Ensiklopedia

Keterangan ringkas & tepat mengenai pelbagai ilmu!

 

TOK SELEHOR: BIOGRAFI ULAMA REFORMIS YANG MEMAGAR AKIDAH ISLAM (III)

Kebijaksanaan kedua yang dilakukan oleh Tok Selehor tatkala merendahkan ego diri ialah dengan mengaktifkan amalan bersuluk. Secara istilahnya, suluk berasal dari perkataan Arab, iaitu "salaka", "yasluku" dan "sulukan" yang membawa maksud "menempuh jalan atau berjalan." Menempuh jalan atau berjalan bukan sebagaimana kita maksudkan sebagai melangkah kaki secara fizikal, ia lebih menjurus kepada tindakan mengasingkan diri daripada "kesibukan dunia" atau dalam bahasa mudah sebagai "berada di suatu tempat yang sunyi dan tidak diganggu oleh hal-hal yang bersifat material."

Tujuannya cukup jelas, amalan bersuluk dilakukan "untuk mencapai kesempurnaan batin" dan dalam ilmu tasawuf, ia membabit amalan berkhalwat, yakni mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukan melakukan khalwat sesama manusia atas pilihan nafsu. Berkhalwat sebagai satu kaedah tasawuf bermakna bersendirian tanpa ada perantara atau orang lain, dan seluruh saat digunakan untuk menghening diri dalam sifat kehambaan (kerendahan hati) untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, dengan melupakan segala tanggungjawab dan masalah dunia, hanya berserah kepada-Nya untuk menentukan apa yang akan berlaku seterusnya. Dalam masa yang sama, setiap saat dihabiskan dengan berzikir dan mengingati apa yang dilakukan ketika hidup.

Tradisi bersuluk sudah menjadi amalan sejak sekian lama, bahkan sebelum menerima wahyu pertama, Nabi Muhammad SAW menghabiskan sepanjang malam untuk beberapa ketika di dalam Gua Hira'. Di sana, baginda "menjauhi dosa" kerana "cinta akan melahirkan kewajiban untuk berkhidmat (melayani)". Ertinya, "...jika seseorang ingin seseorang yang mencintainya sibuk melayaninya, maka sang pencinta akan melakukannya. Jika ia tidak menghendakinya, maka sang pencinta tidak akan melakukannya." (Muhammad Zulian Alfarizi, Rasulullah Sang Sufi Agung, Jakarta: Penerbit Laksana, 2020, hal. 105).

Pengertian ini harus difahami dengan jelas, maksud "yang dicintai" dalam kamus tasawuf ialah Allah SWT, manusia ialah "orang yang mencintai". Dalam konteks ajaran tasawuf Jalaluddin Rumi, digunakan istilah "kekasih" dan "Kekasih". "Kekasih" dalam tulisan yang menggunakan huruf besar merujuk kepada Allah SWT manakala "kekasih" dalam huruf kecil merujuk diri manusia. Kadangkala "Kekasih" diselangselik dengan nama-nama Tuhan yang kita kenali sebagai Asma ul Husna.

Suluk Tok Selehor berbeza kaedahnya daripada kaedah suluk yang dilakukan oleh para ulama. Kalau Jalaluddin Rumi "menari-nari dengan iringan muzik" sebagai "tarian mendekati Tuhan", Tok Selehor membina Liang Lahat sebagai tempat mengisolasikan diri untuk beberapa ketika atau beberapa hari. Liang Lahat itu digali sebagaimana liang lahat yang digunakan dalam proses akhir menyempurnakan seseorang yang telah meninggal dunia menurut ajaran Islam.

Menurut pengarang buku Tok Selehor Waliullah Dunia Akhirat, Tok Selehor "membuat suatu lubang khas di antara perkuburan untuk dijadikan tempat "SULUK" agar beliau sentiasa ingatkan mati, agar terbunuh segala sifat mazmumahnya. Kerana dengan mengubati mati, seseorang itu dianggap cerdik oleh Allah SWT, dan dengan mengingati mati, menjadikan seseorang itu bertambah gigih dan progresif, akan membina diri menjadi jujur, amanah dan bertanggungjawab, kerana yakin apa yang dikerjakan semasa hidup di dunia, semuanya akan dihisab (dipersoalkan) oleh Allah SWT di akhirat kelak." (hal.135-136).

Tasawuf Islam mengajarkan setiap penganutnya bahawa "kehidupan dunia" adalah sementara, "kehidupan akhirat" itulah yang akan kekal selama -lamanya. Dalam kesementaraan itulah setiap manusia perlu menjadikan dunia sebagai tempat mengumpul bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi (hal.136). Dalam istilah Imam al-Ghazali, kehidupan sementara di dunia adalah sebagai bahan bercucuk tanam manakala hasilnya (buah) akan dinikmati di akhirat (dunia adalah ladang akhirat). Apa yang kita tanam sepanjang hayat itulah yang akan menentukan jenis dan bentuk buah yang akan dituai setelah jasad berpisah daripada roh.

Pesan Rasulullah SAW, setiap daripada kita hendaklah "perbanyakkan mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang, dan jika diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri." (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi).

Kenapa kita perlu mengingati mati? Kita mengingati mati kerana kita bukanlah pencipta, tetapi yang diciptakan. Apabila kita diciptakan, bererti kita berada dalam kawalan dan kita bukan mampu mengawal. Kita hanya mampu mengawal hanya pada tindakan, perbuatan, kata-kata dan naluri kita sendiri. Kita tidak dapat mengawal perkara yang sama pada diri orang lain.

Tetapi, jika mampu membantu orang lain untuk mengawal tingkah laku, kata-kata dan nalurinya melalui nasihat, asuhan dan pendidikan (tarbiyah) yang kita laksanakan. Itulah yang menjadi saham terbesar para ulama dalam mendisiplinkan diri sendiri dan menyebarkan hal yang sama kepada orang lain, bermula dari usia dini tanpa rasa bosan dan penuh dedikasi.

Aktiviti bersuluk yang dilakukan oleh Tok Selehor, dengan berkhalwat di tempat gelap dan liang lahat bukan hanya untuk dirinya menurunkan ego, juga untuk mendidik para pelajarnya agar merasai bahawa "kematian sebagai sarana tetapi diri, menginsafi bahawa apabila saatnya tiba, semuanya akan berakhir, semuanya berada dalam kefanaan. Kehidupan sebenar setiap manusia dan makhluk adalah di alam barzah, dan di sanalah kita akan diadili tentang apa yang kita "tanam" sepanjang hayat.

Ia mengingatkan kita tentang hakikat kenapa manusia yang beragama wajib menguatkan diri dengan iman. Selain menjauhkan diri daripada kesombongan, riak dan segala-segalanya yang bersifat egosentrik, mengingati mati itu setiap saat adalah suatu "kesedaran yang amat mendalam makna kehambaan". Ironinya, tanpa jiwa kehambaan, "manusia sangat bercita-cita untuk mendominasi alam semesta material" walhal, hakikatnya manusia "tidak dapat mengendalikan tekanan darah dan gerak jantungnya sendiri." (Nevzat Tarhan, Psikologi Iman, terjemahan dari bahasa Turki, Inanc Psikolojisi Ingiluzce oleh FX Dono Sunardi, Jakarta: PT Qaf Media Kreativa, 2023, hal.19).

Kerendahan diri, kedekatan jiwa dengan makna kehambaan, tidak berusaha mendominasi dunia itulah yang menjadi pegangan hidup Tok Selehor. Di dalam hatinya cukup berkesan dengan apa yang diungkapkan oleh Ibnu Atha'ilah (1260-1309), seorang ulama sufi yang cukup digemarinya sehingga setiap kali ceramah berkenaan al-Hikam cukup besar sambutan daripada khalayak. Bahkan ada yang sanggup "memanjat pokok kelapa" atas alasan untuk melihat wajah dan ekspresi ketika ianya disyarahkan, yakni berkenaan kisah Israk dan Mikraj (hal.103).

Kuliah mengenai al-Hikam (naskhah yang menjadi panduan ialah terjemahan dan syarahan Syeikh Abdul Malik bin Abdullah, yang dikenali dengan panggilan Tok Ku Pulau Manis, Terengganu, yang dikesan pertama kali dicetak dalam tulisan jawi pada tahun 1313H/1895M oleh Matba'ah al-Miriyyah al-Ka'inah, Mekah) diadakan setiap hari Selasa, dan khalayaknya datang dari pelbagai tempat "semata-mata untuk mendengar pengajaran Tok Selehor yang menarik minat mereka." (hal.101). (Shafie Abu Bakar, Tok Pulau Manis Terengganu: Institusi Syeikh Abdul Malik Abdullah, Putrajaya: Emraz Media Sdn Bhd., 2020, hal.75, nota kaki 1. Buku ini diterbitkan sepenuhnya daripada tesis Ijazah Sarjana Persuratan UKM sesi 1976/77).

Ada yang hadir sejak waktu subuh lagi, walaupun syarahan al-Hikam dilakukan jam 10.00 pagi. Ada yang menangis, dan ada yang "terus insaf" sebaik sahaja mendengar huraian kitab itu oleh Tok Selehor, yang bukan sahaja mengubah kotak fikir, jiwa bahkan menginsafkan akan dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya. (hal.104).

Tok Selehor mampu "mengolahnya dengan gaya bahasa yang mudah difahami" dan menurut salah seorang muridnya, Tuan Guru Hasan Ahmad, "Saya tidak pernah mendengar orang mengajar yang lebih mempesonakan lagi begitu berkesan yang salah mengatasi kepandaian Tok Selehor." (hal.141). Kalau dalam istilah ilmu komunikasi, ucapan atau syarahan seperti itu mempunyai ciri-ciri penting perucapan awam (public speaking). Antaranya, autentik, mendekati psikologi khayalan (pendengar) dan menggugat emosi (sentuhan nurani). Bahasa yang digunakan ialah bahasa yang mudah difahami dan tidak bersifat "jargon" dan membumi (down to earth).

Antara ungkapan yang cukup menyedarkan setiap orang yang mencari hakikat kehidupan, Ibnu Atha'ilah berpesan dalam salah satu daripada 264 (kitab al-Hikam) ungkapan nasihatnya:

"Allah memberimu nikmat bukan kerana engkau mulia, tetapi agar terlihat siapa yang sedar dan siapa yang lupa. Sebab nikmat sejati ialah yang dapat menurunkan hati, bukan yang meninggikan kepala."

Nasihat itu cukup bertentangan dengan falsafah kehidupan manusia moden, mengetepikan "rendah diri" dan sentiasa "meninggikan kepala" kerana ghairah menakluki semesta (kebendaan). Sebab itulah kata ahli fikir: ahli politik menjual agama kerana permainan (percaturan) kuasa, para penceramah menggunakan agama akibat mengejar wang dan populariti, tetapi orang biasa menjadikan agama sebagai pedoman hidup dalam situasi sedar diri. Itulah yang hendak diteladani oleh Tok Selehor sepanjang kerjayanya sebagai pendidik dan pengasuh pondok sepanjang hampir 15 tahun (1921-1935).

KAMARUN KH

 

Written by Admin
Category: Resensi Buku
Hits: 11

 

TOK SELEHOR: BIOGRAFI ULAMA REFORMIS YANG MEMAGAR AKIDAH ISLAM (II)

Menariknya, pada suatu ketika Tok Selehor pernah diancam para perompak di tengah-tengah perjalanan menuntut ilmu. Tok Selehor yang mempunyai kebolehan bersilat, berjaya menakutkan kumpulan perompak, dan dikatakan mereka tidak lagi berminat mengganggunya.

Semasa mula belajar di Patani, Tok Selehor memondok di Pondok Bendang Daya dikatakan membawa ciri-ciri "anak muda gedebe" dengan berambut panjang, yang dianggap oleh murid-murid yang lain sebagai "sesuatu yang boleh merosakkan, mereka faham dalam keadaan tertentu ada keanehan berlaku dalam perwajahan dan penampilan seseorang." (hal. 114).

Oleh kerana situasi politik di Patani sentiasa bergolak akibat serangan Siam, Tok Selehor tidak lama di Kuala Bekah (berguru dengan Haji Abdul Rashid Kuala Bukit). Apabila guru pertamanya ditangkap oleh kerajaan Siam akibat fitnah dan salah faham politik, Tok Selehor berpindah ke Pondok Cha-Oh, berguru dengan Tuan Haji Abdullah Bendang Jong atau Tok Cha-Oh. Tok Selehor tidak mahu terlibat dengan aktiviti politik, beliau hanya menumpukan sepenuhnya "pada ilmu" kerana dianggap "membazir masa" dan "berjuang dalam gelanggang yang tidak sesuai dengan waktunya." (hal.75). Tok Selehor menghabiskan masa selama tujuh tahun belajar di Patani.

Tok Selehor masih merasakan dirinya "belum cukup berilmu" maka beliau memilih untuk melanjutkan pengajian ke Mekah. Setelah hampir 18 tahun belajar di Mekah, Tok Selehor kembali ke Tanah Melayu sekitar tahun 1340H/1921M dan memulakan langkah pertama "jihad pendidikan" dengan mendirikan pondok. (hal. 66-83).

Tok Selehor, sebagaimana ulama-ulama lain yang kita pernah mendengar kisahnya, turut mempunyai kelebihan luar biasa (keistimewaan), atau dikenali sebagai "karamah". Ia merupakan "pengalaman pengamal tasawuf...pemberian luar biasa oleh Allah SWT kepada mereka yang 'taat mengamalkan jalan suci' tetapi ia tidak dilihat sebagai satu perkara yang menyeleweng dari segi akidah (agama) walaupun menyalahi adat. Sesuatu karamah turut dikaitkan dengan barakah atau keberkatan." (hal.117).

Antara "karamah" yang dikaitkan dengan Tok Selehor ialah: (1) balak kekal tergantung walaupun talinya telah dipotong; (2) menembak seekor burung puaka menggunakan senapang di Kuala Tumpat ; (3) kemunculan ikan yu puaka, kemunculan burung gagak yang banyak ke Tanah Perkuburan Kampung Selehor (dikaitkan dengan tanda kematian Tok Selehor akan segera tiba) ; (4) kemunculan buaya putih (dikatakan dipelihara secara rahsia) di tempat mandian Tok Selehor di sungai sebagai pengawal kepada buaya-buaya lain (buaya liar) agar tidak mengganggu orang ramai yang menggunakan sungai tersebut; (5) menghalang perceraian menerusi nasihat menggunakan syair dan kisah Israk Mikraj; dan (6) bersuluk di kawasan perkuburan (tinggal di dalam "liang lahat" yang dibina khas untuk melepaskan ego dan merendah diri dalam proses 'perhambaan' atau menyucikan diri.(hal 116-132).

Tempat bersuluk kekal ada dan dipelihara sehingga sekarang. Ia dijaga rapi oleh cicitnya untuk mengelakkan salah guna seperti melakukan upacara yang dikategorikan sebagai syirik dan tahyul. Ini bukan satu perkara yang mudah, kerana cerita-cerita pemujaan terhadap seseorang terutama mereka yang dianggap wali sentiasa berlaku, termasuklah upacara tertentu yang kita dengar di makam keramat di pelbagai tempat. Ia merupakan hal yang sangat ditentang oleh Tok Selehor sepanjang hayatnya, kerana dalam akidah Islam tidak ada budaya pemujaan dan ritual yang boleh menjauhkan manusia dengan keyakinan mutlak terhadap Allah SWT.

Segalanya ditentukan oleh Dia: hidup dan mati, susah dan senang, jodoh dan ajal, dan setiap kesukaran akan ada jalannya untuk diatasi dengan tabah, syukur dan takdir-Nya. Prinsip zuhud yang sangat kuat dalam jiwa seorang ulama kerana setiap jalan kehidupan dan proses yang dilalui sepanjang hayat adalah untuk berhadapan dalam kesaksian diri dengan Maha Pencipta. Prinsip yang sama turut disampaikan kepada setiap murid-muridnya sepanjang memimpin dan menguruskan pondok, dengan berbekalkan ilmu yang dipelajari daripada kitab-kitab tersohor tulisan ulama besar Islam, terutama Imam Al-Ghazali yang terkenal dengan Ihya Ulumuddin, Kimia as-Syaadah.

Perjalanan tasawuf Tok Selehor banyak dicorakkan dengan prinsip tasawuf yang dibentuk oleh Imam al-Ghazali, yang mengambil pendekatan harmoni antara syariah, hakikat dan makrifat. Ia berusaha menjauhkan dari pandangan atau prinsip tasawuf yang bersifat falsafah seperti yang diucapkan oleh al-Hallaj mahupun kontroversi wahdatul wujud oleh Ibnu Arabi. Dalam memberikan makna perjalanan menyucikan diri, Tok Selehor lebih cenderung mengajar prinsip-prinsip yang diutarakan oleh Ibnu Atha'ilah as-Sakadari dalam al-Hikam dan Imam al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin.

Kisah yang cukup menarik ialah bagaimana Tok Selehor menyelesaikan krisis rumahtangga sebuah pasangan yang sedang di ambang penceraian. Saya cukup tertarik dengan kisah tersebut kerana dalam naratif Tok Selehor, inilah kebijaksanaan yang cukup lengkap dalam penyuguhan jiwa orang yang berhadapan krisis mendapat penyelesaian secara psikologi. Ertinya, inikah satu-satunya solusi yang jelas, yang berjaya diangkat daripada kebijaksanaan Tok Selehor.

Sebagaimana kita tahu, berdasarkan kitab-kitab ulama zaman pertengahan, mereka sudah memahami ilmu psikologi beratus tahun sebelum masyarakat barat mengenalinya. Misalnya Imam al-Ghazali dengan penjelasan yang cukup mendalam mengenai nafs dan Ibnu Sina dengan ilmu jiwa. (Dr G Hussein Rassool, Islamic Psychology: Human Behaviour Experience From an Islamic Perspective, London: Routledge, 2021; Frank Griffel, Al-Ghazali's Philosophical Theology, New York: Oxford University Press, 2009; dan Ibnu Sina, Ilmu Jiwa, terjemahan Ahwal an-Nafs oleh Ach Khoiron Nafis, Yogyakarta: IRCiSOD, 2025).

Tok Selehor menggunakan nasihat melalui ungkapan syair, yang cukup menarik:

Tiap-tiap malam kanda bermimpi

Adinda di tengah kanda di tepi

Menghisap rokok meminum kopi

Memeluk tengkok mencium pipi

Sedap rasanya tiada terperi

Harum baunya umpama kasturi

Suka dan hilai senang di hati

Kasih mesra sehingga mati. (hal.123).

Kata-kata syair itu sangat biasa, istilah yang digunakan begitu mudah (mendunia) tetapi maknanya cukup mendalam. Tok Selehor seolah-olah sedang melakukan percubaan "conditioning the mind" pasangan yang bermasalah itu dengan menggambarkan keindahan hidup berpasangan secara halal dan berpanjangan (sehingga mati atau akhir hayat).

Gambaran sebegitu, dalam bahasa moden dianggap sebagai pendekatan psikoterapi. Ungkapan itu mengingatkan saya kepada Jalaludin Rumi dengan "bahasa cinta dan kasih sayang", yang cukup berpengaruh. (Nevrat Tarhan, Terapi Rumi Untuk Keluarga Bahagia, terjemahan dari bahasa Turki, HZ Mevlana Ile Ailee Terapis oleh Bernando J Sujibti dan Zufardien Faqih, Jakarta: PT Qaf Media, 2023).

Dalam kisah 15, "Sebuah Kisah Hikmah Tentang Pernikahan", persoalan darjat atau taraf sosial bukanlah sesuatu yang sangat mengikat bagi kebahagiaan rumahtangga. Seorang Sultan (raja) akhirnya memilih gadis miskin, dari garis keturunan orang yang cantik dan bersih hatinya untuk disunting sebagai isteri kepada puteranya. Takdir juga hadir, seorang perempuan tua yang merupakan tukang sihir "jatuh cinta" terhadap putera raja tersebut. Wanita tua dari Kabul itu sentiasa melakukan pemujaan dengan mantera dan pelbagai ritual bagi mendapatkan putera raja. Putera raja akhirnya berjaya ditakluki oleh wanita tua itu dan dikurung selama setahun.

Setelah tersedar daripada cengkaman sihir, putera raja bergegas kembali ke istana dan menghadap ayahnya, dengan bersujud dan mengusap wajahnya. Wanita tua penyihir itu akhirnya meninggal dunia dalam kesedihan akibat Putera Raja menjauhkan diri. Putera raja memilih seorang wanita cantik tetapi berasal daripada keluarga miskin dan mereka pun berkahwin dalam satu majlis penuh meriah. Ketika melihat wajah wanita yang bakal menjadi suri hatinya, Putera Raja pengsan dan hilang akal. Tidak sedar diri selama tiga hari tiga malam. Akhirnya, putera raja sedar "dengan air mawar dan ubat-ubatan."

Setahun kemudian, Sultan bertitah kepada puteranya: Anakku! Ingatlah orang yang kaucintai dulu itu! Ingatlah orang yang tidur denganmu, dan jangan berkhianat terhadap kami."

"Sudahlah, ayahanda! Saya telah telah menemukan rumah kebahagiaan. Saya telah selamat dari rumah kebanggaan, dunia penuh penipuan dan jebakan yang dalam," jawab Putera Rajah.

Dalam bahasa Rumi:

"Wahai orang yang terkasih yang bebas dari 'kami' dan 'aku'!

Wahai jiwa yang tidak dapat ditampung dalam kata-kata dan jenis kelamin, lelaki dan wanita!

Ketika lelaki dan wanita menyatu, itulah engkau. Ketika yang lain menghilang, engkau satu-satunya yang ada. Gunakan 'aku' dan 'kami' untuk perdamaian dengan dirimu sendiri. Engkau membawa 'kami' menjadi ada. Dengan cara itu, "aku" dan "engkau" menjadi satu jiwa, dan akhirnya mereka menyatu dalam Cinta." (Masnawi jilid 1, bait 1785).

Tentunya, setiap pernikahan sangat mengharapkan kehidupan bersama sepanjang hayat tetapi dalam prosesnya akan ada halangan dan cabaran. Sekiranya setiap orang yang membentuk pasangan sering belajar untuk mendewasakan diri dan kematangan bersama, mereka tidak akan memperbesar-besarkan perbezaan. Mereka saling melengkapi, saling memaafkan dan berusaha mengatasi cabaran bersama. Dan, dalam menjalani prosesnya (tanggungjawab masing-masing dan tanggungjawab bersama), setiap pasangan wajar mengenangkan keindahan dan kebaikan ketika mereka hidup bersama, bukan membina jarak menjadi semakin jauh (ego).

Saya memahami dengan baik maksud syair yang menjadi salah satu ikonik kehebatan terapi Tok Selehor dalam mendamaikan masalah rumah tangga. Tok Selehor juga seorang suami yang cukup mesra dengan setiap isterinya, dan merupakan seorang pengamal poligami yang adil dan saksama. Dikatakan pada sesuatu masa, Tok Selehor akan bersama dengan empat orang isteri. Tok Selehor dikatakan pernah bernikah sebanyak 11 kali. (hal. 42).

Tulis Prof Nevzat Tarhan, pernikahan yang bahagia tidak menggunakan model egosentrik. Ia bukanlah seperti "berada di atas sebuah kapal dan hanya memikirkan keselesaan sendiri. Dalam bahtera rumahtangga, anda tidak sendirian, kapal itu bukan hanya milik anda." Ertinya, jika kapal itu milik anda secara fizikalnya, seorang suami harus sedar bahawa di dalamnya ada orang lain bersama. Orang itu adalah isteri yang dinikahi. Mungkin juga turut ditunjangi oleh anak-anak setelah pasangan sudah lengkap makna keluarga.

Maka, "ketika seorang isteri meminta sesuatu dari suaminya, penting untuk memerhatikan bagaimana ia dapat merasakan apa yang dirasakan, tidak munafik dengan keinginannya, dan beradab ketika memintanya...dan suami wajar "memberikan pandangan strategik dengan mengatakan bahawa yang terburuk dari peristiwa tersebut ialah penceraian..." (Nevzat Tarhan, Terapi Rumi Untuk Keluarga Bahagia, hal.212-213).

Bagi Tok Selehor, pandangan strategiknya ialah menasihati agar si suami atau pasangan yang bermasalah itu mengenang kembali saat-saat indah bersama. Tentunya, ia akan melenyapkan ego dan emosi marah ketika terjadinya sesuatu perselisihan, keindahan hidup bersama yang sudah dijalani akan berterusan "sehingga mati" bila keindahan itu dijadikan penentunya. Sebab itulah dalam sebuah rumahtangga, kesabaran dan saling memaafkan adalah suatu tindakan yang sangat mulia. Ia dikategorikan sebagai salah satu elemen ibadah dan model kepada peraturan bersosial (hablum minnas) atau fardhu kifayah.

(bersambung)

KAMARUN KH

 

Written by Admin
Category: Resensi Buku
Hits: 128

 

TOK SELEHOR: BIOGRAFI ULAMA REFORMIS YANG MEMAGAR AKIDAH ISLAM

Mengkaji historiografi pendidikan dan kemasyarakatan Tanah Melayu, kita tidak boleh mengandaikan kemunculan sistem pendidikan Islam yang bermula dengan pendidikan di rumah atau rumah tok guru (membaca al-Qur'an dan fardhu Ain) sehinggalah kemudiannya memunculkan sistem pengajian pondok.

Secara tepat bilakah sistem pendidikan pondok bermula di Tanah Melayu tidak dapat dipastikan tarikhnya, telahan-telahan sejarah lisan membuktikan bahawa pondok terawal dimulakan oleh seorang ulama bernama Haji Abdul Samad bin Abdullah atau dikenali dengan panggilan Tok Pulai Chondong, iaitu sekitar tahun 1820. https://iluminasi.com/.../sejarah-sistem-pendidikan...).

Istilah pondok berasal daripada istilah Arab, "tunduk" yang bermaksud penginapan. Ini bererti sistem pendidikan pondok bukan sahaja merupakan institusi pengajaran dan pembelajaran ilmu-ilmu Islam, ia juga membentuk sahsiah diri seseorang kerana mereka memondok sepanjang masa belajar. Pondok atau rumah penginapan yang disediakan atau dibina sendiri oleh para pelajar cukup ringkas, dan pada asalnya daripada kayu-kayan yang diambil daripada hutan di sekitarnya. Ia juga mengamalkan sistem gotong royong, dan pembinaannya cukup ringkas, bukan seperti sistem pondok moden yang kita kenali pada masa kini.

Pendidikan Islam yang diinstitusikan sebagai pendidikan pondok cukup pesat berkembang di Tanah Melayu terutama di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Tanah Melayu dibahagian kepada tiga kategori oleh penjajah Inggeris: Negeri-Negeri Selat (Straits Settlement Malays States), Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malays States), dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Unfederated Malay States).

Pembahagian ini menunjukkan sikap dan dasar pentadbiran penjajah, yang lebih menumpukan kepada penjajahan sumber ekonomi, hasil mahsul bumi, sistem pertanian komersial, operasi pelabuhan (eksport dan import - entreport) dan perluasan pasaran produk keluaran kilang-kilang mereka yang sedang berada dalam perkembangan awal Revolusi Industri.

Pembahagian ini sebenarnya menjadi faktor sejarah kenapa institusi pendidikan pondok lebih cepat berkembang dan menjadi suatu sistem pendidikan yang cukup besar di Negeri-Negeri MelayuTidak Bersekutu. Negeri-Negeri Melayu tidak Bersekutu (NMTB) ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Johor. Namun, antara NMTB yang cukup besar sumbangan tradisi pendidik pemondokan ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tiga buah negeri ini dikaitkan pula dengan apa yang berlaku di Patani, yang ada hubungan dan tradisi perkembangan Islam dengan Aceh Darus Salam. Patani pada suatu ketika pernah juga digelar Patani Darus Salam sebagaimana gelaran yang diberikan kepada Aceh. (Rujuk:https://muslimahhtm.com/.../pattani-darussalam-cermin.../ dan Anthony Reid, An Indonesian Frontier: Acehnese and Other Histories of Sumatera, Singapore: NUS Press, 2005).

Pada abad ke-18, Patani muncul sebagai pusat perkembangan intelektual Islam yang cukup berpengaruh dan Warner Kraus menyifatkan keadaan itu sebagai "zaman tauhid". Muncul beberapa orang tokoh ulama yang mengusahakan pendidikan pondok, selain mengarang kitab. (Warner Kraus, dalam Farid Mat Zain, Zulkarnain Mohamad dan Samsu Adabi (penyunting), Minoriti Muslim di Thailand, Bangi: Penerbit L Media, 1998).

Latar suasana perkembangan itulah yang telah menarik minat beberapa orang pelajar untuk meneruskan pengajian lanjutan mereka ke Patani. Salah seorang ialah Haji Abdur Rahman bin Utsman bin Senik yang kemudiannya dikenali dengan panggilan Tok Selehor/Selehong (1289H/1872M-1353H/1935M). Pengkisahan perihal aktiviti seharian Tok Selehor telah membawa kita mengenali sosok seorang pemuda kelahiran Kampung Lubuk Jong menghabiskan usianya dengan khidmat masyarakat yang cukup cemerlang sejak usia muda.

Tok Selehong mendapat pendidikan awal daripada kedua-dua ibu bapanya, Haji Utsman dan Mek Wei binti Senik. Setelah mencapai usia remaja, Tok Selehor yang sudah pun berkahwin memberitahu ayahnya untuk meneruskan pengajian ke Patani, yang masyhur sebagai pusat pendidikan Islam. Untuk belajar di Patani, Tok Selehor tidak mempunyai masalah besar walaupun ketika itu, perjalanan ke sana tidaklah begitu mudah. Beliau sanggup berjalan kaki merentasi hutan sejauh 155 kilometer dari Tumpat. Ia tempoh perjalanan yang sama selama tujuh tahun.

Catatan itu terkandung dalam buku Tok Selehor: Wali Allah Dunia Akhirat yang ditulis oleh Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir dan Mohd Shauki Abd Majid, yang diterbitkan oleh Dhomir (sebuah platform media sosial) dengan kerjasama OMIW (Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia), 2026. Mohd Shauki Abdul Majid adalah cicit (generasi keempat) keluarga Tok Selehor.

Sepanjang membaca buku biografi Tok Selehor yang merupakan salah seorang daripada lima ulama tersohor Kelantan dalam period yang sama, iaitu antara tahun 1920 hingga 1940, kita menemukan sesuatu yang cukup bermakna dalam pendidikan Islam tradisi di Tanah Melayu. Pada masa bersamaan, Kelantan pernah mendapat jolokan sebagai Serambi Mekah kerana menjadi sebuah negeri yang cukup meriah dengan pendidikan pondok, di mana pondok-pondok didirikan hampir ke semua daerah (jajahan).

Tok Selehor mendirikan pondok di Kg Selehong, Tumpat manakala empat lagi ulama yang dipanggil "ulama berlima", Tok Kenali (Haji Muhamad Yusof bin Ahmad, 1868-1933, di Kg Kenali, Kubang Kerian (daerah Kota Bharu); Tok Golok/Tok Jelapang (Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Halim, 1861-1934 di Pasir Mas); Tok Bachok (Haji Uthman bin Haji Muhamad, 1868-1953 di Bachok; dan Tok Kemuning (Haji Ismail bin Senik, 1885-1934 di Kemuning, Machang. Mereka semuanya dikatakan sebagai Ulama Lima Serangkai Warisan Patani

Namun, dalam membincangkan asal usul Tok Selehor, nampaknya ada sedikit kesilapan kecil yang berlaku, terutama mengenai nama Haji Utsman. Di halaman 9 disebut Haji Uthman bin Senik manakala di halaman 37, Uthman bin Muhamad Amin. Oleh itu, jika buku ini dicetak kembali, ia perlu disunting agar beberapa kelemahan lain dapat diatasi, termasuk penyeragaman ejaan (Utsman atau Uthman).

Selesai membaca buku ini, walaupun memaksa saya berhenti berkali-kali akibat pengulangan kisah yang kadangkala terasa kurang bermakna, buku ini hadir sebagai pengungkapan kasih dan hormatnya seorang cicit terhadap moyangnya yang berjaya meletakkan asas agama yang kuat. Sebagaimana yang kita ketahui, orang Melayu walaupun secara majoritinya merupakan penganut Islam, masih terdapat beberapa aktiviti, gaya hidup seharian yang tidak menepati nilai-nilai Islam.

Ketika membaca catatan kembali seorang pakar etnologi, khususnya perihal budaya di Kelantan antara tahun 1932-1933, Jeanne Cuisinier (1890-1964), ia jelas menunjukkan masih berlaku pelbagai tafsiran dan amalan yang bercanggah. (Jeanne Cuisinier, Yang Saya Lihat di Malaya, terjemahan Ain Ahmad Lutfi, P.Jaya: The Biblio Press, 2026). Biarpun begitu, Ulama Lima Serangkai itu telah berjaya mengharumkan Kelantan Sebagai pusat pendidikan pondok yang penting di Tanah Melayu sehinggalah mempengaruhi pihak Inggeris untuk mengkhianati sistem pendidikan Islam dengan memperkenalkan corak pendidikan sekular, yang berteraskan ilmu keduniaan dalam perspektif Barat.

Perjuangan menuntut ilmu bukanlah sesuatu yang mudah, ia memerlukan semangat dan pengorbanan yang besar. Hanya mereka yang gigih sahaja yang berjaya, dan Tok Selehor merupakan seorang yang cekal dan penuh semangat untuk mengisi ilmu. Ia dapat dilihat daripada keberanian dan kesungguhan Tok Selehor berjalan kaki ke Patani dan sesekali menumpang perahu dagang yang singgah di Kuala Tumpat.

(bersambung)

KAMARUN KH

 

Written by Admin
Category: Resensi Buku
Hits: 129

 

NABASTALA JUANG: BATAS RUANG DAN ACUAN PEMIKIRAN

Entah mengapa saya cukup tertarik dengan novel NABASTALA JUANG, karya Yusi Alfatih, penulis muda Indonesia yang bijak menyusun plot twist dan menyelinap masuk pelbagai fahaman yang merosakkan akidah Islam. Beliau cuba "melawan" kelompok-kelompok yang semakin berkembang dengan fahaman liberal, pluralisme agama dan cuba menghentam keras feminis, dalam gaya bahasa yang sesuai dengan pembaca, golongan muda.

Bukan mudah untuk "melawan" liberalisme, pluralisme dan feminisme yang semakin membengkak dalam pemikiran umat Islam, kerana aliran-aliran pemikiran itu telah lama menyarungkan makna kebebasan dan pasca nilai tradisi, serta teologi (faham keagamaan asli).

Novel NABASTALA JUANG ini bukanlah novel pertama yang membincangkan persoalan sedemikian, bahkan jauh lebih awal sudah muncul trilogi novel Kemi (Kemi: Cinta Kebebasan Yang Tersesat, 2010; Kemi 2: Menelusuri Jejak Konspirasi, 2012; dan Kemi 3: Tumbal Liberalisme, 2015) karya Dr Adian Husaini, atau gementar rasa marah ke atas Hasan dalam novel Atheis (1949), karya Achdiat Karta Miharja yang pernah menjadi salah sebuah novel dalam mata pelajaran sastera peringkat SPM tahun 1970-an.

Kalau dalam Atheis, Hasan yang dididik dalam laluan pendidikan tradisi boleh terpengaruh dengan faham kebebasan berfikir sehingga melupakan agama asal, maka dalam Nabastala Juang kita menemukan persoalan aliran pemikiran yang muncul dari barat cukup besar ancamannya. Aliran pemikiran masuk menyelinap dalam kotak fikir, yakni menerusi asas pendidikan sekular yang cuba menafikan peranan Tuhan.

Mereka binakan kerangka ilmiah yang berdasarkan pemikiran falsafah dan rasional, sehingga mereka cuba menyamakan setiap agama atas maknanya yang sama, iaitu mengajar tentang kebaikan seseorang. Namun, titik tertinggi dalam agama mereka cuba pesongkan sehingga ada yang berani berkata bahawa "Tuhan telah mati". Ironinya, "Tuhan Telah Mati" itulah yang mematikan orang yang membuat "kematian Tuhan oleh tangannya sendiri. Ia berlaku kepada seorang pemikiran besar yang sampai kini masih dianggap sebagai seorang ahli falsafah tersohor, Fredriech Nietzsche.

Dalam masyarakat barat, kata Dr Ali Al-Farabi dalam satu forum di Gedung Afrakul Islam: "Sejak awal, konsep mereka sudah tidak jelas sehingga banyak yang mengarang konsep itu agar bisa diterima manusia....

"Tidak hairan jika di Barat memahami bahawa agama itu hanyalah fanatisme. Bahkan, ketika ada seseorang yang mengatakan bahawa muzik adalah agamaku, cinta adalah agamaku, vodka adalah agamaku, dan sebagainya. Di Barat sudah tidak ada lagi dianggap asing. Itulah salah satu akibat dari ketidakjelasan konsep agama.....

"Saya yakin, di dalam kitab mana pun, kalian tidak akan pernah menemukan konsep selengkap Islam. Dari segi penamaan saja, Allah telah jelas menyebutkan dalam al-Qur'an "innaddiina 'indalllahil Islam'. Islam adalah agama yang diterima oleh Allah.

"Suasana auditorium siang itu hening. Semua pasang mata terfokus pada sang pembicara. Pembawaannya yang tenang membuat semua orang terkesima.

Lanjut Dr Ali: "Dulu Socrates pernah berkata:"Wahai warga Athen! Aku percaya pada Tuhan, tetapi tidak akan berhenti berfilsafat. Artinya, dia beriman, tapi tetap akan menggambarkan Sang Pencipta dengan akalnya sendiri...

"Atau seperti Nietzsche yang menganggap bahawa Tuhan hanyalah realitas subjektif dalam fikiran manusia. Konsep Tuhan rasional inilah yang justeru menjadi bahan subur bagi ateisme. Sebab kata mereka, Tuhan bisa dibunuh! Dan yang membinanya adalah manusia."

.....

"Kalian mungkin sempat mendengar buku yang pernah ditulis oleh Neale Donald Walsh berjudul Tomorrow's God. Katanya, Tuhan dan agama-agama yang telah ada dari zaman dahulu, tidak cocok lagi dipakai di zaman sekarang, sehingga mereka menganggap Tuhan harus sesuai dengan apa yang mereka gambarkan. Bahkan, mereka merasa peranan manusia harus lebih dominan daripada Tuhan...Ini semua adalah contoh rusaknya konsep Tuhan mereka." (NABASTALA JUANG, hal. 105-106).

Sebelum meninggal, Nietzsche mengalami pelbagai kemelut pemikiran dan gelojak jiwa yang membawanya kepada hilang kendali diri. Kemasyhuran akademiknya terjejas biarpun karangannya terus berjaya membina ruang pengaruh pemikiran. Umat Islam juga tidak terkecuali daripada "rempuhan pemikiran Nietzsche" yang hingga kini menjadi ancaman terhadap pemikiran Islam. Sebenarnya, soal rempuhan pemikiran falsafah sudah pun berlaku sejak zaman keemasan Islam lagi, terutama di akhir Dinasti Umayyah dan semasa kegemilangan Dinasti Abbasiyah.

Dalam Nabastala Juang, asalnya nama sebuah portal media sosial yang berusaha untuk melawan arus pemikiran tersebut yang dikendalikan oleh Zaydan Nabastala, calon pelajar sarjana yang berusaha untuk mengembalikan semula Universitas Muslim daripada Universitas Kapital. Universitas Muslim ditubuhkan di atas tanah wakaf seorang Muslim oleh cendekiawan Muslim alumni Timur Tengah.

Perjalanan mengembalikan asas Universitas Muslim bukan satu hal yang mudah, penuh ranjau dan masalah, kerana yang mendokong fahaman lelehan pemikiran barat itu cukup kuat. Bahkan, muncul pelbagai bentuk ganas, ugutan dan ancaman. Kegigihan melawan -pemikiran - dan kecekalan membentuk strategi menentukan kejayaan, dengan niat yang tulus dan tidak mudah patah semangat biarpun nyawa terancam.

Apa yang cuba diselit dalam perjuangan itu perlu dilakukan dari dalam, kerana penyelewengan sudah terlalu jauh ke dalam sehingga manusia-manusia akademik sudah hanyut dalam kelenaan teori dan perebutan kuasa. Tetapi, kesemuanya berjaya dilaksanakan oleh sekelompok mahasiswa, dan akhirnya, zuriat pengasasnya dapat dikembalikan dan yang cukup menarik, plot percintaan turut dijadikan mood penceritaan dalam bingkai moral, bukan seperti yang diamalkan oleh mahasiswa moden yang liberal dan berfikiran bebas.

Sebuah kisah yang cukup menarik, dan wajar dibaca oleh para siswa dan siswi yang cintakan "perjuangan Islam" dalam laras kembali ke akar dan makna peradaban, bukan sekadar semangat semata-mata. Sebuah novel yang cukup menarik dan berwawasan.

KAMARUN KH

Written by Admin
Category: Resensi Buku
Hits: 180

 

TRUMP NARSISIS PENCETUS MALAPETAKA BUAT AMERIKA

"Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran" (Hadis riwayat al-Bukhari).

Mengapa hadis tersebut tiba-tiba muncul sebagai pembuka ulasan buku terbaharu tulisan Firdaus Zainal, Donald Trump: Narsisis Abad ke-21, terbitan Kenyalang Press dan menjadi buku yang boleh dikatakan ikut laris di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026? .

Ketika saya selesai membaca buku setebal 185 halaman ini, PBAKL 2026 berada di hari terakhir (7 Jun 2026) dan tentunya, masih ramai yang kecewa tidak dapat hadir disebabkan tahun ini ia berlangsung dua hari selepas menyambut Aidiladha dan kebetulan pula dalam tempoh cuti penggal persekolahan. Saya tidak sempat mengunjungi kerana menghabiskan musim cuti sekolah ini di beberapa tempat di luar Kuala Lumpur.

Walaupun banyak buku baharu dipamerkan, ia mungkin sebahagiannya akan dapat saya miliki melalui pesanan secara dalam talian. Buku tulisan Firdaus Zainal ini merupakan buku keenam tulisan beliau yang saya miliki; kesemuanya berkisar tentang politik dan gagasan parti politik. Saya melihat pandangan dan cara Firdaus Zainal menulis cukup menarik, setelah membaca Donald Trump terlalu berat untuk melepaskannya. Sebab itulah saya hanya ambil masa kurang tiga hari selesaikan.

Hadis yang muncul dalam fikiran saya setelah membaca buku ini, kerana cukup meyakinkan bila Firdaus menyusurgalurkan apa yang telah dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat ke-45 dan ke-47, yang kini menjadi seorang yang ikut dibenci oleh masyarakat antarabangsa. Ia bukan sahaja dibenci oleh sebahagian besar umat Islam, bahkan masyarakat bukan Islam di Eropah turut melihat perwatakan beliau sebagai seorang yang boleh dikategorikan sebagai "gila".

Hadis tersebut sebagai "early warning" dalam pengurusan negara, kerana Trump telah salahgunakan kuasa demi memenuhi nurani yang biasa, dan narsisis. Banyak perkara yang dilakukannya menyalahi undang-undang, tetapi beliau tidak takut dengan kritikan.

Baginya, setiap orang mengkritiknya akan digelar "tidak patriotik" dan bakal memberikan selaran yang lebih besar. Itu juga menjadi sengketa tajam antara Trump dan Elon Musk. Musk menghulurkan dana kempen untuk memenangkan Trump lebih USD $270 juta. Beliau berselindung di sebalik Make America Great Again (MAGA) seperti Hitler melakukannya ke atas slogan, BNgs Pilihan, yakni etnik Arya.

Trump awalnya disangka mampu menjadikan America Great Again (MAGA) yang menjadi slogan kempennya pada tahun 2016, kini sedang menghancurkan negaranya sendiri. Trump boleh dikatakan sangat mirip dengan Adolf Hitler dalam pemikiran dan tindakan politiknya, kerana beliau hanya masyarakat kulit putih sahaja yang layak menyumbang dan memimpin dunia.

Hitler berpegang kepada konsep bangsa pilihan, iaitu Aryan. Trump berpegang kepada kulit putih dan membawa perjuangan kesukuan yang keras, yakni melontar kebencian dan penghinaan masyarakat bukan kulit putih. Cara berfikir Trump juga banyak menyerap idea Hitler yang dilakarkan dalam Mein Kempf.

Walaupun tidak mengakuinya, bekas isterinya, Ivana Trump pernah memberi tahu, tulisan Hitler itu pernah menjadi buku kegemarannya. (hal. 39).

Antara sikap dan peribadi Trump yang merupakan "Bayangan Hitler", ialah: (1) cuba menabalkan dirinya sebagai seorang maharaja yang berkuasa mutlak; (2) menindas prinsip demokrasi dan kebebasan individu; (3) mengeksploitasikan daya tarikan massa dan propaganda; (3) etnonasionalisme - ideologi berlandaskan etnik; (4) memperhebatkan dasar perkongsian antara kerajaan dan swasta; dan (5) autokrasi dan kuasa berpusat.

Kesemua tindakan Trump itu sangat dibimbangkan kerana beliau tidak pedulikan orang lain, hanya pendapatnya sahaja yang betul. Mereka yang mengkritiknya, akan dilabel dengan pelbagai gelaran.

Antaranya, pernah melabelkan lawannya, Hillary Clinton digelar "Crooked Hillary"; Joe Biden sebagai "Sleepy Joe" , Kamala Harris sebagai seorang yang rendah IQ dan Obama dengan "Barrack Hussein Obama" yang membawa maksud, latar belakang keturunannya, termasuk cuba dikaitkan dengan Islam, kerana bapa Obama , Barrack Hussein Obama Sr. (hal. 42), seorang pakar ekonomi asal Kenya dan beragama Islam.

Ibu Obama, Stanley Ann Dunham, seorang pakar sosiologi. Ann Durham kemudiannya berkahwin semula (1965) dengan seorang lelaki Indonesia, Lolo Soetero Martodiharjo (1935-1987), seorang ahli geografi kelahiran Bandung.

Ann hidup sebagai pasangan keluarga dengan Barrack Hussein Obama Sr. (1936-1982) selama tiga tahun (1961-1964). Setelah berkahwin kali kedua, Ann membawa Obama (lahir Ogos 1961) tinggal di Indonesia (1966).

Trump merupakan seorang yang cukup anti-Islam. Walaupun penganut Kristian, Trump merupakan pendokong kuat zionis, kerana datuknya adalah seorang Yahudi dari Jerman, yang berhijrah ke Amerika Syarikat.

Trump dilihat pernah bersama-sama beribadat di sebuah gereja milik Norman Vincent Peale (1898-1993), seorang penulis motivasi yang cukup berpengaruh. Rakyat Malaysia ramai yang pernah membaca karya Peale, yang sampai sekarang masih dijual, dicetak ulang dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa.

Antaranya, The Power of Positive Thinking (1952), You Can If You Can (1972), Enthusiasm Make a Difference (1967), The Tough-Minded Optimist (1961), dan Why Some Positive Thinkers Get Powerful Results (1986).

Menurut Firdaus Zainal, Peale percaya bahawa agama Kristian merupakan kultus kejayaan. Peale juga mengajak pengikutnya menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi, dan antara petikannya (hal. 99):

"Apa-apa jua fakta yang kita hadapi, walau sesukar mana sekalipun, bahkan kelihatan tiada harapan, tidaklah sepenting sikap kita akan fakta tersebut. Corak pemikiran yang yakin dan optimis mampu mengubah ataupun mengatasi fakta itu sepenuhnya." (The Power of Positive Thinking) yang dipetik daripada buku Peter Osborne dan Tom Roberts, How Trump Thinks: It's Tweets and the Birth of a New Political Languages, 2017, hal. 45).

Pengaruh motivasi "berfikir positif" yang menusuk dalam pemikiran Trump "tidak berpandukan fakta dan data dalam membuat pertimbangan.

Faktor pembesaran mendorong Trump berfikir tanpa berpandukan fakta. Trump salah seorang ahli Gereja Reformasi milik Norman Vincent Peale. Trump selalu menghadiri Gereja Marble Collegiate di Manhattan....

"Trump dipercayai dipengaruhi ajaran Peale...yang tidak melihat fakta sebagai keutamaan. Oleh itu Trump dilihat banyak membuat keputusan tidak mengikut fakta, misalnya dalam pelaksanaan tarif dalam ekonomi dan juga sistem pendidikan di Amerika Syarikat. Trump mengetepikan fakta dan data ekonomi yang dijelaskan penasihat ekonominya, Gary Cohn dalam perbincangan mengenai pelaksanaan tarif ke atas negara luar." (hal.99).

Trump bukanlah seorang peniaga yang berjaya sebagaimana ramai menganggapnya, setelah menonton siri The Apparentice, yang cukup terkenal dengan sergahan "You're Fired". Siri realiti tv itulah yang berjaya menaikkan imej Trump sehingga dirinya semakin galak untuk mencalonkan diri sebagai calon Presiden Amerika Syarikat, walhal beliau bukanlah seorang yang berpengalaman dalam politik.

Kebanyakan perniagaan yang dilakukannya mengalami masalah hutang, bahkan ada beberapa entitiny pernah memfailkan notis bankrap, tetapi Trump gunakan peluang itu untuk menyusun semula hutang. Beberapa syarikat di bawah kelolaan juga sudah ditutup.

Trump dikatakan mula meraih kekayaan besar apabila mendapat perhatian ahli perniagaan Rusia yang juga merupakan agen perisikan Rusia, yang dikawal oleh Vladimir Putin. Jelas Firdaus Zainal, "Mereka (ejen KGB) menjalankan operasi perisikan dengan menyusup masuk ke dalam negara luar...

"Selepas Perang Dunia Pertama, ejen perisikan menyusup masuk ke Amerika Syarikat untuk melemahkan undang-undang negara itu dengan mempengaruhi rakyat Amerika Syarikat menyokong Parti Komunis Amerika atau Communist Party of USA (CPUSA).

"Selepas Soviet runtuh, ejen-ejen itu terus bertebaran di luar negara dalam menjalankan aktiviti perisikan dalam model yang baharu iaitu melalui urusan jual beli. Trump adalah seorang pemaju hartanah Amerika Syarikat yang terkait dengan isu ini. Perkara yang menarik daripada isu ini ialah Trump tidak menyedari yang dia telah memasuki radar ejen perisikan Rusia." (hal.75)

Namun, bagaimana Trump dikatakan sebagai seorang Presiden yang mempunyai kekayaan yang besar dan menduduki tangga pertama dalam kalangan Presiden Amerika Syarikat. Anggaran nilai bersih aset (2025) yang dimilikinya menjangkau RM 30 bilion (lebih USD $6.5 bilion).

(bersambung)

KAMARUN KH

Written by Admin
Category: Resensi Buku
Hits: 360

Bacaan Popular


Baca topik

Terkini


TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com