JIHAD ITU PERANG? (II)
Oleh: Dr. Hamdi Irfan
Sejak kemunculan puak khawarij, ramailah orang Islam yang suka mendakwa orang Islam lain sebagai kafir yang perlu diperangi dan peperangan ini didakwa oleh mereka sebagai jihad dan mati mereka adalah mati syahid. Sepanjang sejarah Islam kumpulan-kumpulan seperti ini telah menyebabkan perang saudara berlaku yang melemahkan orang Islam dan mengalih tumpuan mereka daripada menangkis serangan oleh musuh bukan Islam ke atas mereka. Dengan itu sedikit demi sedikit wilayah Islam jatuh ke tangan bukan Islam.
Orang Khawarij sebenarnya mengkhianati Islam dengan berperang dan membunuh orang Islam lain. Mereka tidak berhak mendakwa bahawa orang Islam lain yang sebenarnya menjadi majoriti dalam masyarakat mereka adalah tidak Islam. Mengkafirkan orang Islam lain, orang yang mengucap dua kalimah syahadat adalah perkara yang amat berat. Ia tidak harus dibuat oleh orang yang tidak diberi mandat untuk mentadbir agama Islam dalam sesuatu masyarakat Islam.Perbezaan pendapat dan tafsiran berkenaan dengan agama Islam dalam sesuatu masyarakat Islam.
Perbezaan pendapat di antara orang yang mengucap dua kalimah syahadat tidak harus menjadikan mana-mana pihak kafir. Jika kerana perbezaan-perbezaan ini orang yang mengaku diri mereka Islam dikafirkan, maka semua orang Islam akan menjadi kafir, kerana orang Syiah akan dianggap kafir oleh orang Sunni dan orang Sunni akan dianggap kafir oleh orang Syiah.
Jika diterima dakwaan kedua-dua pihak ini, maka sekaligus tidak akan ada orang Islam di dunia. Di kalangan orang Sunni dan Syiah pula terdapat ajaran-ajaran dan amalan-amalan yang berbeza, dan masing-masing mungkin akan anggap orang lain kafir. Akibatnya jauh daripada bersaudara, orang Islam akan bermusuhan sesama sendiri kerana mempertikaikan keIslaman masing-masing.
Dalam Islam pihak yang bertanggungjawab mengisytiharkan jihad ialah pemerintah seperti yang dilakukan di zaman Rasulullah s.a.w., sama ada jihad menentang pencerobohan musuh mahupun jihad menyediakan peralatan perang untuk menghadapi musuh. Tetapi apa yang berlaku dalam sejarah Islam ialah pemimpin pelbagai puak yang berbeza pendapat kerap mengambil alih peranan yang menjadi tanggungjawab pemerintah itu dan mereka menyalahgunakannya dengan mengisytiharkan jihad terhadap siapa sahaja. Dengan mendakwa orang Islam lain tidak Islam dan kafir, maka siapa sahaja boleh melancarkan perang jihad terhadap orang yang dikafirkan ini. Maka berlakulah peperangan sesama orang Islam sepanjang sejarah Islam.
Dalam perang Salib (Crusade) Paus di Rome telah mengisytiharkan “Holy War” iaitu Perang Suci ke atas orang Islam di Palestin. Semua orang Kristian dari semua negara Eropah telah menyambut seruan Paus secara serentak dan mereka memperolehi kejayaan merampas Palestin. Tetapi selepas itu orang Kristian Barat berpecah dua apabila satu pihak menolak Paus di Rome sebagai Ketua agama Kristian. (Gereja Timur Ortodoks memang pun terasing dari Gereja Barat, Namun, mereka juga turut serta dalam angkatan Salib). Perpecahan yang besar dalam Gereja Barat tidak mencetuskan peperangan di antara mereka. Sebaliknya jika ada peperangan di antara mana-mana mazhab orang Kristian dengan orang Islam, mereka memihak kepada orang Kristian tanpa mengambil kira mazhab. Walaupun beberapa kali mereka kalah dengan orang Islam, tetapi kerjasama antara mereka akhirnya memberi kemenangan secara berterusan kepada mereka.
Dalam Islam terdapat orang-orang yang suka mendakwa diri sebagai Imam Mahdi yang datang untuk memimpin umat Islam ke jalan yang benar dan kejayaan sebelum akhir zaman atau kiamat. Mereka akan menisytiharkan jihad melawan orang Islam lain yang tidak menerima dakwaan mereka. Dalam abad ke 12 Masihi bersamaan abad ke-5 Hijrah kumpulan Al-Murabitun di Maghribi yang percaya pemimpin mereka ialah Imam Mahdi telah mendakwa semua pemerintah negeri-negeri Islam di Sepanyol dan Afrika Utara (Maghribi, Tunisia dan Mauritania) adalah tidak Islam dan mereka berperang untuk merebut kuasa di negeri-negeri ini.
Kemudian puak ini pula diisytiharkan sebagai tidak Islam oleh puak Al-Muwahidun dan puak ini memerangi puak Al-Murabitun sehingga negeri-negeri Islam di Sepanyol dan Afrika Utara jatuh ke tangan mereka. Dalam peperangan antara orang Islam ini kedua-dua pihak bersubahat dengan orang Kristian Sepanyol untuk mendapat kemenangan. Namun, begitu mereka masih juga mendakwa mereka berjihad.
Di Asia Barat, orang Arab Islam dihasut oleh kuasa-kuasa Barat supaya memupuk semangat kebangsaan Arab dan berperang dengan Pemerintahan Turki sebagai tidak Islam, tetapi hakikatnya ialah mereka menolak persaudaraan Islam, ketaatan kepada kepimpinan Islam (Ulil Amri) dan bersubahat dengan orang bukan Islam untuk memerangi orang Islam. Pada masa itu Turki masih diperintah oleh sultannya dan Mustafa Kamal belum muncul untuk mengisytiharkan Turki sebagai negara sekular.
Hasil daripada pemberontakan nasionalis Arab ialah keruntuhan Empayar Islam Turki. Tetapi orang Arab tidak pula dapat kebebasan yang diperjuangkan oleh mereka. Sebaliknya wilayah-wilayah Arab dikuasai oleh Barat, iaitu Inggeris dan Perancis yang telah membantu mereka berperang dengan tentera Turki. Penjajah dari Barat ini kemudian memecahkan wilayah-wilayah Arab kepada negeri-negeri yang berasingan, masing-masing dengan kebangsaan kenegerian sendiri walaupun mereka semua adalah Arab dan Islam.
Selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918) wilayah Islam dari Afrika Barat sehinggalah ke Asia Tengah yang dahulu diperintah oleh khalifah-khalifah Islam yang berpusat di Madinah, Damsyik, Baghdad dan Istanbul pecah berkecai hasil daripada hasutan Barat dengan konsep ‘nation-state’ dan ideologi-ideologi mereka. Masing-masing negara yang ditubuhkan oleh kuasa-kuasa barat dan diperintah secara berasingan oleh mereka mempunyai identiti kebangsaan sendiri.
Oleh kerana orang Islam masih feudal, ketua-ketua mereka yang ditentukan oleh penjajah digelar raja dan dianggap sebagai keluargaDiraja iaitu ‘royal’. Gelaran Barat seperti ‘King’ diberi kepada pemimpin-pemimpin mereka, dan dengan itu kerajaan-kerajaan yang berketurunan (feudal) didirikan. Walaupun dalam Islam pemerintahan feudal berketurunan tidak mempunyai asas agama. Tetapi ketua-ketua pemberontak dan ketua-ketua suku kaum tidak menolak konsep Raja dan Pemerintahan Beraja.
Orang British adalah yang paling cekap mengadakan sistem ‘ruling house’, atau sistem beraja ini. Walaupun mereka menakluk dan menguasai penuh pemerintahan, mereka secara sengaja meletakkan orang-orang pilihan mereka sebagai ‘rulers’ iaitu orang yang memerintah kononnya. ‘Rulers’ ini diberi gelaran-gelaran tempatan dan Barat, ditempatkan di istana dan dilayan dengan penuh adat istiadat. Tetapi kuasa kekal di tangan penjajah Barat.
Dengan mengkhayalkan pemimpin-pemimpin Islam, Barat dapat memberi identiti yang berasingan kepada wilayah-wilayah yang ditakluki oleh mereka. Selepas itu mereka melaga-lagakan negeri-negeri Islam ini supaya konsep umat Islam yang satu dan bersaudara tidak dapat dipulihkan lagi.
Dikhayalkan dengan kebesaran-kebesaran ini, tidak ada tentangan yang dibuat terhadap kuasa-kuasa Barat, walaupun orang Islam yang dijajah ini mempunyai cukup sebab untuk menentang penjajah Barat dan berjihad melawan mereka. Sudah tentu tidak ada persiapan yang dibuat yang boleh memberi kejayaan membebaskan diri mereka. Perpaduan yang dipupuk bukanlah sesama orang Islam tetapi perpaduan berasaskan nasionalisme negara-negara Arab yang berasingan. Dan kerap kali negara-negara ini bermusuh sesama mereka. Penubuhan Liga Arab tidak berjaya menyatukan mereka.
Orang Kurdish yang bukan daripada bangsa arab, tetapi semuanya penganut agama Islam tidak diberi sebarang wilayah oleh Barat. Sebaliknya wilayah mereka dibahagikan antara negara-negara Arab, Turki dan Parsi. Walaupun ketiga-tiga negara ini adalah negara Islam, tetapi mereka tidak pernah menganggap orang Kurdish sebagai saudara seagama mereka. Mereka sentiasa menindas orang Kurdish di negara-negara Islam mereka kerana mereka lebih mengutamakan kebangsaan masing-masing daripada persaudaraan Islam mereka.
Sepanjang masa Empayar Islam diruntuhkan oleh musuh-musuh Islam, umat Islam tidak pernah melancarkan jihad yang melibatkan seluruh umat Islam seperti orang Kristian melancarkan Perang Salib atau Crusade. Semasa Perang Salib, orang Islam tidak bangun berjihad untuk menyelamatkan Palestin. Tidak ada kerahan di kalangan umat Islam seperti orang Kristian dikerah. Pertahanan wilayah Islam dipertanggungjawabkan kepada tentera pemerintahan Islam yang pada masa itu berpusat di Baghdad untuk berjihad tidak direbut oleh majoriti umat Islam semasa berlakunya peperangan melawan tentera Salib
(Bersambung)
