KEANGKUHAN MANUSIA | MENGULANGI KESILAPAN UMAT TERDAHULU
Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. Dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah). - (Surah Al-Ankabut, Ayat 39)
Al-Quran berulang kali mengingatkan kita tentang kaum-kaum terdahulu yang ditimpa kehancuran. Firaun, Qarun, Kaum ‘Ad, Kaum Nabi Shu’aib, Namrud, bahkan Kaum Nabi Lut. Semua dari mereka ini memiliki satu penyakit yang sama, takabbur dan enggan bergantung kepada Allah SWT . Mereka percaya pada kuasa, kekayaan, kekuatan, dan hawa nafsu mereka sendiri. Tetapi akhirnya, kesombongan itu telah membawa mereka kepada azab Allah SWT.
Kaum Ad merupakan saudara jauh kaum Thamud. Kemahiran kaum Ad dalam membina bangunan yang besar dan kota diaplikasikan oleh kaum Thamud sesudahnya.
Tetapi malang sekali kerana kesombongan kaum ini kota megah ini tidak mampu bertahan lama apabila Allah swt menghantar puting beliung dan angin ribut yang kuat yang memusnahkan segala kemegahan mereka sehingga menjadi debu tanpa jejak.
Daripada kisah daripada Al-Quran mengenai kemusnahan kaum Ad, kita dapat melihat bagaimana kota Iram yang dijadikan sebagai kota perdagangan yang berfungsi sebagai pusat pertukaran barang dagangan oleh kaum Ad yang memiliki pelbagai kemudahan, pengaruh dan pertahanan, akhirnya hancur dibenam ke dalam padang pasir oleh Allah swt dalam tempoh masa 8 hari 7 malam sahaja.
Kaum Ad yang telah diberi peluang oleh Allah SWT untuk menyembahnya setelah diberikan pelbagai kenikmatan dunia tidak mampu diselamatkan dengan kesombongan dan kekafiran mereka dalam menyekutukanNya. Pengajaran yang sudah dikhabarkan tidak didengar, malahan ianya memakan diri. Keagungan kota Iram dan kemegahan kaum Ad ditamatkan oleh Allah swt dan peninggalan mereka masih tidak diketahui keberadaannya. Ianya masih kekal menjadi sebuah tanda tanya kepada umat manusia.
Kisah secara terperinci mengenai Nabi Lut a.s. bersama umatnya yang mengisahkan penyelewengan akhlak mereka, dakwah Nabi Lut kepada umatnya agar dibersihkan perlakuan mereka yang salah, penolakan dakwah oleh umatnya serta menerangkan azab dan seksa ke atas umatnya. Dan jangan kita lupakan Kaum Nabi Lut. Mereka menolak fitrah, menghalalkan hubungan sejenis, dan menjadikan maksiat sebagai budaya. Allah merakamkan dalam Surah Al-A’raf ayat 81:
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan syahwatmu, bukan kepada perempuan. Bahkan kamu ini kaum yang melampaui batas.”
Kesombongan mereka bukan pada kuasa atau harta, tetapi pada nafsu yang diangkat menjadi agama. Akhirnya, mereka dibinasakan dengan hujan batu dari tanah yang terbakar, sebagai pengajaran kepada umat manusia sehingga hari ini.
Di dalam kisah Nabi Musa AS, Firaun adalah simbol politik zalim. Dia bukan sahaja menindas Bani Israel, malah mengaku dirinya tuhan. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nazi’at ayat 24 yang bermaksud:
“Maka Firaun berkata: Akulah tuhan kamu yang paling tinggi.” - (Surah An-Nazi’at, ayat 24)
Namun, kekuasaannya tenggelam bersama dirinya di Laut Merah. Sehebat mana pun kuasa politik manusia, ia tetap tidak mampu menandingi kuasa Allah SWT. Apabila Fir’aun mengaku dirinya sebagai tuhan, maka hilang kebergantungannya kepada Allah SWT secara total. Lalu dia dijadikan simbol keangkuhan, sebagai peringatan kepada seluruh umat manusia setelahnya.
Qarun pula adalah lambang kesombongan harta. Dia merasa bahawa kekayaannya datang dari ilmunya sendiri. Allah SWT merakamkan kata-katanya dalam Surah Al-Qasas ayat 78 yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku hanya diberi harta ini kerana ilmu yang ada padaku.” - (Surah Al-Qasas, Ayat 78)
Qarun percaya bahawa harta yang dia telah kumpul itu adalah oleh kerana kelicikannya sendiri. Maka bumi diperintahkan untuk menelannya bersama seluruh hartanya. Inilah kesudahan bagi manusia yang percaya pada kekayaan, tetapi lupa pada Pemberi Rezeki.
Kaum ‘Ad pula berbangga dengan kekuatan fizikal dan kepandaian mereka dalam binaan mereka. Kaum ini dijadikan Allah SWT lebih besar dari kaum-kaum lain. Mereka berkata dengan angkuh;
“Siapakah yang lebih kuat daripada kami?” - (Surah Fussilat, Ayat 15)
Namun mereka dilanda angin kencang yang membinasakan, hingga lenyap dari muka bumi. Kekuatan fizikal, teknologi, dan ketenteraan manusia, semuanya itu rapuh apabila Allah menurunkan azab-Nya.
Kaum Nabi Syu'aib pula terkenal dengan penipuan dalam perniagaan. Mereka mengurangkan timbangan, menipu dalam urus niaga, dan menjadikan perdagangan sebagai jalan penindasan. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 84:
“Sempurnakanlah takaran dan timbangan, dan janganlah kamu merugikan manusia akan hak-hak mereka.”
Tetapi mereka menolak seruan Nabi Syu'aib, lalu ditimpa azab yang membinasakan. Kebergantungan mereka hanya kepada perniagaan yang membawa untung dan menjadikan mereka itu tamak, hingga lupa kepada Allah SWT.
Namrud, raja yang bongkak, berdebat dengan Nabi Ibrahim A.S. tentang Tuhan. Allah merakamkan peristiwa ini dalam Surah Al-Baqarah ayat 258:
“Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan.” Kata Namrud: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan.”
Namun, Allah membungkam kesombongannya dengan hujjah mudah:“Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat.” Namrud tidak mampu menjawab, lalu menjadi simbol ego manusia yang percaya pada kemampuan diri.
Apakah dunia moden tidak sedang mengulangi kesilapan yang sama? Agenda songsang yang dahulu dilaknat Allah, kini diangkat sebagai hak asasi manusia, dipaksa ke atas negara-negara Islam oleh kuasa besar dunia.
Firaun adalah simbol politik zalim. Qarun lambang kapitalisme tamak. Kaum ‘Ad lambang kekuatan ketenteraan yang angkuh. Kaum Syu'aib lambang kapitalisme penipuan. Namrud lambang ego teknologi dan kuasa. Dan Kaum Lut lambang keruntuhan moral dan fitrah.
Hari ini, manusia moden mungkin tidak mengaku diri mereka Firaun, Qarun atau Namrud. Tetapi hakikatnya, kita mengulangi kesilapan yang sama. Kita percaya pada kuasa, pada ekonomi, pada teknologi, pada ideologi, bahkan pada nafsu kita sendiri. Kita meninggalkan tawakal dan kebergantungan pada Allah SWT.
Firman Allah dalam Surah Al-‘Ankabut ayat 40:
“Maka masing-masing Kami binasakan kerana dosanya, di antara mereka ada yang Kami timpakan hujan batu, ada yang ditimpa suara keras, ada yang Kami benamkan ke bumi, dan ada pula yang Kami tenggelamkan. Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.”
Iktibar kisah umat terdahulu di dalam al-Quran yang disebut oleh Allah S.W.T. s.w.t di dalam al-Qur’an yang merangkumi kisah para Nabi, adalah untuk :
Mereka mengingatkan kita tentang pentingnya bersyukur atas nikmat Allah dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi dengan mentadbir alam dengan baik. Dengan mempelajari dan merenungkan kisah-kisah ini, kita dapat mengambil pelajaran dan menjadikannya pedoman dalam menjalani kehidupan agar tidak mengulangi kesalahan yang sama dan terhindar dari azab.
Apakah umat Islam akan mengambil iktibar, atau akan mengulangi kesilapan yang sama, sehingga datangnya azab Allah yang lebih dahsyat?
‘Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.’(Surah Yusuf ayat 111)
