BUKAN KERANA DOAKU!
Oleh: Luqman Hakim
Pada suatu hari ulamak terkenal Hassan Basri telah melarikan dirinya dari dikejar oleh tentera Hajjaj Bin Yusuf yang terkenal bengis lagi kejam. Beliau telah masuk ke rumah sahabatnya bernama Habib Ajmi untuk berlindung di dalamnya.
Seketika kemudian datanglah askar-askar Panglima Hajjaj kerumah Habib Ajmi lalu berhenti untuk bertanya:
"Hai orang tua! Adakah engkau nampak Hassan Al Basri?"
Kebetulan Habib yang sedang berdiri di muka pintu itu lantas menjawab:
"Ya!" ujarnya singkat.
Hassan Basri yang dengar jawapan sahabatnya dari dalam rumah itu pun merasa terkejut serta berdebar-debar memikirkan kenapa Habib berterus-terang sahaja mengatakan dia tahu di mana ianya berada? Askar-askar Hajjaj ingin tahu di mana beradanya Hassan Basri lalu Habib pula mengatakan bahawa orang yang dicari mereka itu ada di dalam rumahnya. Mereka lantas masuk ke dalam rumah Habib tetapi tidak dapat pula menemui sesiapa pun.
Mereka pun lalu menyangka bahawa Habib hanya bersenda-gurau dengan mereka lalu mereka mencaci serta mengatakan Habib pembohong besar. Tetapi Habib bersumpah bahawa ia tidak berkata selain dari yang benar. Mereka lalu cuba sekali lagi masuk ke dalam rumahnya tetapi tidak juga menemui sesiapa. Akhirnya mereka pun pergi meninggalkan rumah itu.
Tidak lama kemudian ulamak Hassan Basri pun keluar dari rumah sahabatnya itu lalu berkata kepada Habib bahawa dia terselamat dari dijumpai oleh askar-askar Hajjaj itu adalah kerana berkat sahabatnya itu. Kemudian ia pun bertanya kenapa Habib memberitahu yang ia ada di dalam rumahnya?
Maka Habib pun menjawab:
"Wahai sahabatku Hassan Basri! Sebenarnya bukan lah kerana berkat doaku maka engkau selamat melainkan kerana berkat kejujuranku berkata benar. Sekiranya aku berbohong dengan mereka lalu engkau pula tertangkap kita berdua pasti akan beroleh malu yang bukan kepalang beratnya!"
Demikianlah keberanian seorang yang beriman. Kerana kuat iman dan taqwanya kepada Allah s.w.t. itulah maka Allah s.w.t. telah menyelamatkan sahabatnya itu dari tertangkap oleh pemerintah yang zalim.
