HIDUPNYA ‘JARUM HATI’
Nama penuh beliau, Haji Mamat @ Mohamad bin Osman, berasal dari Sungai Derhaka, Kuala Terengganu. Daripada keturunan orang-orang alim. Dalam usia 13 tahun beliau sudah boleh membaca khutbah.
Mendapat pendidikan awal di Pondok Losong Haji Mat Syafie, kemudian pergi ke Kelantan berniaga sambil belajar. Beliau selalu mengadakan muzakarah dengan guru-guru di sana. Kecenderungan kuat terhadap ilmu tasawwuf.
Kemudian Tuan Guru Haji Mamat beruzlah di Mekah selama enam bulan. Selepas kembali ke tanah air, beliau dikatakan bermimpi berada di bawah sepohon kayu yang terletak di atas tanah yang tinggi dan di situlah beliau mendapat pelbagai ilmu.
Beliau memulakan kuliahnya di kampung isterinya, Merbau Patah, Kuala Terenganu. Ketika itu, masyarakat di situ sangat berpegang kuat kepada kepercayaan syirik mengenai ´ancak´. Melalui pengajaran kitab Tauhid, akhirnya beliau berjaya menyedarkan masyarakat mengenai bahaya kepercayaan tersebut dan mengembalikan mereka kepada konsep tauhid yang sebenar di sisi Allah.
Keilmuan beliau mula tersebar ke merata tempat. Orang yang mendengar pengajarannya datang dari seluruh pelosok tanah air.
Tuan Guru Haji Mamat adalah seorang yang alim dalam ilmu tasawwuf. Syarahannya dalam menghuraikan kitab Minhajul Abidin dan Al-Hikam Tok Pulau Manis adalah sangat mendalam. Beliau memperoleh ilmu secara Laduni.
Setiap kali mengajar kitab Al-Hikam, beliau memberitahu seolah-olah beliau berada di lautan dan nampak laut di kepalanya. Kupasannya sentiasa berbeza walaupun mensyarahkan matan yang sama. Setiap kali beliau mengajar, lautan manusia akan memenuhi madrasahnya.
Tuan Guru jarang keluar dari madrasahnya. Beliau banyak menghabiskan masa di dalam bilik khalwat yang kecil. Sangat kuat ibadah dan mujahadahnya. Pada jam 3.00 pagi, kami murid-muridnya dapat mendengar Tuan Guru bersolat dan berzikir.
Beliau amat warak dalam mengeluarkan perkataan terhadap seseorang, walaupun terang-terangan orang itu membawa perjalanan yang batil, malah pernah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadapnya.
Beliau juga dikurniakan beberapa kelebihan. Diceritakan pernah datang dua orang dari Sungai Rengas yang bergaduh disebabkan masalah hutang piutang. Sipemiutang hutang mendakwa sipenghutang tidak membayar hutangnya sebanyak RM200, tetapi dinafikan oleh si penghutang.
Akhirnya, Tuan Guru Haji Mamat mengambil duitnya dan memberinya kepada si pemiutang sebagai bayaran hutang si penghutang. Dua bulan kemudian, si pemiutang datang semula dan mengatakan duit yang diberi Tuan Guru tidak boleh digunakan sesen pun kerana dimakan bubuk. Wallahu a’lam.
Tuan Guru juga sangat pemurah. Jika ada orang ingin meminjam duit, beliau akan memberinya tanpa mengiranya sebagai hutang. Beliau selalu berpesan kepada anak-anak, kalau tak ada duit beritahu kepadanya, dan jangan berhutang dengan orang lain. Sebaliknya, kalau anak-anaknya memberinya duit, beliau menolaknya atau disuruhnya duit itu diberi kepada si ibu.
Tuan Guru tidak mengamalkan apa-apa tarekat, tetapi hanya mengamalkan ´aurad´ biasa selepas sembahyang. Walaupun tidak menolak tarekat tetapi beliau memberitahu bahawa terlalu banyak kesalahan malah kesesatan berlaku dalam pengamalan tariqat sekarang.
Katanya, tasawwuf bukannya pada zikir, bukannya pada salasilah, bukannya pada ibadah yang banyak, bukannya suluk, bukannya mujahadah, tetapi hakikat tasawwuf ialah hidupnya ´jarum hati´ memandang hakikat KeTuhanan dalam setiap masa. Pandanglah segala daripada Allah, dengan Allah dan kepada Allah, berpegang teguh dengan syariat dan hakikat serta memelihara diri daripada yang haram, syubhat dan makruh.
Ketika saat kematiannya sudah hampir, beliau memberitahu anak-anak dan muridnya bahawa beliau mahu berjalan pada malam itu. Kemudian, beliau memanggil salah seorang anaknya dan berwasiat dengan dua perkara, iaitu menjaga iman dan jangan bergaduh sesama ahli keluarga.
Selepas solat Maghrib, beliau memejamkan matanya dengan lena. Pada malam itu, semua orang di madrasah tidak pulang ke rumah, mereka beramai-ramai membaca suruh Yaasin.
Menurut salah seorang anaknya, kira-kira jam 3.00 pagi wajah Tuan Guru berubah kekuning-kuningan, wajahnya nampak segar dan tenang. Beliau akhirnya kembali menemui “kekasihnya” pada jam 4.00 pagi (tahun 1995).
Catatan: Ibnu Fattah