SELAMA INI PERJUANGAN PAS ITU TIDAK ISLAMKAH?

Membaca hasrat PAS seperti yang diinginkan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Mohd Sanusi Mohd Nor sempena azam tahun baharu parti itu sedikit sebanyak menyebabkan ramai daripada kita bertanya: selama ini perjuangan PAS belum Islamlah?

Ramai yang tersenyum lebar dengan kenyataan itu, dan ramai pula yang mungkin menjawab, apa yang parti itu lakukan sepanjang sejarah sejak ditubuhkan pada tahun 1951 tidak menepati kehendak Islam walaupun berideologikan Islam.

Ya! Ramai boleh menjawab, ramai yang percaya bahawa PAS bukanlah sebuah parti yang bercirikan politik Islam. PAS sudah lama mengatasnamakan Islam sebagai jalan politiknya. Oleh kerana itu, kata Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin perjuangan parti yang mengatasnamakan Islam cukup bahaya. Bahayanya kerana politik seperti itu sentiasa berkonflik, konflik atas dasar kepentingan tertentu.

Apa tidaknya. Kata Dr Mohd Asri lagi, hari ini tidak boleh, tetapi esok boleh pula. Fatwa politiknya berbeza-beza, kerana ia dibuat berdasarkan kepentingan politik, bukan kepentingan Islam. Dalam Islam, walaupun ada istilah politik, ianya bertujuan untuk menguruskan permasalahan rakyat, komuniti dan negara dalam kerangka Islam, bukan kerangka politik semata-mata.

Islam adalah agama, tetapi Islam bukanlah politik. Islam adalah cara hidup tetapi politik ialah cara untuk meraih kuasa, kerana itulah Basam Tibi, ilmuan dari Syria yang bermastautin dan mengajar di Jerman memanggilnya sebagai Islamisme, politik yang cuba diagamatisasikan. (Basam Tibi, Islam dan Islamisme, terjemahan bahasa Indonesia, Bandung: PT Mizan Pustaka, 2007).

Islam dan Islamisme adalah dua entiti yang berbeza. Islam adalah agama spiritual dan peradaban yang luas, tetapi Islamisme ialah ideologi politik radikal yang mencampuradukkan agama dan politik. Tujuan Islamisme ialah untuk menubuhkan sebuah negara Islam yang berdasarkan syariat, tetapi Islam berusaha untuk membangunkan rasa dan tahap keimanan, etika inklusif sebagaimana sifat Islam itu sendiri, yang hadir sebagai cara hidup yang terbaik dengan akhlak dan dasar kemanusiaan yang jelas. Politik, walaupun hasratnya begitu, perjalanannya tidak menuju ke arah itu.

Kita boleh sahaja mengkaji ulang sejarah, kerana sejarah itu boleh membimbing untuk melihat bagaimana politik akhirnya telah membuatkan penyatuan umat Islam terlalu sukar, walhal Islam itu adalah agama yang menyatukan pelbagai kabilah yang berpecah dengan hasrat, keinginan dan primordial tertentu. Politik telah menimbulkan pelbagai sengketa dan tragedi, Islam sebagai sebuah sistem yang menyeluruh telah menjadi seperti laluan sungai yang bercabang-cabang, sehingga setiap cabang itu menjadi terlalu eksklusif.

Pertikaian bermula hanya sekadar mencari pengganti Nabi Muhammad SAW telah berkembang kepada konflik sekterian. Sampai sekarang konflik tersebut belum berakhir malah semakin bercabang dan saling berseberangan dengan pelbagai aliran pemikiran yang belum menampakkan ada jalan penyelesaiannya. Itulah sejarah yang tidak boleh kita tutup untuk selamanya selagi umat Islam berpegang kepada ideologi politik masing-masing, walaupun cuba menggunakan hujah al-Quran dan sunnah untuk mewajarkan tindakan masing-masing.

Kajian Ahmet T Kuru (yang bukunya diharamkan di Malaysia, Islam, Autoritarianisme, dan Kemunduran Bangsa: Satu Perbandingan Global dan Pensejarahan, terjemahan Hasyir Mursyidi Husam, K.Lumpur: Islamic Renaissance Front, 2024) menemukan satu kaitan yang cukup menjengkelkan apabila para ulama menggunakan hujah agama untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa, sehingga menjadi terlalu autoritarian. Ada dakwaan buku ini sebagai satu bentuk "serangan ke atas perselingkuhan para ulama" dan kejayaan kerajaan dalam menormalisasikan sekularisme.

Akibatnya, umat Islam terus dilanda fenomena kemunduran yang cukup parah, walaupun sebahagian besar negara-negara yang majoriti penduduknya adalah Islam mempunyai sumber alam semulajadi yang banyak, ia tidak dimanfaatkan untuk kepentingan pembangunan Islam. Para ulama politik cuba menguasainya, dan bagi mengekalkan kuasa, sebahagian kecil digunakan untuk membangunkan infrastruktur, memberikan jaminan sosial kepada masyarakat, tetapi dalam masa yang sama, menyalahgunakan kekayaan itu untuk kekayaan peribadi atau mempertahankan dinasti. Itulah dikatakan oleh Ahmet T Kuru sebagai perselingkuhan antara ulama-kerajaan, dan akhirnya membentuk kitaran yang cukup memundurkan Islam itu sendiri.

Pada suatu ketika, ada yang cukup marah apabila terdapat cadangan untuk menggugurkan istilah Islam sebagai sebahagian daripada jenama parti politik. Mereka menolak cadangan itu dengan alasan, Islam tidak dapat atau boleh dipisahkan dengan politik. Tanpa kuasa, Islam tidak dapat ditegakkan dan penguatkuasaan hukum-hukum Islam tidak dapat dilaksanakan. Atas sebab itu mereka yang bercakap mengenai persoalan tersebut dilabelkan sebagai "kafir" kerana cuba memisahkan antara agama dan politik.

Mereka berhujah bahawa sejarah Islam cukup kuat kaitannya dengan adunan dua aspek tersebut sehingga Islam muncul sebagai kekuatan yang menyumbang kepada peradaban dunia. Tidak ada sesiapa yang tidak bersetuju dengan kenyataan itu, tetapi kita juga tidak menolak bahawa krisis yang berlaku dalam sistem pemerintahan Islam sehingga silih berganti bentuk dan dinasti adalah kerana didorong oleh keghairahan menegakkan dinasti tertentu. Sejarah panjang itu dibangun atas konflik, persengketaan dan tragedi. Ia bermula dengan rasa tidak puas hati terhadap pengangkatan Abu Bakar as-Siddik sebagai pengganti Nabi Muhammad SAW.

Namun, gelora itu tenang seketika, tetapi kembali menjadi persoalan besar pada zaman Umar al-Khattab, Uthman Affan dan kemuncaknya, ketika Ali bin Abi Talib. Puak Khawarij menjadi semakin ganas, sehingga pada suatu keadaan memunculkan pula gerakan yang cukup radikal setelah berkembang kepada Syiah. Nama-nama seperti Rashid Sinan, Lelaki Tua Dari Gunung bukan sahaja berusaha membunuh mana-mana pemimpin Islam yang bergerak atas landasan penyatuan, bahkan ikut mengkhususkan radikalismenya sebagai "pembunuhan upahan". (Bernard Lewis, Assassins: A Radical Sec in Islam, 1997).

Bagaimana pula dengan Malaysia? Tahun 1951 memunculkan sebuah parti politik yang mengatasnamakan Islam. Mereka berjuang untuk menegakkan sebuah negara Islam, dan pada pandangan mereka, Malaysia adalah sebuah negara yang mewarisi Perlembagaan Penjajah. Oleh kerana itu, ia bukan sahaja menjadi keperluan, ia adalah suatu kewajiban untuk mengubahnya, maka sejak itulah kedengaran cukup lantang melihat Islam dan bukan Islam tidak boleh disatukan. Bukan itu sahaja, mereka mengeluarkan sebuah doktrin politik yang cukup mematikan: haram mengambil bukan Islam sebagai pembantu dan jika mengambil atau bekerjasama dengan bukan Islam, ia sudah dikategorikan sebagai kafir. (Mohd Agus Yusuf, penyunting, Perkembangan dan Perubahan Sosio-Politik Kekangan, 1955-1995, Bangi: Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan, UKM 1995).

Isu kafir mengkafir mula menjadi tema kempen politik PAS dalam PRK di Pasir Mas, Kelantan pada tahun 1961 dan sehingga sekarang kekal sebagai salah satu tema yang kental. Dua puluh tahun kemudian (1982) sebuah ungkapan telah membentuk sebuah doktrin politik yang cukup menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam. Doktrin itu dikenali sebagai Amanat Haji Hadi. Sampai kini, doktrin itu masih menjadi sebahagian daripada bahan kempen di peringkat akar umbi walaupun dikecam dan pernah diisytiharkan sebagai "fatwa haram". Fatwa itu terus diterjemah dan dikitar ketika calon parti PAS berhadapan dengan lawannya, yang juga calon Melayu-Islam.

Oleh kerana "terjerat dengan fatwa sendiri", PAS tidak berusaha melakukan pembetulan tetapi cuba ditindan-tindihkan dengan slogan-slogan bagi menampakkan bukan anti bukan Islam. Misalnya, ketika bersama Pakatan Harapan, dibunyikan slogan Negara Islam dan ditonjolkan Negara Berkebajikan. Ketika membentuk Muafakat Nasional disebarkan keperluan penyatuan politik Melayu Islam tetapi selepas tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan, melontarkan pula bahawa Melayu-Islam terancam, hanya PN sahajalah yang mampu mempertahankan Melayu-Islam.

Kini, slogan penyatuan Melayu-Islam kembali diperkatakan apabila Bersatu dipilih sebagai MB Perlis dalam kemelut tebuk atap dari dalam. Ia berlaku kerana calon yang dicadangkan oleh PAS tidak dipilih menggantikan wakil rakyatnya yang meletakkan jawatan. Kitaran untuk kembali kepada Muafakat Nasional kembali bergema dan bersambut sehingga menyebabkan ramai yang mula ketawa, sejauhmanakah PAS setia bila berkawan, tidak lagi bertindak sebagai "duri dalam sekam" dan "menikam dari belakang".

Apakah Islam tidak menjadi kerangka pentadbiran negara? Namun setelah kita melihat kepada posisi undang-undang, secara jelas bahawa Islam adalah agama Persekutuan, dan dalam masa yang sama memberikan kebebasan kepada bukan Islam untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Apakah bila PAS menang dan menjadi kerajaan, peruntukan membenarkan bukan Islam dengan kepercayaan masing-masing akan dihapuskan? Apakah PAS akan meminda Perlembagaan Malaysia dengan menghapuskan peruntukan tersebut?

Sanusi seharusnya memberikan penjelasan yang memadai, kerana imej PAS setakat ini masih belum boleh diterima dengan baiknya oleh bukan Islam. Sejarah radikalisme politik, pemikiran dan pemikiran ideologi politik mereka menjurus kepada kebangunan sesebuah pemerintahan Islam, yakni seluruh persoalan undang-undang ditukarkan menjadi perundangan syariah. Itulah yang menjadi kebimbangan bukan Islam, bahkan PAS sendiri belum bersedia melaksanakan undang-undang di negeri yang diperintahnya kerana ada percanggahan dengan kedudukan Perlembagaan Malaysia. Ia dapat dilihat daripada keputusan kes Nik Ekin Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1). Kekalahan itu disifatkan sebagai Black Friday oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyudin Hassan.

Beberapa minggu lalu, PAS Kedah terkilan dengan keputusan undang-undang yang membatalkan keputusan kerajaan negeri menutup premis jualan nombor ramalan. Keputusan ini memberikan satu tafsiran bahawa keputusan yang dibuat oleh sesebuah kerajaan negeri seharusnya tidak melampaui Perlembagaan Malaysia. Apakah keputusan tersebut menjadi faktor Sanusi bercakap mengenai perjuangan untuk mengkerangkakan pentadbiran kerajaan dengan undang-undang Islam?

Namun, apa yang jelas ialah tindakan PAS sendiri untuk menutupi kelemahan mereka, kelemahan dalam membuat keputusan tanpa serius meneliti obligasi undang-undang yang lebih tinggi, ialah Perlembagaan Malaysia. Maka, setiap kali berhadapan dengan isu sedemikian, PAS akan kekal bercakap dengan sistem pemerintahan Islam, hukum hudud dan sebagainya.

Akhirnya, PAS terus dipersoalkan kenapa semasa dalam kerajaan selama hampir tiga tahun tidak muncul keinginan untuk mengusulkan semula RUU 355, "goreng pisang panas" yang cukup laris menjelang PRU ke-14 (2018). Kenapa persoalan itu tidak menjadi keutamaan, sebaliknya lebih mengutamakan pembentukan Perikatan Nasional secara sah? Kenapa tidak ditentang pengeluaran lesen judi dan penguatkuasaan perkara-perkara yang dikatakan tidak Islamik?

Retorik Islam dan politik tidak boleh dipisahkan dilihat semakin "memakan tuan" apabila Dr Mohd Asri mula mengkritik sikap dualisme pemimpin parti tersebut. Kata Dr Mohd Asri, jika politik dan agama itu satu, kenapa bila ulama mengkritik mengenai budaya politik ia ditanggap sesuatu yang "tidak kena" dan mengharapkan seorang mufti tinggalkan jawatan, masuk politik? Inilah suatu bentuk paradoks. Mereka sentiasa menganggap dirinya sahaja yang betul, sedangkan hubungan ulama sah pemerintah ialah saling membantu, sebagai penasihat mahupun memberikan respon. Bahkan, al-Ghazali yang menjauhkan diri daripada penguasa, kekal memberikan nasihat dan pandangannya diminta oleh penguasa.

Kata Dr Mohd Asri lagi, empat imam besar yang menjadi ulama besar dalam kaedah pemikiran Islam tidak pernah mengkafirkan mana-mana orang Islam yang tidak sehaluan pandangan dengannya. Bahkan, ulama besar itu sentiasa - Imam Syafie, Imam Ahmad, Imam Hambali dan Imam Hanafi - memberikan hujah, setiap orang boleh mengikuti mana-mana aliran pemikiran yang bersesuaian dengan pemahamannya, asalkan tidak lari daripada prinsip al-Quran dan sunnah.

Namun, pemimpin PAS tidak begitu, kerana mereka yang tidak menyokong atau menentang partinya akan dianggap "kafir" dan tempatnya adalah "neraka". Syurga bukan mutlak milik PAS kerana syurga itu diadakan oleh Allah SWT sebagai ganjaran bagi mereka yang berjuang terus dalam dikotomi Amar Makruf Nahi Mungkar: Amar Makruf sebagai dasar ikutan dan kebajikan manakala Nahi Mungkar sebagai perang melawan nafsu dan pesona dunia.

Apakah Nahi Mungkar? Larangan yang ditetapkan oleh Allah. Antaranya fitnah, berbohong, mencela, memberi nama buruk kepada seseorang, menjatuhkan maruah dan peribadi seseorang, dan sebagainya. Apakah larangan-larangan tersebut sudah sepenuhnya terhapus dalam budaya politik PAS? Jika masih belum berlaku, maka sebaiknya pemimpin-pemimpin PAS terus mencari azam dan kaedah bagaimana menghancurkannya terlebih dahulu dalam setiap jiwa pendokong. Dengan cara itu, idealisme politik PAS akan membumi dan boleh diterima oleh setiap orang Islam dan juga bukan Islam.

Kata Jalaludin Rumi, seorang tokoh sufi terbesar Islam yang mendapat begitu banyak dokongan masyarakat dunia, baik Islam mahupun bukan Islam, lihatlah ke dalam diri sendiri sebelum melihat ke diri orang lain.

"Jika engkau ingin tahu seseorang, biarkan dia bicara. Dari bicaranya, engkau akan mengenalnya."

"Dunia yang diliputi permusuhan menjadi terasa sempit dibandingkan dengan dunia yang diliputi cinta. Ini jelas, kerana manusia lari dari dunia permusuhan menuju dunia penuh cinta."

"Bila kau ingin menarik hati orang lain, tanamlah benih cinta. Bila engkau ingin syurga, jangan mencampakkan duri di jalan."

"Andai kata dunia dipenuhi cahaya, seseorang tidak akan boleh melihatnya bila mata tidak ada cahaya, dan cahaya itu berasal dari dalam diri."

Saya tetap melihat Islam akan terus mekar dan mewangi, tetapi ia sangat bergantung kepada semangat, sikap dan tindakan umat Islam itu sendiri. Maka, jika PAS mendakwa dirinya sebagai parti Islam, tunjuk dan buktikanlah keislaman itu dalam maknanya yang sebenar, bukan bertaut hipokrasi dan maslahat diri sendiri, mendakwa "Akulah yang benar" kerana "benar sendiri" itu adalah tindakan yang terkutuk dan dibenci oleh Allah SWT.

Islam itu bukan hak mutlak PAS, ia adalah keinginan dan kemahuan setiap umat Islam, kerana Islam itu hadir dengan menegakkan syahadah, bukan menegakkan politik yang boleh dilenturkan bagi memenuhi hasrat dan tujuan. Setiap umat Islam berhak secara mutlaknya untuk mengamalkan Islam, bukan hanya dikhususkan kepada setiap pendokong dan aktivis PAS. Ia adalah cara hidup sejagat yang bertauhidkan keesaan Allah SWT, bukan melutut di kaki ulama, apalagi ulama politik.

Dan, kerana kita sendiri ingin berubah, janganlah pula perubahan ini menjadikan kita kembali mendongakkan kepada untuk melihat kesalahan orang lain; kekallah berubah dengan menunduk dan merintis jalan menuju jalan-Nya. Seumpama nasihat Syam Tabrizi: "Sebahagian orang menemui Tuhan di kedalaman dosanya; sebahagian yang lain kehilangan-Nya dalam kenikmatan yang dimilikinya."

KAMARUN KH

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com