Print

 

MENCARI MAKNA MENZAHIRKAN POLITIK AGAR TIDAK LICIK (VI)

LIMA rencana sebelumnya sudah cukup untuk melatari makna ‘moral politik’ dan ‘politik bermoral’, maka dalam EMPAT rencana seterusnya akan dibincangkan mengenai konsep tersebut dan bagaimana ianya boleh diterjemahkan menurut perspektif Islam. Saya memilih pendekatan Islam kerana dalam sejarah politik moden, unsur-unsur relativisme dan subjektif cukup kuat menguasai, yang akhirnya sangat cenderung menyusur kebobrokan budaya politik sehingga jauh menyimpang daripada absolutisme kenapa politik itu penting dalam kehidupan masyarakat dan bernegara.

Kenapa politik itu cukup kuat mengakar kepada kebudayaan dan peradaban sebagaimana tidak pernah luput daripada perbincangan dan kajian pelbagai aspek, antopologi, sosiologi, geopolitik mahupun sistem hubungan antarabangsa. Ini penting kerana, sebahagian daripada kita mula melihat bahawa kearifan lokal sebagai sesuatu yang tidak penting atas fahamannya terhadap makna keterbukaan. Sebahagian daripada kita hilang jati diri kerana cukup percayakan bahawa kebersamaan itu benar-benar akan muncul, walhal tidak pernah menawarkan tindakan yang universal walaupun terorinya dilihat cukup sejagat. Kesejagatan yang diperjuangkan masih besar cenderung relatif dan belum terbebas sepenuhnya daripada spekulasi.

Dalam al-Qur’an, terdapat lima istilah yang dapat menggambarkan persoalan politik. Menurut Yahya Jusoh, Sejarah Falsafah Politik Dalam Islam (SFPDI), (Skudai: UTM Press, 2014), antaranya ialah khalifah, imam, sultan, malik dan wali. Sebahagian besar penulisan dalam rencana ini (VI) dikutip dari buku tersebut, terutama bagi menerangkan persoalan politik menurut keterangan dalam al-Qur’an, kecuali jika ditambah dengan beberapa pandangan lain.

Perkataan khalifah diulang sebanyak 9 kali dalam pelbagai bentuk: dua kali berkaitan ketua negara dalam bentuk tunggal (mufrad), tiga kali dalam bentuk jamak (khulafa’) dan empat kali sebagai khala’if. Ini membuktikan bahawa manusialah yang berperanan dan berfungsi dalam politik sesebuah negara, dan ianya tetap tertakluk kepada ketentuan Allah SWT (SFPDI, hal.28).

Hal sebegini tidak terlahir dalam sanubari politikus yang tidak kuat keyakinan dan keimanan, sehingga mendakwa sesuatu jawatan yang tinggi adalah ‘hak’nya berdasarkan jalan atau jalur tertentu. Perkara ini pernah timbul atau muncul dalam politik Malaysia, apabila ada seseorang mengakui dirinya adalah lebih layak, kompeten dan sudah mengalami pelbagai ujian, sepatutnya dirinyalah yang berhak.

Atas sikap itulah tokoh tersebut cukup ligat untuk mencabar, mencari jalan bagaimana untuk mendapat kuasa yang diyakini miliknya, termasuk melakukan pembulian politik, pelecehan, dan mencabar di mahkamah. Ada beberapa kes undang-undang, setelah melalui perghujahan yang panjang dan tafsiran undang-undang, hak yang didakwa itu bukanlah haknya yang mutlak. Hak itu ditafsirkan secara relatif dan cukup spekulatif.

Imam, dijelaskan dalam al-Qur’an sebanyak tujuh kali dan ditujukan kepada Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan semua manusia yang mempunyai peranan sebaga imam, yang bererti ketua negara, pemimpin, ikutan atau pembawa (al-Raghib, 1972, dalam Yahya Jusoh, 2014, SFPDI, hal.37-38).

Perkataan sultan, diulang sebanyak 37 kali menunjukkan makna suatu keterangan, hujah, kelulusan atau kuasa. Allah SWT menguatkan kedudukan dua beradik, Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS dengan menjadikan mereka sultan untuk menentang ahli sihir fir’aun berkaitan dengan mukjizat yang dimiliki oleh Nabi Musa, iaitu tongkat yang bertukar menjadi ular dan berjaya mengalahkan ahli sihir. (al-Qasas, ayat 35-36). Kepada Nabi Muhammad SAW, Allah SWT memerintahkan supaya berdoa: Wahai Tuhanku! Masukkan aku dalam kalangan orang yang benar dan keluarkanlah aku dalam kalangan orang yang benar dan calonkan aku di sisi-Mu sultan yang memperoleh pertolongan (al-Isra’, ayat 80).

Secara ontologi (teori wujud yang memperkatakan tentang makna sesuatu ilmu), menurut Yahya Jusoh “penggunaan perkataan sultan dalam al-Qur’an terbahagi kepada dua. Pertama, kesultanan menurut perintah Allah mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kesultanan ini Allah tujukan kepada Nabi Musa AS yang berjaya mengalahkan ahli sihir fir’aun. Selepas berhijrah ke Palestin dengan melaksanakan hukum Taurat dan Nabi Muhammad SAW berjaya berjaya membentuk kerajaan Islam di Madinah dan melaksanakan hukum syariat Allah yang terdapat dalam al-Qur’an dan hadis, setelah berhijrah ke Madinah. Kedua, kesultanan menurut pengaruh syaitan yang menyebabkan kecelakaan hidup manusia di dunia dan akhirat nanti. Kesultanan ini Allah tujukan kepada Abu Lahab dan juga golongan Musyrikin Mekah dan golongan yang menentang hukum Allah SWT.” (SFPDI, hal.45).

Istilah malik (raja) dikesan sebanyak 73 kali dalam al-Qur’an. Para nabi dan rasul serta manusia adalah raja yang memegang amanah Allah bagi melaksanakan perintah Allah SWT. Kesemua raja akan dipersoalkan apa yang mereka laksanakan terhadap perintah Allah SWT. Dalam bentuk tunggal, istilah raja (malik) disebut sebanyak 14 kali, iaitu Allah SWT sebagai raja pada hari kiamat (al-Fatihah, ayat 4 dan an-Nas, ayat 2). Allah SWT adalah raja yang Maha Tinggi, raja sebenar dan tiada Tuhan melainkan Allah, Pentadbir ‘arasy yang Mulia (al-Jumu’ah, ayat 1 dan al-Hasyr, ayat 23).

Penggunaanya sebagai mulk (kerajaan) dalam bentuk tunggal dikesan sebanyak 40 kali. Allah mempunyai kerajaan di langit dan di bumi. Allah SWT juga berkuasa ke atas setiap sesuatu perkara di dunia (Ali-Imran, ayat 18 dan 90). Terdapat dua kali istilah malikan (raja) iaitu dalam surah al-Baqarah, ayat 246-247. Perkataan mulkan diulang sebanyak tiga kali (al- Nisa’ ayat 54; Sad, ayat 35 dan al-Insan, ayat 20). Dalam bentuk jamak, perkataan mulk disebut sekali (al-Naml, ayat 34), begitu juga istilah mulukan (al-Maidah, ayat 20).

Secara jelasnya penggunaan istilah malik mengindikasikan bahawa Allah SWT adalah raja yang mempunyai kuasa mutlak manakala Nabi Musa AS, Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS, Ratu Balqis, Talut, Jalut, dan fir’aun dijadikan sebagai pemimpin untuk melaksanakan perintah Allah di dunia. Kuasa yang mereka miliki adalah terhad, dan tidak bersifat mutlak maka atas sebab itulah mereka yang mencabar kuasa mutlak Allah SWT dibalas dengan siksa yang pedih dan alami kehancuran.

Perkataan wali membawa maksud pemerintah diulang sebanyak 88 kali dalam al-Qur’an. Terdapat dua jenis wali, wali Allah dan wali syaitan namun kededuanya merujuk kepada kedudukan manusia itu sendiri. Wali Allah memperoleh kemenangan di dunia dan di akhirat, yakni mendapat rahmat dan pertolongan dari Allah SWT. Wali syaitan pula sentiasa berada dalam kerugian kerana tidak mendapat rahmat dari Allah SWT.

Sebagai bentuk tunggal, perkataan wali diulang sebanyak 20 kali. Antaranya dalam surah al- Isra’, ayat 111 yang bermaksud: Dan, katakanlah: Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagi-Nya sekutu dalam urusan kerajaan-Nya, dan tiada bagi- Nya penolong disebabkan sesuatu kelemahan-Nya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakan-Nya dengan bersungguh-sungguh.”

Al-Qur’an juga menceritakan tentang pelbagai ancaman ke atas mereka yang lalai, dan Allah SWT akan merahmati mereka yang beriman. Dalam surah al-An’am ayat 51 misalnya, Allah SWT mengingat Nabi Muhammad SAW agar menyampaikan ancaman dengan ayat-ayat-Nya kepada manusia agar timbil rasa takut ketika dihimpunkan di Padang Masyar. Ketika di Padang Masyar, tiada yang lain kecuali Allah SWT sebagai pemerintah dan pemberi pertolongan. Ayat-ayat yang bersifat amaran ancaman itu bertujuan untuk meningkatkan taqwa kepada Allah.

Dalam ayat-Nya yang lain, Nabi Muhammad SAW diperintahkan agar memberikan peringatan al-Qur’an mengenai azab yang ditimpa ke atas manusia di akhirat nanti akibat seseorang itu berusaha melakukan perbuatan atau perkara yang dikeji (atau dilarang). Pada masa itu tidak yang boleh memberikan pertolongan selain Allah SWT. Hanya mereka yang adil sahaja yang mendapat pertolongan (al-An’am, ayat 70).

Allah SWT juga mengingatkan bahawa hanya orang-orang yang zalim sahaja melantik antara mereka menjadi pemimpin. Allah jualah yang menjadi pemerintah dalam kalangan orang- orang yang bertaqwa. (al-Jathiyah, ayat 19).

Dalam surah al-Kahfi, ayat 26, Allah SWT menceritakan mengenai golongan Ashab al-Kahfi (kisah tujuh pemuda yang tertidur di dalam gua selama 309 tahun); Katakanlah (wahai Muhammad): Allah jua yang mengetahui tentang mereka yang tidur; bagi-Nya lah yang tertentu ilmu pengetahuan segala raksia langit dan bumi; terang sungguh penglihatan-Nya dan jelas sungguh penderan-Nya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain-Nya) dan Dia tidak menjadikan sesiapa pun masuk campur dalam hukum-Nya”.

Penggunaan perkataan waliyyan (pemerintah) dalam bentuk tunggal diulang sebanyak 13 kali. Contohnya dalam ayat yang menceritakan tentang kisah Nabi Zakaria AS mengadu kepada Allah SWT agar dianugerahkan seorang anak lelaki (wali). Sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu kurniakanlah daku daripada sisi-Mu seorang anak lelaki, yang akan mewarisi aku dan mewarisi keluarga Yakub; dan jadikanlah dia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai.” (Maryam, ayat 4-6).

Yahya Jusoh menjelaskan (SFPDI, hal.55-68):

  • penggunaan perkataan waliyyan yang merujuk kepada dua bentuk pemerintah, pemerintah Allah dan pemerintah syaitan. Siapa yang menurut pemerintah Allah akan mendapat petunjuk manakala siapa yang menurut pemerintah syaitan, akan memperoleh jalan kesesatan.
  • Penggunaan perkataan waliya (pemerintah) bentuk tunggal pula disebut dua kali dalam al-Qur’an.
  • Penggunaan perkataan waliyyuhu (walinya) dalam bentuk tunggal yang disertakan dengan kata ganti nama hu (nya) disebut sekali, yakni ketika menjelaskan tanggungjawab urusan jual beli secara Jumlah hutang hendaklah dicatat dan masa pembayarannya dilaksanakan secara adil, dengan disaksikan oleh dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua orang perempuan;
  • Penggunaan perkataan waliyyuhuma (pemerintah bagi mereka berdua) dengan kata ganti nama huma (kedua-duanya) disebut sekali (ali-Imran, ayat 122);
  • Penggunaan perkataan waliyyukum (pemerintah kamu) dalam bentuk tunggal yang disertakan dengan kata ganti nama kum (kamu) disebut sekali (al-Maidah, ayat 55);
  • Penggunaan perkataan waliyyuna (pemerintah kami) dalam bentuk tunggal yang disertakan kata ganti nama na (kami) disebut sebanyak dua kali. Contohnya, surah al- A’raf, ayat 155)
  • Terdapat penggunaan perkataan auliya (pemerintah-pemerintah) dalam bentuk jamak diulang sebanyak 14 Contohnya, surah al-A’raf, ayat 3;
  • Terdapat juga penggunaan perkataan auliya’ahu (pemerintah-pemerintahnya) dalam bentuk jamak yang disertakan kata ganti nama hu (nya) diulang sebanyak tiga kali, misalnya, surah Ali-Imran, ayat 175);
  • Penggunaan perkataan auliya’ukum (pemerintah-pemerintah kamu) dalam bentuk jamak yang disertakan dengan kata ganti nama kum (kamu) disebut sekali, iaitu pada surah Fussilat. Ayat 31);
  • Penggunaan perkataan wilayah (pemerintahan) dalam bentuk tunggal disebut sekali, iaitu pada surah al-Kahfi ayat 44;
  • Penggunaan perkataan auliya’uhum (pemerintah-pemerintah mereka) dalam bentuk jamak yang disertakan dengan kata ganti nama hum (mereka) disebut tiga Misalnya, pada surah al-Baqarah, ayat 257; dan,
  • Perkataan wilayatihim (pemerintah mereka) dalam bentuk tunggal yang disertakan kata ganti nama him (mereka) disebut sekali dalam surah al-Anfal, ayat 72;

Dalam kesimpulan mengenai istilah lima istilah –khalifah, sultan, imam, malik dan wali - yang dapat dikaitkan dengan politik dalam al-Qur’an, Yahya Jusoh menyatakan secara ontologi, falsafah politik Islam adalah:

  • Kuasa politik tertinggi adalah pada Allah secara mutlak. Manusia hanya diberikan kuasa sebagai pemegang amanah dan mereka akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah pada hari akhirat nanti;
  • Para nabi dan rasul diberikan kuasa politik untuk melaksanakan hukum Allah sebagai pengurus, pentadbir, dan memakmurkan alam. Walau bagaimanapuun, tidak semua para nabi dan rasul yang memperoleh kuasa politik untuk memerintah negara. Secara umumnya, para nabi dan rasul berjaya menyampaikan seruan dakwah Islam kepada umat masing-masing;
  • Antara nabi dan rasul yang mendapat kuasa politik untuk mengurus dan mentadbirkan negara ialah Nabi Adam AS, Nabi Idris AS, Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS, Nabi Ishak AS, Nabi Yusuf AS, Nabi Zulkifli AS, Nabi Musa AS, Nabi Ilyas AS, Nabi Ilyasa’ AS, Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS, Nabi Yunus AS dan Nabi Muhammad AS;
  • Manusia juga diberikan kuasa politik untuk mengurus, mentadbir dan memakmurkan alam menurut prinsip dan fungsi negara Islam dalam melaksanakan syariat Allah;
  • Antara kerajaan dan pemerintah Islam ialah zaman. Thith Ibnu Adam AS, Tahmurah, Jamsyid, Iskandar Zulkarnain, khalifah ar-Rasyidin, Bani Umayyah, Abbasiyyah, Uthamaniyyah Turki, Safawiyyah di Parsi, kerajaan Mughal di India, kerajaan Fatimiyyah di Mesir, kerajaan Aceh Dar al-Salam, dan Kesultanan Melayu Melaka; dan
  • Negara Islam ialah negara berkebajikan yang mendapat keampunan daripada Allah untuk melaksanakan syariat Allah serta memakmurkan dunia dengan sains dan teknologi yang mendapat keredhaan Allah SWT. (SFPDI, hal. 68-69). (BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Written by Admin
Category: Semasa
Hits: 435