POLITIK BAHARU ATAU IDEALISME MAKIN KELIRU?

Sejak kekalahan BN dalam PRU 12 (2008) di beberapa buah negeri, terdengar pula istilah "politik baharu". Kuasanya banyak ditentukan oleh kebangkitan gelombang anak muda dan pendirian politik mereka semakin sukar diramalkan. Ia kemudiannya mencari bentuknya sendiri setelah BN benar-benar tumbang pada PRU 14 (2018).

Sebenarnya, konsep "politik baharu" sudah bermula pada PRU 10 (1999) yang menyaksikan pola penolakan anak muda ke atas bentuk politik lama, yakni politik yang dikaitkan dengan idealisme perjuangan kaum, agama dan feudalisme. Biarpun secara rasminya politik feudalisme sudah terhakis, hubungan antara elit politik dan elit tradisi masih berpengaruh, dan kerana itu, setiap kali menjelang PRU, masih ada gerakan parti-parti untuk mendekati institusi sosial dan keagamaan melalui penganjuran pelbagai pertemuan.

Elit politik yang berkuasa misalnya, mencari jalan untuk mendekatkan dirinya dengan pempengaruh dalam institusi keagamaan, dengan menjadikan mereka sebagai "pemimpin pendapat" dalam memperkatakan sesuatu isu. Kita mungkin boleh mengambil contoh bagaimana elit politik yang berkuasa cuba mendekatkan diri dengan tokoh-tokoh agama, termasuklah institusi pondok sama ada yang mempunyai hubungan dalam kesatuan mahupun tidak.

Elit politik yang berkuasa akan hadir sebagai pihak yang akan menghulurkan bantuan, ataupun memberikan harapan kebangunan institusi berkenaan dengan cadangan pemodenan infrastruktur mahupun bantuan dalam bentuk "one-off". Namun, oleh kerana institusi kemasyarakatan begitu sudah tidak lagi membawa makna yang besar walaupun masih berpengaruh, ia tidak diberikan tumpuan secara mutlak, hanya sekadar "touch n go" atau lebih dahsyat lagi, membawa para pemimpinnya bertemu dalam majlis yang bersifat wacana, forum mahupun pertemuan khusus.

Kalau dalam konteks politik Indonesia, setiap kali akan berlakunya PEMILU, maka akan diadakan gandingan antara elit politik dan elit agama sebagai simbol perjuangan untuk mendapatkan kuasa. (Baca: Robert W Hefner, Islam Dalam Politik dan Pendemokrasian di Indonesia, Jenjarom, Selangor: IBDE Ilham Sdn Bhd., 2017).

Namun, dalam PEMILU terakhir pada tahun 2024, gandingan seperti itu seolah-olah sudah berakhir apabila Prabowo bergandingan dengan putera sulong Jokowi, Gibran Rakabuming Raka. Ketika gandingan itu dibentuk, Gibran masih berumur kurang 40 tahun (lahir 1 Oktober 1987 di Surakarta).

Bagi membolehkan Gibran menjadi calon Naib Presiden, peruntukan undang-undang telah dipinda. Isu pindaan undang-undang tersebut menjadi sesuatu yang cukup kontroversi namun setelah Gibran berjaya mendapat sokongan pengundi, isu berkenaan (syarat umur) semakin sepi.

Begitu juga dengan politik Malaysia, syarat asas bagi seseorang untuk menjadi pemilik turut berubah. Sejak lebih enam dekad, mereka yang dikategorikan sebagai pemilih berdaftar ialah berumur 21 tahun ke atas dan telah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Atas kepentingan tertentu, peraturan itu kemudiannya dipinda di mana warganegara berusia 18 tahun secara automatik diberikan hak untuk mengundi dalam sebarang bentuk pilihan raya (PRU, PRN dan PRK) yang berlaku di konstituensi berkenaan.

Setakat ini, belum diputuskan seseorang pengundi yang sah itu hanya dibolehkan mengundi di alamat terakhir tempat tinggal mereka, maka fenomena pengundi luar kekal menjadi sebahagian daripada faktor penentu sebab itulah dalam setiap kali pilihan raya diadakan, maka muncul isu "pengundi luar" atau 'perantau pulang kampung’ untuk mengundi. Heboh juga soal "sagu hati" atau wang poket kepada perantau. Masing-masing berkeriau; wakil rakyat kata, tunggu peruntukan dari kerajaan pusat.

Mereka yang berumur 18 tahun sebahagian besarnya sudah berada di luar kampung masing-masing atas sebab tertentu. Mungkin sedang belajar di institut pendidikan tinggi di merata tempat ataupun sebahagiannya sudah memasuki bidang pekerjaan di bandar-bandar besar atau di kawasan zon industri di Pantai Barat atau koridor selatan tanah air (yakni Johor).

Ketika ini, jumlah pengundi muda dan yang pertama kali akan mengundi (di bawah usia 40 tahun) dikatakan sudah membentuk lebih daripada separuh (52 peratus) jumlah pengundi yang sah. Ini bermakna, perubahan demografi pengundi akan turut mengubah perspektif politik negara.

Perubahan inilah yang dinamakan sebagai "politik baharu", yang membawa maksud kaedah politik yang tidak lagi berdasarkan nilai-nilai lama seperti hubungan keluarga, dan politik penaungan. Ia sangat bergantung kepada peribadi calon yang bertanding dan idealisme politik sesebuah parti itu sendiri. Politik tidak lagi dianggap sebagai teras, tetapi sebagai pilihan.

Walaupun realiti "politik baharu" tidak membawa bentuk yang kesemuanya berubah, persoalan politik identiti kembali memainkan peranan dalam penentuan pemilihan, yakni belum bebas sepenuhnya daripada kerangka politik lama, di mana persoalan kaum dan calon itu sendiri. Hal inilah yang menjadi persoalan apabila bekas ADUN Skudai, Marina Ibrahim dikatakan enggan bertanding sekali lagi setelah dicadangkan berpindah ke Hulu Tiram, yang menjadi kubu kuat UMNO, kawasan majoriti pengundi Melayu.

Ia membawa maksud, orang Melayu akan membunuh calon Melayu yang mewakili parti pelbagai kaum, terutama parti yang ditunjangi oleh bukan Melayu. Ia berbeza dengan parti pelbagai kaum yang ditunjangi oleh orang Melayu memberikan fokus untuk menjatuhkan parti yang berasaskan sentimen kemelayuan.

Bukan calon Melayu boleh menang, tetapi, jarang calon Melayu seperti Marina boleh menang dalam kawasan majoriti bukan Melayu. Sebab itulah DAP giat mencari ahli dalam kalangan orang Melayu, dengan harapan dapat menarik sokongan pengundi Melayu jadi kawasan majoriti Melayu ataupun pengundi Melayu menjadi faktor penentu.

Marina Ibrahim bukan sahaja melepaskan jawatan sehari sebelum DUN Johor dibubarkan (1 Jun 2026), malah turut menyatakan pendiriannya tidak lagi berhasrat untuk aktif berpolitik. Persoalan itu memberikan tamparan hebat kepada DAP, dan pemilihan Marina pada PRN lalu (Mac 2020) adalah kerana ada perhitungan untuk meletakkan Syahredzan Johan sebagai calon Parlimen. DAP akhirnya meletakkan Syahredzan Johan sebagai calon Parlimen Bangi setelah penyandangnya, tidak lagi berhasrat bertanding dalam PRU 15 (Oktober 2022). Marina menang dengan majoriti lebih 13,000 undi. DUN Skudai dikuasai oleh majoriti pengundi Cina.

Sejak isu keengganan Marina untuk bertanding semula sebagai calon DAP, dan penolakan pujukan pucuk pimpinan DAP dengan tawaran diberikan jawatan dalam GLC sekiranya kalah di Hulu Tiram, DAP sedang membaiki kerosakan imejnya dalam kalangan pengundi Melayu. DAP sangat mengharapkan pengundi Melayu akan menyokong calon-calonnya di beberapa DUN yang akan ditandinginya nanti. Nampaknya, imej ini sukar dibaiki oleh DAP walaupun bakal meletakkan beberapa calon Melayu di konstituensi tertentu.

Laporan awal menyatakan DAP mungkin akan bertanding di lebih 10 kerusi. DAP akan mempertahankan 10 kerusi yang dimenanginya. Jangkaan awal menunjukkan DAP sukar mempertahankan kesemua 10 kerusi yang dimenanginya atas kesan keengganan Marina untuk dicalonkan semula.

Ramai yang melihat DAP tidak berusaha kuat untuk menarik sokongan pengundi Melayu, sebaliknya kekal membawa mesej yang diyakini sebelumnya, perjuangan untuk menterjemahkan hasrat dan aspirasi masyarakat bukan Melayu.

Pengundi Melayu bertekad untuk kalahkan calon Melayu DAP sebagaimana mereka lakukan ke atas calon Melayu di Parlimen Air Hitam, Syeikh Umar Bagharib Ali, dengan memberikan kemenangan kepada Dr Wee Ka Siong, Presiden MCA.

Secara tidak langsung, DAP masih berjuang atas keinginan besarnya, Malaysian Malaysia setelah berjaya membuka ruang kemasukan pemegang UEC ke IPTA yang diumumkan sebulan lalu. Bagi orang Melayu dengan membuka peluang itu ia bermakna suatu langkah awal kepada pengiktirafan sijil tersebut. Ia menjadi "early warning" dalam sejarah pendidikan negara.

Orang Melayu mula melihat ia sebagai satu bentuk "pengkhianatan" kepada Dasar Pelajaran Kebangsaan walaupun disyaratkan bahawa mereka yang akan diterima mempunyai SPM, yakni lulus Bahasa Malaysia dan Sejarah. Faktornya, sistem pendidikan vernakular itu tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, masih kekal menggunakan bahasa Mandarin.

Walaupun cuba dirasionalkan oleh KPT keputusan tersebut sebagai bukan "mengiktiraf UEC", penjelasan itu menjadi sedikit kacau apabila Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP "membocorkan rahsia". Anthony Loke memuji keberanian PMX untuk menyelesaikan isu tersebut, sedangkan ia adalah isu yang sudah lama berlarutan.

Bahkan pernah disokong oleh pemimpin PAS. Ketika PH di bawah Tun Dr Mahathir, isu itu gagal dimuktamadkan. PMX dikatakan cukup berani membuat keputusan itu selepas DAP memberikan masa selama enam bulan, setelah DAP merasakan ia adalah salah satu sebab kekalahan parti itu dalam PRN Sabah. PMX juga dikatakan bimbang apabila DAP dikatakan mungkin akan memutuskan kerjasama dengan PH. DAP dijangka akan membuat keputusan sama ada terus kekal atau sebaliknya pada pertengahan Julai nanti.

Jika DAP memutuskan kerjasama tersebut, bererti PH akan tempang sebagaimana tempangnya PN ketika ini dan BN selepas PRU 14 (2018). PN menjadi tempang apabila berlakunya krisis politik di Perlis dan bertambah kacau apabila wakil rakyat BERSATU menarik balik keputusan tidak menyokong kepimpinan MB Negeri Sembilan.

Bersatu tidak kekal mendokong keputusan PN yang dipimpin oleh PAS. Seolah-olah Bersatu sedang membalas dendam ke atas PAS yang cukup kuat melobi untuk mendapatkan kedudukan dalam kepimpinan PN selepas kehilangan kuasa di Perlis. Ia bermula setelah MB Terengganu menang dalam PRK Kemaman dan beliau dianggap sebagai calon PM dari PAS. Sejak itu bermulalah "lobi" untuk mengubah kepimpinan PN, termasuk menggunakan alasan mempunyai kerusi terbanyak.

PAS mendakwa Bersatu seperti pengkhianat kerana menjatuhkan kerajaan Perlis dan tidak bersama menuntut perubahan kerajaan di Negeri Sembilan. Hubungan dalam PN semakin tidak dapat diselamatkan, namun, PRN Johor ini akan menentukan sama ada dua parti yang mendokong prinsip menentang BN dan PH itu boleh kembali berada dalam satu gagasan atau tidak. Persoalannya, apakah PAS akan bekerja lebih kuat daripada Bersatu untuk memenangkan calon PN? Apakah Muhyiddin dan Haji Hadi boleh berpeluk-pelukan lagi untuk menunjukkan air yang dicincang itu kembali bertaut?

Berdasarkan kenyataan yang tular, BN dikatakan akan bergerak secara solo, maka PRN Johor akan membawa kepada persaingan yang sengit antara tiga pakatan yang menunjang ekosistem politik Malaysia masa kini. Walaupun Bersama dikatakan cukup berminat untuk "menguji" pengaruhnya untuk pertama kali, ia dijangka tidak menjadi sesuatu yang membingitkan.

Ini kerana Bersama masih belum mempunyai struktur dan jentera pentadbirannya, hanya sekadar dua orang, Nik Nazmi dan Rafizi. Rafizi dilihat sebagai seorang ahli politik yang gagal dan hanya bernuansa retorik. Tidak ada legasi menarik tentang dirinya sebahagian besarnya adalah liabiliti di atas kempennya yang agresif pada suatu ketika.

Tentunya, masyarakat Segamat cukup terasa dengan gubahan Rafizi terhadap projek ternakan lembu, yang membawa kepada kehancuran National Feedlod. Sebahagian besar rakyat Malaysia masih menyumpah dengan kempen Rafizi sehingga menyebabkan ramai pendeposit TH mengeluarkan simpanan mereka sehingga menjejaskan peluang mengerjakan ibadat haji.

Rakyat Malaysia semakin cerdik, tidak lagi mudah percaya kepada analisis data dari Invoke, sebuah syarikat data raya milik Rafizi yang tidak tepat. Data dieksploitasi dan dimanipulasi, sedangkan realitinya terlalu bersifat persepsi. Paling rakyat kecewa ialah cara Rafizi mengendalikan Kementerian Ekonomi, tidak ada keputusan dasar yang membanggakan kecuali kenyataan tentang "keanjalan pasaran" harga ayam. Kiosk nasi lemaknya juga dikatakan cukup bermasalah sekarang.

PH mungkin akan menerima nasib malang di dalam PRN Johor disebabkan imej dan pembawaan politik Anwar Ibrahim tidak sesuai dengan nilai Bangsa Johor. Anwar dilihat tidak begitu menyerlah imejnya di Johor berbanding di Selangor walaupun sudah beberapa kali turun padang sejak jadi PMX. Anwar masih belum menunjukkan kehebatan dasar ekonominya dalam meningkatkan polisi pembangunan ekonomi Johor, dan kadangkala rakyat Johor melihatnya seperti sedikit terpinggir dalam pandangan Putrajaya.

Kalau mengharapkan DAP akan menyumbangkan kemenangan besar kepada PH dalam PRN Johor, ia adalah sesuatu yang boleh dianggap mengecewakan. Ini kerana sentimen penolakan pengundi Johor ke atas DAP masih belum berakhir, ia akan menjadi bertambah besar apabila Anthony Loke mula "besar kepala" apabila menegaskan: Kalau DUN Johor bubar hari ini, esok kita boleh bubar DUN Negeri Sembilan'.

Kenyataan "sombong" itu menunjukkan bahawa DAP benar-benar boleh melobi kalaupun tidak mampu melakukannya. Keputusan membubarkan DUN adalah hak budibicara Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan', bukan hak mutlak DAP. Itulah perselingkuhan politik yang cuba dilakukan oleh Anthony Loke.

Apabila PMX menggugurkan Dr Zaleha, Ketua Sayap Wanita PKR sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan menggantikannya dengan Hanna Yeoh dari DAP, ia sudah membawa tafsiran bahawa kepimpinan Anwar yang berslogankan Malaysia Madani semakin mudah dikuasai oleh DAP. Apatah lagi apabila prestasi menteri daripada DAP cukup menarik dan kadangkala tidak ditegur dengan keras olehnya apabila bertelingkah dengan aspirasi orang Melayu. Orang Melayu melihat cara "bijaksana" PMX menyelesaikan kemelut tersebut sebagai "melepaskan batuk di tangga", walhal kesannya cukup menyanggah.

Contohnya mengenai sikap dan perilaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Begitu juga dengan peristiwa penganjuran Pesta Menyimbah Air ala Songkran di Bukit Bintang, yang cukup terkenal dengan kehidupan malam penuh maksiat. PMX tidak mempersoalkan apakah benar unjuran pendapatan sebanyak RM 200 di atas penganjuran festival tersebut. Usaha Menteri Agama untuk "membasuh" Bukit Bintang kemudiannya dengan Majlis Bersepakat tidak mampu menyembuhkan luka orang Melayu-Islam.

Walaupun isu tersebut merupakan isu nasional, sedikit sebanyak akan menjejaskan reputasi imej kerajaan madani, yang bukan lagi dilihat menyemai nilai moral dan akhlak, tetapi lebih mudah membiak nilai-nilai liberalisme politik. Apa tidaknya, kemarahan rakyat tentang kunjungan Trump atas jemputan sebagai Pengerusi ASEAN masih diperkatakan. Terbaharu, ada pula pendedahan bahawa Malaysia ikut terbabit menjual peralatan perang (senjata) kepada Israel.

Dalam ekosistem politik orang Melayu walaupun UMNO dikatakan kehilangan idealisme politik, ia tetap menjadi sebahagian legasi orang Melayu. Ertinya, Johor adalah negeri di mana UMNO itu ditubuhkan, tidak mudah PH atau PN untuk melakukan pelbagai bentuk propaganda.

Propaganda sedemikian tidak begitu berjaya dan akan mengulangi kesannya sebagaimana dilakukan oleh PAS yang kadangkala terlepas cakap bila "khayal" berkempen. Misalnya, menuduh UMNO seperti itik tempang dan Bangsa Johor tidak terdedah dengan politik Islam.

Jika PAS terus kekal "berkhayal", hasratnya untuk menguasai Johor menerusi PN dalam langkah PAS akan terus kempunan walaupun bertanding di semua kerusi DUN. Bahkan kerusi tunggal yang dimilikinya akan berubah. Apatah lagi dalam keadaan hubungannya dengan Bersatu bermasalah, ia akan menambahkan lagi sengsaranya.

Setakat ini, PMX masih belum terserlah keberkesanan kepimpinannya walaupun nilai ringgit merupakan salah satu mata wang terbaik di Asia, ekonomi terus berkembang ia tetap akan dilihat masih belum menunaikan janji-janji lamanya.

Janji-janji lama masih belum ditunaikan kekal menjadi liabiliti, liabiliti yang terus menjejaki bayangan ngeri. Oleh itu, sesuatu kaedah "invention of yesterday" perlu dilakukan oleh Anwar jika PH mahu dilihat sebagai sebuah parti yang dominan.

Dalam apa pun asakan yang bakal dihunjam, BN dijangka mampu mengekalkan pentadbiran Johor untuk lima tahun lagi. Ini kerana prestasi Onn Ghazi cukup dipercayai oleh orang Melayu, bahkan hubungan akrabnya dengan Istana menjadi aset terbesar. Onn Ghazi yang masih muda, cucu kepada pengasas UMNO kekal membawa makna yang cukup menarik dalam kelangsungannya di tanah kelahirannya.

Sejarah itu tidak dapat ditolak mentah-mentah walaupun UMNO pernah kecundang pada PRU 14, rakyat Johor bangkit kembali pada PRN Johor (Mac 2020) menolak idealisme politik Muhyiddin, atas naluri dendam dan marah apabila dikembirikan oleh UMNO.

Orang Johor melihat Muhyiddin adalah tokoh yang bermasalah, kerana semasa menjadi MB Johor banyak hal yang tidak sesuai dengan aspirasi Bangsa Johor diketepikan. Beliau sentiasa dilihat sebagai seorang yang susah senyum, dan cukup didominasi oleh "aturan isteri". Ia menjadi hal yang tidak boleh diterima, kerana keputusan politik bukanlah "aturan isteri"; dan kerana itulah Muhyiddin terus kekal dengan hasratnya untuk dilantik sebagai PM sekali lagi.

Tetapi, dalam keadaan tidak keruan ini, tidak mungkin Muhyiddin akan berjaya, kerana musuh politiknya semakin ramai, termasuklah wakil rakyat BERSATU yang dipecat dan digantung keahlian. PN di bawah pimpinan akan bergabung dengan RESET (nama tentatif kelompok penyokong Hamzah Zainuddin) walaupun belum muncul sebagai sebuah parti.

Dalam pertarungan kali ini, BN cukup mengharapkan kilasan politik RESET ke atas Bersatu, Bersama ke atas PKR dan sesekali cuba mengulas kata-kata bahawa "undi BN dapat PH" dan "undi UMNO dapat DAP". Sebabnya, UMNO dan DAP tidak pernah menjalin kerjasama secara rasmi sebagaimana PAS bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Tidak ada UM-DAP tetapi pernah ada PAS-e-DAP sehingga konsep Negara Islam berubah menjadi Negara Berkebajikan, prinsip pemerintahan Islam diberikan kepada DAP sebagai pentadbiran ala Khalifah Umar Abdul Aziz, dan akhirnya gagal menepati tahaluf siyasi.

Apa pun keputusan PRN Johor, ia akan terus membentuk kerangka politik yang sangat berbeza dengan politik lama. Kalaupun BN menang dan kembali berkuasa di Johor, ia tidak menjejaskan hubungan dengan kerajaan pusat yang diterajui oleh PH. Ini bermakna kerangka politik akan bertukar selepas pilihan raya, kerana kerangka politik berasaskan satu parti dalam membentuk kerajaan tidak lagi menjadi asas, kecualilah ekosistem politik Malaysia kembali ke zaman sebelumnya.

Tetapi, sejak PRU 14, kerangka politik pelbagai parti dalam satu pasukan untuk membentuk kerajaan mula mencari bentuknya, dan ia menjadi realiti politik baharu selepas PRU 15.

Kerajaan negeri mungkin kekal sebagai dominasi politik sesebuah gabungan, tetapi, ia boleh juga merupakan gabungan daripada parti-parti yang pernah bermusuh seperti di Pahang dan Perak.

Di peringkat pusat, ia sudah menampakkan realiti sesebuah gabungan untuk membentuk kerajaan semakin "sukar", ia menjadi ciri politik baharu biarpun sebahagian daripada pengundi melihatnya sebagai satu bentuk "politik celaru".

Apa yang mustahak ialah gabungan yang berlaku selepas pilihan raya tidak akan meminggirkan aspirasi parti yang bekerjasama, bukan atas prinsip kuasa mutlak lagi.

Acuan sebegini sudah boleh diterima walaupun sebahagian lagi merasakan ia sesuatu yang merugikan, kerana banyak perkara perlu ditoleransikan dan kadangkala mencapai ke tahap patut dinormalisasikan. Itulah realiti politik tanpa kekuatan sendiri, realiti politik yang saling membahu untuk sebuah kaedah politik perkongsian kuasa.

Politik, semakin sehari semakin dinamik; tidak ada lagi yang boleh dinamakan politik dinosaur yang kebanyakannya berlaku dalam sistem politik berperwakilan, bukan sistem demokrasi langsung (memilih Presiden atau ketua negara).

MONOSIN SOBRI

 

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com