JIHAD ITU PERANG? (III)
Oleh: Dr. Hamdi Irfan
Kecewa dengan kelemahan dan kegagalan orang Islam yang cuba menentang penjajah bukan Islam ke atas semua wilayah Islam dan muak dengan kelakuan raja-raja buatan Barat yang menjunjung tinggi penjajah, maka tertubuhlah puak ‘revolutionary’ yang mirip kiri dan mendapat ilham serta sokongan daripada blok komunis, khususnya Russia. Puak bukan berniat untuk berjihad. Mereka adalah nasionalis yang ingin menggulingkan pemerintahan beraja dan mendirikan republik sosialis. Ramai daripada pemimpin mereka terdiri daripada Komunis/Sosialis Arab yang menolak agama Islam.
Dalam peperangan sivil yang dilancarkan oleh puak ‘revolutionary’ tersebut, hampir semua raja negara Islam Arab digulingkan dan ramai yang dibunuh dengan kejam. Selepas itu kerajaan demi kerajaan didirikan dan dijatuhkan dalam perebutan kuasa yang berterusan tanpa menghiraukan larangan terhadap permusuhan sesama Islam atau kesetiaan kepada Ulil Amri.
Puak Sosialis/Komunis Arab ini tidak mendakwa mereka berjihad di jalan Allah sebab mereka berjuang kerana ideologi dan kebangsaan Arab yang sempit yang hanya terhad kepada merebut kuasa di negara-negara mereka sahaja. Pemerintahan yang didirikan oleh mereka bukanlah berasakan kepada Islam. Semua kerajaan ini bersifat autokratik yang menggunakan kekerasan untuk mengekalkan pemerintahan mereka. Semasa menentang Israel beberapa negara Arab telah mencantumkan diri dalam satu Persekutuan Republik. Tetapi dalam jangka masa pendek mereka berpecah semula.
Sekali lagi kita lihat bagaimana ajaran Islam dilupakan oleh orang Islam. Akibatnya ialah umat Islam terus berpecah dan lemah. Ada yang berpendapat mereka ini sudah menjadi sekular seperti negara Turki yang memeluk sekularisme ala Barat di bawah kepimpinan Ataturk. Tetapi sekularisme mereka tidak menjadikan mereka negara maju seperti yang dipercayai oleh mereka. Mereka terus mundur dan tidak berupaya bersaing dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Mereka tidak juga dapat mempertahankan negara mereka.
Sekularisme mereka hanya setengah masak. Tidak semua daripada mereka dapat memisahkan diri mereka daripada agama Islam. Yang menjadi Sosialis dan tidak Islam hanyalah pemimpin mereka. Rakyat masih kukuh dengan keislaman mereka. Tetapi rakyat yang kekal dengan agama Islam biasanya terdiri daripada orang yang berpendapat bahawa kemajuan di dunia tidak secocok dengan agama Islam. Justeru itu tidak ada penerimaan oleh mereka akan pentingnya menguasai pelbagai ilmu dan kecekapan semasa untuk menaikkan daya saing dan daya tahan mereka dalam dunia yang sudah jauh berbeza dengan dunia di zaman Nabi dan Khulafa Rasyidun.
Walaupun orang Islam begitu kuat berpegang kepada sunnah-sunnah Nabi,tetapi ini terhad kepada amalan-amalan dan ibadat-ibadat tertentu sahaja. Cara Nabi membangunkan umat Islam, cara Nabi menghapuskan kepercayaan kolot kaum jahiliah sehingga mereka dapat menegakkan tamadun yang tinggi, cara Nabi mendisiplinkan umat Islam dan memajukan mereka dalam serba-serbi ilmu pengetahuan, tidak termasuk dalam sunnah-sunnah Nabi yang diikuti oleh umat Islam sama ada di negara sekular ataupun di negara yang terus berpegang kepada Islam.
Yang diutamakan ialah rupa bentuk yang dikatakan Islam. Kejayaan umat Islam di zaman Nabi dan khalifah-khalifah yang terdiri daripada sahabat-sahabat Nabi tidak dianggap sebagai sunnah Nabi yang perlu ditiru dan diamalkan. Tafsiran yang dibuat terhadap al-Quran dan Hadis adalah sempit dan terhad kepada ibadat-ibadat tertentu, kepada hukum-hukum dan rupa bentuk yang dianggap Islam. Sudah tentu perjuangan Nabi untuk mendirikan negara Islam di Madinah dan membangunkannya serta mempertahankan pusat perkembangan Islam ini tidak dijadikan sebagai sunnah Nabi yang perlu dicontohi. Perjuangan Nabi mendiri, membangun dan mempertahankan Madinah tidak dianggap sebagai jihad. Pengorbanan harta yang dibuat oleh sahabat-sahabat Nabi dan Khulafa Rasyidun tidak juga ditafsir sebagai jihad walaupun al-Quran jelas menyebut perjuangan dengan harta juga adalah jihad. Yang ditafsirkan sebagai jihad hanyalah berperang.
Walaupun pada mulanya seruan untuk membaca (‘iqra’) ditafsir sebagai menuntut ilmu dan ada Hadis yang menyuruh menuntut ilmu sehingga ke liang lahad dan ada sahabat menyeru orang Islam menuntut ilmu sehingga ke negeri China, tetapi selepas beberapa abad, muncul ulama-ulama tertentu mentafsirkan membaca dan menuntut ilmu bermakna ilmu berkenaan dengan agama Islam sahaja.
Tekanan yang diberi ialah kepada feqah atau hukum yang akan dikenakan di dunia dan di akhirat terhadap sesuatu jenayah atau dosa yang dilakukan. Fardu kifayah tidak dianggap penting melainkan berkenaan dengan acara seperti pengkebumian jenazah.
Dengan ini menuntut ilmu yang berasal daripada tokoh-tokoh ilmuwan yang terkenal dari zaman sebelum Islam dihentikan. Tidak ada lagi pakar-pakar matematik, sains dan perubatan di kalangan orang Islam yang muncul. Yang ada hanyalah ulama yang terpelajar berkenaan dengan agama dan hukum hakam sahaja.
Tanpa ilmu berkenaan dengan sains, matematik dan kecekapan-kecekapan lain, keupayaan orang Islam dalam bidang-bidang pengeluaran barangan dan alatan pertahanan merosot dengan teruknya.
Apabila revolusi industri berlaku di Eropah, orang Islam tidak mengambil peduli dan tidak mengambil bahagian di dalamnya. Dengan itu keupayaan negara dan umat Islam bersaing dengan negara bukan Islam dalam semua bidang semakin merosot. Apa juga keperluan hidup, peralatan, termasuk senjata pertahanan terpaksa dibeli daripada orang bukan Islam . Jika ada sedikit keupayaan mengeluarkan barang-barang buatan, kualitinya rendah. Teknik ‘mass production’ atau pengeluaran secara besar-besaran tidak dipelajari atau dicipta oleh orang Islam atau negara Islam.
Dagangan negara-negara Islam merosot dengan teruknya. Pengeluaran bahan mentah oleh orang Islam juga bergantung kepada kepakaran dan usaha orang bukan Islam. Sebagai contoh Tuhan mengurniakan minyak yang banyak di negara-negara Islam, tetapi kepakaran dan teknik mengeluarkan minyak dari dalam tanah dan dasar laut tidak diterokai atau dikuasai oleh orang Islam. Sebaliknya orang bukan Islam yang mendapat hak dan peluang mengeluar minyak ini dan menguasai segala urusan daripada pengeluaran hinggalah ke pamasaran dan penggunaan. Buat beberapa dekad orang Islam ditipu dengan dibayar harga yang amat murah. Keuntungan yang besar diperolehi oleh tujuh buah syarikat minyak Barat sehingga mereka lebih kaya dan lebih berkuasa daripada negara-negara pengeluar minyak. Jika tidak kerana peperangan di antara Israel dengan negara-negara Arab, bayaran royalti kepada negara pengeluar minyak tidak akan dinaikkan.
Walaupun negara-negara Islam berjaya merebut balik hak milik pengeluaran minyak di negara mereka, tetapi mereka terus terikat kepada Syarikat Minyak Gergasi Barat dan teknik mencari gali dan mengeluarkan minyak tidak dipelajari oleh rakyat negara-negara ini. Mereka terus bergantung kepada syarikat asing. Syarikat pengeluar minyak dari negara selain dari Barat atau Jepun tidak diberi kepercayaan untuk mengeluar minyak.
Bahan mentah dan minyak yang terdapat di negara-negara Islam tidak digunakan untuk menaikkan keupayaan dalam teknologi moden dan ilmu pengetahuan. Pendapatan yang besar daripada minyak tidak dilaburkan dalam industri dan perniagaan atau untuk penguasaan ilmu dan teknologi-teknologi penting.
Kemewahan hidup lebih dipentingkan oleh kebanyakan orang Islam dan kepimpinan mereka daripada peningkatan pertahanan dan pembangunan negara. Banyak negara yang ditipu oleh rakyatnya sendiri yang berkongsi dengan peniaga senjata antarabangsa. Banyaklah wang negara Islam yang hilang kerana penipuan ini. Maka kekuatan semua negara Islam tidak dapat menyelamatkan orang Islam di mana-mana. Mereka terus ditindas dengan sewenang-wenangnya.
Semasa harga minyak naik, wang yang banyak yang diperolehi disimpan di negara Barat. Ini menjadikan negara Barat kaya kerana mereka dapat mengeluarkan pinjaman atau melabur wang simpanan ini dalam berbagai industri dan perniagaan.
(Bersambung)
