MUAFAKAT NASIONAL 2.0 ATAU UMNO DIAMBANG MALAPETAKA?

Sekarang sudah dihangatkan dengan percekcokan politik pilihanraya apabila DUN Johor dengan rasminya dibubarkan pada 1 Jun lalu, setelah cadangan MB diperkenan oleh pemangku Sultan Johor.

Sebelum itu muncul desakan agar DUN Negeri Sembilan' dibubarkan memandangkan kedudukan kerajaan yang ditunjangi oleh PH tidak stabil. Ketidakstabilan itu disebabkan penarikan sokongan daripada wakil rakyat BN bersama-sama wakil rakyat PN. Namun, hanya wakil rakyat PAS sahaja yang kekal menarik sokongan manakala wakil rakyat Bersatu menarik balik pendirian tersebut.

Situasi itu membawa kepada "pertengkaran yang lebih serius" antara PAS dan Bersatu. PAS mendakwa calon wakil rakyat BERSATU lebih ramai daripada pekerja parti. Ia memberikan gambaran bahawa Bersatu lebih pentingkan jawatan daripada bekerja untuk memenangkan parti, dan mengharapkan jentera parti PAS untuk melakukan kempen.

PAS membuat dakwaan itu setelah mereka kecewa dengan sikap dan kepimpinan Bersatu yang tidak mengambil tindakan ke atas wakil rakyatnya yang menolak sokongan ke atas MB Perlis sehingga wakil rakyat PAS berjaya dijatuhkan akhir tahun. lalu. Bersatu kemudiannya membentuk kerajaan Perlis, walaupun tidak mendapat sokongan daripada wakil rakyat PAS. Ia menjadi kerajaan minoriti seperti juga apa yang berlaku di Negeri Sembilan.

Di Perlis, Raja Perlis tidak perkenan DUN dibubarkan. Raja Perlis mahukan MB Bersatu terus kekal menerajui negeri sehingga cukup tempoh. Ini bererti, Bersatu kekal mentadbir Perlis dan menjadikan negeri itu satu-satunya kuasa yang mereka ada berbanding dengan PAS yang masih ada tiga buah negeri (Kedah, Kelantan dan Terengganu).

DUN Negeri Sembilan belum dibubarkan walaupun pernah dikatakan akan mengikut pembubaran negeri Johor, sebagaimana dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. Anthony Loke berkata demikian sebagai menyambung apa yang pernah dikatakan oleh PMX, dia boleh ikut sama bubarkan Dewan Rakyat' jika DUN Johor dibubarkan dalam tempoh terdekat. Rasionalnya untuk membolehkan pilihan raya diadakan serentak di peringkat Parlimen.

PMX seperti mengugut berbuat demikian kerana BN berhasrat untuk bertanding solo jika PRN Johor dan Melaka diadakan. Bagi BN tidak ada istilah "pengkhianatan" bila bertanding solo atas dua sebab. Pertama, di Johor tidak wujud kerjasama dengan PH kerana BN memenanginya lebih awal daripada terbentuknya kerjasama di peringkat pusat. Bagaimanapun, BN tidak mengetepikan posisi wakil rakyat PH, malah mereka turut diberikan jawatan di peringkat negeri selepas terbentuknya kerjasama politik di peringkat pusat.

Kedua, kerjasama politik antara BN dan PH adalah untuk tempoh terhad, iaitu sehingga berakhirnya edah PRU 15. Ini membawa maksud, jika PRU diadakan, ia mungkin tidak ada kerjasama dalam menentukan pembahagian kerusi, kerana BN akan bersedia bersaing dengan calon PH dan juga PN.

Pembentukan kerjasama itu adalah untuk membentuk kerajaan kerana keadaan "Parlimen Tergantung" telah berlaku, yakni tidak ada mana-mana gabungan yang memenangi atau melepasi majoriti mudah (112 kerusi). Ia sebagai langkah untuk mengelakkan pilihan raya semula yang mengambil perbelanjaan besar dan ketika itu ekonomi negara berada di peringkat awal pemulihan. Negara dilanda masalah disebabkan oleh pandemik dan dasar kerajaan PN yang menggunakan "kuasa darurat" untuk memanjangkan hayat kuasa. Muhyiddin akan berhadapan dengan dakwaan itu selama-lamanya dan sejarah akan ditulis dengan naratif begitu.

Jadi, apa kaitannya dengan Muafakat Nasional 2.0 yang mahu dihidupkan semula oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bermula dengan PRN Johor? Kaitannya cukup syahdu, kerana dalam PRN Johor yang lalu, PAS kecewa dengan BN yang memberikan hanya empat kerusi DUN untuk ditandingi. Kisahnya bermula pada PRN Melaka (20 November 2022) yang diadakan beberapa bulan lebih awal dari PRN Johor (12 Mac 2021).

Dalam PRN Melaka, PAS bekerjasama dengan Bersatu di atas semangat Perikatan Nasional dengan mengetepikan semangat Muafakat Nasional yang dibentuk bersama UMNO pada 14 September 2019. Setelah tumbangnya PH pada 24 Februari 2020, PAS menyertai Bersatu dan PN untuk membentuk kerajaan dengan memilih Muhyiddin sebagai pengganti Tun Dr Mahathir. Langkah Sheraton itu menjadi detik politik kerjasama membentuk kerajaan campuran yang pertama selepas pilihanraya.

Oleh kerana PAS merasa terhutang budi dengan pelantikan wakil rakyatnya menduduki kerusi menteri dan timbalan menteri, PAS membangkitkan rasa marah BN kerana bersetuju menubuhkan gagasan Perikatan Nasional oleh Muhyiddin. Ketika dilantik dalam kabinet, Tuan Ibrahim menyelar DAP dalam ungkapan keramatnya: seperti "kiamat" kerana parti yang hanya ada 18 wakil rakyat berada dalam kerajaan, manakala parti yang memenangi banyak kerusi, sebagai pembangkang, tidak berada dalam kerajaan.

Dalam situasi semasa, PAS seperti sedang menjilat ludah sinisnya, kerana ada kerusi terbanyak, bertukang sana sini siang dan malam, rukah tidak juga runtuh. Gagal tebuk atap walaupun tarikhnya dianjak berkali-kali. Sebaliknya, hubungan dengan Bersatu menjadi retak yang sukar dicantum kembali, perangsaraf terus ditembak walaupun dengan peluru penabur.

Ketika ditawarkan empat kerusi, Tuan Ibrahim melihat tawaran tersebut sebagai "tidak patut" kerana UMNO/BN akan berganding lebih, yakni 52 kerusi. UMNO/BN ketika menawarkan empat kerusi kepada PAS berdasarkan prestasi parti itu yang hanya menang satu kerusi, iaitu di DUN Bukit Pasir.

DUN Bukit Pasir tidak selamat bagi PAS kerana ada percubaan untuk menukarkan penyandangnya, maka PAS kemudiannya mula didakwa "suka bermain di banyak kolam", akhirnya menjentik "Minda Presiden" untuk menyifatkan BN seumpama itik tempang atau patah kaki. Itik tersebut mula pulih sedikit sebanyak, tetapi cuba berenang sendiri, membelakangi PAS. Bukankah itu namanya hubungan yang tidak ikhlas kalaupun PAS bersifat menyokong? Kini, Bersatu mula persoalkan tentang belanja pilihan raya yang diberikan sehingga PAS meraih kemenangan besar, daripada hanya 18 melonjak kepada 43.

Lantas, Timbalan Presiden UMNO menjawab, pemulihan UMNO bukan kerana "ubat PAS" tetapi atas kerja keras parti untuk memulihkan keyakinan orang Melayu sehingga berjaya menolak PN di Melaka. Di Melaka, Pengerusi PN mula dipersoalkan dengan "butang” yang dipegangnya agar ditekan untuk membolehkan PRN diadakan.

Muhyiddin tidak menekankan butang yang dimaksudkan, walaupun katanya "saya boleh", sebab beliau takut kehilangan kuasa di negeri yang dianggapnya mempunyai pengaruh yang kuat. Ia kemudiannya diambil keputusan oleh UMNO, menarik sokongan kepada MB Johor dan akhirnya DUN dibubarkan bulan Oktober 2021.

Keputusan PRN tersebut cukup mengecewakan PN apabila hanya menang 3 kerusi (2 Bersatu) dan PAS menang di Maharani, kalah di Bukit Pasir. Prestasi PH menjadi lebih baik daripada PN: DAP menang 10, PKR 1 dan Amanah 1. Ertinya, PAS menyamai kemenangan PKR, Amanah dan Muda. Terlalu lekeh buat PAS yang "tamak" untuk bertanding di 15 kerusi sebagaimana diminta, yang kemudiannya dihulurkan oleh Bersatu.

Ketika menang 18 kerusi PAS seperti "nak kiamat" berada dalam kerajaan, tetapi setelah menang 43 kerusi, PAS jadi "pengkhianat" dan Presiden UMNO menyatakan parti itu ada "DNA khianat." Presiden PAS pernah berkata, UMNO dilanda "penyakit was-was" yang sebenarnya membuktikan diri Presiden PAS sendiri, akibat tindak tanduk politiknya yang jelas keliru dan tidak konsisten.

Sejarah membuktikan, setiap kali PAS berada dalam mana-mana gabungan atau kerjasama politik, PAS itulah yang menunjukkan percubaan "menguasai", jika gagal akan dilakukan tindakan "sabotaj". Dalam BN, PAS cuba khianati UMNO apabila mula membuka cawangan di kawasan rancangan kemajuan tanah yang menjadi kubu kuat UMNO.

Ketika dalam Pakatan Rakyat, Presiden PAS mula merintis jalan kerjasama politik semula dengan UMNO dalam konsep "Unity government" sehingga mencetuskan kemelut dalaman dan timbul cadangan "membuang buah busuk".

Akhirnya, masuk penggal kedua, PAS buat onar lagi menyebabkan DAP tersunggung. DAP mula mempersoalkan tindakan PAS, maka didakwa bahawa DAP sedang bertindak sebagai "abang long"; cuba mengganggu dasar parti. Perbalahan. Itu akhirnya membawa kepada kematian Pakatan Rakyat pada tahun 2016 dan seterusnya PAS berusaha menjadi "king maker" untuk PRU 14 (2018) dengan membentuk Gagasan Sejahtera.

Sebelum itu, PAS tidak menghormati kerjasama dalam Angkatan Perpaduan Ummah dengan Semangat 46 dan Barisan Alternatif. Rintihan kerjasama dengan Chinese Consultation Committee (CCC) pada tahun 1980-an juga menunjukkan PAS tidak menghormati prinsip kerjasama, kerana takutkan didakwa ada hubungan dengan DAP. Sebahagian besar CCC dipimpin oleh aktivis DAP.

Ketika dalam Pakatan Rakyat, PAS cuba mendesak kerajaan agar segera mengiktiraf UEC. Tetapi, PAS tidak pula melakukan apa-apa ketika parti itu menjadi sebahagian dari kerajaan PN dan keluarga Malaysia selama 34 bulan. Namun, yang muncul ialah sikap PAS ke atas jumlah cabutan khas judi, dari 8 kali setahun kepada 22 kali. Ini menggambarkan PAS tidak konsisten dan cukup hipokrasi. Begitu juga dengan tindakan untuk meletakkan undang-undang syariah setelah isu itu diperkudakan dalam polemik RUU 355 sebelum PRU 14.

Kenapa PAS mahu hidupkan semula Muafakat Nasional? Jawabnya mudah, kerana PAS sudah kehilangan kawan yang boleh mereka jadikan sandaran, sama ada sandaran moral atau kewangan. Semua orang tahu, belanja kempen dan pilihan raya bukan sedikit. PAS perlu mencari sumber kewangan selain membuka tabung "derma pilihan raya" yang setengahnya dianggap lebih besar pahala daripada menderma untuk orang miskin dan bina masjid.

PAS juga ikut terseret dengan kutipan derma untuk pembiayaan denda fitnah, dan yang paling mengecewakan ialah saman terhadap editor Sarawak Report, yang diyakinkan pada awalnya "sudah menang" tetapi ditarik balik saman terbabit atas alasan, tidak sanggup menanggung beban kos guaman Britain yang cukup mahal. Penyelesaian di luar mahkamah telah menyebabkan bayaran RM 1.4 juta terpaksa dilepaskan, tentunya ikut file psdkan ialah derma jihad politik yang dikumpulkan sebelumnya.

Ketika ini, PAS cuba menghulurkan sebelah tangannya untuk kembali bekerjasama dengan BN setelah mendengar ada rumusan bahawa BN akan "dilanda malapetaka" jika bertanding solo dalam PRN Johor. Rumusan itu dikatakan oleh Lokman Adam (yang dijolok Lobak Man) berdasarkan "kajian atau tinjauan" berkaitan. Itu hanya kesimpulan yang bersifat spekulatif, tidak berdasarkan realiti politik sesuatu tempat dan ukuran pengaruh yang tepat. Ramai yang masih ingat, ketika pertandingan antara Donald Trump dan Hillary Clinton (2016), hampir semua agensi ramalan pendapat awam berkesimpulan Trump akan kalah. Media utama juga menghidupkan "harapan" kemenangan Hillary Clinton.

Trump akan kalah atas beberapa sebab, termasuklah tidak mempunyai pengalaman diplomatik dan urusan berkerajaan (tidak pernah menjadi gabenor) ataupun menguruskan pentadbiran awam dan dasar luar. Tetapi, Trump berjaya memenangi 304 "Electoral college" berbanding Hillary Clinton hanya meraih 227. Kemenangan Trump itu membawa kepada beberapa pertikaian yang masih berlanjutan hingga sekarang, termasuklah "kemusnahan nilai-nilai politik dan demokrasi liberal", dan kedudukan Amerika Syarikat sebagai polis dunia.

Trump menang kali kedua melawan seorang lagi calon perempuan, iaitu Kamala Haris. Kemenangan itu mengesahkan bahawa Amerika Syarikat masih belum bersedia menerima ketua negara dalam kalangan wanita, dan tetap memilih calon lelaki walaupun ramai ahli akademik berpendapat, Trump akan menimbulkan pelbagai malapetaka buat Amerika Syarikat.

Malapetaka itu sedang dirasakan oleh bukan sahaja pengundi yang memilih Trump bahkan dalam kalangan imigran dan kulit hitam. Rakyat Amerika terpaksa menelannya dalam pelbagai kepayahan, termasuk pengurangan bajet kesihatan dan pendidikan, sekatan kemasukan produk dari China, dan kekeruhan hubungan dengan NATO, PBB, Kesatuan Eropah dan Timur Tengah.

Bantahan dalam negara semakin bermunculan tetapi Trump akan terus menganggap dirinya berkuasa mutlak. Ia terus menjadi sandiwara apabila pengundian di peringkat senat menunjukkan Trump meraih sokongan moral termasuk dalam kalangan anggota parti Demokrat. Beberapa ramalan tidak menepati dengan "kegelisahan awam" terutama dasar Trump terhadap Israel dan serangan berterusan ke atas Iran. Wang pembayar cukai terlalu banyak dibelanjakan untuk tujuan tersebut dan dalam masa yang sama, memutuskan penyertaan dalam pelbagai organisasi antarabangsa.

Apakah "malapetaka" yang dikatakan bakal menimpa UMNO/BN jika bertanding solo? Tentunya, ia berkaitan dengan keputusan PRN, pada pandangan tertentu, ia akan menyebabkan UMNO sekali lagi terusir dari tanah kelahirannya. UMNO akan kalah. Setidak-tidaknya, jika UMNO berganding dengan PH, ia akan berjaya memberikan ruang pengaruh kepada DAP, kerajaan yang dibentuk akan ada pemimpin DAP.

Prestasi DAP masih boleh diharapkan, kerana ia boleh menarik sokongan bukan Melayu di bandar dan pinggir bandar. Jika bergandingan UMNO dengan PN, PAS akan meraih laba yang besar, mungkin menang lebih 10 kerusi, kalaupun bukan 17 kerusi sebagaimana diramalkan.

Jika PAS melakar sejarahnya di Johor, bererti UMNO terpaksa menelan dalam kepayahan, PAS akan membina tapak yang lebih besar. Secara kuantitatifnya, PAS tidak mempunyai pengaruh yang kuat di Johor tetapi dengan gandingan bersama UMNO parti itu boleh berkembang dengan mudah.

Mengharapkan Bersatu, PAS tidak berkembang dan keadaannya tidak banyak berubah biarpun sudah berada dalam PN sejak tahun 2020. Ia akan mengulangi apa yang pernah PAS lakukan semasa berada dalam BN, memasuki dan cuba membina kubu di kawasan yang menjadi "safe deposit" buat UMNO.

PRN lalu tidak menunjukkan prestasi yang lebih baik, PAS kekal menang satu kerusi, walaupun ketika itu Bersatu masih dilihat ada kekuatannya. Kini, Bersatu seperti orang sakit yang tidak mampu bangkit dan sedang menghancurkan dirinya sendiri.

Spekulasi lain cuba mengingatkan, jika UMNO/BN bertanding sendiri tanpa kerjasama, ia akan menguntungkan PH akibat undi Melayu berpecah. Undi Melayu dikatakan berpecah apabila bertembung dengan PAS. Kalau dilihat dari pengalaman lalu, kemungkinan itu tidak berlaku. UMNO/BN menguasai 40 daripada 56 kerusi: UMNO 33, MIC 3 dan MCA 4. Ini memberikan gambaran bahawa PN tidak mampu menarik sokongan pengundi Johor, termasuk pengundi Melayu. Begitu juga dengan PH, kecuali DAP.

Suasana kini sudah berubah. DAP sedang berhadapan dengan liabiliti besar yang "menghina orang Melayu" apabila Anthony Loke melihat seolah-olah dirinya berkuasa untuk membubarkan DUN Negeri Sembilan. Kedua, rahsia membuka peluang kepada pemegang UEC memasuki universiti awam menjadi "boomerang" kepada PH. Ketiga, usaha pemimpin DAP mempertahankan ternakan babi di Selangor walaupun tidak diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Dan, keempat kenyataan Liew Chin Tong akan memberikan kesan "terduduk" buat DAP seperti kesan kenyataan Lim Guan Eng pada PRN lalu. Liew Chin Tong melihat tidak asas kenapa sistem satu parti (UMNO/BN) akan kekal walhal beliau terlupa ia masih berpijak di alam nyata seperti berlaku di Johor, Pulau Pinang (PH), Kedah, Terengganu dan Selangor. Hanya Perak, Negeri Sembilan', Pahang muncul "marriage of convenience", atau kahwin kontrak.

Taraf kahwin kontrak itulah yang sedang dipertikaikan, bagi sebahagian besar pengundi tidak mahu ia akan kekal sebagai bentuk perkongsian kuasa selama-lamanya. Teori Liew Chin Tong sudah terdengar sinis "tak rak cetong" kata orang Terengganu. Maknanya, tidak boleh pakai atau tidak boleh harap.

Bahkan Sultan Selangor mahukan setiap orang memahami semangat dan matlamat Rukunegara setelah Tony Phua menyatakan kuasa sultan atau raja adalah terhad manakala bekas EXCO Selangor, Ronnie Liu memberikan cadangan penternak babi menyaman "titah baginda". Orang Melayu melihat situasi tersebut sebagai satu bentuk "durhaka" dan tidak menghormati konsep Raja Perlembagaan. Ia akan mengingatkan kita kepada tindakan pemimpin DAP menyaman Sultan Perak setelah calon MB daripada DAP, bukan Islam tidak dipersetujui.

Akibatnya, DAP terpaksa mengorbankan jawatan itu kepada PAS. Ia kemudian membuka halaman baharu politik Malaysia, DAP semakin giat mencari dan merekrut orang Melayu menyertai parti itu. Malangnya, DAP kurang berjaya dalam strategi tersebut kerana orang Melayu masih memahami bahawa apa pun perubahan yang dibuat, ia tetap dengan konsep Malaysian Malaysia, suatu falsafah politik yang merugikan orang Melayu.

PAS lebih berghairah dengan kempen kebencian terhadap DAP sehingga beberapa orang pemimpinnya didakwa ada hubungan keluarga dengan pengasas Parti Komunis Malaya (PKM). PAS pernah mendakwa bahawa dengan kerjasama politik UMNO/BN telah menyebabkan berlakunya hakisan kuasa Melayu-Islam. Naratif sebegini akan terus dimainkan di dalam PRN Johor, dan ketika ini, mereka menggambarkan kemenangan UMNO/BN adalah juga kemenangan DAP atau PH. Tunjang terkuat PH ialah DAP. Tunjang politik terkuat PN ialah PAS.

Sebab itulah mereka bawa naratif, Undi UMNO/BN dapat PH, yang dikuasai oleh DAP. Aktivis parti terus bermain dengan syllogism dan falasi, seperti UMDAP. Jadi, jika UMNO/BN bekerjasama dengan PN dalam PRN Johor, naratif itu dijangka tidak akan muncul, sebaliknya akan dicipta makna "menjamin kedudukan orang Melayu-Islam" sebabnya tidak ada DAP.

Namun, jika BN benar-benar bergerak solo, apakah PAS akan menarik diri sebagai membenarkan kenyataan sebelumnya, tidak akan bertanding melawan UMNO sebab tidak ada DAP. Nampaknya, kenyataan itu hanyalah kenyataan yang bersifat hipokrasi, kerana PAS sudah mengerahkan jentera parti mulai bergerak untuk menawan Johor, atau memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi. Setakat ini belum dipastikan berapakah kerusi yang akan ditandingi oleh PAS tetapi daripada beberapa kenyataan, PN bersedia meletakkan semua calonnya di 56 kerusi.

Siapakah calon PN kali ini? Apakah mereka akan menggunakan logo PN atau logo PAS? Apakah kelompok yang menyokong Hamzah Zainudin (RESET) akan mengambil bahagian walaupun nama parti baharu itu belum diumumkan? Begitu juga calon Bersama (asalnya MUP) apakah jentera kempen mereka sudah bersedia? Berapa ramaikah calon Bersama yang menggunakan logo kancil akan menyertainya? Percaturan sedemikian itulah menjadi sebahagian petunjuk kenapa Onn Hafiz Ghazi mencadangkan DUN Johor dibubarkan.

PN dalam dikuasai "kelak kabut" untuk menyusun jenteranya setelah berjaya mengambil alih kepimpinan daripada Bersatu. Bersatu belum rasmi keluar daripada PN, tetapi retak yang berlaku seperti tidak boleh dicantumkan kembali, bersepai. Bersatu juga dalam keadaan "tidak bermaya" akibat pemecatan dan penggantungan keahlian, selain mengambil keputusan meninggalkan parti. Muhyiddin masih dianggap sebagai liabiliti kepada Bersatu. PAS seolah-olah berpatah arang dengan Bersatu selagi Muhyiddin kekal memimpin. PAS lebih menerima RESET, kerana telah berjaya melumpuhkan Bersatu.

PH juga masih berkecamuk ekoran peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi. Rafizi merasakan PKR sedang mengalami "pembusukan" dan kerosakan yang teruk. Dua bekas menteri itu bakal menjadi "pencelah" yang boleh membingungkan strategi kempen PKR. DAP masih berhadapan dengan emosi "marah dan kecewa" orang Melayu.

Kalau dalam PRN Sabah, pengundi Cina turut menolak DAP. Jika sentimen ini berjangkit di Johor, DAP akan mengalami kesuraman pengaruh dan penolakan Marina Ibrahim akan menjadi petunjuk bahawa DAP semakin dikuasai "warlord". Nampaknya, DAP akan kecundang sebagaimana kecundang di Sabah dan sebelumnya di Sarawak.

Faktor sejarah UMNO akan memberikan kelebihan kepada BN, kerana air tunjangnya masih kuat di Johor. Akar tunjang UMNO belum terputus, bahkan kembali kuat mencengkam Bangsa Johor. Ia disebabkan gelojoh politikus parti yang tidak menghormati Bangsa Johor, dan keceluparan kata-kata pemimpin PAS dan DAP dalam beberapa kes.

Berasaskan faktor tersebut, tidak ada malapetaka bagi UMNO/BN bergerak solo dalam PRN Johor. Mereka yang merasakan akan berlaku "malapetaka" itulah yang akan menerimanya, kerana tindakannya untuk menggugat keyakinan pengundi terhadap UMNO yang lahir di Istana Johor, bukan sebuah parti jalanan. Bangsa Johor akan mempertahankan legasi itu, dan tidak sanggup menerima politik jalanan yang hanya tahu "mengacah dan menuding jari", sedangkan kelingking berkait.

KAMARUN KH

 

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com