DEBU DI SEJADAH, DEBU DI JIWA

Oleh: Zulkarnain Zakaria

Pernahkah anda ke Masjid Imam Syafie, di Iskandariah, Mesir? Jika belum, penulis ingin ceritakan sebuah pengalaman. Tetapi awas, ia bukan pengalaman indah.

Sewaktu mengunjungi Mesir pada 2007, penulis singgah ke masjid berkenaan untuk solat Asar. Hati gembira bukan kepalang, kerana inilah masjid bersempena nama imam yang menjadi mazhab kebanyakan penduduk di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia . Teringat penulis, di bumi Mesir inilah Imam Syafie melahirkan Qaul Jadidnya.

Tetapi alangkah hampa, masjid ini kelihatan terbiar usang. Tempat wuduknya hancing. Baunya menyakitkan hidung. Mengambil wuduk di situ seperti berwuduk di dalam tandas. Rasa sesak nafas dibuatnya. Kemudian, permaidaninya sudahlah agak buruk, dipenuhi pula dengan pasir dan debu. Bila bersujud, dahi ditompoki debu pasir ini. Solat pun menjadi tidak khusyuk dan tidak selesa.

Di luar, peminta sedekah beratur. Anjing berkeliaran. Kawasan sekitar masjid, juga begitu: Sampah, peminta sedekah, debu dan berkecamuk. Keadaan yang hampir sama dapat dilihat di sekitar Iskandariah dan Kaherah.

Pernahkah anda melawat Syria ? Penulis sukakan Syria . Inilah tanah para anbia, sahabat, tabiie dan tabiin. Di sinilah bermakamnya Nabi Ayub, Yahaya dan Zakaria. Di sinilah juga terletaknya makam-makam Habil, anak Nabi Adam.

Selain itu, kepala Saidina Hussin turut dimakamkan di Damsyik. Bilal Bin Rabbah, Umaiyah bin Abi Sufian, Saidina Umar bin Abdul Aziz, Khalid Al Walid, Ubaidullah bin Umar, pahlawan Salibi Salehuddin Ayubi turut dimakamkan di sini.

Tetapi sedih, bandar-bandar di Syria, termasuk Damsyik juga dicemari dengan sampah. Longgokan sampah dan tandas yang hancing boleh dilihat di mana-mana. Keadaan yang sama dapat dilihat sekitar Iran yang penulis lawati pada 2001.

Pernahkah anda berkunjung ke Eropah? Jika sudah, anda akan akui fakta yang akan penulis sebutkan nanti. Jika belum, penulis ingin maklumkan, keadaan di negara-negara Eropah tadi jauh bezanya dengan di negara-negara Islam yang penulis lawati.

Switzerland cukup bersih. Tasik Lugano dan Luzerne misalnya bukan saja cantik dihiasi gunung-ganang, malah sangat bersih. Itik dan burung bebas berkeliaran seperti tasik itulah habitat asalnya. Sampah? Tiada, kecuali di dalam tong sampah.

Ia mengingatkan juga penulis ketika bersantai di sebuah tasik berhampiran Istana Buckingham, London . Tiada sampah dilihat di atas tanah. Itik, tupai dan burung-burung berkeliaran bebas. Tiada sesiapa yang mengganggu haiwan tersebut. Pantai Devon juga begitu.

Di Australia, burung undan, camar, bangau dan sebagainya hidup aman dalami di tasik, sungai serta laut yang bersih dan jernih airnya. Ops, jangan buang sampah di sini. Anda akan ditahan. Membuang bungkusan gula-gula yang sekecil jari kelingking pun menjadi satu kesalahan besar kerana ia akan mencemarkan laut. Ia boleh menyebabkan kematian ikan paus. Demikian juga di New Zealand.

Tandas-tandas di negara yang disebutkan tadi pula cukup bersih hingga kita rasakan boleh tidur di dalamnya! Pantainya bebas daripada sampah.

Pernahkah anda lawati tempat ibadat mereka? Jika belum, penulis ingin ceritakan, setiap rumah ibadat itu bersih dan teratur. Bebas dari sampah dan kotoran.

Sekarang bandingkan pula dengan Malaysia . Apakah yang akan anda lihat jika berkunjung ke Teluk Kemang misalnya? Sampah sarap. Apa yang akan anda lihat di dalam tasik? Sampah. Apa yang anda lihat di kaki-kaki lima jalan? Sampah juga. Di tepi bangunan, sampah. Di atas jalan, sampah. Di dalam parit dan sungai, sampah.

Pemandu dan penumpang dari membuang sampah dari kereta adalah pemandangan biasa. Malah tandas masjid yang hancing, tercabut kunci, diconteng dengan perkataan lucah, najis tidak dipam, juga adalah pemandangan biasa.

Udara yang bersih? Maaf, itu pemandangan yang hanya wujud dalam ilusi. Lori dan kereta membuang asap hitam. Kilang-kilang membuang asap hitam.

Berapa ekorkah itik dan tupaikah yang pernah anda lihat hidup bebas di Tasik Titiwangsa dan Tasik Perdana? Kosong.

Jangan harap itik, angsa, burung dan tupai dapat hidup aman di tasik- tasik atau sungai di negara ini. Ini kerana, apabila mereka berenang-renang di permukaan air, pasti ia akan dibaling dengan kayu dan batu.

Tahukah anda berapa banyak sampah dikutip di Sungai Kelang setiap hari? Jawapannya, 50 hingga 60 tan metrik. Agaknya ribu tankah jumlahnya kalau dikutip di setiap batang sungai di negara ini?

Sekarang cuba anda perhatikan pula senarai negara paling bersih di dunia. Untuk pengetahuan anda, senarainya didahului oleh negara-negara Barat. Environment Performance Index (EPI) pada 2009 misalnya memberikan 95.5 markah kepada negara teratas, Switzerland , daripada markah penuh, 100.

Ini diikuti oleh Sweden dan Norway (93.1), Finland (91.4), seterusnya Costa Rica, Austria, New Zealand, Latvia, Columbia dan Perancis. Turut sering disenaraikan dalam kelompok negara terbersih di dunia ialah Iceland , Jerman dan United Kingdom . Begitulah setiap tahun, negara-negara Barat menguggulinya.

Bandar raya terbersih di dunia juga begitu. Ia didahului oleh Calgary (Canada), diikuti oleh Honolulu (Amerika Syarikat), Helsinki (Finland), Ottawa (Kanada), Minneapolis (AS), Oslo (Norway), Stockholm (Sweden), Zurich (Switzerland), Katsuyama (Jepun), dan Berne (Switzerland).

Mengapa? Mengapa Malaysia , Kuala Lumpur dan negara-negara Islam lain tidak tersenarai?

Sebenarnya, akuilah hakikat bahawa, daripada aspek kebersihan dan penjagaan alam, orang bukan Islam ternyata lebih Islam daripada orang Islam sendiri. Ia bermaksud, jika kita ingin tahu erti apakah kebersihan seperti yang dianjurkan oleh Islam, pelajarilah dari orang bukan Islam.

Aneh, kerana orang-orang bukan Islam ini tidak tahu pun tentang wujudnya firman Allah dalam surah Baqarah ayat 222, yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri."

Mereka juga tentu sekali tidak tahu akan wujudnya hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Ibn Mas'ud, mafhumnya: "Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih."

Tetapi, mengapa kita tidak berasa malu? Mengapa kita masih suka kepada kekotoran?

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com