BILA IBU BAPA SUDAH MENINGGAL
Oleh Luqman Hakim
Majlis Nabi s.a.w., iaitu tempat Nabi Muhammad s.a.w. mengajarkan umatnya setiap waktu penuh dengan orang ramai. Pada suatu hari tatkala baginda duduk dikelilingi oleh para sahabat datang seorang bernama Usaid Bin Malik Bin Rabiah. Ia termasuk golongan pahlawan Islam yang berani, berkali-kali maju ke medan peperangan.
Usaid ini paling gemar menghadiri Majlis Nabi. Nasihat-nasihat Nabi s.a.w. tentang agama dan ilmu penting baginya. Sementara dia sedang asyik dalam Majlis, tiba-tiba datang seorang lelaki dari golongan Bani Salmah.
Tampaknya lelaki itu hendak mengemukakan pertanyaan kapada Rasulullah s.a.w. dan soalnya sangat penting sekali. Dengan hormat ia mengemukakan pertanyaan.
"Ya Rasul Allah! Masih dapat jugakah aku berbuat baik terhadap ibu bapaku setelah mereka meninggal? Sewaktu mereka masih hidup aku telah berbuat baik kepadanya menurut apa yang terdaya olehku. Aku memikirkan apa yang boleh aku lakukan setelah meninggalnya kedua orang tuaku."
Sekalian yang hadir terdiam mendengar pertanyaan ini. Rupanya memang merupakan pertanyaan pada masing-masing orang. Siapa gerangan yang tak ingin berbuat baik terhadap ibu bapa yang meninggal? Apa yang dapat dilakukan selagi mereka hidup, hendaknya begitu pula setelah mereka meninggal.
Rasulullah s.a.w. pun menjawab, "Ya dapat, solat terhadap kedua ibu bapa, memintakan ampun kepada Allah, melaksanakan wasiatnya sesudah mereka meninggal dan selalu bersilaturahim dengan orang-orang yang dahulunya kedua orang tua melakukannya. Pun memuliakan sahabat keduanya.
Mendengar jawapan Rasul s.a.w. ini tampak semua hadirin jadi berfikir, tetapi bayangan gembira nyata pada wajah mereka. Berfikir bagaimana solat terhadap kedua orang tua, kalau yang lain itu dapat difahami. Apakah solat sebagai biasa, dengan takbir, rukuk, sujud dan memberi salam.
Tetapi dapat juga difahami bahawa solat untuk orang tua yang telah meninggal ertinya mendoakan. Semoga Allah memberi rahmat, keampunan dan tempat yang mulia buat orang tua.
Lelaki yang bertanya tadi tidak tahu bagaimana usaha ini sampai pahalanya kepada orang tua yang meninggal. Tetapi akhirnya ia ingat sabda Rasulullah s.a.w.:
“Bila meninggal seorang anak Adam maka putuslah amalannya selain tiga perkara, iaitu sedekah yang ditinggal-diberikannya selagi hidup -- ilmu yang disiarkannya dan anak yang baik yang mendoakan sepeninggalannya.”
Tahulah lelaki yang bertanya itu akan sebabnya. Ia gembira sekali, kerana ia dapat melanjutkan berbuat baik terhadap orang tuanya. Kemudian ia pun meninggalkan Majlis Rasul, kembali ke rumahnya. Ia bermaksud hendak melakukan ajaran Nabi selagi dia masih hidup. Berbuat baik terhadap orang tua, setelah keduanya meninggal.
Sungguh mulia ajaran Nabi kita, berbuat baik kepada orang tua sesudah mereka meninggal, apalagi kalau masih hidup. Bukankah orang tua itu yang mengasuh kita sedari kecil hingga besar.
Agama mengajarkan agar kita berbuat baik. Sungguh tinggi ajaran Agama kita. Selagi orang tua hidup dapat berbuat baik, dan sesudah meninggalpun demikian juga.
