TANGANI FENOMENA HALUSINASI AI DENGAN PRINSIP AL-QIRĀ’AH DARIPADA SUMBER BERAUTORITI
Oleh Muhammad Safwan Harun
KECERDASAN buatan (AI) kini menjadi salah satu teknologi paling berpengaruh dalam dunia moden. Aplikasi berasaskan AI seperti ChatGPT, Copilot, Gemini dan Claude digunakan secara meluas dalam sektor pendidikan, kewartawanan, perniagaan, penyelidikan dan pentadbiran. Teknologi ini menawarkan pelbagai kemudahan termasuk mempercepatkan kerja, menjana idea, bahkan membantu menghasilkan penulisan akademik yang kelihatan tersusun dan meyakinkan.
Namun begitu, di sebalik kelebihan tersebut terselit satu bahaya besar yang semakin membimbangkan—iaitu fenomena halusinasi AI (AI hallucination). Fenomena ini merujuk kepada keadaan di mana AI menghasilkan maklumat yang kelihatan benar, tetapi sebenarnya palsu atau tidak disokong oleh fakta.
Halusinasi AI bukan sekadar kesilapan kecil seperti salah ejaan, tetapi ia melibatkan penghasilan maklumat rekaan yang disusun dengan gaya bahasa meyakinkan seolah-olah ditulis oleh sarjana. Dalam konteks agama, AI bahkan mampu “memetik” hadis yang tidak wujud, menisbahkan pandangan kepada ulama yang tidak pernah mengeluarkannya, atau mencipta rujukan akademik yang hakikatnya tidak ada. Hal ini amat berbahaya kerana boleh menyelewengkan fakta, mengelirukan masyarakat, dan dalam kes tertentu menggugat akidah.
Fenomena ini berlaku kerana model bahasa besar (Large Language Models) dilatih menggunakan jutaan data rawak daripada Internet, termasuk data yang tidak sahih atau tidak disemak. AI tidak “berfikir”; ia hanya meramal perkataan yang paling mungkin berdasarkan pola statistik. Apabila ditanya mengenai sesuatu yang tiada jawapan tepat, ia akan “mengisi kekosongan” dengan mencipta maklumat supaya ayatnya kelihatan lengkap dan logik.
AI dicipta untuk menghasilkan teks yang lancar, bukan untuk menilai benar atau salah. Oleh itu, apabila pengguna bertanya tentang isu hukum syarak, AI dengan mudah menghasilkan “fatwa”, tafsiran ayat al-Quran atau pendapat ulama yang langsung tidak wujud. Bahayanya bertambah apabila masyarakat tidak memiliki asas ilmu agama yang cukup untuk menilai kesahihan maklumat tersebut.
Islam sejak awal mengajar umatnya agar menyemak dan menilai setiap maklumat sebelum mempercayainya. Prinsip ini selari dengan aspirasi firman Allah SWT dalam Surah al-‘Alaq yang menyeru manusia untuk “Iqra’”—bukan sekadar membaca secara literal, tetapi membaca dengan tadabbur, tafakkur dan penelitian. Tradisi Islam menekankan semak imbang (tabayyun) sebelum menyebarkan sesuatu maklumat.
Menurut amalan masyarakat sebelum ini, maklumat daripada laman web sering dianggap rendah autoritinya. Ironinya, apabila maklumat yang sama disampaikan melalui aplikasi AI, ramai mula menerimanya tanpa verifikasi hanya kerana gaya bahasanya kelihatan meyakinkan. Keadaan ini menghilangkan budaya semak imbang dalam masyarakat moden.
Oleh itu, umat Islam perlu kembali kepada prinsip ilmu yang sebenar. Setiap maklumat yang dihasilkan AI mesti melalui semakan daripada sumber berautoriti, khususnya rujukan utama Islam seperti al-Quran, hadis, serta pandangan ulama muktabar. Panduan institusi rasmi seperti JAKIM, Dar al-Ifta’, al-Azhar dan Majma‘ al-Fiqh al-Islami juga perlu dijadikan rujukan apabila membincangkan isu agama.
Dalam bidang akademik, para penyelidik perlu merujuk jurnal berwasit, buku ilmiah dan laporan penyelidikan rasmi yang sah. AI boleh digunakan sebagai alat bantu carian atau penjana idea, namun kesahihan maklumat tetap mesti diverifikasi melalui sumber asal.
Bagi menangani fenomena halusinasi AI, beberapa langkah praktikal boleh diambil oleh pihak berwajib:
Pendidikan literasi AI perlu diperkenalkan di institusi pengajian bagi membolehkan masyarakat mengenal pasti tanda-tanda halusinasi AI.
Semua penulisan ilmiah atau agama yang menggunakan AI perlu melalui proses semakan berautoriti sebelum diterbitkan.
Institusi akademik perlu menggubal garis panduan etika penggunaan AI dari perspektif agama dan integriti ilmiah.
Masyarakat perlu menghidupkan budaya tabayyun digital dengan tidak mempercayai maklumat hanya kerana ia dihasilkan oleh “mesin pintar”.
Islam mengajar bahawa membaca tanpa menilai bukanlah ilmu, dan ilmu tanpa kebenaran bukanlah petunjuk. Dalam era digital hari ini, al-Qirā’ah yang sebenar ialah membaca dengan semakan, pertimbangan dan penilaian moral. Jika dahulu kita diingatkan, “jangan percaya semua yang dibaca di internet”, kini pesanan yang lebih penting ialah:
“Jangan percaya semua yang dihasilkan oleh AI.”
Dalam dunia yang semakin dikuasai mesin yang boleh meniru gaya ilmiah manusia, tanggungjawab menegakkan kebenaran tetap milik manusia yang berilmu dan beriman. Dengan gabungan ilmu, adab dan kejujuran, teknologi dapat menjadi alat kemajuan, bukan sumber kekeliruan.
Muhammad Safwan Harun (Ph.D) adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh-usul & Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan Saidatunnur Harun Graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)
Sumber: bebasnews.my
