‘ANWAR KATA DIA SIBUK BEKERJA… RAKYAT NAK TAHU, BUAT KERJA APA?’
Oleh Nehru Sathiamoorthy
ANWAR menyatakan beliau tidak terfikir untuk mengadakan pilihan raya mengejut kerana keutamaan beliau sekarang adalah bekerja.
“Saya sedang fokus pada kerja saya. Masalahnya, sesetengah pihak tidak fikir pasal benda ini. Kita sepatutnya fokus kerja. Itu keputusan mereka (Johor untuk adakan PRN). Kita ada keutamaan sendiri, kita kena fokus pada kerja kita,” Bernama melaporkan Anwar berkata.
Bagi saya, banyak persoalan yang timbul tentang ‘kerja’ apa sebenarnya yang Anwar maksudkan itu.
Kalau beliau fikir tugasnya adalah untuk menguruskan negara, saya ingin mengingatkan beliau bahawa sebenarnya, penjawat awam yang menguruskan negara.
Kalau beliau rasa tugasnya adalah untuk menggerakkan ekonomi, saya juga ingin mengingatkan beliau bahawa rakyat dan para usahawan lah yang memacu ekonomi negara.
Jadi, kalau tugas beliau bukan mengurus negara atau memacu ekonomi, apa sebenarnya peranan beliau?
Ringkasnya, tugas seorang Perdana Menteri adalah untuk mewakili, memberi inspirasi, dan memimpin.
Jika Anwar benar-benar berkerja untuk mewakili rakyat, sepatutnya bila kita melihat beliau, kita nampak cerminan diri kita sendiri.
Malah, apabila warga asing melihat beliau, mereka sepatutnya dapat melihat siapa kita juga.
Jika beliau seorang tokoh yang memberi inspirasi, setiap kali kita melihat beliau, kita akan percaya pada potensi diri kita dan beliau akan menjadi inspirasi kepada kita untuk membaiki dan menambah baik diri kita. Apabila orang luar melihat kita, mereka juga akan yakin dengan potensi rakyat dan negara kita, Dan teringin untuk menyertai, bekerjasama, dan berusaha bersama kita untuk memajukan diri mereka .
Jika beliau seorang pemimpin, kita akan percaya bahawa dengan mengikut teladan, panduan, tunjuk ajar, nasihat dan perintah beliau, potensi kita akan menyerlah dan kita pasti akan menjadi versi diri yang lebih baik. Malah orang luar juga akan percaya yang mereka akan menjadi lebih baik kerana bersama kita, walaupun beliau tidak memimpin mereka secara langsung.
Anwar sudah mempunyai masa hampir 4 tahun untuk membuktikan bahawa beliau mampu mewakili, memberi inspirasi, dan memimpin kita.
Jika beliau menjalankan tugasnya dengan baik, rakyat pasti tiada masalah untuk memberikan beliau setahun lagi bagi menghabiskan mandatnya. Hanya apabila tempoh mandat itu tamat, barulah kita akan mengharapkan beliau datang semula kepada rakyat untuk memperbaharui mandatnya.
Namun, disebabkan rakyat merasakan beliau gagal menjalankan tugas beliau dengan baik itulah kita mendesak beliau untuk berhadapan dengan rakyat sekarang juga, sebelum pun mandatnya tamat.
Kita mahu beliau bersemuka dengan kita sekarang juga kerana kita sudah hilang keyakinan terhadap kemampuan beliau untuk mewakili, memberi inspirasi, dan memimpin kita dengan baik.
Sekarang ini,tiada sesiapa pun – tidak kira lah sama ada rakyat Borneo, kaum Cina, Melayu, mahupun India – . yang mampu melihat cerminan diri mereka apabila mereka melihat beliau.
Kita semakin hilang keyakinan terhadap potensi diri dan keupayaan kita untuk menjadi lebih baik di bawah pentadbiran beliau. Malah, ahli parti dan komponen gabungan beliau sendiri pun seolah-olah tidak percaya bahawa beliau mampu memimpin mereka ke arah yang lebih baik.
Kita mahu beliau jelaskan apa sebenarnya yang telah beliau lakukan untuk mewakili, memberi inspirasi, dan memimpin kita. Ini kerana kita langsung tidak nampak apa hasilnya sepanjang empat tahun kebelakangan ini. Segalanya — daripada FAM hinggalah ke SPRM, dari hubungan antara kaum ke hubungan antara Malaysia Timur dengan Malaysia Barat — semakin rosak sejak beliau memulakan kerja 4 tahun lepas.
Kegagalan kita untuk memahami apa yang sedang beliau lakukan dalam kerja beliau lah yang akhirnya menimbulkan tanda tanya dalam diri kita, yang mempersoalkan sama ada beliau sebenarnya tahu cara membuat kerja?
Inilah sebabnya mengapa kita memerlukan beliau menjelaskan sekarang juga — bagaimana beliau bekerja mewakili, memberi inspirasi, dan memimpin kita — sebelum kita boleh terus memberi kepercayaan kepadanya.
Jika beliau gagal menjelaskannya kepada kita apa yang beliau kerjakan, kita mungkin terpaksa meminta beliau berundur sekarang juga, tanpa perlu menunggu mandatnya tamat.
Tapi, jika benar beliau sedang bekerja, cuma hasilnya sahaja yang belum kita nampak, apa yang perlu beliau lakukan hanyalah menerangkannya kepada kita dengan jelas dan telus akan perkara itu. Jika penjelasannya meyakinkan, kita tidak keberatan untuk melanjutkan mandatnya untuk 5 tahun lagi.
Tetapi walau apa pun, sudah tiba masanya beliau bersemuka dengan kita. Keyakinan rakyat terhadap prestasi kerja beliau sudah menjadi terlalu rendah, sehinggakan kita tidak boleh menunggu setahun lagi sebelum beliau menghadap rakyat.
(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)
Sumber: bebasnews.my
