Print

 

‘ROH DAN JIWA PERJUANGAN PN’

PERIKATAN NASIONAL (PN) adalah jenama politik yang berwibawa, berintegriti, digeruni dan terkenal di Malaysia ketika ini.

PN diasaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU dan Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Beliau mendaftarkan PN dengan Pendaftar Pertubuhan pada 28 Februari 2020 supaya PN menjadi gabungan politik baharu selepas keruntuhan Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0.

Muhyiddin juga menyuntikkan elemen strategik ke dalam perlembagaan PN, struktur organisasinya, dan sistem pengurusannya.

Logo, cogankata serta warna bendera PN juga menerima sentuhan peribadi daripada Muhyiddin.

Hakikat ini menunjukkan, roh dan jiwa perjuangan PN adalah berpaksikan roh dan jiwa perjuangan Muhyiddin.

Dedikasi dan komitmen perjuangan PN pula adalah berteraskan citra perjuangan Muhyiddin demi rakyat Pribumi dan bukan Pribumi Malaysia.

Ikatan roh dan jiwa inilah yang meledakkan sokongan rakyat, termasuk pengundi atas pagar, kepada PN dalam PRU15 pada November 2022.

Begitu juga sokongan kepada PN dalam PRN di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan pada Ogos 2023.

Ini sebabnya, “PRU15 menyaksikan penguasaan semula PN dalam landskap politik negara sejak tahun 2021 … Siapa sangka koalisi diterajui Bersatu, Pas dan Gerakan berjaya mencipta kejutan terbesar. Buat pertama kali dalam sejarah politik negara, PN berjaya memecahkan dominasi BN dan PH dengan memenangi 73 kerusi Parlimen …” (Khairil Anwar, Sinar Harian, 21 November 2022).

Lantas, betapa hancurnya hati Muhyiddin, apabila pada hujung tahun 2025, beliau disumpah seranah dan diminta “berambus” daripada PN.

Perkataan biadap ini dilemparkan kepada Muhyiddin kerana kononnya pertukaran Menteri Besar Perlis daripada ADUN Pas kepada ADUN Bersatu, pada hujung Disember 2025; adalah perbuatan “tikam belakang” terhadap Pas yang dilakukan oleh Muhyiddin.

Tetapi, bukankah pertukaran Menteri Besar Perlis itu atas permintaan Raja Perlis?

Bukankah pertukaran ini juga terkait dengan perilaku anak Menteri Besar yang mewakili Pas, yang kebetulannya menantu Presiden Pas?

Selain itu, betapa kecewanya Muhyiddin, bila Bersatu difitnah, kononnya tidak pernah memberikan dana pilihan raya kepada Pas.

Ini kerana rekod dan fakta menunjukkan, Bersatu telah memberikan dana pilihan raya kepada Pas.

Tetapi, Muhyiddin terus berusaha mengukuhkan PN menerusi kerjasama pilihan raya (electoral pact) dikenali sebagai Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), dengan beberapa parti politik tertentu.

IPR dibentuk “demi keselamatan politik Malaysia dan kesejahteraan hidup rakyat jelatanya di hari muka … Usaha ini strategik, mendepani zaman, dan menunjukkan PN serius untuk menjadi gabungan alternatif kepada Kerajaan Perpaduan yang rapoh dan semakin kehilangan sokongan rakyat” (Ruhanie Ahmad, Bebasnews 19 Julai, 2025).

Malangnya, Pas bersikap dingin terhadap IPR. Ia tidak menghadiri beberapa mesyuarat IPR.

Seluruh perkembangan di atas menunjukkan, PN belum mempunyai prinsip disiplin untuk menjamin kelangsungan, kelestarian dan permuafakatan perjuangannya.

Antaranya, tulisan Ruhanie Ahmad (2022) menghuraikan, bahawa setiap komponen PN perlu mengamalkan disiplin dan kod etika kelakuan untuk menjamin keharmonian PN. Jika tidak, gabungan politik ini pasti akan runtuh.

Kesimpulannya, jangan diperkecilkan kewujudan roh dan jiwa perjuangan Muhyiddin yang sudah sebati dengan roh dan perjuangan PN.

Jangan sesiapa bertindak semberono untuk menyingkirkan Bersatu daripada PN.

Memang mudah untuk berkata, bahawa PN bukan milik sesiapa secara mutlak. Tetapi, insaflah, tanpa Muhyiddin dan Bersatu, PN pasti akan ranap selama-lamanya!

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

Sumber: bebasnews.my

 

Written by Admin
Category: Semasa
Hits: 94