KENAPA TRUMP TERLALU INGINKAN VENEZUELA?

Venezuela merupakan negara paling tinggi rizab hidrokarbon, dan menjadi sumber utama pendapatan negara. Beberapa hari sebelum serangan dimulakan (3 Januari 2026), Trump pernah membuat tuntutan bahawa rizab minyak adalah kepunyaannya seperti Israel mendakwa Palestin sebagai "tanah yang dijanjikan". Ertinya, dari segi kejahatan (settler-colonialism), Israel belajar daripada cara Amerika Syarikat manakala mewajarkan tindakan dan membina mitos, Washington belajar daripada Israel.

Kata Trump simpanan minyak Venezuela adalah milik Amerika Syarikat sejak 3000 tahun, yakni milenia terakhir sebelum masihi. Walhal semua orang tahu, Amerika Syarikat hanya muncul sebagai sebuah negara persekutuan pada 4 Julai 1776. Tidak ada asas apa pun yang boleh menyokong tuntutan Trump itu. Tidak ada bukti sejarah yang boleh diterima sebagai alasan untuk menuntut hak milik minyak yang menjadi aset Venezuela.

Tetapi itulah hakikat sebuah makna pencabulan hak dan milik orang lain yang menjadi nadi dasar penaklukan negara adidaya yang mendakwa dirinya adalah polis dunia. Segalanya akan ditentukan berdasarkan sudut pandangan sendiri tanpa ada sedikit pun rasa bersalah. Ia dikenali sebagai settler-colonialism, dengan mengekalkan tujuan pendudukan (occupied) sebagai hak milik kekal dan hasrat itu dilakukan dengan membunuh atau menghapuskan etnik asal dan merampas setiap inci tanah, budaya, perampasan aset serta membunuh pemimpin yang bersuara lantang menuntut hak yang telah dirampas.

Sebelum itu tidak ada istilah Amerika Syarikat, hanya muncul setelah beberapa negara menjadi sebuah persekutuan sehingga mencapai 50 buah negara, termasuk negara-negara yang pernah dijajah oleh Sepanyol seperti California dan New Mexico. Penerokaan benua Amerika dimulakan sekitar tiga ratus tahun sebelumnya dan dipercayai Christopher Columbus berjaya membuka jalan bagi penjelajah-penjajah kuasa-kuasa Eropah seperti Sepanyol, Perancis, Itali, Portugis dan Britain.

Columbus merupakan warganegara Itali dan memulakan ekspedisi ke empat benua pada bulan Mac 1493 atas nama Christiandom Katholik yang berpusat di Rom, dengan dokongan pemerintah Sepanyol. Pada tahun 1507, seorang ahli kartografi Jerman, Martin Waldseemuller memberikan nama tanah luas yang ditemui itu sebagai Amerika mengambil sempena nama Amerigo Vespucci, seorang pengembara dan kartografi Itali yang melukis peta pengembaraan pertama benua yang dikatakan mempunyai 35 buah negara asal.

Sejak itu, benua Amerika menjadi lokasi penghijrahan baharu masyarakat Eropah dan mereka mula melakukan pelbagai kezaliman terhadap penduduk asal yang sebahagiannya mereka namakan sebagai Red Indian. Kekejaman ke atas kaum Sioux selain dibunuh, mereka turut dihalau hingga ke kawasan pedalaman. Kekejaman peneroka-penjajah itu dikenali sebagai pembersihan etnik dan genosid. Dari situlah zionis belajar untuk bertindak ke atas pendudukan Palestin sejak negara haram Israel ditubuhkan melalui tekanan Amerika Syarikat dalam Liga Bangsa-bangsa dan seterusnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang dikuasainya.

Kisah kekejaman Israel banyak kita ketahui kerana media kawalan mereka tidak lagi mampu menyembunyikan apa yang berlaku. Kemunculan media sosial berjaya memberikan gambaran sebenar biarpun Israel terus berusaha untuk mengekangnya dengan pelbagai teknik propaganda. Bahkan sebahagian sejarawan baru Israel sendiri turut mengambil peranan mendedahkan kejahatan yang dilakukan oleh Israel, bangsanya sendiri.

Misalnya Ilan Pappe (The Ethnic Cleansing of Palestine, The Biggest Prison on Earth dan Tenth Myth About Israel), Norman G Finkelstein (The Holocaust Industry, dan Gaza: An Inquest Into Martyrdom/Tangan-Tangan Berdarah di Gaza, terjemahan bahasa Melayu), Roger Garaudy (The Case of Israel dan The Founding Myths of Israeli Politics), Thomas Suarez (Palestine Hijacked/Palestin Dirampas) dan Ben Ehrenreich (The Way to the Spring: Life and Death in Palestine/Selagi Bernyawa: Kehidupan dan Kematian di Palestin).

Venezuela dianggarkan mempunyai rizab minyak terbesar dunia, iaitu 303.2 bilion tong menjadikan ia kuasa petrol terbesar manakala Arab Saudi menduduki tangga kedua dengan 267 bilion tong. Oleh kerana negara pengeluar minyak di Timur Tengah sudah dikuasai oleh firma Amerika Syarikat: secara langsung ke atas Irak dan Libya; secara tidak langsung di UAE, Qatar, Kuwait dan Arab Saudi. Hakikat sebenar menyerang Irak pada tahun 2003 ialah untuk menguasai telaga minyak kerana Irak tidak tunduk kepada kemahuan Amerika Syarikat. Irak juga mempunyai simpanan minyak yang cukup besar, dianggarkan sekitar 280 bilion tong.

Begitu juga dengan usaha membunuh Muammar Gadafi, dengan menaja dan membantu kumpulan pemberontak, bagi memecah kawalan pengeluaran dan penjualan minyak oleh Gadafi. Syria sekarang dilihat semakin bersahabat dengan Amerika Syarikat, walaupun sebelumnya mengenakan tekanan ke atas kumpulan pemberontak Bashar al-Assad, yang mendapat sokongan Iran.

Tindakan menyerang Irak dengan dakwaan memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD) merupakan helah George W Bush untuk menguasai telaga minyak. Ia disebabkan sikap Saddam Hussein tidak lagi berkiblatkan kepada Amerika Syarikat. Iran yang menjadi negara kedua sasaran Amerika Syarikat diketahui cukup mendendami pentadbiran Tentera Revolusi kerana berjaya menyingkirkan pemerintah boneka Amerika Syarikat dari Dinasti Pahlavi.

Dinasti Pahlavi diasaskan pada tahun 1941 setelah British menumbangkan Dinasti Qajar. Tahun 1952, Mohd Mosadegh dilantik sebagai Perdana Menteri setelah memenangi pilihan raya. Mosadegh mengambil keputusan yang bertentangan dengan kehendak British, iaitu dengan memiliknegarakan semua kepentingan ekonomi dan telaga minyak. Ia menyebabkan British berusaha menyingkirkan Mosadegh dan tahun 1953, berjaya digulingkan dengan bantuan Amerika Syarikat. Iran kembali kepada sistem pemerintahan autokratik di bawah Redza Pahlavi.

Bagaimanapun, kekejaman yang berlaku menyebabkan perjuangan menentang Dinasti Pahlavi muncul dan kemuncaknya ialah pada tahun 1979, yang ditunjangi oleh para ulama. Khomeini yang berada dalam buangan akhirnya berjaya membangunkan kekuatan pemberontakan dan berjaya menamatkan Dinasti Pahlavi. Redza Pahlavi mentadbir Iran sebagai sebuah negara sekular (dengan kawalan kuasa seperti sebuah republik), iaitu mencontohi dasar pentadbiran Kamal Atartuk di Turki, menolak Islam sebagai kerangka pengurusan pemerintahan.

Kejatuhan Dinasti Pahlavi bermakna berakhirnya kerajaan boneka Amerika Syarikat. Amerika Syarikat menerima tamparan hebat apabila tidak berjaya menyelamatkan kakitangan kedutaannya di Teheran yang ditawan oleh aktivis Revolusi walaupun beberapa percubaan dilakukan oleh Jimmy Carter (Presiden ke-39). Semua tebusan itu dibebaskan pada era pentadbiran George Herbert Bush (Presiden ke-41), yang sebelumnya menjadi Setiausaha Pertahanan di bawah pentadbiran Ronald Reagan (Presiden ke-40). Kejayaan itu adalah melalui rundingan rahsia di atas kemelut politik di Nicaragua. Akibat rahsia itu bocor, George H Bush gagal untuk penggal kedua kepada Bill Clinton (Presiden ke-42). Beliau tersepit dengan isu Irangate, mendapat bantuan kewangan dan senjata daripada Amerika Syarikat berselindung dengan krisis politik Nicaragua.

Setelah George Walker Bush berjaya memenangi jawatan Presiden Amerika Syarikat ke 43, beliau merancang sesuatu yang lebih besar untuk kekal dalam pemilihan penggal kedua (2004). Serangan ke atas World Trade Center dan bangunan Pentagon dilihat sebagai perancangan Bush untuk mengkambinghitamkan negara-negara Islam. Ia dijadikan alasan untuk menyerangi Iran dan Irak dengan mendakwa sebagai paksi kejahatan (evil axis, paksi setan).

Sebenarnya, ia bertujuan menghapuskan Osama bin Laden, yang menguasai projek pembinaan infrastruktur di Arab Saudi atas hubungannya dengan keluarga al-Saud. Kemunculan Osama bin Laden Group telah menyebabkan firma-firma barat semakin kurang berjaya mengaut kekayaan di Arab Saudi yang sedang memenuhi keinginan untuk menjadi sebuah negara moden mengikut acuan barat. Keluarga Bush yang mempunyai hubungan rapat dengan Keluarga al-Saud mula khuatir, Amerika Syarikat akan kalah dalam lobinya. Ia akan menjejaskan sokongan untuk Bush memenangi penggal kedua, para kapitalis yang mendanai kempen politiknya mungkin akan mengambil arah yang berlawanan.

Walau bagaimanapun, sehingga kini Amerika Syarikat belum mampu untuk memaksa Iran walaupun dikenakan embargo. Amerika terus mengancam Iran untuk "dimusnahkan" jika enggan memberhentikan pengayaan uranium, walaupun Iran bertegas untuk tujuan tenaga alternatif. Amerika sentiasa mendengar dakwaan Israel bahawa Iran sedang membangunkan kekuatan senjata nuklear.

Namun, dalam serangan ke atas tiga loji nuklear tahun lalu, Iran menggunakan strategi minyak untuk makanan mengeksport minyaknya ke China, yang menjadi musuh Amerika Syarikat. Iran turut menjalin kerjasama dengan Rusia dan berusaha untuk membangunkan teknologi nuklear. Iran sekarang telah muncul sebagai kuasa yang sangat ditakuti oleh Israel, dalam beberapa perkara. Teknologi nuklear yang dibangunkan dengan kerjasama Rusia dilihat semakin digeruni dan sukar dimusnahkan walaupun Amerika menggunakan pesawat pengebom paling canggih, B2B, yang boleh ditembak sehingga ke kedalaman 100 meter dalam tanah. Iran sudah memindahkan asetnya ke tempat lain manakala pengeboman yang dilakukan hanya mampu merosakkan bahagian luar.

Iran perlu dihancurkan kerana sokongannya terhadap pembebasan Palestin dalam keadaan negara-negara Arab menormalisasikan hubungannya dengan Israel. Iran turut mendokong kepada beberapa pertubuhan pembebasan Palestin yang berada di beberapa buah negara termasuk Lebanon, Syria dan Yaman selain Hamas. Dalam diam-diam, Iran berjaya membangunkan senjata peperangan moden dan ia amat ditakuti oleh Israel yang hanya bergantung kepada sokongan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Tindakan Amerika Syarikat yang melakukan pelbagai sekatan ekonomi ke atas Rusia dan China turut memberikan pelbagai reaksi balas sehingga muncul sebuah pergerakan yang dikenali sebagai BRICS. BRICS sebenarnya muncul setelah Trump melancarkan Perang Perdagangan dengan China sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran Rumah Putih pada tahun 2017. Ia sebagai reaksi menentang kepada perjanjian perdagangan yang diusahakan oleh Obama di akhir tempoh pentadbirannya, TPPA - Trans Pacific Partnership Agreement.

Dalam tempoh pentadbiran Joe Biden (2021-2024), BRICS menjadi semakin berkembang dan menjadi kebimbangan besar Trump yang kembali ke Rumah Putih pada 20 Januari 2025. Atas kebimbangan itu, Trump memperluaskan dasar Perang Perdagangan dengan "menghukum hampir semua negara" dengan mengenakan Tarif Timbal Balas ke atas produk yang memasuki pasaran Amerika Syarikat.

Venezuela adalah negara yang berusaha menyertai BRICS dan sebagai langkah menentang dominasi Amerika Syarikat mula menggunakan mata wang Yuan dalam urusan perdagangan dengan China. Beberapa negara lain turut berusaha tidak lagi terlalu bergantung kepada kuasa dolar, yakni membayar import dan eksport menggunakan mata wang masing-masing.

Akibat Venezuela aktif menyahkan dolar (dedolarization) Trump mulai bimbang jika tidak dikenakan tindakan keras ia akan berakhir senasib kertas tisu tandas (menurut pandangan seorang penasihat kewangan, Robert Kobayasi, toilet paper). Akibatnya, dolar tidak lagi menjadi penentu termasuk dalam bentuk rizab antarabangsa dan mata wang perdagangan.

Ketika ini nilai dolar semakin merosot dan ia menjadi titik tolak kehakisan hegemoni Amerika Syarikat. Oleh kerana Venezuela menjual minyak ke banyak negara, dan semakin besar berdagang dengan China, Trump menggunakan alasan untuk menyerang. Trump menyerahkan kecekapan anggota perisik untuk mencari lokasi tepat di mana Presiden Venezuela menginap secara tetap.

Sebab itulah dalam tempoh yang singkat misi itu berjaya menangkap Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores. Pasangan itu kemudiannya dilarikan ke New York dan dipindahkan ke sebuah pusat tahanan rahsia. Ia menjadi babak pencolekan yang cukup brutal. Kaedah yang sama beribu kali digunakan oleh Israel. IDF menangkap rakyat Palestin di kediaman mereka dan dipindahkan ke wilayah Israel untuk dipenjara atau diadili.

Maduro dipindahkan ke New York untuk diadili oleh undang-undang Amerika Syarikat. Tindakan tersebut menyalahi Konvensyen Geneva dan undang-undang antarabangsa. Sepatutnya, jika beliau didakwa di Venezuela kerana dakwaan melakukan kesalahan as salah di Venezuela bukan di salah satu lokasi dalam wilayah Amerika Syarikat.

Bagi melindungi matlamat menghukum tindakan Maduro, Trump menggunakan alasan serangan itu dibuat atas keperluan mengekang perniagaan dadah. Itu adalah tuduhan yang dibuat dan pasangan yang dicolek akan diadili atas kesalahan pengedaran dadah walhal ia merupakan satu tuduhan tidak masuk akal.

Maduro dimusuhi Trump kerana kepantangannya mengecam keganasan Israel. Maduro ikut menyokong Zohran Mamdani dalam pemilihan ia sebagai Datuk Bandar New York. Mamdani ikut mengecam Israel dan berazam akan menangkap Benjamin Netanyahu sekiranya berada di bandar raya New York. Kemuncaknya, ketika diadakan pengundian gencatan senjata di Gaza di PBB.

Maduro ikut bersama turun ke jalan raya New York berdemonstrasi dengan memakai Keffiyeh, simbol solidariti ke atas Palestin. Ia memberi tamparan besar ke atas Trump yang mendokong Israel dan dianggap "biadab' apabila pemimpin negara luar bersama dengan rakyat Amerika Syarikat turun ke jalan raya menentang dasar Rumah Putih.

Secara ringkasnya, terdapat beberapa sebab kenapa Trump menyerang Venezuela dan mencolek Presidennya, Nicholas Maduro dan isterinya. Pertama, untuk menguasi rizab dan pengeluaran minyak Venezuela yang merupakan negara terbanyak simpanan minyak dan mengawal penjualannya. Ini dapat dikesan apabila Trump sedang membahagi-bahagikan "harta rampasan" itu kepada syarikat milik Amerika Syarikat seperti Walker Bush lakukan di Irak. Bagi sahabat yang membantunya, Bush sediakan pelbagai kontrak kepada Tentera Amerika Syarikat di Afghanistan.

Kedua, kelantangan Nicholas Maduro menentang Israel dan mengecam dasar Rumah Putih terhadap Palestin. Sebenarnya, tindakan Rumah Putih mendokong Israel sudah dilihat sebagai langkah biadab oleh hampir dua pertiga negara anggota PBB. Dasar Rumah Putih terhadap Israel semakin meluas ditentang oleh rakyat Amerika Syarikat sendiri. Mereka tidak mahu wang pembayar cukai disalurkan ke Israel untuk membunuh rakyat Palestin, dengan bantuan senjata dan ketenteraan.

Rakyat Amerika Syarikat ikut mengecam tindakan Trump menyerang Iran bagi mengatasi ketakutan Israel. Israel mula gentar apabila serangan Iran berjaya mengatasi kecanggihan sistem pertahanannya, sehingga bangunan Knesset musnah, pusat pengembangan dan penyelidikan teknologi senjata Israel musnah dan beberapa buah pesawat perang canggih buatan Amerika Syarikat yang tidak dimiliki oleh negara lain berjaya ditembak jatuh oleh Iran. Israel menanggung malu yang besar kerana kejahatannya semakin terdedah dengan meluas, dan tidak dapat ditutup dengan mudah.

Ketiga, dengan menyerang Venezuela dan berjaya mencolek ketua negara terbabit, ia menjadi amaran keras Washington ke atas mana-mana negara yang kental menyertai BRICS, yang sedang bergerak kepada pengerdilan kuasa dolar. Ini bermakna, Trump akan melakukan tindakan yang sama atau hampir sama ke atas mana-mana negara yang dilihat sebagai tindakan menentang MAGA, Make America Great Again.

Dalam pertimbangan Trump, beberapa buah negara akan diberikan tekanan dan jika terus berdegil, kekerasan dalam bentuk perang akan digunakan. Inilah wajah sebenar Amerika Syarikat yang dikawal oleh Zionis. Kapitalis Yahudi bimbang, apabila berlakunya nyahdolar, pemilikan kekayaan mereka akan terlepas.

Keempat, minyak akan digunakan sebagai senjata membalas dendam ke atas negara yang memerlukan sumber tersebut, terutama China dan India. China tidak lagi boleh mendapatkan minyak daripada Venezuela. Begitu juga India. Jadi, kuasa minyak itu akan dijadikan senjata, kerana Amerika Syarikat berupaya melakukannya setelah menakluki Venezuela, pemilik minyak terbesar dunia. Irak sudah dikuasai oleh firma minyak Amerika dan ini akan menekan eksport minyak Rusia dengan pelbagai cara jika enggan menarik diri daripada BRICS.

Amerika Syarikat boleh sahaja menurunkan harga minyak mentah dengan cara menawarkan harga lebih murah yang sicuri daripada telaga minyak Venezuela..atau sebaliknya,.menaikkan harga minyak dunia bagi melumpuhkan industri beberapa negara yang tidak mesra Washington. Inilah dasar perdagangan amalan Trump yang akan membankrapkan mana-mana negara.

Kelima, Trump mahu buktikan bahawa kegilaannya benar-benar menjadi, kerana beliau tidak takut dengan sesiapa pun. Setakat ini, Korea Utara telah memberikan sikap kerasnya, agar segera melepaskan Maduro dan isterinya, yang dikatakan "kawan saya" oleh Kim Jong-un. Sehingga hari ini, pemimpin China belum mengeluarkan kenyataan menyelar tindakan Trump ke atas Venezuela, walaupun China merupakan pelabur terbesar yang sedang meningkat naik di negara berkenaan.

Permainan strategi Trump menjadi semakin ganas seolah-olah sedang menghidupkan kembali kisah legenda Hollywood dengan budaya koboi yang diadunkan dengan adiwiranya, Captain America, atau Superman. Trump cuba merekayasakan semula peranan adiwira Superman sebagai penyelamat yang gagah dan tidak mampu dikalahkan oleh sesiapa pun.

Superman, sebagai pengawal atau polis dunia boleh bertindak tanpa perlu latihan apa pun peraturan antarabangsa, kerana peraturan sendiri lebih berkesan. Itulah wajah Amerika yang akan dipasakkan ke dalam pemikiran masyarakat dunia oleh Donald Trump yang menjadi tangan kanan Zionisme, bagi mempercepatkan sebuah pemerintahan dunia yang tunggal, One World Order.

KAMARUN KH

.

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com