MENYANGKAL LEBIH MUDAH DARI MENCARI KEPASTIAN

Beberapa minggu lalu, minda tersesak dengan "penyangkalan serius", dan semakin mengarahkan pemikiran ke ruangan keterpasungan penafian fikiran salah atau benar.

Kita terpasung dengan kritikan tajam yang memudarkan harapan untuk menjadi "kuat, gagah dan perkasa" kerana minda sentiasa dibelasah realiti baharu yang hadir dalam ciri-ciri populis dan populisme.

Setiap pandangan berbeza kita tolak dengan wasangka dan prejudis, sehingga semuanya membentuk semacam sejenis ancaman dan kelemahan yang merugikan. Kita dengar, ramai yang bercakap tentang Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani antara anakonda dan ular lidi. Anakonda, ular gergasi yang mudah menelan ular lidi, walhal kita tahu, anakonda juga spesies ular yang ada naluri dan tabii yang sama, mematuk bila terpaksa.

Cuma, ular lidi tidak boleh menelan anakonda, tetapi anakonda boleh kerana sifatnya beribu kali ganda dengan fizikal ular lidi. Malaysia adalah ular lidi, sama ada dari segi saiz mahupun kekuatan tenaga yang diperlukan untuk terus hidup sebagai sebuah negara bangsa.

Anakonda, ada banyak kelebihan, kekuatan yang boleh "memaksa", kalau ianya dianggap sebagai "memaksa" kerana banyak spesies ular bergantung kepadanya, untuk berlindung. Jika sama-sama berada di air, tubuh anakonda yang besar boleh menjadi "benteng" tatkala berlaku kepala air, dan boleh juga menyebabkan air bergelombang jika anakonda menghempas tubuhnya ke air.

Ular-ular yang kecil akan menjadi mangsa, tidak mampu menahan gerak air yang kuat akibat hempasan "kemarahan" seekor anakonda. Jadi, ular-ular yang kecil tidak usahlah mengancam anakonda mengamuk, terutama apabila melihat anakonda sedang "memasang badan" menantikan pasangannya di persimpangan aliran air, terutama di musim mengawan.

Saya gunakan analogi begitu kerana Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald J Trump umpama sedang menanti pasangan untuk mengawan. Tujuan mengawan ialah untuk kelangsungan kekuatan yang ada padanya, kekal menjadi sebuah negara yang kuat dan kuasa dolar dapat dipertahankan selama mungkin, selagi mereka boleh pertahankan,.kerana kita tidak mahu muncul gelombang besar yang boleh melemaskan, juga boleh menyebabkan kita turut merasa sengsaranya.

Kita perlu memahami dan menguruskannya, dengan strategi dan kemahiran berunding, bukan kemahiran menyanggah dan mengecam, tanpa rasa takut dikatakan salah. Kita diajar oleh dua pendekatan dalam perhubungan yang berkesan, iaitu pendekatan karakter dan personaliti. Sebelum muncul teori pembangunan personaliti, kita memuja kepada kaedah pembinaan karakter seperti yang diramalkan dalam masyarakat di awal sejarah tamadun, dengan kekuatan fizikal dan ketajaman mata menyergah lawan. Seseorang pemimpin akan dipilih berdasarkan kekuatan fizikal dan kemahiran menggunakan senjata, dan dalam masyarakat Yunani, mereka yang menang dalam acara adu tenaga dalam temasya yang kita anggap terbesar dalam tradisi persaingan, iaitu olimpik.

Kita tahu, Perikles, adalah seorang pemenang dan beliau menjadi seorang pemimpin yang mula membiasakan kita dengan idea demokrasi. Ia berlaku sekitar tahun 450 SM, di Athens. Embrio demokrasi, kata Donald Kagan, oleh kerana Perikles mempunyai "kawalan politik yang kuat dan mampu memberikan undang-undang yang dipersetujuinya lulus dalam sidang, serta mampu menghalang rang undang-undang yang tidak disukainya... ia membantu menghindarkan daya fait accompli berlebihan...adalah natijah daripada keputusan-keputusan yang dibuat oleh manusia dalam sebuah dunia yang tidak mampu mereka kawal sepenuhnya." (Donald Kagan, Perikles: Athens dan Kelahiran Demokrasi, terjemahan al-Mustaqeem M Radhi, Rawang, Selangor: Awal Nadhah Resources, 2016, hal. 4-5).

Tarian terus dicipta sehingga tempikan dan kecaman menjadi senada dengan "kepala air" yang tujuannya adalah jelas, kerajaan Madani perlu diturunkan akibat ART yang menyebabkan "ular lidi" bakal ditelan anakonda. Kata bekas PM 4 dan 7, PMX yang menandatanganinya itu wajar meletakkan jawatan, dan pekik sekumpulan "perusuh politik", mereka akan anjurkan Himpunan Turun Anwar 2.0 dalam masa terdekat. Apa pun penjelasan, keterangan balas yang diperkatakan, tidak lagi mereka mahu mendengarnya, kerana itulah perangai mereka yang cukup bertanjak membangunkan populisme.

Katakan apa sahaja, ART ada "exit clause" tetap mereka akan kata, "tidak cukup kuat", kerana jika dibatalkan, dikenakan penalti yang tinggi. Ia mengingatkan kita apabila projek Jambatan Bengkok dibatalkan, ratusan juta terpaksa dibayar pampasan kepada kontraktor pemula. Kita juga ingat bagaimana projek HSR -keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura- juga ratusan juta pampasan terpaksa dibayar bila dibatalkan.

Lebih menyakitkan ialah dakwaan, kita hanya untung RM 12 bilion daripada kelunakan anakonda, sedangkan sebagai ular lidi dipaksa mengeluarkan wang lebih RM 1 trillion membeli barangan Amerika Syarikat. Sekali lagi kita melihat, apakah RM 1 trillion itu akan menjadi beban kerajaan? Sebahagian besarnya ialah komitmen untuk membeli pelbagai versi pesawat Boeing, yang diperlukan oleh sektor penerbangan komersial negara untuk kembali mengembangkan sayapnya seperti zaman-zaman PM 4 dan PM 7.

Pesawat yang ada, sudah berusia dan tidak cukup untuk merintis laluan antarabangsa yang lebih luas, dan bersaing dengan syarikat-syarikat penerbangan yang sudah lebih maju daripada syarikat kebangsaan negara. Industri pesawat terjejas teruk semasa pandemik COVID 19, dan kini kita sedang meneroka semula kemungkinan-kemungkinan yang lebih besar dan berdaya saing. Kita tidak akan mampu bersaing dengan pesawat lama, maka syarikat penerbangan perlukan pesawat baharu, yang bukan sahaja canggih bahkan mampu menarik minat baharu. Hanya ada dua buah syarikat yang tersohor dalam pengeluaran pesawat komersial, Boeing dan Airbus.

Malaysia memberikan komitmen untuk membeli 30 buah pesawat Boeing dalam tempoh lima tahun. Pembelian itu bukan oleh negara, tetapi oleh pengusaha industri penerbangan. Jadi, duit merekalah yang membayarnya, tetapi kerajaan hanya memberikan jaminan, jika syarikat memerlukan jaminan untuk meminjam. Sudah lama transaksi sedemikian berlaku.

Sejak zaman PM 4 lagi, yang memberikan jaminan akan membeli semula saham MAS jika Tajudin Ramli bercadang menjualnya, setelah MAS diswastakan. Itu adalah sejarah, sejarah yang tidak boleh dipadamkan bahawa PM 4 telah melakukan "kesilapan besar", tetapi beliau bijak menjawab, atas kepentingan nasional, kerajaan beli semula, tidak mahu menjadi milik asing.

Berapa banyak yang terpaksa dibayar? Kes yang sama bila Proton dijual kepada DRB Hicom. Kemudian, kerajaan terpaksa menyuntik berbilion ringgit untuk mempertahankannya, agar jenama itu kekal. Namun, PM5 tidak sanggup lagi menanggung beban, lantas membuka laluan bagi membolehkan DRB menjual sebahagian sahamnya. Kini, 49 peratus dimiliki oleh Geely, sebuah syarikat daripada China. Prestasi Proton meningkat dan mula menghasilkan keuntungan, walaupun sebahagian besar jenama Proton adalah rebadge daripada kereta keluaran Geely.

Kita belum boleh berbangga sepenuhnya, kerana Proton hanya sekadar kilang pemasangan kereta, bukan pengeluar kereta dalam erti kata sebenar, masih sama dengan apa yang berlaku di awal penubuhannya, 1985. Sedangkan, Korea Selatan yang melaksanakan industri automotif sezaman dengan Proton berbangga dengan Hyundai dan Kia, kerana kereta-kereta sepenuhnya hasil mereka walaupun pada awalnya, hanya sekadar reverse engineering daripada model-model kereta tertentu yang terkenal.

Kenapa ini berlaku? Tidak lain tidak bukan kerana kita lebih selesa hidup dalam "budaya menyangkal" dan tidak mahu berganjak dari sindrom penafian. Kita cukup enggan berfikir untuk keluar daripada budaya dan sindrom tersebut. Kita lebih mudah menerima, kerana kita masih belum bebas sepenuhnya mentaliti penjajahan, kita masih terpasung dengan doktrin politik " yang datang dari luar itu lebih kuat dan menarik" dan seboleh-bolehnya, kita menerimanya dengan senang hati, tanpa perlu lahir budaya mencipta apa yang kita perlukan.

Kita kurang yakin dengan diri sendiri, tetapi kita lebih mahukan orang lain melihat kita juga hebat, dan itulah yang kita melakukannya. Kita lebih lebih takut kegagalan, walhal kita tahu, setiap kejayaan yang muncul, beratus kali penciptanya menemui kegagalan. Tetapi mereka terus bereksperimen dan tidak pernah rasa kecewa atau give-up. Itulah yang sudah kita belajar dari semangat PM 4, keberanian untuk mencuba tanpa rasa takut.

Tetapi, setelah melepaskan jawatan PM4 dan 7, beliau menjadi penyangkal tegar, yang sikap itu ditentang semasa berkuasa. Cukup paradoks dan penuh kontradiksi. Sebabnya, ada elemen narsis mengalir dalam genetiknya, melihat selamanya orang lain lebih "hodoh dan buruk" berbanding dirinya yang sentiasa betul dan ada idea yang bernas. Disangkalnya ART, tetapi terlupa dia juga pernah membuat kesilapan Buy British Last dan Look East Policy. Orang lain "tidak boleh", tetapi "aku boleh".

Begitulah juga dengan apa yang sedang dihadapi oleh Prof Saleha Yaacob daripada Universiti Islam Antarabangsa, hipotesisnya ditafsirkan sebagai sejarah yang keliru. Walaupun dijelaskan, bahawa itu adalah satu bentuk hipotesis, berasaskan sumber yang diketahuinya, tidak akan ada yang percaya atau boleh menerimanya. Beliau tidak mengatakan dengan jelas, Rom belajar daripada orang Melayu teknologi membuat kapal, tetapi, ramai yang membuat kesimpulan berdasarkan mentaliti terperangkap bahawa hipotesis tersebut merupakan sebuah kesimpulan yang salah, membohongi sejarah.

Apa yang beliau cuba rumuskan ialah beberapa andaian yang hadir daripada penyelidikannya, daripada sumber yang tidak menjadi minat sebahagian besar warga akademik. Mereka tidak mahu keluar daripada pasungan teori barat yang kita tahu mahu menjadikan peradaban mereka lebih unggul daripada mana-mana peradaban yang lahir sebelum dah selepas mereka berjaya menguasai jagat raya melalui kolonialisasi. Kini, mereka berubah strategi, menguasai melalui imperialisme, neo-imperialisme dan pasca-koloniasme, globalisasi serta post-truth.

Kenapa mereka berjaya? Mereka hadir dengan perspektif empirik yang mereka cipta, untuk menghapuskan segala memori bangsa lain, yakni bangsa yang pernah mereka jajah. Prof Saleha cuba mencari sumber yang lain, membina hipotesis tentang campur baur pengaruh, yang bukan sahaja berlaku dalam dominasi barat, kerana kemungkinan berlaku difusi budaya dan teknologi asing ke dalam masyarakat barat. Kita tahu, bagaimana masyarakat barat cuba membolak-balik sumbangan intelektual Islam, yang mereka belajar setelah mereka dilanda Zaman Kegelapan (Dark Ages).

Pengetahuan itu mereka gunakan, akhirnya mereka berjaya menguasai sebahagian besar jagat raya, dengan mengatakan mereka adalah yang mempelopori pelbagai bidang. Umat Islam dikembirikan, dirasuk dengan kerangka ilmiah mereka, walhal kerangka itu adalah ubahsuai atau inovasi yang mereka buat setelah belajar daripada kehebatan intelektual Islam.

Bersambung…

KAMARUN KH

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com