan beberapa negeri lain atas doktrin kafir mengkafir, walaupun sesama Islam tetapi berlainan fahaman politik.

Anehnya, disebabkan terlalu ingin menumbangkan Kerajaan Perpaduan, PAS bersedia bergabung dengan Dr Mahathir dalam Proklamasi Orang Melayu (POM) walaupun sedar bahawa ia adalah strategi bekas PM ke-4 dan ke-7 untuk mencari ‘finishing line’ setelah dirinya dihanyutkan oleh pengundi Langkawi.

Sebahagian besar rakyat Malaysia cukup melihat pendirian Presiden PAS itu ada hubungannya dengan hipokrasi politik apabila menyatakan bahawa hanya PN mampu mempertahankan politik Melayu-Islam di Malaysia, hanya kerana gandingan itu memenangi 79 kerusi Parlimen dan menguasai empat buah negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) selain hampir menang di Pahang.

PN menggempurkan kerjasama yang berlaku sehingga membentuk kerajaan perpaduan di Pahang dan juga di peringkat Persekutuan dengan mendakwa kerjasama itu ‘penuh muslihat dan perangkap’ dan kemudiannya diberikan line of propaganda sebagai ‘kerajaan di luar tabie’. Beberapa kali sasaran untuk ‘mengubah kerajaan’ tidak menjadi kenyataan, kerana PN sebenarnya ingin mendesak agar Akta Antilompat Parti (2022) yang turut dipersetujuinya sebelum PRU ke-15 dibatalkan. Ini kerana, disebabkan adanya larangan melompat parti, hingga kini PN gagal membuktikan secara jelas dan menyakinkan mempunyai sokongan daripada 115 wakil rakyat untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Jadi, dengan membentuk line of propaganda baharu ekoran kekalahan Kerajaan Kelantan dalam petisyen Nik Elin ini, PAS sedang mengigau di atas kesilapannya tidak hati-hati ketika menggubal dan meluluskan sesuatu Enakmen atau undang-undang, Sebagai penggubal undang-undang di peringkat negeri, PAS seharusnya lebih berhati-hati dan mengkaji secara mendalam sebelum sesuatu peraturan itu digubal, termasuk keselarasannya dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi ibu kepada segala undang-undang dalam sesebuah negera.

Jika Perlembagaan Persekutuan yang pernah didakwa sebagai ‘warisan penjajah’ atau mengamalkan budaya taghut, kenapakah ketika PAS berada dalam kerajaan selama 33 bulan (17 bulan dalam PN dan 15/16 bulan dalam Keluarga Malaysia) tidak berusaha untuk menukarkannya kepada Perlembagaan Islam? Itu adalah persoalan yang patut dijawab oleh PAS termasuk presidennya, Presidennya tidak perlu berhujah bahawa ‘terlalu banyak agenda’ yang wajar diselesaikan, menurut keutamaan? Apakah menukarkan Perlembagaan warisan penjajah atau taghut itu bukan keutamaan yang mendasar, atau hanya sekadar di pinggiran sebagaimana menghidupkan semangat perhimpunan RUU 355 sebelum PRU ke-14?

Kenapa semangat RUU 355 tidak dihidupkan ketika Presiden PAS mempunyai banyak masa kerana walaupun dilantik sebagai Duta Khas ke Timur Tengah, tidak pun ke Timur Tengah, sepenuh masa berada di tanah air. Itu adalah sebahagian persoalan yang menjadi persoalan terhadap Presiden PAS yang sampai kini belum dijawab dengan tuntas oleh seorang pemimpin yang sering mengelak apabila ditanya dengan soalan sensitif, dan sedaya upaya berusaha ‘lari’.

Sampai bila pun selagi PAS bermain dengan retorik, sebahagian besar rakyat akan berkata: kejar secupak, akhirnya rugi sekawah. Laba hanya sedikit, keburukan melata dan fikiran sebahagian besar penyokongnya terus jumud dalam ketaksuban. Persoalan syurga dan neraka cukup menjadi contoh yang sangat besar dalam pemikiran masyarakat walhal syurga itu bukan milik PAS, ia adalah hak Allah SWT.

Orang yang dipertimbangkan ke syurga adalah orang yang berusaha seluruh ruang kehidupannya untuk membuat kebaikan dan kebajikan, bahkan ada pendapat mengatakan walaupun beribadat setiap masa, belum tentu Allah SWT memilihnya ke syurga sekiranya tidak berbuat baik kepada seluruh makhluk, masih tersembul kata-kata kesat, menghina dan memperolok-olokkan sesuatu kelompok, berbohong dan riak dengan kemenangannya yang besar sehingga hati sebahagian pemimpin Bersatu terkilan.

Jadi, dalam persoalan kedudukan syariah, Mahkamah Syariah dan budaya Islam, kita tidak seharusnya ikut melenting sebagaimana melentingnya beberapa orang pemimpin PAS setelah keputusan Mahkamah Persekutuan tidak menyebelahi Kerajaan Kelantan. Ia bukan sebagai petanda Islam akan terhakis, kerana kedudukan Islam itu bergantung kepada umat Islam itu sendiri bagaimana mereka berpartisipasi secara berhemah, hemat dan bijaksana sebagaimana Rasulullah SAW berjaya lakukan sepanjang jalan dakwah sehingga Islam muncul sebagai satu bentuk peradaban yang berpengaruh.

Bukan sekadar retorik dan seruan yang mengjengkelkan, yang sifatnya penuh adu-domba dan ketaksuban: aku sahaja yang betul dan benar, orang lain semuanya salah dan tidak betul.

MONOSIN SOBRI

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • Niat Yang Ikhlas
  • 2 Silaturrahim
  • 3
  • 4
  • 5
  • 6
  • 7
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com