Print

 

KITA BINCANG TENTANG BUKU ATAU KITAB? (VII- AKHIR)

Cukup panjang kita berbincang mengenai buku atau kitab, juga bagaimana buku itu penting sebagai sumber maklumat, bahan pembelajaran dan bagaimana memahami pemikiran- pemikiran seseorang penulis di dalamnya. Dalam bahagian terakhir ini, saya akan cuba melihat hubungan “Bacalah” dengan satu indikasi yang sangat berkait rapat ‘budaya membaca’ dan seterusnya dilihat sebagai ‘budaya ilmu’.

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dalam karya yang dikemaskinikan pada tahun 2019, Budaya Ilmu: Makna dan Manifestasi dalam Sejarah dan Masa Kini (Kuala Lumpur: Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains Dan Peradaban (CASIS), 2019), budaya ilmu adalah satu konsep yang lebih luas daripada aktiviti membaca, dan kerana itu, membaca bukanlah satu- satunya cara membudayakan ilmu.

Budaya ilmu merangkumi aspek berfikir, merenung, berakhlak mulia, berani berkata benar dan menolak keingkaran ilmu (kepalsuan dan spekulatif –forecasting, futurology, dan sebagainya).

Jadi, untuk memahami mengenai ilmu, kita perlu melihat semua kepada beberapa perkembangan yang berlaku, terutama dalam persoalan falsafah ilmu itu setelah dikatakan mengalami perubahan dan perkembangan yang pesat ekoran berkembangnya ilmu-ilmu yang berdasarkan makna empirik (empirical studies) dan teknikal sehingga menolak perspektif adab, akhlak dan tujuan kenapa manusia diciptakan.

Benar, ilmu-ilmu sedemikian menjadi semakin dominan dan sangat mempengaruhi peradaban manusia, menciptakan manusia atau kelompok masyarakat yang maju, dan dalam masa yang sama hakikat kehidupan beradab dan berakhlak mulia semakin melebar persimpangan genting dan tajam.

Kita ambil contoh mengenai Amerika Syarikat. Negara itu masih mahukan kedudukannya sangat berpengaruh sehingga dapat mengawal secara langsung atau tidak langsung negara- negara dengan kaedah dan perspektif dasar luarnya yang bermula dengan pengembangan Wilsonisme;   penyemarakan fahaman politik demokrasi (kebebasan, hak asasi, liberalisme dan ego White Supremacy) hinggalah kepada kecanggihan teknologi, akhirnya tidak mampu membebaskan kehidupan daripada pelbagai krisis kemanusiaan (jenayah remaja, tembakan rambang (di sekolah), keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat, pelecehan agama dan kulit berwarna, pengangguran, kehidupan beragama – ateis, agnostik dan kepercayaan ‘bukan agama’, keluarga tanpa ikatan perkahwinan (cohabitation), dan sebagainya; krisis ekonomi (subprima, perang perdagangan, dasar perlindungan dan sebagainya); krisis politik antarabangsa (campur tangan langsung, hegemoni dan desakan kapitalisme, dualisme proses damai, orientasi dasar luar yang pro Israel, imperialisme budaya dan ideologi politik); dan keseimbangan iklim (pemanasan global, tenaga nuklear dan penjagaan alam sekitar).

Kisah kebobrokan Amerika Syarikat telah mula diperkatakan dengan lantangnya selepas negara itu menjadi kuasa hegemoni dunia sebaik sahaja berjaya mengambil alih kekuatan kuasa-kuasa penjajahan yang diperanankan oleh negara-negara Eropah (Inggeris, Perancis, Sepanyol, Jerman, Portugis dan negara-negara yang dikuasai oleh ideologi komunis).

Ia berlaku sebaik sahaja Amerika Syarikat diisytiharkan sebagai kuasa baharu sebaik sahaja berjaya menghancurkan kebangkitan kuasa politik Jepun menerusi dua butir bom yang digugurkan ke atas Hiroshima dan Nagasaki, dan pakatan dengan negara-negera Eropah menyingkirkan penguasaan Hitler dan Mussolini dengan ideologi fasisme.

Kejayaan itu berjaya menamatkan Perang Dunia II, dan seterusnya, sebagai langkah ‘mengembirikan ideologi-ideologi yang bertentangan” diciptakan pelbagai teori seperti teori domino, mengatur strategi Perang Dingin, memperkembangkan penyemarakan faham demokrasi dan kebebasan, dan dalam tempoh kurang lima puluh tahun, ia memberikan kesan kepada konsep dunia bipolar kepada Pax Americana (Paul Kennedy, The Rise and Fall of the Great Power (1989); Henry Kissinger, Tata Dunia: Pertarungan Kuasa Sepanjang Sejarah (edisi terjemahan, IBDE, 2018); Fareed Zakaria, Dunia Pasca-Amerika (edisi terjemahan, ITBM, 2011; dan John J Mearsheimer, The Great Delusion: Liberal Dreams and International Realities, 2019).

Jika melihat dan memahami sejarah, selepas Perang Dunia II, geopolitik dunia terlalu banyak digeluti oleh hasrat Amerika Syarikat untuk membuktikan bahawa negara itu begitu penting dan boleh ‘mengawal perjalanan politik dunia’, yang akhirnya dikaitkan pula dengan percubaan untuk menjadikan seluruh kehidupan dan sistem politik sebagai pola tunggal (single polar), yakni One World One Order, yang menjadi salah satu daripada Protokol Pertubuhan Zionis Antarabangsa (Henry Ford, The International Jew: The World's Foremost Problem, 1920).

Percubaan ini dimulakan dengan menyebarkan makna demokrasi, yang banyak sesetengah negara, ia sebuah tatanan (sistem) yang sangat menindas, memanipulasi sehingga membentuk masyarakat yang terpisah dengan pelbagai kelas sosial.

Pertentangan pemahaman tersebut membawa kepada pemilihan beberapa negara yang mempunyai kesan buruk kapitalisme untuk beralih kepada sistem politik dan ekonomi yang dikawal sepenuhnya oleh negara.

Seperti kita ketahui, sistem kawalan sepenuhnya turut menimbulkan masalah, manakala sistem kapitalisme semakin berjaya telah menimbulkan semangat yang berbeza, yang akhirnya mempengaruhi keadah bernegara dari tirai besi kepada neokapitalisme.

Dua buah negara yang mengubah sebahagian pendekatan ekonominya, Rusia dan China semakin dilihat berpengaruh untuk kembali menjadi kuasa ‘pengimbang’ kepada kuasa Amerika Syarikat selepas kedua-dua negara itu berjaya menguasai pelbagai bidang ekonomi dan perdagangan dunia.

Ketika Amerika Syarikat berdepan dengan ‘kemelesetan ekonomi’ akibat keghairan para pelaburnya melebarkan sayap pelaburannya di luar negara, termasuk dasar China membenarkan pelaburan asing, menyebabkan produk yang dikeluarkan oleh negara itu menjadi cukup mahal, akhirnya masyarakat dunia mencari alternatif.

PelaburAmerika Syarikat melihat (kapitalis) sebagai suatu peluang, dengan melabur di China, ia akan dapat mengurangkan kos pengeluaran, dan produk mereka akan mampu bersaing selain keperluan untuk menumpukan perhatian kepada penciptaan teknologi kurang penggunaan buruh.

Dalam proses tranformasi industri berasaskan buruh, tekanan gaji pekerja dan kos kehidupan yang meningkat, lebih banyak firma Amerika Syarikat (dan juga Eropah) mula beralih arah, mengurangkan pelaburan domestik, namun menggerakkan budaya penyelidikan dan pembangunan.

Hasilnya, Amerika Syarikat membawa masuk bakat dan tenaga pakar pertengahan daripada negara-negara luar, dan akhirnya menjadi isu politik yang cukup besar semasa kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2015/2016.

Donald Trump, walaupun tidak mempunyai pengalaman diplomatik dan politik, akhirnya berjaya mengeksploitasikan keadaan itu dan menang pilihan raya pada 20 November 2016. Kemenangan itu dikaitkan pula dengan berleluasanya fenomena post-truth.

Saya sengaja membangkitkan arus sejarah tersebut untuk menunjukkan bagaimana perspektif ilmu berkembang, daripada ilmu yang berbingkaikan akhlak, adab dan susila kehidupan telah berubah dengan ketaranya kepada ilmu-ilmu yang bersifat spekulatif dan manipulatif, yang pada pandangan Imam al-Ghazali cukup merosakkan tatanan kehidupan manusia dalam perihal kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan.

Dalam memperkatakan mengenai kebenaran, dalam risalahnya al-Qistas al-Mustaqin, (edisi terjemahan Kamran As’ad Irsyady, Yogyakarta: Pustaka Sufi, 2003), sejak lama Islam menawarkan sebuah neraca kebenaran, iaitu “siapapun orang yang bertakw, yang sentiasa mengingati Allah SWT ketika dirinya digoda (dihasut) dan dipujuk oleh syaitan, dengan segera ia akan melihat kesalahan-kesalahan di dalam dirinyam sebagaimana dimaksudkan dalam surah al-A’raf, ayat ke-201-202:

“(201) Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan oleh syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).

“(202) Sedang saudara (pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh syaitan-syaitan itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat lagi menyesatkan itu).

Bagi al-Ghazali, atas sebab itu tidak wajar melakukan kegentaran (chaos) dalam masyarakat, kerana setiap orang perlu menyepakati neraca yang lurus (al-Qur’an) sebagaimana pernah dinasihatkan oleh Ali bin Abi Talib:

Jangan mengenali kebenaran dari sosok penyampainya, tetapi kenalilah kebenaran itu dari esensinya [intipatinya] sendiri, nescaya akan engkau ketahui pemiliknya.”   Ini bermakna, kita memerlukan sikap yang bijak (wise) dalam menghadapi dinamika masyarakat.

Bagaimana kita boleh menjadikan diri sendiri sebagai seorang yang bijak? Menurut pengertian bahasa (istilah), bijak adalah “(1) (sangat) pandai, cerdik, pintar; (2) pandai bercakap, petah lidah; (3) sesuai atau betul dan mendatangkan kebaikan manakala bijaksana bererti ‘berakal budi, arif, pandai dan berhati-hati, cerdik; dan kebijaksanaan pula membawa maksud ‘perihal bijaksana, perihal menggunakan akal budi.’ (Kamus Dewan, edisi keempat, 2017, hal.183).

Secara mudahnya, bijak itu cenderung kepada suatu keadaan yang dilihat ‘pandai’ dan ‘cerdik’; namun ia perlu disusuli dengan ‘akal dan budi’, kerana tanpanya seseorang itu dilihat ‘gopoh’ dan ‘tidak berhati-hati’ dalam membuat sesuatu keputusan.

Dalam ruang lingkup tersebut, kederdikan seseorang itu diukur berdasarkan ‘kebolehan’ menggunakan akal (fikiran, pengetahuan dan pengalaman yang tersimpan dalam ingatan) tetapi ia belum cukup dianggap ‘bijak’ sekiranya perilaku atau tindakannya ‘tidak tepat’ atau bercanggah dengan persepsi umum. Inilah ruang yang menarik untuk diteroka dan dilihat potensinya berdasarkan perspektif ilmu dan budaya ilmu.

Jadi, dalam konteks tersebut, Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, cukup konsisten untuk menjelaskan bahawa dalam setiap keperluan kehidupan, yang bermula dengan pendidikan hendaklah ditekankan kepada proses mengadabkan manusia, kerana daripada adab itulah lahirnya peradaban.

Hal ini bukanlah sesuatu yang tidak ada asasnya dalam Islam, bahkan kenapa Islam diturunkan oleh Allah SWT adalah untuk membaiki adab manusia, yang kita kenali sebagai akhlak, dan Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai insan teladan, menunujukkan sikap dan akhlak terbaik untuk manusia contohi.

Sebab itulah ramai ulama-ulama Islam klasik sangat menekankan tradisi pendidikan dilaksanakan dalam konteks menyemai adab dan keadaban, dari adab guru kepada murid, adab murid kepada guru dan seterusnya adab-adab yang perlu dibudidayakan dengan alam sekitar (alam sekeliling), antara rakan sebaya (peer group), dinamika kumpulan (group dynamic) dan masyarakat.

Contoh yang cukup menarik mengenai kejayaan tersebut ialah bagaimana kebangkitan pendidikan pondok di negeri-negeri Melayu bukan sekadar mampu melahirkan murid yang berilmu, bahkan mampu membangunkan persekitaran masyarakat yang harmoni, dan saling mempengaruhi dalam kehidupan beragama. Ini merupakan peralihan paradigma yang perlu dilakukan secara berkesan dalam pembangunan kurikulum dan pemaknaan sistem pendidikan negara.

Hal inilah yang sukar dikesan dan dikembangkan oleh sistem pendidikan moden, walaupun impaknya cukup besar melahirkan manusia berpengetahuan, dalam masa yang sama hilang nilai-nilai sosial dan tradisi bermuamalat.

Inilah yang harus diperbetulkan dalam sistem pendidikan dan juga penyemarakan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat, kerana penekanan kepada pengetahuan semata-mata tanpa membudibudayakan adab, ia melahirkan kerosakan kepada nilai dan perspeksif kemanusiaan.

Inilah hakikat yang perlu kita fahami daripada ketentuan Islam terhadap pentingnya ilmu dan budaya ilmu, bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri menjadi orang yang pertama mendidik perilaku manusia dengan penuh kasih sayang dan dedikasi. n

Jadi, bagi mencapai budaya ilmu dan masyarakat yang bijaksana, peradaban yang baik, mampan dan lestari, sebagaimana diharapkan kepada visi Membangun Malaysia Madani, kita hendaklah menyediakan ekosistem yang mengarah kepada aktiviti tersebut, yakni masyarakat yang mengamalkan budaya membaca, merenung dan berfikir dalam konteks yang benar-benar menepati Amar Makruf Nahi Mungkar. (Anwar Ibrahim, Madani: Visi dan Kerangka Dasat Reformasi, Shah Alam: Institut Darul Ehsan- The Centre of Postnormal Policy & Futures Studies, cetakan ketiga, Februari 2023).

Walau apapun yang kita perkatakan, teori ilmu dan kemasyarakatan yang besar, ia sangat terikat dengan kupasan dan pemahaman mendalam, pada sikap mental dan juga perilaku mengenai Amar Makruf Nahi Mungkar. Walaupun hampir semua manusia yang berakal ada niat untuk melakukan kebaikan, tetapi, niatnya itu bertukar menjadi Nahi Mungkar apabila tidak melihat ‘neraca kebenaran’, hanya bersandarkan impak dan keuntungan dalam masa yang singkat. (M Kamal Hassan, Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika, Kuala Lumpur: Emir Research, 2022; dan Mohd Kamal Hassan, Keutuhan Budaya dan Moral, siri penerbitan pendekatan Islam Hadhari, Prinsip Kelapan, Putrajaya: JAKIM, 2006).

Atas keperluan tersebut, kita tidak memerlukan budaya ilmu – budaya membaca sebagai salah satu kaedahnya – dipenuhi dengan pelbagai jargon, retorik dan tinggi falsafahnya, kerana ia tidak menjamin keadaban manusia benar-benar bijaksana.

Dan, bagi mereka yang mementingkan perihal bijaksana, membaca merupakan aktiviti yang tidak boleh ditinggalkan, bahkan tidak ada alasan ‘tidak cukup masa’, bosan dan sebagainya, kerana dengan membaca mereka mampu berfikir, mencerap maklumat dan mengindentikasikannya sebagai sebuah solusi untuk mengatasi sesuatu masalah, isu dan pendekatan, bukannya menambahkan lagi kekusutan.

Secara umum, Allah SWT menurunkan dua kitab kepada manusia untuk dipelajari (tentunya dengan membaca, memahami dan mengkaji), iaitu al-Quran (kalam Allah SWT) dan kitab terbuka, iaitu alam semesta.

Al-Quran sebagai kitab penuh mukjizat diturunkan melalui Jibril kepada Nabi Muhammad SAW ialah kitab yang sarat dengan ilmu, hukum dan panduan, sekali gus menjadi objek kajian dan penyelidikan.

Alam semesta mengandungi sesuatu perlu direnungi oleh setiap manusia.

Segala ciptaan tidak dicipta secara sia-sia dan bukan menunjukkan diri ciptaan itu sendiri, sebaliknya tanda atau alamat menunjuk kepada suatu yang lebih hakiki dan tinggi. Sebab itulah ada peribahasa yang menjelaskan “alam terkembang menjadi guru”, “yang kurik itu kendi, yang merah itu saga.”

Saya akhiri tulisan ini dengan memetik satu daripada beberapa petikan al-Ghazali mengenai keutamaan dan kegunaan ilmu pengetahuan (dari Ali bin Abi Talib RA), agar kita mampu memahami ilmu-ilmu yang sangat kita perlukan dalam meningkatkan harkat diri sebagai manusia yang beradab dan memahami untuk apa kita mencari, memposisikan diri dalam belantara kehidupan. Hal ini diungkapkan oleh Ali bin Abi Talib RA:

Ali bin Abi Talib pernah berkata kepada Kumail:

Wahai Kumail! Ilmu itu lebib baik daripada harta. Ilmu itu menjaga engkau sedangkan harta engkau yang menjaganya. Ilmu itu penghukum hakim dan harta itu terhukum. Harta itu berkurang apabila dibelanjakan dan ilmu itu bertambah bila dibelanjakan.

Ali bin Abu Talib RA pun berkata:

Orang berilmu lebih utama daripada orang yang selalu berpuasa, bersembahyang dan berjihad. Apabila mati orang yang berilmu, maka terdapatlah satu kekosongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup selain orang penggantinya.

Ali bin Abu Talib RA berkata:

Tiada kebanggaan selain bagi ahli ilmu Mereka memberi petunjuk

Kepada orang yang meminta petunjuk

Nilai seorang manusia adalah dengan amal baik yang dikerjakannya Orang-orang bodoh adalah musuh ahli ilmu

Dengan ilmu raihlah kejayaan.

Nescaya engkau akan hidup abadi dengannya Orang lain mati

Sementara orang ilmu akan terus hidup.

(Imam al-Ghazali, Ihya Ulumuddin, Jilid 1, terjemahan Muhammad Akhyar LC dan Drs Syahrin bin Jasah, Kuala Lumpur: Penerbit al-Shafa-Al-Haramine, 2017, hal. 24).

Jadi, setelah membaca keseluruhan tulisan ini, atau apabila anda diasak dengan kosakata buku, atau kitab apakah yang anda dapat bayangkan di fikiran mengenainya? Apakah sikap anda dan adab anda dalam ‘menghormati buku’ dan juga menjaga kesucian ilmu dan apa yang terkandung dalam ‘kitab.?

Anda sebenarnya tidak salah dan sangat dituntut untuk menghormati sesebuah kitab suci, apatah lagi jika isikandungannya ‘terpelihara’ sejak sekian lama, tetapi, apakah anda memahaminya bahawa buku atau kitab bukanlah sekadar dokumen yang hanya ‘hormat dan mulia’ dengan menyimpannya di tempat yang selamat.

Ia lebih mulia dan sangat bermanfaat jika kita setiap hari membaca, memahami, mengkaji dan mengambil setiap isi kandungannya untuk dijadikan pedoman, dan mencari sebuah resolusi untuk membaiki nilai dan adab kehidupan kita sebagai manusia yang diberikan akal dan fikiran untuk menjalani proses hidup dan mencari kebenaran.

KAMARUN KH

Written by Admin
Category: Semasa
Hits: 440