DAKWAH HIKMAH TOK SELEHOR (V)
Tok Selehor mempunyai keperibadian yang tinggi hasil didikan kedua-dua orang tuanya yang sangat mementingkan pendidikan agama. Tok Selehor pada zaman mudanya gemar belajar silat. Beliau merupakan seorang yang garang, berani, berbadan tinggi dan sasa.
Pernah suatu ketika, beliau menggunakan lembing untuk berlawan dengan seekor lembu yang menyerangnya. Pernah lapan kali beradu, bertikam keris (bermain silat) di Besut, Terengganu bersama Haji Omar Berangan. Mula dari situlah Tok Selehor memperlihatkan ketangkasannya bermain keris dan membuatkan Haji Omar kagum.
Walaupun Tok Selehor terkenal sebagai seorang yang gagah, pandai bersilat dan bertomoi, tetapi beliau tidak menyalahgunakan kemahiran tersebut dalam misi dakwahnya. Sebaliknya, teknik yang digunakan adalah berdakwah dan mencegah kemungkaran serta mengajak kepada kebaikan dengan cara kasih sayang dan lembut.
Kekuatan yang utama bagi beliau bukan tenaga, tetapi adalah dapat menahan perasaan marah. Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah seseorang itu dianggap kuat (gagah) kerana dapat mengalahkan orang dengan kemahiran gustinya, tetapi orang yang kuat itu adalah apabila dia dapat menahan perasaan marahnya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Tok Selehor bukan seorang pemarah. Pada suatu ketika beliau hendak mencegah perbuatan mencuri ayam. Suatu malam, Tok Selehor masuk ke dalam reban ayam menanti pencuri yang hendak mencuri ayam. Beliau menunggu pencuri itu di dalam reban.
Apabila pencuri masuk, beliau terus menangkap tangan pencuri itu. Apabila pencuri itu sedar yangmemegang tangannya dengan kuat itu ialah Tok Selehor, dia berasa malu. Sebab yang menangkapnya seorang Tok Guru yang dihormati.
Tok Selehor sempat menasihatkannya dengan lemah lembut, tidak marah. Selepas itu, beliau melepaskan pencuri itu. Pencuri itu sedar kesilapannya dan bertaubat, lalu tidak mencuri lagi.
Kisah yang lain adalah ketika Tok Selehor mengadakan operasi untuk mencegah judi sabung ayam. Beliau turut pergi ke tempat sabung ayam dan membantu memandikan ayam yang hendak disabung (dilaga).
Biasanya ayam yang hendak disabung akan dimandikan dulu sebanyak tiga kali tetapi Tok Selehor tolong mandikan sebanyak lima kali.
Apabila ayam mula bersabung, tiba-tiba Tok Selehor bersuara menyuruh berhenti, katanya, “Berhenti, berhenti, nanti ayam tu tak menang.”
Semua yang ada di gelanggang sabung jadi terkejut dan timbul rasa malu untuk meneruskan berlaga ayam. Kemudian Tok Selehor memberi nasihat tentang dosa pekerjaan laga ayam ini. Ramai yang sedar berkat keikhlasan Tok Selehor menasihati mereka bukan dengan cara kasar, tidak secara marah-marah, sebaliknya dengan cara lemah-lembut dan kasih sayang.
Catatan: Ibnu Majid