ABU HANIFAH, IMAM YANG SABAR
Oleh: Lukman Hakim
Nama Imam Abu Hanifah memang tidak asing lagi di kalangan umat Islam baik dulu mahupun sekarang. Beliau adalah salah seorang daripada empat orang imam mazhab yang sangat dihormati dan disayangi oleh umat Islam.
Imam Abu Hanifah bukan sahaja terkenal sebagai seorang ulamak yang dalam ilmu agamanya, sangat taqwa nya kepada Allah s.w.t., tetapi juga seorang yang terkenal kerana kesabaran dan kebaikan hatinya.
Pernah suatu hari semasa beliau sedang mengajar murid-muridnya di sebuah masjid, datang seorang lelaki yang mencercanya dengan kata-kata yang kesat dan kotor. Namun beliau sedikit pun tidak mempedulikannya, jauh sekali hendak membalas cercaan-cercaan itu dengan kata-kata yang serupa.
Tetapi oleh kerana orang yang biadab itu tidak henti-hentinya mencerca beliau, maka murid-murid dan para sahabatnya pun meminta Imam Abu Hanifah supaya hentikan sahaja pengajarannya untuk disambung pada suatu ketika lain. Imam Abu Hanifah pun setuju lalu beliau pun bangkit dan berjalan pulang.
Tetapi semasa perjalanan pulang itu lelaki yang biadab itu masih lagi mengekorinya dari belakang. Mulutnya terus mencerca tidak henti, tanpa merasa malu terhadap orang-orang lain yang melihatkan kelakuannya itu.
Hatta, setelah sampai di rumah Abu Hanifah, Imam yang sangat penyabar itu pun berdiri sambil berpaling, seraya katanya:
"Saudara, inilah rumah saya. Kalau saudara rasa belum puas lagi mencerca saya atau masih ada lagi sesuatu yang berbuku di hati saudara, keluarkanlah semuanya supaya saudara beroleh puas dan tidak menaruh dendam kepada saya lagi."
Mendengar jawapan itu, lelaki itu pun akhirnya merasa malu lalu beredar dari situ tanpa apa-apa bicara lagi.
