MUSIBAH ALAM: ANTARA SEMULAJADI DAN TRAGEDI
Setiap kali musibah alam - banjir besar, laut bergelora hingga tsunami, ribut kuat yang meranapkan apa yang ada di laluannya, tanah runtuh dan sebagainya - terus menjadi pengalaman ngeri sejarah dan dikaji oleh para pakar sehingga mengeluarkan pelbagai teori atau andaian. Susulan itu, pelbagai cadangan diberikan untuk mengatasi atau mengurangkan kesannya.
Pakar dengan kepakaran yang dipelajarinya bertahun-tahun memberikan cadangan bagaimana untuk mengelakkan tragedi menyayat hati berulang. Walaupun mereka gagal untuk menghalang petaka alam sebegitu agar tidak lagi berlaku, sekurang-kurangnya ia dapat membantu kita berhadapan dengan situasi, bersiap sedia bila ada tanda-tanda yang dicerap kemungkinan berlaku, atau mungkin berpindah lebih awal bagi mengelakkan kematian lebih besar.
Apa yang menyedihkan kita, tsunami di akhir tahun 2004 menyebabkan ratusan ribu orang terkesan - meninggal dunia, kehilangan harta benda dan trauma - dan di akhir November lalu berlaku banjir besar yang cukup parah di pulau Sumatera, terutama di Sumatera Barat dan Aceh.
Setakat ini (2 Disember 2025), dilaporkan lebih 600 orang terkorban dan lebih 400 orang lagi belum dapat dikesan. Beberapa buah negeri di Malaysia juga turut dilanda banjir, tetapi banjir kali ini tidak menampakkan air deras menghentam rumah-rumah dengan balak-balak yang hanyut bersama, seperti yang berlaku di Sumatera Barat. Tetapi, yang cukup menakutkan ialah fenomena air terkepung, yakni air yang melimpah tidak dapat mengalir keluar, menyebabkan kawasan terbabit kekal tidak dapat didiami.
Banjir kali ini tidak panjang, dan tidak seganas banjir yang melanda Hulu Kelantan pada tahun 2014, Kemaman (2014), Kota Tinggi dan Batu Pahat (2014) dan juga Pulau Pinang (2010). Menurut ramalan, banjir besar boleh berlaku setiap 10 tahun. Pada tahun ini, nampaknya ramalan itu tidak menjadi. Namun penduduk Lembah Kelang tetap terkenangkan banjir yang melanda Hulu Langat, Shah Alam dan beberapa tempat di Kuala Lumpur pada penghujung tahun 2021.
Bila arus deras bersama bayang-bayang pokok menghentam apa sahaja di laluannya, kita akan mengucap (mengeluh atau beristighfar) panjang, mula menyalahkan ada gondolan bukit, hutan mahupun wilayah yang menjadi pembekal dan pengimbang ekologi semulajadi musnah. Ia musnah atas kegilaan manusia sendiri, akibat mencari kemewahan material dengan mengeksploitasikan fauna dan flora yang ada di atas bumi, juga sumber mineral yang ada di dalam perut bumi.
Itulah hakikatnya bila kita sendiri terasa cukup terpesona dan haloba dengan nikmat Allah SWT yang menyarankan kita hidup cukup sederhana, bukan mengambil apa yang diberikan-Nya sesuka hati hingga terlupa bahawa bumi ini adalah amanah untuk dijaga, bukan dimiliki semahu-mahunya.
Setiap kali musibah berlaku, setiap kali firman-Nya dibaca dengan tegas, difahami dengan jelas, tetapi, penghayatannya hanya sekadar ketika masa-masa sedih sahaja. Rasa sesal ketika tragedi itu berlaku atau beberapa hari selepasnya, setelah kehidupan kembali tenang, amaran itu dilupakan lagi.
" Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintah-Nya? Dan Dia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izin-Nya; sesungguhnya Allah amat melimpah kasihan-Nya dan rahmat-Nya kepada umat manusia." (Surah al-Hajj, 65).
Ia adalah kenyataan Allah tentang langit dan bumi-Nya yang memberikan kita rezeki, kita nikmatinya secara percuma tetapi segelintir daripada manusia berebut-rebut memilikinya sehingga terlupa, ia adalah amanah yang wajib dijaga, dipelihara dan dibelai dengan sebaik-baiknya. Mungkin ada yang nampak jelas tentang kerosakan di bumi, tetapi tidak ramai yang melihat ada kerosakan yang hampir fatal di udara, sebahagian daripada langit.
Walaupun struktur langit masih kelihatan kukuh kerana Allah SWT belum "murka", ia sudah menunjukkan petaka dari langit juga cukup hebat. Ia muncul dalam dua bentuk: kepanasan yang melampau dan curahan hujan yang tinggi; dan diikuti angin yang kencang sehingga boleh menghentam struktur bangunan, pokok-pokok berusia ratusan tahun mahupun tembok konkrit yang dibina Menurut piawaian standard berdasarkan ukuran tertentu pada perkiraan para pakar.
Kenapa langit menjadi panas? Kata para pakar disebabkan oleh perubahan iklim. Kenapa iklim berubah atau tidak menentu? Kata pakar lagi, struktur salji di dua kutub sudah menjadi cair. Ia cair kerana udara panas yang terkumpul akibat " gas rumah hijau" yang dilepaskan ekoran ketamakan manusia untuk mengendali, mengurus dan mengeksploitasi alam. Ia turut dibantu oleh pelepasan karbon yang tinggi, kerana manusia semakin lahap membangunkan industri dan hebat bermobilisasi.
Di darat, di laut dan juga di udara. Tidak cukup dengan itu, manusia menjadi semakin kuat untuk mendominasi, maka diciptakan pula pelbagai senjata avionik dan supersonics yang mengeluarkan ribuan tan sisa ke udara. Kesemuanya ibu terkumpul di udara, terampai di awan sehingga awan sendiri pun tidak mampu untuk menanggung beban. Bila tidak tertanggung lagi, awan menangis dan langit menurunkan hujan serta badai.
Bila awan menangis, langit mengamuk, tumpahnya adalah di bumi dan laut. Allah SWT menjelaskan:
"Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia: (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah ar-Rum, 41)
Itu amaran Allah SWT. Amaran itu nampaknya lebih difahami ketika bencana menimpa, tetapi selepas kehidupan kembali tenang, jiwa meneroka harta alam tidak pernah putus. Kita mungkin pernah rasa sedih tatkala beberapa orang pencari emas terkorban di Lubuk Mandi, Terengganu (1988), kerana mineral berharga itu sangat "membahagiakan jika dimiliki". Manusia sanggup bertarung nyawa untuk mencari kebahagiaan yang mereka sanjung, iaitu kebahagiaan material. Tetapi, jarang manusia yang cukup tinggi akalnya mempertaruhkan nyawanya untuk kebahagiaan abadi, kecualilah mereka yang benar-benar beriman, mereka yang sedar sepenuhnya kedudukan diri sebagai hamba yang wajib mendekatkan diri sepanjang hayatnya kepada Sang Pemberi Kebahagiaan.
Salah satu anekdot Jalaludin Rumi dalam magnum opusnya, Masnawi cukup mengingatkan kita, bahawa kita seharusnya menjalani hidup berdasarkan sifat kita sendiri, tidak perlu berlebihan dan ingin mempesonakan orang lain dengan harapan mendapat perhatian, pujian dan dominasi. Anekdot tersebut ialah tentang seekor serigala, yang mahu mendapat perhatian, sekaligus pengaruh dalam kalangan serigala di sekelilingnya. Namun, serigala yang dimaksudkan itu tidaklah tampan, tubuhnya kurus. Bahkan ada ketikanya serigala tersebut mendapat ejekan dan tidak dipedulikan oleh kawanannya.
Burung Merak adalah seekor burung yang sangat indah, bahkan menjadi penanda atas kecantikan makhluk binatang. Tanda aras itu antaranya ialah mempunyai bulu pelbagai warna yang berkilat dan ekornya yang panjang. Apabila ekornya berkembang, sekalian binatang yang melihatnya cukup terpesona, dan serigala yang kurus itu begitu obses untuk menjelma sebagai seekor merak. Kalau tidak sepenuhnya bertukar menjadi merak, sekurang-kurangnya seluruh bulu di badannya adalah bulu-bulu merak yang berkilauan dan aneka warna.
Serigala itu menemui beberapa tong cat. Kemudian, mencelupkan dirinya ke dalam tong-tong cat. Setelah itu, ia keluar untuk mengeringkan badannya. Apabila semuanya selesai, serigala yang menjadi burung merak itu kembali kepada kawanannya, dengan mengepakkan setiap bulu berwarnanya . Oleh kerana asalnya adalah serigala, ia tetaplah serigala walaupun berlagak seperti merak.
Serigala yang melihatnya tidakpun terkesima dengan serigala-merak itu, lantas berkata: "Kau terlalu hanyut dengan penampilan baharumu sampai melupakan kawan-kawan lama kamu sendiri. Ingat, kamu hanyalah seekor serigala, seperti kami. Apa yang terhias di kepalamu?"
Jawab serigala-merak: "perhatikan baik-baik warna aku yang cantik. Pernahkah sepanjang hidupmu engkau temukan idola seperti ini? Lihatlah kecantikanku, berlututlah di hadapan kemuliaanku. Dunia menjadi tempat yang lebih indah dengan kehadiranku, kerana aku adalah tanda kemurahan Tuhan. Aku telah menjadi wujud yang dipenuhi oleh keindahan-Nya."
Dengan sombongnya serigala-merak itu mencebik kawanan serigala: "Engkau adalah haiwan yang rendah, jangan panggil aku serigala lagi. Mana pernah ada serigala yang seindah (seagung) aku?"
Yang lain kemudiannya menempelak: "Jika bukan serigala, lalu apa yang harus kami panggil kamu?."
"Aku burung merak jantan yang cantik, berkilauan seperti Jupiter!"
"Jika engkau seekor merak, kami ingin dengarkan nyanyianmu yang merdu dan tiada tandingan?"
"Tidak! Tidak! Tidak! Aku tidak boleh bernyanyi."
Semuanya ketawa. Semuanya berjalan meninggalkan serigala-merak. Akhirnya serigala-merak hilang daya diri, kerana bukan mendapat perhatian, ia dikecam dan di pulaukan.
Mereka yang mengeksploitasi bumi, bukan sahaja mendapat kekayaan, kadangkala dihormati kerana kekayaan tersebut. Akhirnya bumi rosak. Kerosakan itu menjadi beban besar kepada kehidupan, mungkin bumi berlubang dan muncul lekukan-lekukan tasik yang besar.
Tatkala langit mencurahkan air yang tidak sanggup lagi ditanggungnya, maka di situlah setiap daripada kita sedar, tidak ada lagi pokok yang memasak bumi, yang mampu bertahan. Air mengalir deras, dan segala sisa yang dilaluinya dibawa bersama.
Kesemuanya bertemu di suatu persimpangan, bersatu membentuk tolakan arus mega yang tidak mampu ditahan oleh apa pun. Kesemuanya terus mengalir hingga sampai ke destinasi yang tidak kita tahu di mana. Secara logiknya, ia akan berkumpul di titik yang paling rendah, dan dalam masa yang sama di laluan itulah berlakunya kemusnahan besar.
Menariknya, jarang kita dengar ada "serigala-merak" yang tampil mengaku bertanggungjawab kenapa bencana besar itu berlaku. Ada yang berlapik, memberikan alasan tragedi akan terus berlaku kerana itu adalah sifat semulajadi alam yang sentiasa berubah. Berubah sejak zaman berzaman lagi. Sejarah banjir besar berlaku, bukan kerana tangan-tangan manusia yang mengganggu ekologi.
Apa yang kita fahami, ada kota yang dibina oleh manusia sebagai "replika syurga dunia" tenggelam setelah Allah SWT murka. Kota Iram didirikan dalam tempoh yang cukup panjang (selama 300 tahun) pada zaman Raja Syaddad, putra terbaik kaum 'Ad. Setelah siap, seluruh warga keturunan 'Ad bersiap sedia untuk berpindah ke "replika syurga" itu. Namun, hajat tidak kesampaian, dalam perjalanan ke sana, kota yang megah itu, Raja Syaddad meninggal. Beliau tidak sempat melihat kota yang dibinanya. Kota itu tenggelam, hancur ditelan bumi. Allah SWT menceritakan sejarah tersebut dan mengajak setiap daripada kita mengambil pengajarannya. :
"Tidakkah engkau (Muhammad) memerhatikan bagaimana Tuhanmu perlakukan ke atas (kaum) 'Ad, (iaitu) penduduk Iram (ibu kota kaum 'Ad) yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi yang sebelumnya tidak pernah dibangunkan (suatu kota pun) seperti itu di negeri-negeri (lain)? (Tidakkah engkau perhatikan pula kaum) Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah dan Fir'aun yang mempunyai pasak-pasak (bangunan yang besar) yang dibuat sewenang-wenangnya dalam negeri, lalu banyak berbuat kerosakan di dalamnya (negeri itu), maka Tuhanmu menimpakan cemeti azab (yang dahsyat) kepada mereka? Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi." (Surah al-Fajr, 6-14).
Dalam kehidupan ini, persoalan keseimbangan dan kesederhanaan adalah jalan terbaik sebagai nikmat yang berpanjangan. Dalam mengambil keputusan, kita diminta berlaku adil, bukan sahaja kepada diri sendiri. Ia turut meliputi keadilan untuk orang lain, semua makhluk dan juga kelestarian alam. Akibat tamak, sikap mementingkan diri itulah menyebabkan ramai yang sombong sehingga membebankan orang lain, termasuklah menjadi punca bencana oleh tangan-tangan manusia, yang sepatutnya boleh dielakkan.
Sesebuah kerajaan yang adil ialah kerajaan yang melaksanakan dasar yang tegas terhadap kelestarian alam dan tidak meletakkan kepentingan ekonomi sumber alam sebagai punca pendapatan utama. Diperbolehkan mengambilnya, tetapi tidak dilakukan secara rakus sehingga bumi juga boleh melepaskan geramnya dengan menyembur keluar apa yang ada di dalamnya seperti pernah berlaku di Sidoarjo, Surabaya (Banjir Lumpur Panas/Lapindo bercampur belerang Mei 2006) dan juga tanah runtuh, seperti tragedi Highland Tower, di Hulu Kelang (1993) atau tragedi Pos Dipang, di Perak (1996).
*******
(Banjir Lumpur Panas/Lapindo benar-benar menjadi takungan kolam yang besar dan di dalamnya adalah ribuan rumah. Ketika saya ke sana tahun 2007, air dari perut bumi masih memancut dan lumpur panas menggelegak seperti beras yang ditanak hampir kering. Jutaan tanah diperlukan untuk membuat benteng bagi menyekat lumpur panas terus mengalir ke kawasan sekitarnya.
Dilaporkan, banjir lumpur panas itu mengeras sepenuhnya pada tahun 2010, mengambil masa selama hampir empat tahun. Ia disebabkan tindakan menggerudi perut bumi bagi mendapatkan minyak. Proses penggerudian itu terkena takungan larva gunung berapi. 1,300 hektar tanah tenggelam, 17 terkorban dan lebih 25000 orang menjadi kehilangan tempat tinggal, di mana lebih 10,000 bangunan tenggelam, termasuk 6,100 buah rumah).
KAMARUN KH
