mohd shauki abd majid 1 150x150 Umat Islam negara ini ketika ini mengalami suatu macam kekalutan yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin politik di kalangan parti pemerintah dan pembangkang. Ketika sedang berpecah Umat Islam perlukan kematangan untuk menghadapi situasi ketika ini dengan tenang supaya segala faktor negatif tidak memerangkap dan menjatuhkan kita ke kancah fitnah besar dan kekacauan seperti yang berlaku dalam sejarah Islam selepas wafatnya rasulullah saw.
Menyatukan ummah dan mengelak perpecahan merupakan tugas-tugas kemasyarakatan (muamalat) yang mempunyai kedudukan penting, sehingga dihargai lebih tinggi daripada ibadah-ibadah ritual.

Secara fitrahnya, ummah sebenarnya menuntut keamanan dan perpaduan bukan persengketaan.Semangat al-Quran secara keseluruhan sebenarnya adalah semangat persatuan. Kerana itu jumlah ayat yang menganjurkan semangat persatuan atau perpaduan lebih banyak daripada ayat yang menjelaskan perihal perpecahan. Antaranya ialah Surah al-Hujurat ayat 10, al-Syura ayat 13, al-Mukminun ayat 32 dan ayat yang paling popular ialah surah Ali-Imran ayat 103 di mana firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berpeganglah kamu, dengan tali Allah. Dan janganlah berpecah belah. Ingatlah akan nikmat Tuhan kepada kamu, ketika kamu berpecah belah dan saling bermusuhan dan kemudian Allah menyatukan hati kamu. Kemudian dengan nikmatnya kamu menjadi saudara”.

Fitrah semula jadi manusia inginkan kehidupan aman damai kerana di situ letaknya kebahagiaan dan keharmonian. Justeru manusia sangat inginkan perpaduan. Lebih penting, umat Islam inginkan amalan sebenar yang bukan berbaur dengan kepentingan politik atau peribadi.

Perselisihan antara umat Islam bukannya tidak dijelaskan dalam al-Quran. Banyak ayat yang menjelaskan sebab yang mendorong konflik dan perselisihan dalam tubuh umat Islam. Surah al-Maidah ayat 14 mengatakan bahawa perpecahan itu terjadi akibat kurangnya pengetahuan umat Islam.

Dalam ayat lain, al-Quran bercerita tentang sebab perpecahan yang terjadi kerana kedengkian antara golongan sesama mereka (al-Quran surah al-Syura ayat 14, al-Baqarah ayat 213, surah Ali-Imran ayat 19, dan al-Jathiyah ayat 17) juga kerana kecintaan manusia kepada dunia (al-Quran surah Ali-Imran ayat 152), tidak menggunakan akal sihat (al-Quran surah al-Hasr ayat 14), dan tidak saling percaya antara mereka (al-Quran surah Hud ayat 116).

Dalam sejarah dicatatkan bahawa kita sering dikalahkan kerana tidak bersatu. Dalam keadaan berpecah belah itu, pasti saling menyerang dan berusaha menghancurkan satu sama lain.

Hakikatnya, politik perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat ke kancah persengketaan. Ulama terkenal, Sayyid Muhammad Rashid Ridho dalam kitabnya Al-Kassyaf, memperakui fenomena ini apabila menggariskan satu daripada empat faktor yang melingkari dilema perpecahan umat hingga lahirnya pelbagai ‘firqah’ atau kelompok dalam Islam adalah berkaitan dengan isu-isu politik dan perebutan kuasa.

Sedar atau tidak, politik hari ini semakin hilang nilai dan etika hingga gejala politik wang, ampu, fitnah dan adu domba semakin berleluasa. Ia sering mengheret umat kepada fenomena permusuhan sesama sendiri.

Sebahagian besar huraian tentang aliran sesat dan bidaah dalam Islam mengatakan, perpecahan umat bermula daripada persoalan politik.
Abu Al-Fath Muhammad bin Abdul Karim Asy-Syahrastani dalam bukunya Al-Milal Wa An-Nihal yang menjadi rujukan penulisan tentang aliran dan mazhab dalam Islam, menggariskan 10 sebab perpecahan umat.

Dua daripadanya terjadi sewaktu Rasullullah masih hidup iaitu penentangan sekitar penulisan wasiat Baginda dan pertentangan berhubung pasukan Usamah yang dihantar ke Syam untuk menahan serangan tentera Rom.

Kedua-keduanya terjadi ketika Rasullulah sedang gering. Menurut Abu Al-Fath Muhammad, perpecahan umat Islam sepanjang sejarah boleh dikategorikan kepada dua.

Pertama kerana persoalan politik, khususnya yang berkaitan dengan persoalan imamah. Kedua, kerana persoalan doktrin yang berkaitan soal keimanan dan teologi.

Kaum Khawarij telah memisahkan diri daripada kelompok Ali kerana politik dan membangunkan teologi sendiri. Mereka kemudiannya menjadi golongan pelampau pertama dalam Islam.

Demikian juga dengan Syiah yang muncul kerana reaksi terhadap Khawarij dan pengikut Muawiyah, termasuk juga golongan yang muncul kerana politik dan teologi seperti mana Khawarij.

Abdullah bin Umar melihat perpecahan dan konflik ini sebagai akibat dorongan kepentingan manusiawi. Sikap beliau yang tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini secara tidak sengaja membangun satu aliran politik tersendiri.

Sikap Abdullah ini diikuti oleh beberapa sahabat lain dan ramai yang bersimpati kepadanya. Abdullah menekankan persatuan dalam Islam dan konflik yang terjadi antara sebahagian tokoh Islam berpunca daripada politik.
Daripada kumpulan dan pemahaman yang pelbagai, lahirlah kumpulan majoriti umat yang dinamakan Ahlus Sunah Wal Jamaah yang diakui sebagai satu-satu kumpulan yang selamat dan berada atas jalan kebenaran Islam. Golongan ini tidak akan terjejas oleh fahaman serpihan seperti Khawarij, Syiah dan Assabiyah yang meletakan kepentingan politik semata-mata.

Dalam konteks ini Allah memerintahkan Rasulullah untuk menyampaikan pernyataan tegas berikut melalui firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah wahai Tuhan kami! Yang mempunyai kerajaan, Engkau yang menganugerahkan kekuasaan bagi siapa yang Engkau kehendaki dan mencabut kekuasaan daripada siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang engkau kehendaki, dan Engkau hinakan siapa yang Engkau kehendaki, dalam tangan-Mu segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu,” (Surah Ali-Imran ayat 26).

Dalam konteks ini, setiap selesai solat Rasullulah membaca doa yang hingga kini popular di kalangan umat Islam.

Doa itu bermaksud: Tuhan kami, sesungguhnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang perkara yang telah engkau kurniakan dan tidak ada sesiapa yang boleh mengurniakan apa sahaja yang engkau halangi dan tidak akan memberi manfaat oleh mereka yang berusaha bersungguh-sungguh dari apa yang Allah kehendaki.

*Penulis adalah ,Pengarah Media Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW)

 

Written by Dhomir
Category: Kolumis
Hits: 503
  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

Baca topik

Terkini


TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com