MENGEMBALIKAN AMAL MADINAH

Hakikat Kepimpinan, Kedaulatan Sultan dan Hubungan Amir–Fuqaha–Mursyid Menurut Kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah

Oleh: Prof (B) Dr. Zuhaimy Ismail

Muqadim Tariqa Qadiri-Shadilli-Darqawi Malaysia

Pendahuluan: Kepimpinan sebagai Amanah

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda dan para sahabat yang telah memperlihatkan contoh kehidupan Islam yang sempurna dalam ibadah, kepimpinan, muamalat dan hubungan sesama manusia.

Kepimpinan merupakan salah satu amanah terbesar dalam kehidupan umat Islam. Ia bukan sekadar urusan pentadbiran, penguasaan wilayah atau perebutan kedudukan, tetapi tanggungjawab untuk memastikan kehidupan manusia berlangsung menurut petunjuk Allah SWT. Kepimpinan yang benar perlu memelihara agama, menegakkan keadilan, melindungi golongan yang lemah serta mengurus urusan masyarakat dengan amanah.

Apabila kita berbicara tentang mengembalikan Amal Madinah, kita sebenarnya berbicara tentang usaha menghidupkan semula kehidupan Islam yang menyeluruh sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Islam bukan hanya hadir di masjid dan dalam ibadah perseorangan. Islam juga perlu hadir dalam pemerintahan, kehakiman, ekonomi, pasaran, pengurusan harta, hubungan sosial dan kehidupan masyarakat.

Dalam kerangka ini, kedudukan Amir atau Sultan, peranan fuqaha dan bimbingan mursyid perlu difahami secara tepat. Ketiga-tiganya mempunyai tanggungjawab yang berbeza, tetapi saling melengkapi dalam membina kehidupan umat yang berteraskan syariat dan adab.

1. Kepimpinan Umat Selepas Kewafatan Rasulullah SAW

Rasulullah SAW bukan sahaja menyampaikan wahyu dan mendidik manusia, bahkan Baginda memimpin masyarakat Madinah sebagai ketua negara, hakim dan pemimpin umat. Baginda mengurus urusan masyarakat, menyelesaikan pertikaian, mengatur hubungan antara kelompok, menjaga keamanan serta membimbing kehidupan ekonomi dan sosial.

Selepas kewafatan Baginda, urusan kepimpinan umat diteruskan oleh para khalifah. Abu Bakar al-Siddiq RA dipilih untuk memimpin umat, kemudian diikuti oleh Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib RA. Mereka dikenali sebagai Khulafa’ al-Rasyidin.

Perkembangan sejarah Islam selepas itu menyaksikan pelbagai bentuk pemerintahan, termasuk kerajaan dan kesultanan. Gelaran khalifah, Amir al-Mu’minin, Amir dan Sultan digunakan dalam zaman serta konteks yang berbeza. Walaupun bentuk pemerintahan berubah mengikut keadaan sejarah, prinsip asas kepimpinan tetap berpaksikan amanah, keadilan dan tanggungjawab menegakkan agama.

Dalam tradisi Ahli Sunnah wal Jamaah, urusan kepimpinan umat merupakan suatu perkara yang besar. Masyarakat memerlukan pemimpin yang dapat mengurus kepentingan bersama, menjaga keamanan, melaksanakan keadilan dan memastikan hukum Allah tidak dipinggirkan.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta ulil amri dalam kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’, 4:59)

Ayat ini meletakkan kepimpinan dalam kerangka ketaatan kepada Allah dan Rasul. Ketaatan kepada pemimpin bukanlah ketaatan mutlak yang terpisah daripada syariat. Ia tertakluk kepada batas hukum Allah, sebagaimana prinsip yang ditegaskan dalam hadis bahawa tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah.

2. Amir dan Sultan: Pemegang Amanah Kepimpinan Umat

Amir atau Sultan bertanggungjawab memimpin urusan kehidupan masyarakat. Tanggungjawab ini meliputi pemeliharaan agama, keselamatan, keadilan, pentadbiran, ekonomi dan kebajikan rakyat.

Dalam kerangka pemerintahan Islam, pemimpin bukan sekadar individu yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan. Beliau ialah pemegang amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT tentang bagaimana kuasa itu digunakan.

Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap daripada kita ialah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang orang yang berada di bawah tanggungjawabnya. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Maka, kepimpinan tidak boleh dipisahkan daripada pertanggungjawaban. Kuasa bukan milik peribadi yang boleh digunakan sesuka hati. Ia merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan adil, bijaksana dan penuh rasa takut kepada Allah.

Kedaulatan Sultan Terbina Melalui Khidmat

Kedaulatan seorang Sultan tidak seharusnya difahami semata-mata sebagai hak untuk memerintah, kedudukan keturunan atau kekuasaan terhadap wilayah dan rakyat. Dalam pandangan Islam, kekuasaan manusia tetap berada di bawah kekuasaan Allah SWT. Sultan memegang amanah pemerintahan yang perlu dizahirkan melalui khidmat kepada agama dan masyarakat. 

Secara umumnya, terdapat tiga cara seseorang itu muncul sebagai Sultan atau Amir yang memegang kuasa pemerintahan.

Pertama, melalui keturunan atau pewarisan takhta. Seseorang Sultan mewarisi kedudukan tersebut berdasarkan susur galur keluarga diraja dan peraturan pewarisan takhta yang telah ditetapkan. Di Malaysia, misalnya, apabila seseorang Sultan mangkat atau tidak lagi berupaya menjalankan tanggungjawab pemerintahan, penggantinya akan ditentukan berdasarkan adat istiadat dan peraturan pewarisan takhta negeri berkenaan.

Kedua, melalui peperangan atau penaklukan. Dalam keadaan tertentu, seseorang panglima atau ketua perang yang berjaya menakluki sesuatu wilayah boleh muncul sebagai pemerintah dan mengisytiharkan dirinya sebagai Amir atau Sultan. Sejarah dunia memperlihatkan banyak contoh kemunculan kerajaan melalui proses sedemikian. Kerajaan Melaka juga boleh dikaji dalam konteks pembentukan kuasa pemerintahan dan kemunculan institusi kesultanannya.

Ketiga, melalui pelantikan dan bai‘ah rakyat. Seseorang boleh diangkat sebagai Amir atau pemerintah apabila mendapat persetujuan serta bai‘ah daripada masyarakat atau pihak yang mempunyai autoriti untuk melantiknya. Dalam konteks ini, kedudukan pemerintah bukan semata-mata berasaskan keturunan atau kekuatan ketenteraan, tetapi turut bersandarkan kepada pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinannya.

Dalam konteks amalan kesultanan di Malaysia pada hari ini, sistem pewarisan takhta berdasarkan keturunan merupakan asas utama pelantikan seseorang Sultan. Dua kaedah yang lain, iaitu kemunculan melalui penaklukan dan pelantikan melalui bai‘ah, bukanlah mekanisme biasa dalam sistem kesultanan berperlembagaan yang kita amalkan.

Namun, satu perkara penting perlu diberikan perhatian: Walau apa pun cara seseorang itu memperoleh kedudukan sebagai Sultan atau Amir, kemuliaan dan kewibawaan pemerintahannya tidak seharusnya diukur semata-mata melalui keturunan, kemenangan peperangan atau pengiktirafan rakyat. Sebaliknya, ia perlu dinilai melalui amanah dan tanggungjawabnya dalam menegakkan keadilan, memelihara syariat Allah, melindungi golongan miskin dan lemah serta memastikan kebajikan rakyat terbela.

Kerana pada hakikatnya, kedudukan sebagai pemerintah bukan sekadar suatu kemuliaan, tetapi merupakan suatu amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah SWT.

Juga perlu diingat kewibawaan dan kedaulatan Sultan terbangun melalui kesungguhannya menjaga syariat, menegakkan keadilan, melindungi rakyat serta memastikan golongan miskin dan lemah tidak terbiar tanpa pembelaan. Kemuliaan seorang pemimpin bukan hanya terletak pada kemegahan istana, keluasan wilayah atau kekuatan pentadbiran, tetapi juga pada sejauh mana amanahnya dilaksanakan untuk kesejahteraan umat.

Allah SWT memberikan gambaran yang jelas tentang tanggungjawab mereka yang dikurniakan kekuasaan di bumi:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ

“Iaitu mereka yang jika Kami berikan kekuasaan di bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran.”

(Surah al-Hajj, 22:41)

Ayat ini menghubungkan kekuasaan dengan tanggungjawab agama dan sosial. Kekuasaan yang diberikan bukan untuk membesarkan diri, tetapi untuk mendirikan kehidupan yang diredai Allah.

Antara amanah yang sangat penting ialah menegakkan zakat harta (zakat al-mal). Zakat bukan sekadar pemberian kebajikan atau sumbangan sukarela. Ia merupakan kewajipan syariat yang mempunyai dimensi ibadah, ekonomi dan tanggungjawab sosial.

Allah SWT telah menetapkan lapan golongan penerima zakat dalam Surah al-Tawbah, ayat 60. Oleh itu, pengumpulan dan pengagihan zakat perlu dilaksanakan dengan amanah, telus dan sampai kepada golongan yang berhak menerimanya.

Fakir, miskin, amil, golongan yang perlu dijinakkan hatinya, pembebasan hamba, orang yang berhutang, fi sabilillah dan ibn sabil merupakan golongan yang disebut dalam ketetapan ayat tersebut. Pelaksanaan zakat yang benar memastikan bahawa kekayaan tidak hanya berlegar dalam kalangan golongan berada, tetapi sebahagiannya disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Di sinilah letaknya salah satu dimensi penting keadilan dalam masyarakat Islam. Sultan atau Amir yang memikul amanah pemerintahan perlu memastikan institusi zakat berfungsi menurut syariat, bukan sekadar menjadikannya program kebajikan bermusim atau urusan pentadbiran tanpa ruh ibadah.

Dengan demikian, kedaulatan Sultan atau Amir tidak hanya diukur melalui pengiktirafan politik, tetapi turut dizahirkan melalui khidmatnya menjaga agama, memelihara hak rakyat dan melindungi golongan yang lemah. Kepimpinan yang berkhidmat sedemikian merupakan amanah yang besar di sisi Allah SWT.

3. Krisis Kepimpinan Moden: Politik, Kapitalisme dan Hilangnya Amanah

Dalam kehidupan moden, banyak masyarakat memilih pemimpin melalui sistem pilihan raya dan proses demokrasi barat. Sistem ini mempunyai pelbagai bentuk dan pengalaman yang berbeza antara negara. Namun, persoalan yang perlu direnungkan ialah sama ada proses pemilihan itu benar-benar membina kepimpinan yang beramanah atau sekadar menjadi medan persaingan kuasa.

Apabila politik terlalu dipengaruhi oleh kepentingan modal, keuntungan dan pengaruh, urusan kepimpinan boleh berubah menjadi persaingan untuk mendapatkan kuasa dan kekayaan. Dalam keadaan sedemikian, wang, propaganda, janji dan kepentingan kelompok boleh mengatasi pertimbangan amanah serta keadilan.

Kritikan terhadap kapitalisme dalam konteks ini bukan bermaksud menolak setiap bentuk perdagangan, pemilikan harta atau kegiatan ekonomi. Islam mengiktiraf perdagangan dan pemilikan yang halal. Yang menjadi persoalan ialah apabila keuntungan dan kepentingan material dijadikan ukuran tertinggi sehingga prinsip moral, kejujuran dan keadilan diketepikan.  Politik menjadi modal untuk mengumpul kekayaan.

Apabila pemilihan pemimpin menjadi medan perebutan kepentingan, masyarakat mudah terpecah kepada kelompok yang saling bermusuhan. Agama pula berisiko dijadikan bahan kempen, slogan dan tawaran untuk mendapatkan sokongan.

Agama tidak seharusnya diperdagangkan dalam persaingan politik. Syariat bukan manifesto yang hanya disebut menjelang pilihan raya dan dilupakan selepas kuasa diperoleh. Ia merupakan panduan kehidupan yang perlu dipelihara setiap masa.

Persoalan yang lebih besar bukan semata-mata bagaimana seseorang memperoleh jawatan, tetapi bagaimana seseorang itu menunaikan amanah setelah diberikan tanggungjawab memimpin.

Dalam kerangka Islam, apa jua kaedah pemilihan yang digunakan hendaklah dinilai berdasarkan prinsip syariat, keadilan, amanah, maslahah dan pencegahan kezaliman. Perbezaan pandangan dalam fiqh siyasah tentang kaedah pelantikan pemimpin tidak boleh dipadamkan dengan membuat satu kesimpulan bahawa semua bentuk pemilihan moden mempunyai hukum yang sama.

Yang perlu dipelihara ialah matlamat kepimpinan -  memastikan urusan umat ditadbir dengan adil dan tidak menjadikan agama sebagai alat untuk kepentingan peribadi atau kelompok.

4. Hubungan Amir, Fuqaha dan Mursyid

Kehidupan umat memerlukan pembahagian tanggungjawab yang jelas. Dalam kerangka ini, tiga peranan utama perlu difahami: Amir sebagai pemimpin urusan masyarakat, fuqaha sebagai ahli ilmu yang membimbing pelaksanaan hukum syariat, dan mursyid sebagai pembimbing perjalanan kerohanian.

Ketiga-tiganya tidak perlu bersaing untuk mendapatkan kuasa. Sebaliknya, setiap peranan perlu melaksanakan amanah masing-masing.

Amir atau Sultan: Pemimpin urusan masyarakat

Amir bertanggungjawab mengurus kehidupan umat, menjaga keamanan, melaksanakan keadilan, memelihara kepentingan umum dan memastikan syariat mempunyai tempat dalam kehidupan masyarakat.

Pemimpin yang baik memahami bahawa dirinya memerlukan pandangan orang yang berilmu dan berpengalaman.

Fuqaha: Penjaga kefahaman dan pelaksanaan syariat

Fuqaha ialah ahli ilmu yang mempunyai keupayaan memahami hukum-hakam syariat berdasarkan al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan kaedah istinbat yang muktabar.

Peranan mereka sangat penting dalam memberikan panduan kepada pemimpin tentang hukum pemerintahan, kehakiman, zakat, muamalat, harta awam, perdagangan dan urusan masyarakat.

Amir dan Sultan pula hendaklah sentiasa bersedia mendengar nasihat dan pandangan ahli ilmu serta golongan ilmuwan. Kekuasaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk bertindak sewenang-wenangnya atau mengetepikan pandangan yang berbeza. Sebaliknya, semakin tinggi kedudukan seseorang pemerintah, semakin besarlah keperluannya untuk mendampingi ilmu dan menerima teguran yang membina.

Ketika pemerintahan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Rahimahullah, hubungan antara kepimpinan negara dengan institusi pengajian tinggi, khususnya Universiti Malaya, amat rapat. Para pemimpin negara pada ketika itu memberikan perhatian kepada pandangan golongan ilmuwan dan menjadikan mereka sebagai sumber rujukan dalam merangka dasar serta menentukan hala tuju pembangunan negara. Pendekatan ini telah menyumbang kepada kemunculan kepimpinan intelektual yang terserlah, antaranya Yang Berbahagia Profesor Diraja Ungku Aziz dan tokoh-tokoh ilmuwan yang lain.

Amalan sedemikian wajar dicontohi oleh para Sultan. Institusi kesultanan seharusnya sentiasa berdamping dengan ahli ilmu, ulama dan golongan cendekiawan agar setiap keputusan pemerintahan dibuat dengan pertimbangan ilmu, kebijaksanaan dan keadilan. Sultan tidak semestinya mengetahui segala perkara, tetapi seorang Sultan yang bijaksana tahu siapa yang perlu dirujuk dan nasihat siapa yang wajar didengar.

Sesungguhnya, kekuasaan yang dipandu oleh ilmu akan melahirkan kebijaksanaan, manakala kekuasaan yang menjauhkan diri daripada ilmu berisiko membawa kepada kezaliman.

Fuqaha juga mempunyai tanggungjawab menasihati pemimpin, menyatakan kebenaran dan mengingatkan tentang batas syariat. Ilmu agama tidak seharusnya menjadi alat untuk menghalalkan kezaliman atau membenarkan kepentingan pihak yang berkuasa.

Mursyid: Pembimbing perjalanan rohani

Mursyid pula berperanan membimbing manusia dalam perjalanan penyucian jiwa, memperbaiki akhlak dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kepimpinan rohani sangat penting kerana seseorang yang mempunyai kuasa tanpa penyucian jiwa mudah terdedah kepada sifat takbur, cinta kedudukan, kepentingan diri dan kezaliman.

Setiap Sultan atau Amir sewajarnya mendampingi orang-orang soleh dan ahli ma‘rifat yang dapat mengingatkannya tentang Allah, kematian, amanah dan pertanggungjawaban akhirat. Bimbingan seperti ini membantu pemimpin memelihara hati agar tidak diperhambakan oleh kekuasaan.

Namun, perlu dibezakan antara peranan mursyid dalam tarbiah rohani dengan kuasa pemerintahan. Mursyid tidak memperoleh kuasa politik atau pemerintahan secara automatik kerana kedudukan kerohaniannya. Begitu juga, Amir tidak boleh mendakwa mempunyai autoriti kerohanian semata-mata kerana memegang jawatan pemerintahan.

Hubungan ketiga-tiganya perlu dibina atas dasar saling menghormati, nasihat, ilmu dan amanah.

5. Bai‘ah Kepimpinan dan Bai‘ah Kerohanian

Satu perkara yang perlu diperjelaskan ialah perbezaan antara bai‘ah kepimpinan dengan bai‘ah dalam perjalanan tariqah.

Dalam kerangka kepimpinan masyarakat, bai‘ah kepada Amir merupakan ikatan ketaatan dan tanggungjawab dalam urusan kepimpinan umat. Ia berkaitan dengan pengurusan masyarakat, keselamatan, ketertiban dan kepentingan bersama.

Dalam pendekatan kepimpinan yang dikaitkan dengan pengajaran Shaykh Abdalqadir as-Sufi, perhatian diberikan kepada kedudukan Amir sebagai pemimpin urusan umat. Bai‘ah politik masyarakat ditujukan kepada Amir, bukan kepada mursyid semata-mata kerana kedudukannya sebagai pembimbing rohani.

Walau bagaimanapun, bai‘ah tariqah merupakan perkara yang berbeza. Ia berkaitan dengan hubungan murid dengan guru dalam perjalanan pendidikan rohani, zikir, adab dan mujahadah. Kedua-dua bentuk bai‘ah ini tidak wajar dicampuradukkan.

Perbezaan ini penting supaya tidak berlaku kekeliruan antara autoriti pemerintahan dengan autoriti tarbiah. Seseorang mursyid boleh menjadi penasihat dan pembimbing kepada Sultan atau Amir tanpa mengambil alih kedudukan pemerintahan. Demikian juga, seorang Amir boleh mendapatkan bimbingan rohani tanpa menjadikan dirinya mursyid.

Dalam semua keadaan, ketaatan kepada manusia tetap tertakluk kepada ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

6. Menghidupkan Semula Amal Madinah

Mengembalikan Amal Madinah bukan sekadar mengembalikan nama atau bentuk sejarah pemerintahan terdahulu. Ia merupakan usaha menghidupkan semula prinsip dan amalan kehidupan Islam yang pernah dibangunkan oleh Rasulullah SAW di Madinah.

Amal Madinah merangkumi kehidupan yang menyeluruh. Ia tidak terhad kepada ibadah ritual, tetapi melibatkan hubungan manusia dengan Allah, hubungan sesama manusia dan tanggungjawab terhadap kehidupan di bumi.

Antara asas pentingnya ialah:

Pertama: Kepimpinan yang bertanggungjawab.

Masyarakat memerlukan pemimpin yang menjaga keamanan, keadilan dan kepentingan umum. Kepimpinan hendaklah menjadi khidmat, bukan alat untuk memperkaya diri atau kelompok.

Kedua: Penegakan zakat dan tanggungjawab sosial.

Zakat perlu dilaksanakan sebagai kewajipan agama. Ia bukan sekadar program kebajikan, tetapi sebahagian daripada sistem kehidupan Islam yang menjaga hak golongan yang ditetapkan oleh syariat.

Ketiga: Menghidupkan muamalat yang adil.

Perdagangan dan kegiatan ekonomi hendaklah berlangsung dengan jujur, tanpa penipuan, riba, manipulasi dan kezaliman. Pasaran perlu menjadi ruang pertukaran manfaat, bukan medan eksploitasi manusia.

Keempat: Memelihara harta dan mengurus kekayaan dengan amanah.

Islam mengiktiraf pemilikan harta, tetapi menetapkan batas dan tanggungjawabnya. Harta bukan tujuan mutlak kehidupan. Ia merupakan amanah yang perlu diurus menurut ketetapan Allah.

Kelima: Menghidupkan ilmu dan tarbiah.

Masyarakat memerlukan fuqaha yang memahami syariat, guru yang mendidik, serta para mursyid yang membimbing perjalanan rohani. Ilmu dan adab perlu bergerak seiring.

Keenam: Membina masyarakat yang saling membantu.

Kehidupan Islam tidak dibina atas persaingan kepentingan semata-mata. Ia memerlukan persaudaraan, ihsan, tanggungjawab dan kesediaan membantu mereka yang memerlukan.

Semua asas ini memperlihatkan bahawa Amal Madinah bukan sekadar gagasan politik. Ia merupakan suatu cara hidup yang menyatukan ibadah, pemerintahan, ekonomi, akhlak dan hubungan kemasyarakatan.

7. Imamah, Kenabian dan Batas Autoriti Manusia

Dalam membicarakan kepimpinan, kita juga perlu memahami batas autoriti manusia. Menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, Nabi Muhammad SAW ialah penutup segala nabi dan rasul. Tiada lagi wahyu kenabian selepas Baginda.

Seseorang pemimpin, imam, ulama atau mursyid tidak mempunyai kedudukan yang menjadikannya bebas daripada syariat. Ilham, kasyaf atau pengalaman kerohanian seseorang tidak boleh mengatasi al-Quran dan al-Sunnah, apatah lagi dijadikan sumber hukum yang membatalkan ketetapan syariat.

Kepimpinan manusia perlu sentiasa berada dalam lingkungan hukum Allah. Tiada sesiapa yang boleh menggunakan kedudukan agama untuk menuntut ketaatan mutlak daripada manusia.

Prinsip ini penting untuk mengelakkan kekeliruan antara kemuliaan seseorang yang soleh dengan autoriti yang hanya diberikan kepada wahyu. Seorang mursyid membimbing manusia untuk mengenal Allah, bukan menggantikan kedudukan Allah. Seorang Amir memimpin masyarakat, bukan memiliki manusia. Seorang faqih menjelaskan hukum, bukan mencipta syariat.

Kesemua peranan ini kembali kepada satu asas: Allah SWT ialah sumber segala hukum dan petunjuk.

8. Membina Semula Kehidupan Umat: Kepimpinan sebagai Khidmat

Jika kita mahu mengembalikan Amal Madinah, kita perlu membina semula kefahaman tentang makna kepimpinan.

Kita perlu keluar daripada pemikiran bahawa kuasa merupakan matlamat. Sebaliknya, kuasa ialah alat untuk menegakkan keadilan dan melaksanakan amanah. Kita perlu keluar daripada tanggapan bahawa agama hanya urusan individu. Sebaliknya, agama membimbing seluruh kehidupan manusia, termasuk pemerintahan dan ekonomi dan tidak hanya menumpu kepada urusan moral, kekeluargaan dan nikah kahwin sahaja seperti amalan semasa.

Sultan atau Amir perlu memahami bahawa kedaulatannya terpelihara melalui khidmat dan amanah. Fuqaha perlu terus memberikan panduan syariat dengan ilmu dan keberanian menyatakan kebenaran. Mursyid pula perlu membimbing hati manusia, termasuk para pemimpin, agar kekuasaan tidak menjauhkan mereka daripada Allah SWT.

Hubungan ini perlu dibina atas dasar saling menghormati dan tidak mencampuradukkan bidang tanggungjawab. Amir memimpin urusan umat, fuqaha membimbing hukum dan mursyid mendidik jiwa. Apabila ketiga-tiganya berfungsi dengan betul, masyarakat mempunyai asas yang lebih kukuh untuk membina kehidupan yang seimbang.

Usaha ini bukan sekadar mengkritik sistem semasa atau mengagungkan sejarah. Ia menuntut pembaikan diri, pendidikan, pembinaan institusi dan kesungguhan menghidupkan amalan Islam dalam kehidupan seharian.

Penutup: Kembali kepada Amanah, Kembali kepada Madinah

Mengembalikan Amal Madinah memerlukan lebih daripada slogan dan perbahasan teori. Ia memerlukan kesungguhan untuk menghidupkan semula amanah dalam kepimpinan, keadilan dalam pemerintahan, kejujuran dalam muamalat, pelaksanaan zakat dan adab dalam kehidupan masyarakat.

Kedaulatan Sultan tidak terpisah daripada khidmatnya kepada umat. Kekuatan Amir tidak terletak pada kemampuan memaksa, tetapi pada amanahnya memimpin dengan adil. Kemuliaan fuqaha terletak pada ilmu dan keberanian menjaga syariat. Kemuliaan mursyid pula terletak pada keikhlasan membimbing manusia menuju Allah SWT.

Kita tidak boleh mengharapkan masyarakat yang adil jika pemimpinnya tidak amanah. Kita tidak boleh mengharapkan ekonomi yang berkat jika muamalatnya dipenuhi penipuan dan kezaliman. Kita tidak boleh mengharapkan hati yang bersih jika perjalanan rohani tidak disertai mujahadah dan pembaikan akhlak.

Oleh itu, menghidupkan Amal Madinah ialah usaha menyatukan semula apa yang telah dipisahkan: agama dengan kehidupan, ibadah dengan muamalat, ilmu dengan amal, kepimpinan dengan khidmat, dan kekayaan dengan tanggungjawab sosial.

Akhirnya, yang perlu kita kembalikan bukan sekadar bentuk pemerintahan, tetapi ruh amanah yang menjadikan kekuasaan sebagai khidmat, ilmu sebagai panduan, dan kehidupan sebagai jalan pengabdian kepada Allah SWT.

Kepimpinan ialah amanah. Kedaulatan ialah tanggungjawab. Kekayaan ialah titipan. Dan seluruh kehidupan hendaklah dikembalikan kepada pengabdian kepada Allah.

Bibliografi dan Rujukan

A. Sumber Utama: Al-Quran dan Hadis

  1. Al-Quran al-Karim. Rujukan utama:
    • Surah al-Nisa’, 4:58–59 – Amanah, keadilan dan ketaatan kepada ulil amri.
    • Surah al-Hajj, 22:41 – Tanggungjawab mereka yang diberikan kekuasaan.
    • Surah al-Tawbah, 9:60 – Golongan penerima zakat.
    • Surah al-Syura, 42:38 – Syura dalam urusan masyarakat.
    • Surah al-Nisa’, 4:135 – Menegakkan keadilan.
    • Surah al-Baqarah, 2:188 – Larangan memakan harta secara batil.
  2. Al-Bukhari, Muhammad ibn Isma‘il. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam.
  3. Muslim ibn al-Hajjaj. Sahih Muslim, Kitab al-Imarah.

B. Fiqh Siyasah dan Pemerintahan Islam

  1. Al-Mawardi, Abu al-Hasan. Al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah.
  2. Abu Ya‘la al-Farra’. Al-Ahkam al-Sultaniyyah.
  3. Ibn Taymiyyah. Al-Siyasah al-Shar‘iyyah fi Islah al-Ra‘i wa al-Ra‘iyyah.
  4. Ibn Khaldun. Al-Muqaddimah.

C. Sejarah Madinah, Ekonomi dan Muamalat

  1. Ibn Hisham. Al-Sirah al-Nabawiyyah.
  2. Abu ‘Ubayd al-Qasim ibn Sallam. Kitab al-Amwal.
  3. Yahya ibn Adam. Kitab al-Kharaj.
  4. Ibn Majah. Sunan Ibn Majah, riwayat berkaitan pasar Madinah. Status riwayat perlu dirujuk kepada penilaian ahli hadis; riwayat yang sering disebut tentang penolakan penetapan harga ini dinilai daif oleh sebahagian ahli hadis.

D. Tasawuf, Tarbiah dan Penyucian Jiwa

  1. Al-Ghazali, Abu Hamid. Ihya’ ‘Ulum al-Din.
  2. Al-Qushayri, Abu al-Qasim. Al-Risalah al-Qushayriyyah.
  3. Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari. Al-Hikam al-‘Ata’iyyah.
  4. Al-Darqawi, Mawlay al-‘Arabi. Rasa’il al-Darqawiyyah.
  5. As-Sufi, Shaykh Abdalqadir. Karya dan pengajaran berkaitan Amir, bai‘ah, muamalat dan Amal Madinah. Rujukan kepada karya tertentu perlu dilengkapkan berdasarkan judul dan edisi asal yang digunakan.

E. Sejarah Mata Wang dan Numismatik Islam

  1. Heidemann, Stefan. “Islamic Coins as a Historical Source.” Dalam The New Cambridge History of Islam, jilid 1, 2010.
  2. Walker, John. A Catalogue of the Arab-Sassanian Coins. British Museum, 1941.
  3. Encyclopaedia Iranica. Entri berkaitan “Coins and Coinage”.

Sumber: zuhaimyismail.blogspot.com

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com