APA ADA DI SIDRATUL MUNTAHA?

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

Semalam umat Islam seluruh dunia memperingati Israk Mikraj, salah satu peristiwa yang cukup penting dalam kalendar sejarah Islam.

Israk Mikraj adalah perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Baitulmaqdis dan naik ke Sidratul Muntaha, kemudian kembali ke Mekah dalam waktu singkat. Peristiwa ini, kejadian yang sukar diterima oleh akal rasional kecuali melalui pendekatan ke­imanan.

Ini bermakna, orang yang tidak beriman tidak akan dapat menerima peristiwa itu. Orang tidak beriman juga akan mengatakan peristiwa itu sebagai mengada-ada dan rekaan Nabi Muhammad semata-mata sebagaimana reaksi kaum musyrikin Mekah ketika pertama kali mendengar tentangnya.

Dimensi keimanan dan ketakwaan inilah yang menjadi sempadan antara orang yang beriman dan tidak beriman.Bagi orang yang beriman apa jua musibah yang dihadapi harus disertai dengan kesabaran, tawa­kal dan percaya sepenuhnya bahawa peristiwa itu adalah qada dan qadar Tuhan. Sebaliknya, bagi orang yang tidak beriman, peristiwa ini dihadapi dengan cara yang emosional, menyalahkan pihak lain dan tidak menerima suratan takdir yang mengkehendaki peristiwa berkenaan.

Sudah tentu pelbagai kejadian di muka bumi ini tidak dapat diukur dengan pertimbangan akal semata-mata. Pendekatan material hanyalah sebagai alat bantu untuk lebih memahami kuasa yang lebih besar yang tidak dapat dijangkau oleh akal manusia. Kehilangan MH 370 dalam negara kita suatu ketika dahulu adalah contoh terbaik bahawa keupayaan manusia ini hanyalah secubit saja di hadapan Allah.

Begitu juga halnya dengan peristiwa Israk Mikraj. Satu perjalanan spiritual yang paling tinggi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana Nabi pun. Ia dianggap mukjizat kedua terbesar setelah al-Quran. Peristiwa yang diabadikan di dalam al-Quran ini adalah proses pengukuhan dan penyucian jiwa dan rohani Rasulullah. Malah sekarang pun golongan empirisisme dan rasionalis masih mempersoalkan bagaimana mungkin lingkungan cakerawala yang menjadi laluan Nabi Muhammad tidak mengakibatkan geselan panas yang membakar tubuhnya?

Bagaimana mungkin ia dapat melepaskan diri daripada daya graviti bumi? Mereka melihat peristiwa ini berdasarkan realiti empirik dan rasional saja. Padahal, peristiwa Israk Mikraj merupakan peristiwa luhur dan di luar batas kemampuan akal dan fikiran manusia.

Sesuatu yang tidak atau belum terjangkau oleh akal fikiran manusia seharusnya tidak dijadikan alasan bagi mencari kepalsuan peristiwa itu kerana al-Quran menyatakan: "Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit." (Maksud Al-Quran Surah al-Isra ayat 85).

Dalam beberapa ayat yang menceritakan Israk Mikraj ini, berulang kali ditegaskan tentang keterbatasan pengetahuan manusia serta sikap yang harus mereka pertahankan, misalnya, firman Allah bermaksud: "Dia (Allah) menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Maksud al-Quran Surah Nahl ayat 8).

Apa yang ditegaskan al-Quran tentang keterbatasan pengetahuan manusia turut diakui para ilmuwan abad ke-20. Mereka menyatakan pengetahuan manusia tentang alam hanyalah mencapai tiga peratus, sedangkan baki 97 peratus adalah di luar batas kemampuan manusia. Peristiwa ghaib dan mukjizat itu memang tidak mungkin terjangkau oleh kewarasan fikiran.

Bagaimanapun jika dilihat daripada perspektif keilmuan Islam, maka persoalannya menjadi sesuatu yang lain. Ia tetap ilmiah dan benar, sebab dalam konsep Islam, ilmu di samping memiliki paradigma deduktif-induktif tetap mengakui paradigma tran­sen­den dan yang tidak terlihat oleh mata kasar.

Islam turut memberi pengakuan secara total adanya kebenaran daripada Tuhan, pe­nga­kuan adanya hal-hal bersifat metafizik (misalnya tentang wujudnya Allah, para malaikat, hari kebangkitan, syurga, neraka dan sebagainya) merupakan kebenaran yang tidak memerlukan bukti empirik bah­kan persoalan-persoalan metafizik ter­sebut adalah benar (realiti).

Mereka lupa atau sengaja melupakan ba­hawa wahyu dan kenabian adalah masalah ghaib yang tidak tunduk terhadap ukuran pancaindera dan keterbatasan akal fikiran. Peristiwa ini membuktikan ilmu dan kudrat Tuhan meliputi dan menjangkau, bahkan mengatasi segala terbatas dan tidak terbatas oleh ruang dan waktu.

Sebenarnya, peristiwa Israk Mikraj ha­nya disebut secara umum dan sekilas saja di dalam al-Quran. Rasulullah tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan itu. Bagaimanapun, ken­­yataan yang telah terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru.

Setelah itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk Mikraj disertai de­ngan penambahan hadis yang dari segi autentiknya tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk Mikraj memerlukan kajian mendalam dan usaha optimum untuk mene­liti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan Rasulullah tersebut. Ini penting untuk generasi akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau palsu.

Peristiwa Israk Mikraj tidak cukup diterima dengan akal sahaja kerana untuk sampai kepada penghayatan yang betul ia harus menggunakan riyadhah (dalam tasawuf latihan kerohanian dengan melakukan ibadah).

Perjalanan Rasulullah yang berangkat dari bumi yang rendah menuju al-Muntaha adalah cerminan perjalanan hidup kita sebenarnya. Kita meninggalkan bumi yang rendah menuju tempat yang tinggi untuk menghadap Allah untuk menggambarkan dahsyatnya perjalanan ini. Seorang sufi bercerita ketika Rasulullah sampai di satu tempat, malaikat Jibril mengatakan: "Saya tidak mahu ikut lagi. Sebab kalau saya ikut, sayap saya akan terbakar. Berangkatlah engkau sendirian."

Lalu Rasulullah berangkat ke satu tempat. Di situ malaikat pun tidak ada, hanya Rasulullah dan Allah. Rasulullah sampai pada suatu kedudukan di mana malaikat yang muqarrabin pun tidak dapat ke tempat itu. Menurut ahli sufi, itulah puncak perjalanan seorang murid ketika mendekati Allah. Sehingga para sufi mengatakan bila mereka dapat melalui seperti Rasulullah naik ke langit menuju Sidratul Muntaha, mereka tidak akan turun lagi ke bumi. Tetapi Rasulullah setelah mencapai makam tertinggi, Baginda turun ke bumi dan membawa satu amanah yang di­sampaikan kepada umatnya.

Ini semua terjadi di bawah bimbingan Allah dan taufik-Nya. Menurut Muhammad Asad, Sidratul Muntaha seperti pepohon teratai atau seroja. Pohon ini sememangnya sudah dikenali sejak zaman Mesir kuno lagi. Pohon ini dianggap sebagai lambang kebijaksanaan. Maka Sidratul Muntaha adalah lambang kebijaksanaan yang tertinggi dan terakhir yang dicapai oleh seorang manusia pilihan Allah.

Sesungguhnya Rasulullah telah sampai di Sidratul Muntaha, maka ia telah sampai tahap kebijaksanaan tertinggi yang dikurniakan Allah kepadanya. Sehingga amat wajarlah Rasulullah memiliki akhlak yang sangat mulia, sabar, kasih sayang terhadap manusia, alam dan haiwan.

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com