KEBESARAN JIWA CUCU-CUCU RASULULLAH S.A.W.
Oleh: Luqman Hakim
Saiyidina Hassan Bin Ali r.a. adalah seorang tokoh Islam yang sangat dicintai oleh umat Islam baik dahulu mahupun sekarang. Sebagai seorang cucu Baginda Rasul s.a.w., beliau adalah ibarat permata di zaman hidupnya kerana memiliki budi pekerti yang mulia lagi terpuji. Sikapnya ramah, penyantun, rendah hati dan dermawan pula.
Pada suatu hari sedang Saiyidina Hassan r.a. duduk di muka pintu rumahnya, tiba-tiba datang seorang Arab Badui lalu mencacinya. Dia turut juga mencaci ayah serta ibu Saiyidina Hassan r.a. Anehnya Saiyidina Hassan r.a. hanya mendengar sahaja akan segala maki-hamun orang itu tanpa sedikitpun berubah air mukanya, atau membuat serangan balas terhadap orang yang biadab itu.
Kemudian ia berkata kepada Badui itu:
"Wahai Badui, adakah engkau lapar atau dahaga? Atau adakah sesuatu yang merunsingkan hati engkau?"
Tanpa mempedulikan kata-kata Saiyidina Hassan r.a. Badui itu terus memaki hamunnya. Oleh itu Saiyidina Hassan r.a. pun menyuruh pelayan rumahnya supaya membawa kantung yang berisikan wang perak lantas diberikannya kepada Badui itu seraya berkata:
"Wahai Badui, maafkanlah saya kerana inilah sahaja yang saya miliki. Jika ada yang lebih tidak akan saya sembunyikan darimu."
Sikap dan layanan Saiyidina Hassan r.a. yang memeranjatkan itu akhirnya berjaya melembutkan hati Badui tersebut. Tiba-tiba Badui itu menangis terisak-isak lantas sujud di kaki Saiyidina Hassan bin Ali r.a. seraya berkata:
"Wahai cucu Baginda Rasul! Maafkanlah aku kerana berlaku kasar terhadapmu. Sebenarnya aku sengaja berbuat begini untuk menguji kebaikan budi pekertimu sebagai cucu Rasulullah s.a.w. yang sangat aku kasihi. Sekarang yakinlah aku bahawa engkau hai cucu Rasul sesungguhnya mempunyai pekerti yang mulia sekali!"
Demikianlah satu contoh keindahan budi yang tiada taranya. Orang yang kena maki-hamun itu bukan sahaja dapat bersabar terhadap segala percubaan itu bahkan membalasnya pula dengan sikapnya yang lembut serta pemurah pula.
