AKHLAK UTAMA ORANG BANGSAWAN
Oleh: Luqman Hakim
Di kalangan Khalifah-Khalifah Bani Abbasiah, Al- Maámun dianggap salah seorang Khalifahnya yang terbilang sekali. Ternyata baginda bukan sahaja seorang pemerintah yang cekap dan berkebolehan bahkan juga seorang cendikia, ulamak dan ahli sastera yang berbakat.
Pekertinya juga baik, penyantun dan suka menghormati alim ulamak. Tentang keelokan pekerti Al-Maámun ini seorang ulamak pernah bercerita sebagai berikut:
Al-Maamun adalah seorang Khalifah yang luas pengetahuannya hingga ramailah orang-orang yang belajar kepadanya termasuklah diri saya sendiri. Pada suatu hari saya kebetulan telah bermalam di istananya. Jam berdetik hanya sekali, sedang suasana sekelilingnya sudah sunyi, kalau ada air menitik dari bumbung istana pun akan kedengaran. Saya kira ada dua orang sahaja ketika itu yang belum dialun mimpi. Saya pura-pura tidur tiba-tiba saya dapati Al-Maámun bangkit dari tidurnya terus menuju ke dapur. Saya perhatikan sahaja apa yang dibuatnya. Bila baginda minum saya dapati baginda tidak pun mengejutkan orang suruhannya. Saya dapati lagi bahawa baginda berjalan lan balik ke tempat tidurnya dengan tenang dan perlahan. Dari gerak baginda saya dapat mengagak bahawa baginda tidak mahu mengganggu orang yang sedang tidur.
Selang beberapa jam baginda merasa kepalanya amat berat, nafasnya kasar-kasar dan sekali-sekala baginda merintih dan terbatuk-batuk, perlahan-lahan sahaja bunyinya kerana mulutnya ditutup dengan lengan bajunya. Dari itu tahulah saya bahawa baginda tidak mahu rintihannya itu di dengar orang yang sedang tidur.
Bila fajar menyinsing baginda pun bangkit, saya pura-pura tidur, hinggalah hampir-hampir saya terlepas dari sembahyang subuh. Sesudah itu saya pun bangkit tanpa diketahuinya, kerana itu baginda bersuara - Allahu Akhbar, lalu baginda memanggil pelayan istana supaya mengejutkan saya.
Tetapi belum pun sempat pelayan itu masuk kedalam saya sudah berdiri di samping baginda. Kata saya, "Wahai Amirul Mukminin! Saya lihat dengan mata kepala saya sendiri tentang apa yang berlaku di sepanjang malam tadi, betapa baiknya tingkah-laku Tuanku. Sekarang tahulah saya betapa bahagianya kami sekalian berajakan Tuanku sebagai satu rahmat jua dari Allah s.w.t." Mendengarkan kata-kata saya itu Khalifah hanya tersenyum sahaja sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
