SOLAT JUMAAT DI PARLIMEN
Oleh: Ibnu Majid
PENGUMUMAN SOLAT JUMAAT DI PARLIMEN
Pada 5 Oktober 2026, Dewan Rakyat menyaksikan satu pengumuman yang julung kali dibuat dalam sejarah pentadbiran negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, memaklumkan di dewan yang mulia bahawa satu sesi Solat Jumaat khas akan didirikan di Kompleks Parlimen sempena Hari Pembentangan Belanjawan 2027. Justifikasi rasmi yang diumumkan kepada awam adalah ringkas: “Bagi memudahkan pergerakan Ahli-ahli Yang Berhormat yang beragama Islam.”
Sebagaimana lazimnya isu-isu agama di Malaysia, ia dengan pantas mencetuskan Polemik Fikah: Adakah ini satu bentuk kemudahan dan keanjalan syarak, atau ia satu pelanggaran terhadap disiplin Dhawabit Syarie mengenai perbanyakan tempat Solat Jumaat (Ta'addud al-Jumu'ah)?
PERBAHASAN FIKAH
Dari sudut Fikah, isu Solat Jumaat di Kompleks Parlimen sebenarnya mempunyai dua sudut pandang yang berasas.
Di satu sisi, pihak yang membolehkannya, yang diperjelaskan secara rasmi oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menegaskan bahawa bangunan masjid bukannya syarat sah Solat Jumaat. Syarak membenarkan Ta'addud al-Jumu'ah (penambahan tempat Jumaat) sekiranya wujud keperluan (Bihasab al-Hajat), seperti kawalan keselamatan yang ketat, kepatuhan jadual pembentangan Belanjawan, dan pengurusan logistik ratusan Ahli Parlimen serta pegawai kerajaan. Malah, ia disokong oleh kebenaran Pihak Berkuasa Agama dan Ulil Amri, di dalam konteks ini adalah MAIWP.
Namun dari sisi lain, para pakar Fikah Syafi'iyyah dan pengkritik berhujah bahawa hukum asal Solat Jumaat wajib dihimpunkan di satu tempat. Kelonggaran hanya diberikan sekiranya wujud kesukaran sebenar yang terbukti. Dengan jarak Masjid Negara yang hanya 1.9 kilometer dari Parlimen dan berkapasiti sehingga 15,000 jemaah, alasan supaya memudahkan untuk menyusun jadual dinilai sebagai Tahsiniyat (keselesaan), bukannya Hajat Syarie yang mengharuskan penambahan tempat Jumaat.
Kedua-dua hujah ini mempunyai landasan Fikah masing-masing. Namun hakikatnya, isu Parlimen ini hanyalah cermin kepada satu penyakit yang lebih parah di dalam sosio-politik Muslim di Malaysia.
PERLUMBAAN 'OPTICS' SIAPA YANG 'LEBIH ISLAM'
Di negara kita hari ini, dengan adanya media sosial, umat Islam sedang menyaksikan satu pertandingan politik untuk dilihat "Siapa Yang Lebih Islam" di mata orang awam.
Daripada blok kerajaan sehinggalah ke barisan pembangkang, para pemimpin dan politikus Islam seolah-olah bertungkus-lumus, bersaing menunjukkan simbol-simbol ketaatan. Setiap langkah, pentas, dan penganjuran dirancang rapi. Tetapi ia dilihat bukan lagi berorientasikan impak jangka masa panjang kepada ummah secara amnya, tetapi berdasarkan Optics dan persepsi di media sosial.
Banyak inisiatif, program, dan simbolisme keagamaan yang diumumkan hari ini seolah-olah dirangka bukan untuk menyelesaikan krisis sebenar rakyat di bawah, seperti krisis ekonomi, pengangguran belia Muslim, kemerosotan moral, atau hilangnya adab. Sebaliknya, sebahagian besarnya dibuat demi menjaga hati “Boss” atau pihak atasan, menyenangkan kepimpinan tertinggi, dan membina imej 'mesra Islam' di mata pengundi.
Agama kini diturunkan darjatnya daripada satu sistem nilai dan disiplin kebenaran, menjadi sekadar 'kosmetik' untuk menunjuk-nunjuk, hatta demi political mileage.
Apabila penganjuran program keagamaan dijadikan KPI dan alat pengukuhan kuasa, kita sebenarnya sedang menghasilkan sebuah kepimpinan yang kaya dengan simbolisme, tetapi muflis dari segi substansi.
BERGADUH DEMI ALGORITMA
Yang paling tragis di sebalik pakaian simbolik keagamaan ini ialah watak sebenar di sebalik pentas. Meskipun di hadapan kamera para pemimpin politik tampil dengan imej Islamik dan penganjuran majlis-majlis ibadah, namun di medan media, pemimpin Muslim dari kedua-dua belah jurang politik masih tegar bersengketa dan mencaci secara terbuka.
Agensi-agensi penguatkuasaan dan undang-undang negara dilihat seolah-olah dijadikan 'senjata' politik untuk menjatuhkan lawan di media. Pada masa yang sama, platform media sosial digunakan secara terancang untuk menyemai benih kebencian, fitnah, dan persepsi jahat sesama saudara seIslam, semuanya demi mengejar angka engagement dan pengaruh algoritma.
Ini adalah satu hipokrasi politik yang amat dahsyat. Islam dijadikan perisai untuk mempertahankan diri apabila diserang, dan Islam juga dijadikan pedang untuk menyerang musuh politik. Inilah kemuncak kerosakan pemimpin yang kemaruk akan kuasa, apabila nilai moral Islam dikorbankan demi menjaga takhta.
RESOLUSI — SERUAN KEIKHLASAN DAN ADAB BERAGAMA
Solat Jumaat di Kompleks Parlimen sudah tentu akan dilaksanakan. Dari sudut hukum, ia mungkin mempunyai ruang keharusan. Namun, ia wajib menjadi titik muhasabah buat seluruh barisan kepimpinan negara, sama ada di pihak Kerajaan mahupun Pembangkang.
Umat Islam di Malaysia tidak memerlukan lebih banyak pementasan Optics atau simbolisme keagamaan yang lahir daripada ketidakikhlasan politik. Rakyat dan ummah memerlukan kepimpinan yang Ikhlas, Beradab, dan Beramanah.
Sudah tiba masanya para pemimpin politik memanfaatkan platform media sosial mereka bukan lagi sebagai gelanggang penyebar benih kebencian, sebaliknya sebagai wadah menyemaikan perpaduan, kerana apabila pimpinan menunjukkan keteladanan yang jernih, rakyat di bawah akan mengekorinya.
Pemergian Almarhum Tun Dr. Siti Hasmah baru-baru ini membuktikan bahawa perbezaan fahaman politik mampu dileburkan demi penghormatan dan kasih sayang; maka janganlah menunggu kematian serta air mata, barulah rakyat dapat melihat pemimpin umat Islam beradab dan bersatu.
Kembalikanlah kemuliaan Islam kepada hakikatnya yang sebenar. Hentikan persaingan dangkal untuk kelihatan 'Siapa Yang Lebih Islam', dan mulakan persaingan sihat untuk memperkasakan taraf hidup, maruah, dan keadilan buat rakyat marhaen di bawah. Bawa kembali keikhlasan dalam beragama, dan pupuk semula adab dalam berpolitik.
KRISIS TAUTAN ILAHI DALAM KALANGAN REMAJA KINI
Oleh: Ibnu Majid
Generasi muda hari ini sering dilabel dengan pelbagai istilah klinikal moden: ADHD, Anxiety Disorder, Depression, Anti-Social Personality, Internet Gaming Disorder. Mereka juga dilabel dengan istilah sosial: rempit, mat lepak, kaki buli, geng viral. Persoalannya, adakah label-label ini punca atau hanya simptom kepada satu penyakit yang lebih dalam?
Segala manifestasi kerosakan akhlak ini berpunca dari satu titik yang sama - terputusnya pertautan (hablum) dengan Allah SWT.
1. Manifestasi Klinikal Sebagai Simptom Rohani
Kita merawat dengan terapi moden, tetapi lupa punca rohaninya.
a) Gejala Rempit & Mencari Adrenalin
Dari sudut klinikal disebut Sensation Seeking Behaviour dan Impulsivity. Dari sudut tasawuf, ia adalah kekosongan jiwa (al-faragh al-ruhi). Bila solat tidak lagi memberi ketenangan, jiwa akan mencari ketenangan palsu pada bunyi ekzos dan kelajuan. Laju di jalan raya kerana sesat di jalan pulang kepada Tuhan.
b) Gejala Buli & Gangsterisme
Klinikal menamakannya Conduct Disorder dan Narcissistic Trait. Hakikatnya ia adalah manifestasi hilangnya sifat Rahmah. Bila nama Allah Ar-Rahman tidak lagi dihayati, maka tiada belas kasihan kepada manusia lain. Mereka membuli kerana mereka sendiri tidak pernah merasa dipeluk oleh kasih sayang Ilahi.
c) Gejala Ketagihan Skrin & Scroll Tanpa Henti
Ini yang paling kritikal. Klinikal panggil Dopamine Addiction Loop. Islam panggil Al-Ghaflah (Kelalaian). Firman Allah:
"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri." (Al-Hasyr: 19)
Mereka lupa diri, lupa adab, lupa malu, kerana mereka terlebih dahulu lupa Allah. Telefon menjadi berhala baru yang disembah siang malam, seperti dalam Surah Al-Hajj:73 yang sering kita bincangkan.
2. Akar Masalah: Tiada Pautan Tauhid
Generasi dahulu nakal kerana degil. Generasi kini rosak kerana kosong.
Mereka membesar dengan WiFi yang laju, tetapi pautan tauhid yang perlahan. Mereka kenal 100 orang influencer, tapi tidak kenal 99 Nama Allah. Mereka hafal 1000 trend TikTok, tapi tidak hafal 10 ayat pelindung diri.
Apabila pertautan dengan Allah terputus, maka terputuslah 3 pertautan lain:
1. Pautan dengan diri sendiri (hilang harga diri, lalu bunuh diri)
2. Pautan dengan ibu bapa (hilang adab, lalu derhaka)
3. Pautan dengan masyarakat (hilang empati, lalu membuli dan merempit)
Kita tidak boleh merawat generasi ini hanya dengan kaunseling dan undang-undang. Kita harus menyambung semula wayar yang terputus itu.
Sambungan itu bermula bukan dengan telefon, tetapi dengan tasbih. Bukan dengan skrin, tetapi dengan sejadah. Bukan dengan dunia yang disangka masih panjang, tetapi dengan mengingati kaki yang sudah di ambang liang lahad.
Selagi kalimah Allah tidak kembali hidup di hati remaja kita, selagi itulah istilah-istilah klinikal baru akan terus dicipta untuk menamakan kerosakan yang sama.
KITA YANG MERUNTUHKAN NEGARA SENDIRI
Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Negara semakin hilang adab. Inilah realiti masyarakat Islam dalam negara yang sedang kita hadapi hari ini. Sudah berkali-kali Ulil Amri dalam negara memberi peringatan dan teguran kepada umat Islam, namun ia seakan-akan tidak diambil iktibar langsung. Di dalam titah terbarunya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah telah menitahkan rasa dukacita yang amat mendalam terhadap krisis adab yang semakin parah merobek jiwa masyarakat Melayu dan umat Islam.
Maka mengapakah keruntuhan adab masih berlaku di dalam sebuah masyarakat yang saban hari berbangga dengan gelaran ummah beragama?
Maksud Adab Dan Akhlak
Dalam konteks Islam, adab bukan sekadar bersopan-santun secara luaran. Sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama, adab adalah pengiktirafan dan pengakuan terhadap kedudukan sesuatu pada tempatnya yang betul. Ia bermula daripada kedudukan Allah SWT sebagai Pencipta, hirarki ilmu, sesama manusia, sehinggalah kepada alam sekitar.
Secara praktikalnya, adab adalah disiplin rohani dan minda yang menterjemahkan kefahaman agama menjadi tindakan yang betul. Seseorang yang mempunyai adab akan mengetahui bagaimana cara bercakap dengan orang lebih tua, bagaimana berbeza pandangan dengan ilmuwan, dan bagaimana mahu mengawal lidah serta jarinya di media sosial.
Pengajaran Sejarah
Kita menyaksikan keruntuhan adab di sekeliling kita. Perbezaan pendapat tidak lagi diurus dengan hikmah, sebaliknya diwarnai dengan fitnah, caci maki, dan pengkhianatan. Hubungan sesama manusia dipenuhi penipuan dan kebenjolan emosi, manakala hubungan dengan Sang Maha Pencipta dikotori dengan sikap nifaq serta kezaliman.
Kita telah membina satu bentuk keislaman yang terapung, sebuah kefahaman yang penuh dengan tata dan aturan luaran, tetapi tidak dipancang dengan hikmah dan doktrin ihsan yang menumbuhkan adab. Kita mengagungkan ilmu dan mengumpul hafalan, tetapi membuang adab yang sepatutnya mendasari ilmu tersebut.
Dalam relung sejarah Islam, para ulama muktabar tidak tergesa-gesa mengumpul ribuan hadis atau menguasai disiplin fiqh sebelum mereka mendidik jiwa dengan adab. Rekod sejarah mencatatkan, ramai dalam kalangan salafussoleh mempelajari dan mendidik adab pada diri mereka melebihi tempoh masa mereka mengumpul ilmu. Tanpa adab, ilmu hanya akan melahirkan manusia biadab yang bijak memanipulasi hukum. Tanpa adab, seorang umara atau pemimpin akan dengan mudah terpalit dengan skandal pengkhianatan, pecah amanah, dan keruntuhan moral.
Tamadun materialisme yang megah tanpa adab hanyalah menunggu masa untuk hancur. Kota-kota besar dan istana indah dalam sejarah akhirnya ditinggalkan menjadi runtuhan tanpa penghuni, bukan kerana ditelan bencana alam, tetapi kerana kebiadaban manusia yang menghuninya.
Era Kecerdasan Buatan (AI)
Keperluan menta'adibkan atau mengadabkan manusia ini menjadi semakin mendesak apabila kita melangkah ke era Kecerdasan Buatan (AI) dan automasi. Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, teknologi bukan sahaja menukar lanskap kerja, tetapi berisiko menghakis kapasiti mental dan moral manusia.
Islam telah lama menyediakan hirarki pemeliharaan atau Maqasid Syariah: memelihara Agama, memelihara Nyawa, memelihara Akal dan Kesihatan Mental, memelihara Keturunan dan Keluarga, serta memelihara Harta. Apabila adab diletakkan di puncaknya, teknologi seperti AI akan dijadikan alat pengabdian, bukan alat pemusnah peradaban.
Tasawuf Dan Ta’adib
Bagi merawat barah kebiadaban, umat Islam mesti berani kembali kepada teras pendidikan rohani yang hakiki iaitu Tasawuf dan Ta'adib.
Hari ini, wujud persepsi yang menakut-nakutkan masyarakat terhadap tasawuf, seolah-olah ia adalah ajaran asing yang berbahaya. Malah wujud juga pihak ajaran sesat yang menyamar sebagai pengamal dan pengajar tasawuf. Namun pepatah Inggeris mengatakan - “don't throw the baby out with the bathwater.” - yang membawa maksud jangan membuang sesuatu yang berharga atau penting, ketika menyingkirkan perkara yang tidak elok di dalamnya.
Tradisi tarekat mempunyai kepelbagaian wirid dan hizib mengikut salasilah syeikhnya. Namun, kunci utama tasawuf itu sendiri adalah sejagat: iaitu Tashdiq (memperakui kebenaran Tuhan) dan Taslim (tunduk patuh secara mutlak). Tasawuf yang sebenar adalah latihan adab harian. Amalan-amalan sederhana yang diajar oleh ibu bapa di rumah seperti mengajar anak bersifat jujur, mendidik hati supaya sentiasa ikhlas, membersihkan dada daripada hasad dengki, dan menghormati alam sekitar.
Kerosakan paling kritikal dalam politik hari ini—termasuk politik yang bertopengkan nama Islam—adalah ketiadaan adab. Kebiadaban politik ini berpunca daripada kekotoran hati yang kehilangan khasyiah (اﻟﺧﺷﯾﺔ) atau rasa takut kepada kebesaran Allah, walaupun di bibir mereka lancar menjaja doktrin bahawa Tuhan itu Maha Melihat. Apabila mata hati (baṣīrah) ditutup oleh ilḥād dan tipu daya syaitan, mereka mula menganggap perbuatan fitnah, dendam, dan pengkhianatan itu sebagai 'jihad' atau syiar Islam yang sebenar.
Reformasi Pendidikan & Tadbir Urus
Justeru kepimpinan negara tidak boleh lagi bertindak secara ad-hoc atau sekadar menganjurkan kempen bermusim. Usaha memartabatkan kembali adab memerlukan suatu provokasi pemikiran dan desakan nasional untuk meletakkan kurikulum adab di tempatnya yang asal. Bukan satu pandangan yang ekstrem jika umat Islam mendesak agar pembelajaran tasawuf menerusi amalan amali dan ta’ādīb diwajibkan dari peringkat dasar sekolah sehinggalah ke peringkat universiti.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pendidikan Islam, serta agensi awal kanak-kanak seperti KEMAS, mesti meneliti semula kurikulum pendidikan agama. Pendidikan Islam tidak boleh lagi ditaksir semata-mata melalui gred peperiksaan bertulis atau hafalan hukum-hakam luaran. Kurikulum mesti diserapkan dengan modul Ta'adib dan Tazkiyah al-Nafs, dengan mengajar anak-anak adab berinteraksi dengan alam, tumbuhan, haiwan, sesama manusia berbeza pandangan, dan adab terhadap Sang Pencipta sejak dari bangku tabika lagi.
Setiap institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia mesti menawarkan kursus teras atau elektif mengenai Prinsip Adab dan Peradaban Islam kepada semua mahasiswa Muslim. Sebelum mereka dilatih menjadi jurutera, doktor, atau ahli politik, mereka mesti dibentuk dengan integriti rohani supaya tidak lahir graduan berilmu tetapi biadab dan mudah korup.
Media massa dan platform digital mesti menetapkan piawaian adab yang tegas. Budaya cancel culture, penyiaran fitnah, dan amalan maki-hamun di media sosial atas nama kebebasan bersuara mesti dihentikan melalui kesedaran adab berhujah.
Namun ummah ini mesti menyedari hakikat bahawa mencetak adab bermula di dalam rumah. Rumah adalah madrasah pertama di mana anak-anak mempelajari akhlak melalui teladan ibu bapa, seperti bagaimana tutur kata dijaga, bagaimana emosi dikawal, dan bagaimana ihsan dizahirkan dalam kehidupan seharian.
Umat Islam hari ini mungkin tidak panjang hayatnya untuk menyaksikan pohon peradaban berbuah sepenuhnya. Namun sebagaimana pesanan Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Imam Ahmad: “sekiranya kiamat sudah berada di hadapan mata dan di tanganmu ada sebatang benih kurma, maka teruskanlah menanamnya.”
Seruan para Sultan selaku Ulil ‘Amri merupakan cermin untuk masyarakat melihat kecacatan jiwa sendiri. Namun umat Islam dalam negara tetap berdegil, mengejar nafsu, kuasa dan harta, sambil berselindung dengan pelbagai alasan. Apakah susah atau mustahil untuk kita melihat kepada kelemahan hati masing-masing, dan menurut kembali tuntutan adab? Kerana hanya dengan adab, kita dapat membina semula sebuah peradaban yang diredhai Tuhan.
AJARAN NEW AGE MOVEMENT: ANCAMAN AKIDAH ANAK MUDA?
Dunia hari ini menyaksikan manusia semakin mencari ketenangan jiwa, kestabilan emosi dan makna kehidupan dalam suasana yang penuh tekanan, persaingan serta krisis identiti.
Namun dalam pencarian tersebut, muncul satu fenomena yang semakin berkembang secara senyap tetapi pantas, iaitu New Age Movement (NAM) atau Gerakan Zaman Baharu.
Apa yang membimbangkan, gerakan ini jarang hadir dengan label “agama baharu”, sebaliknya masuk melalui pintu yang kelihatan baik seperti healing, self-love, mindfulness, manifestation, vibrasi positif, tenaga alam, self-development dan spiritual awakening.
Persoalannya, adakah ini hanya trend kerohanian moden atau sebenarnya jalan halus yang mampu memesongkan akidah umat Islam? (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Webinar Akidah “Membongkar New Age Movement.”)
Fenomena berbahaya
Secara asasnya, New Age Movement bukanlah sebuah organisasi tunggal, tetapi satu kumpulan idea, kepercayaan dan amalan yang menggabungkan unsur mistik Timur, falsafah Barat, okultisme, spiritualisme, kepercayaan tenaga kosmik dan konsep ketuhanan yang kabur.
Antara ciri utama NAM ialah mempercayai bahawa manusia mempunyai kuasa dalaman tanpa batas, alam semesta mampu memenuhi kehendak manusia melalui frekuensi tertentu serta semua agama dianggap sama menuju kebenaran yang sama.
Fahaman ini berkembang pesat melalui media sosial, kursus motivasi, audio siar (podcast), buku pembangunan diri dan industri wellness global.
Apa yang menjadikan fenomena ini berbahaya ialah sifatnya yang “tidak nampak seperti sesat”. Ia tidak datang dengan simbol yang menakutkan atau ritual pelik.
Sebaliknya, ia hadir dengan bahasa yang lembut seperti “sayangi diri”, “heal your inner child”, “trust the universe”, “raise your vibration” dan “manifest your dream life”. Apabila sesuatu dibungkus dengan unsur psikologi, motivasi dan kesejahteraan emosi, ramai tidak lagi bertanya sama ada ia selari dengan tauhid atau tidak.
Trend “healing spiritual” semakin membimbangkan
Antara konsep yang semakin popular ialah manifestation atau manifestasi impian melalui kuasa minda dan alam semesta. Sebahagian pengamal percaya bahawa dengan menghantar frekuensi tertentu kepada alam, manusia boleh “memesan” rezeki, pasangan hidup atau kejayaan.
Dari sudut Islam, kepercayaan bahawa alam semesta mempunyai kuasa autonomi untuk memberi manfaat atau mudarat adalah sesuatu yang perlu diperhalusi kerana konsep tawakal dan doa dalam Islam meletakkan seluruh pergantungan hanya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya selain Dia.” (Surah al-An’am: 17)
Selain itu, trend healing spiritual juga semakin berkembang. Tidak semua healing itu salah. Islam sendiri mengiktiraf penyembuhan jiwa melalui doa, zikir, al-Quran dan sokongan sosial.
Namun masalah timbul apabila healing bercampur dengan unsur chakra, tenaga alam, crystal energy, pembukaan mata ketiga atau ritual yang tidak mempunyai asas syarak. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa sesiapa yang mendatangi bomoh atau mempercayai perkara ghaib tanpa sandaran wahyu boleh merosakkan pegangan agama.
Dalam masa yang sama, konsep relativisme agama yang sering dibawa NAM juga perlu diberi perhatian. Fahaman ini menyatakan bahawa semua agama adalah sama, semua jalan menuju Tuhan dan kebenaran bersifat subjektif.
Sedangkan Islam mengajar prinsip yang jelas bahawa akidah mempunyai batas, prinsip dan sumber wahyu yang sahih. Firman Allah SWT bermaksud:
“Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali Imran: 19)
Lebih membimbangkan, generasi muda menjadi sasaran paling mudah terdedah. Mereka hidup dalam era TikTok, Instagram dan algoritma digital yang mempromosikan kandungan ringkas tetapi emosional. Ramai mula belajar tentang spiritualiti daripada influencer, bukan daripada guru agama atau institusi ilmu.
Apabila seseorang sedang tertekan, kecewa atau mencari identiti, mesej seperti “awak adalah tenaga”, “awak boleh cipta realiti sendiri” dan “universe akan bantu” kelihatan lebih menarik daripada proses tarbiah yang memerlukan kesabaran.
Kerangka yang lebih seimbang
Namun, mengkritik fenomena ini tanpa menawarkan solusi juga tidak memadai. Pendidikan masyarakat perlu bergerak lebih proaktif. Masyarakat perlu diajar membezakan antara psikologi dan pseudo-spirituality, antara motivasi dan manipulasi, antara rawatan jiwa dan penyelewengan akidah.
Institusi agama, sekolah, IPT dan NGO perlu membuka lebih banyak ruang dialog yang mesra anak muda, bukan sekadar menghukum. Jika masyarakat tidak diberikan jawapan, mereka akan mencari jawapan di tempat lain.
Konsep Asas Islam Rahmah (AISAR) juga relevan dalam mendepani cabaran ini kerana pendekatan rahmah bukan hanya menghukum salah, tetapi membimbing manusia kembali kepada kefahaman yang benar. Ramai yang terjebak bukan kerana sengaja mahu menyeleweng, tetapi kerana mencari ketenangan.
Oleh sebab itu, dakwah terhadap fenomena NAM memerlukan hikmah, empati dan pendidikan berterusan. Allah SWT berfirman (maksudnya):
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.” (Surah an-Nahl: 125)
Hakikatnya, manusia memang memerlukan spiritualiti. Namun spiritualiti tanpa panduan wahyu boleh membawa manusia kepada kekeliruan. Islam tidak menolak ketenangan jiwa, pembangunan diri atau penyembuhan emosi. Sebaliknya Islam menyediakan kerangka yang lebih seimbang antara akal, emosi, rohani dan akidah.
Cabaran sebenar hari ini bukan semata-mata menolak New Age Movement, tetapi memastikan umat mempunyai literasi agama yang cukup untuk mengenali jalan-jalan halus yang membawa kepada penyesatan.
Dalam dunia yang semakin kompleks, menjaga akidah bukan lagi hanya mempertahankan apa yang kita percaya, tetapi memahami bagaimana kepercayaan itu sedang dicabar secara senyap setiap hari.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sumber: ikram.org.my
PERLUKAH MARHAMAH LETAK JAWATAN?
Oleh:Ibnu Majid
Kebelakangan ini, perhatian awam tertumpu kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Marhamah Rosli, menyusuli timbulnya pelbagai desakan dan kontroversi yang meresahkan masyarakat Islam.
Isu ini meledak apabila timbul dakwaan yang mengaitkan kaedah pengajaran dan pendekatan motivasi beliau dengan doktrin New Age Movement (NAM)—sebuah aliran pemikiran neo-spiritual alternatif yang sering membaurkan konsep tenaga, vibrations, dan penyembuhan rohani dengan terma-terma keagamaan.
Penglibatan beliau dalam skim Galeri Souqemas pada tahun 2014 serta isu-isu yang lain, menimbulkan persoalan serius di kalangan umat Islam dalam negara - Adakah JPM Hal Ehwal Agama dalam bahaya?
Kontroversi Timbalan Menteri Agama
Dalam tradisi pentadbiran Islam (siyāsah syar'iyyah), kepimpinan yang memegang portfolio hal ehwal agama bukan sekadar satu kedudukan politik atau keistimewaan pentadbiran. Ia adalah amanah yang amat berat di hadapan Allah SWT dan seluruh warganegara.
Agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perdana Menteri wujud atas satu objektif utama, iaitu memelihara kesucian akidah awam daripada sebarang fahaman yang mengelirukan, serta memastikan setiap figura yang memimpin portfolio ini memiliki integriti yang tidak dipertikaikan.
Apabila seseorang dilantik untuk menguruskan hal ehwal agama rakyat, setiap patah perkataan, kaedah pengajaran, mahupun rekod perniagaan yang pernah diwakilinya akan menjadi subjek semakan awam. Ia bukan kerana permainan politik, tetapi kerana kesucian agama memerlukan tahap kejelasan yang paling tinggi.
Tuduhan Mengajar Kalam “New Age Movement”
Di satu sisi, kita mesti berpegang kepada prinsip tabayyun. YB Senator Marhamah Rosli telah menafikan pembabitannya dengan ajaran New Age Movement tersebut, dan pihak JAKIM juga telah mengambil langkah memanggil beliau untuk sesi penjelasan dan khidmat nasihat.
Namun di sisi yang lain, persoalan yang dibangkitkan tidak boleh dipandang sepi. Penggunaan istilah seperti "Quantum Allah" atau kaedah “Energy Healing” dalam sesi motivasi kerohanian bukanlah satu perkara remeh. Adakah ia benar-benar sekadar masalah terma motivasi sebagaimana yang dicanang, atau ia satu kecelaruan teologi yang boleh merosakkan pemahaman masyarakat terhadap konsep Asma' wa Sifat Allah SWT?
Pengamal fahaman ini mendakwa bahawa doa itu adalah bayangan, rasa (feeling), atau emosi visualisasi untuk mendapatkan apa yang dihajati. Mereka menyelewengkan Hadis Qudsi sahih di mana Allah berfirman: "Aku berada pada persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku."
Sedangkan para ulama menjelaskan bahawa bersangka baik dengan Allah (husn al-zhann) bukanlah bermaksud emosi visualisasi Law of Attraction. Bersangka baik bermaksud meyakini bahawa Allah mendengar doa, tidak memungkiri janji, dan sentiasa memberikan yang terbaik, sama ada disegerakan permintaan tersebut, disimpan sebagai ganjaran di akhirat, atau dijauhkan daripada keburukan yang seumpamanya.
Lebih berbahaya, doktrin ini mempromosikan kefahaman sempit bahawa doa hanya "mustajab" jika kita mendapat benda fizikal yang kita bayangkan, seperti harta atau wang ringgit. Malah, emosi fitrah manusia seperti takut, bimbang, atau sedih digambarkan seolah-olah merosakkan doa. Ini adalah kebatilan yang nyata.
Rasulullah SAW sendiri berdoa dalam Peperangan Badar dalam keadaan amat bimbang dan takut akan kekalahan tentera Islam, namun Allah memakbulkan doa Baginda dengan menurunkan bantuan 1,000 malaikat.
Penyebaran ideologi Law of Attraction (LOA) yang cuba di-Islamkan oleh sebahagian pengamal motivasi hakikatnya merosakkan asas akidah dan tauhid. Doktrin LOA berakar daripada fahaman bahawa fikiran manusia dan alam semesta (universe) menentukan realiti, satu pemikiran yang menafikan kekuasaan mutlak Allah SWT sebagai Pencipta dan Pentadbir takdir. Malah dalam bentuk yang ekstrem menjadikan diri sendiri seolah-olah tuhan kepada realiti kehidupan. Percubaan untuk menyamakan LOA dengan konsep doa adalah satu penyelewengan yang berbahaya, kerana ia mengajar manusia bahawa doa hanya "mustajab" jika mereka mendapat apa yang mereka gambarkan, lalu menyemai benih sangka buruk (su’u al-zhann) kepada Allah apabila hajat mereka tidak disegerakan.
Islam mengajar bahawa doa adalah ibadah dan pengabdian penuh hamba kepada Allah, bukan teknik psikologi untuk memaksa alam semesta menunaikan kehendak nafsu. Sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis sahih riwayat Abu Sa’id al-Khudri, setiap doa seorang Muslim sentiasa dijawab oleh Allah melalui salah satu daripada tiga cara: sama ada disegerakan doanya di dunia, disimpan sebagai ganjaran pahala di akhirat, atau dijauhkan keburukan yang seumpamanya. Mengaitkan doa dengan prinsip LOA bukan sahaja memalingkan keimanan kita daripada Qada' dan Qadar, tetapi menjebak masyarakat ke dalam fahaman kufur yang terselindung di sebalik bahasa motivasi dan kerohanian.
Kontroversi Galeri Souqemas Di Sabah
Keresahan awam menjadi semakin parah apabila masyarakat mengimbau kembali rekod dan latar belakang beliau sebelum memegang jawatan awam, termasuk keterlibatan dalam promosi entiti perniagaan seperti isu pelaburan emas Galeri Souqemas di Sabah.
Isu ini membuka mata kita tentang satu fenomena sosial yang berbahaya di Malaysia, iaitu apabila imej penceramah, ustazah, atau gelaran agama dijadikan alat pemasaran spiritual, untuk meraih kepercayaan kewangan awam. Sehingga hari ini, isu Galeri Souqemas yang dikatakan berhutang sebanyak RM14 juta masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Apabila polemik akidah dan rekod komersial ini bertaut, ia mewujudkan garis syubhah yang amat tebal. Maka tidak hairanlah timbul desakan daripada pelbagai pihak agar beliau memohon maaf, malah mengundurkan diri atau diistirahatkan daripada portfolio hal ehwal agama demi memelihara wibawa institusi tersebut.
Menuntut Ketelusan
Isu ini bukan lagi sekadar polemik peribadi yang boleh diselesaikan di sebalik pintu tertutup bilik mesyuarat. Masyarakat Islam di Malaysia berhak mengetahui pendirian tegas daripada kementerian. Kita perlu bertanya secara jujur kepada pimpinan tertinggi agama, khususnya Menteri Agama dan pihak JAKIM - Apakah bentuk teguran, nasihat, mahupun ketetapan rasmi yang telah dikeluarkan terhadap fahaman dan kaedah pengajaran ini? Adakah elemen-elemen ini diselitkan sekali dalam program-program dalaman JAKIM atau agensi lain di bawah JPM?
Apabila premis kerajaan seperti Dewan Auditorium JAKIM sendiri dikaitkan dengan penganjuran program yang menyebarkan doktrin mengelirukan ini, ketiadaan kenyataan terbuka daripada pihak kementerian hanya akan menimbulkan persepsi yang amat berbahaya, seolah-olah agensi agama tertinggi negara membiarkan premisnya dijadikan medan untuk melegitimasi ajaran yang meragukan. Masyarakat tidak menuntut hukuman melulu, tetapi masyarakat menuntut kejelasan, kebenaran, dan pertanggungjawaban (akauntabiliti).
Pentingnya Adab
Kontroversi yang melanda institusi agama hari ini seharusnya menjadi iktibar yang mendalam buat kita semua. Ia mengajar kita bahawa dalam menguruskan agama negara, kita memerlukan pemisahan yang tegas antara motivasi komersial dengan ketulenan akidah Islam. Kita tidak boleh membiarkan jargon-jargon New Age yang dibalut dengan bahasa agama terus menyusup masuk ke dalam fikiran masyarakat atas nama motivasi.
Pada akhirnya, segala kemelut yang berlaku ini kembali kepada satu tiang asas yang semakin dilupakan dalam masyarakat kita, iaitu Adab. Islam meletakkan garis adab yang amat tinggi dalam aspek siyāsah, termasuk adab melantik pemimpin.
Adab memilih pimpinan menuntut kita menilai calon berasaskan dua syarat utama yang ditegaskan al-Quran: Al-Qawiyyu Al-Amīn—iaitu keahlian yang berwibawa (competence) serta integriti dan sifat amanah yang tinggi (trustworthiness). Adab ini melarang kita mengangkat seseorang hanya kerana populariti, keahlian parti, atau gelaran agama semata-mata, terutamanya jika figura tersebut masih diselimuti garis syubhah, kecelaruan akidah, atau rekod komersial yang meragukan. Pemimpin tertinggi yang melantik wajib mengikut panduan ini, agar tidak memberi jawatan sesuka hati.
Buat para pemegang amanah dan institusi agama, adab kepimpinan menuntut ketelusan dan keberanian untuk menyatakan kebenaran di hadapan rakyat, bukannya membisu demi menjaga kedudukan politik. Apabila adab melantik pimpinan dipatuhi dan adab terhadap ilmu dipelihara, barulah kesucian akidah dapat dipertahankan dan keharmonian ummah akan terpelihara.