KEBERANIAN RASULULLAH S.A.W.
Oleh: Luqman Hakim
Sebelum kita mendengar kisah-kisah keberanian pahlawan-pahlawan yang terkenal dalam sejarah, eloklah kita lebih dahulu mendengar kisah keberanian Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin agung umat Islam.
Sesungguhnya pemimpin umat Islam itu bukan sahaja berlaku sebagai ketua agama bahkan juga merupakan seorang pahlawan yang gagah berani yang tiada taranya. Dalam peperangan dan pertempuran bukan sahaja Rasulullah mengatur taktik dan strategi sebagai seorang panglima atau jenderal, bahkan seringkali bagindalah yang maju ke barisan yang terdepan sekali bertentangan muka dengan musuh.
Saiyidina Ali Bin Abu Talib r.a. adalah seorang pahlawan yang selalu turut berperang disamping Rasulullah s.a.w. Beliau pernah menceritakan tentang betapa beraninya Rasulullah s.a.w. dimasa berlakunya sesuatu peperangan. Kata Saiydina Ali r.a. "Baginda Rasul sangat berani sekali mendekati kubu-kubu pertahanan musuh. Tatkala pasukan tentera Islam mengalami pukulan dalam peperangan Hunain dan banyak pejuang-pejuang Islam yang lari, baginda sendiri tidak keluar dari barisannya bahkan mengatur arahan dari atas kuda ditengah-tengah serbuan musuh, sehingga akhirnya baginda berhasil mengumpulkan pasukan-pasukan yang berpecah-belah itu untuk meneruskan perlawanan." Demikian pengakuan Saiyidina Ali Bin Abu Talib yang tidak kurang terkenalnya sebagai pejuang handalan Islam.
Sewaktu tentera Islam terkepung dalam Peperangan Uhud dan Rasulullah s.a.w. sendiri mendapat luka, bahkan kawan dan lawan banyak yang menyangka bahawa baginda sudah tewas, maka pada saat-saat yang mencemaskan itu, dalam keadaan luka-luka baginda memaksakan diri tampil ke depan seraya meneriak:
"Disini Muhammad! Rasulullah! Aku masih hidup!"
Pernah pula pada suatu malam penduduk kota Madinah tiba-tiba jadi gempar sebab di pinggir kota terdengar tembakan-tembakan musuh yang rupanya sedang mencuba-cuba mahu menyerang kota Madinah. Pasukan-pasukan tentera Islam segera berkejar ke arah suara yang menggempar-kan itu. Tatkala pasukan-pasukan Islam itu sampai ketempat itu mereka mendapati Rasulullah s.a.w. telah berada lebih dahulu ditempat tersebut. Baginda berkata kepada pasukan yang datang itu:
"Musuh telah lari, keadaan telah aman. Mari kita pulang."
