Print

 

TIDAK MUDAH MENJATUHKAN PEMERINTAH

Oleh: Ibnu Majid

Islam menyaran umatnya menjauhi melakukan pemberontakan sebagai saluran atau cara untuk menjatuhkan sesebuah pemerintahan. Ini bukan cara yang betul untuk menegur kesilapan oleh pemerintah. Sebaliknya kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesilapan itu dengan cara-cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan agama.

Sesungguhnya perbezaan pendapat dan pandangan politik itu adalah sifat tabii manusia. Justeru, apabila berlakunya perbezaan pendapat, gunalah saluran dan mekanisme yang betul. Sebagai negara berperlembagaan dan menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang (supremacy of law), sudah barang tentu segala pertelingkahan dan perbezaan politik yang timbul perlu diselaraskan dengan kerangka dan peruntukan undang-undang yang disediakan. Menggunakan ‘pintu belakang’ bukan hanya menunjukkan belang sebagai pihak yang terdesak (desperado) dengan syahwat kekuasaan, namun juga membelakangkan perlembagaan negara dan hanya akan menghuru-harakan keharmonian dan ketenteraman negara.    

Ingatlah bahawa apabila kita ingin memperkasakan kedudukan bangsa, kita haruslah bermula dengan usaha membangunkan pola hidup masyarakat. Kita perlu menyemai benih-benih budaya dan nilai kehidupan yang harmoni, ia tetap bermula dengan niat. Niat bermula daripada kesanggupan hati dan iltizam kita. Secara berlawanan, jika hati resah atau kacau bilau, maka akan lumpuh dan hancurlah masyarakat.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 24 hingga 27 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman sahut dan sambutlah (seruan) Allah (dan seruan) Rasul-Nya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna (maju dan kuat) dan ketahuilah bahawa Allah (berkuasa) mengubah atau menyekat antara seorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya pada-Nya kamu akan dihimpunkan kembali dan jagalah diri kamu dari berlakunya dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim dalam kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu semua secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah amat hebat azab seksa-Nya.

‘‘Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya (lemah) serta tertindas di bumi sendiri kamu takut orang-orang (musuh-musuh) menangkap dan menculik kamu, maka Allah memberi tempat untuk kamu bermastautin dan diperkuatkan kamu dengan pertolongan-Nya serta dikurniakan kamu daripada rezeki yang baik-baik supaya kamu bersyukur. Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasulnya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanat kamu sedangkan kamu mengetahui salah dan bahayanya."

Agama mengajar manusia menjauhi sifat-sifat tercela dan mengkhianati orang. Setiap orang wajib menghormati hak orang lain dan menjauhkan diri daripada sebarang tindakan yang boleh mengakibatkan permusuhan dan kekacauan. Menghasut dan menyebarkan permusuhan atau mencipta kekacauan adalah perbuatan yang sangat dibenci agama. (Maksud al-Quran, surah Al-Raa‘d, ayat 25)

Peringatan daripada Allah SWT itu amatlah wajar dijadikan renungan setiap umat Islam, termasuk dalam kalangan yang berkepentingan dan berasa angkuh dengan kekuatan sendiri. Ini kerana, kehidupan kita di Malaysia adalah kehidupan yang diasaskan secara bermasyarakat. Tidak ada satu kumpulan pun yang boleh mendabik dada mengaku bahawa kekuatan diri dan kumpulannya sahajalah yang mampu bertahan, tanpa memerlukan bantuan orang lain.

Ikutilah jejak langkah orang tua-tua kita yang berjaya meletakkan batu asas perpaduan, bukan saja antara satu bangsa dan agama, malah antara semua kaum di negara ini.

Bertawakal dan berserahlah kepada Allah SWT dalam melaksanakan arahan-Nya dengan menerima cadangan dan seruan secara tenang dan lapang dada. Menyerahkan diri kepada Allah SWT untuk menentukannya, kerana Dialah yang akan menentukan keputusannya. Inilah apa yang dilakukan oleh Saidina Ali semasa menghadapi tentangan daripada Muawiyah. Suasana sebegini juga turut dialami oleh banyak pemimpin dan pejuang Islam terdahulu. Berkat kesabaran dan tawakal mereka, Islam memacu kecemerlangan dan kejayaan yang besar dalam sejarah peradaban manusia.

Di dalam ayat seterusnya, Allah berfirman yang bermaksud: Dan sekiranya mereka bermaksud mengkhianatimu, maka Allah akan mencukupimu. Dia sahaja yang dapat menolongmu dengan pertolongan-Nya dan orang mukmin sekalian (yang berada di belakangmu). (Maksud surah al- Anfal: 62)

Hakikat ini merupakan amanat Allah SWT dan Rasul-Nya kepada kita untuk dipraktikkan sepanjang kehidupan bermasyarakat. Kita juga ditegah daripada mengabaikan kesungguhan dalam memperjuangkan langkah mempertahankan agama, tanah air dan negara.

Menerusi ayat tersebut juga Allah menyebut pengkhianatan terhadap amanat itu adalah sebagai fitnah atau musibah. Malapetaka akan menimpa semua pihak yang ingkar dan tidak mengambil peluang memperbetulkan kesilapan.

Dalam Islam, kemunculan pengkhianat agama bermula apabila berlakunya fitnah yang menyebabkan kematian khalifah ketiga iaitu Saidina Uthman Ibn Affan r.a. Sekalipun Khalifah Uthman cuba menyangkal kebanyakan daripada fitnah itu serta kesilapan yang dilakukan dalam pemerintahannya, namun puak pelampau dan pengkhianat ini berusaha menyalakan api fitnah untuk menghukum khalifah dan menghasut supaya membunuhnya.Gerakan massa yang melampau dan tidak diketahui siapa pemimpinnya dan mereka berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah `kuasa yang diwujudkan'. Namun setelah ia berhasil melaksanakan apa yang diinginkan, ia kemudiannya perlahan-lahan menghilang dan kembali ke tempat masing-masing secara normal. Mereka menampilkan keperibadian seorang insan yang normal. Seolah-olah wujud pakatan jahat yang diterajui oleh kekuatan yang tidak diketahui dengan tujuan untuk menghancurkan Islam atau sesuatu pemerintahan. Mereka mungkin didalangi oleh golongan munafik atau penghasut.

Mengenai gerakan atau kumpulan ini, Saidina Ali menjelaskan perwatakannya secara puitis: ``Mereka adalah kelompok orang yang apabila berkumpul sangat membahayakan, dan apabila berpisah mereka sangat menguntungkan.'' Orang bertanya, ``Kami mengerti akan bahaya kumpulan mereka, tetapi apa manfaat perpisahan mereka.'' Ali menjelaskan, ``Orang yang bekerja kembali kepada pekerjaan asalnya sehingga memberikan manfaat kepada masyarakat, iaitu tukang bangunan ke tempat bangunan, tukang tenun ke pertenunan dan tukang roti ke dapur membuat roti.''

Jadi, mereka ini adalah kumpulan manusia biasa iaitu perkumpulan orang-orang normal. Tetapi kekuatan `luar biasa' yang telah mengumpulkan mereka dan menjadikan mereka ganas.

Mereka asalnya adalah anggota masyarakat yang memberikan sumbangan masing-masing kepada masyarakat. Setelah terbentuk kelompok mereka, mereka kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan mereka dirasuk. Sikap seumpama ini menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung telah menuruni beberapa anak tangga peradaban.

Mengenai kumpulan ini ini Khalifah Al-Ma'mun berkata, “Merekalah pembunuh para Nabi bahkan sesiapa sahaja yang dianggap musuh. Mereka memecahbelahkan para ulama dan merosakkan orang-orang yang saling bercinta. Di kalangan mereka ada pencuri, perompak, dan orang sombong yang membawa fitnah kepada pemerintah.'' Khalifah Al-Ma'mun yang tersohor ini mungkin agak keterlaluan dalam mendefinisi gerakan ini kerana situasi pemerintahannya yang agak keras, khususnya dalam menghadapi musuh-musuh politiknya.

Pada hakikatnya sebenarnya mereka bukanlah satu kumpulan manusia yang jahat kerana ia lahir dan bertindak akibat dari sesuatu yang jahat yang menjadikan mereka tidak berpuas hati.

Mereka bertindak atas tujuan dan niat yang sama yang akhirnya menimbulkan satu suasana yang boleh memecahbelahkan sesiapa sahaja, pemerintah mahupun individu-individu tertentu. Sesiapa sahaja mungkin akan bertindak sedemikian rupa sekiranya ia berhadapan dengan apa yang dihadapi oleh olehnya.

Mungkin sesuatu itu adalah perasaan tidak berdaya seseorang individu ketika berhadapan dengan sistem yang menindasnya. Kadang-kadang, kumpulan ini termasuk juga golongan atasan yang mempunyai kepentingan politik lalu menciptakan suasana ini untuk memancing di air keruh atau melempar batu sembunyi tangan.

Fitnah-fitnah yang dicetuskan oleh kumpulan yang dinyatakan diatas juga yang mencetuskan perang antara Aishah dengan Ali, Muawiyah dan Ali (Perang Siffin), lahirnya gerakan Khawarij dan tumbangnya Bani Umayah oleh kekuatan Bani Abbasiyah.

Written by Admin
Category: Semasa
Hits: 74