PENDIDIKAN TOK SELEHOR (BAHAGIAN III)
Kemuliaan makam dan kedudukan darjat ulama melebihi segala-galanya. Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya; “Dunia dan seisinya semuanya terlaknat (hina), kecuali hal-hal yang mendorong mengingati dan membesarkan Allah serta mentaati-Nya, dan para ulama dan orang yang menuntut ilmu (dimuliakan Allah). (Hadis riwayat Ibnu Majah, Tirmidzi dan Baihaqi daripada Abu Hurairah RA).
Tok Selehor merupakan seorang ulama daripada ulama lima serangkai yang paling masyhur di kalangan rakyat Kelantan pada zaman beliau. Ulama lima serangkai tersebut terdiri daripada Tok Selehor sendiri (1871-1935) yang berasal dari Tumpat, Tok Kenali (1868-1933) dari Kota Bharu, Tok Bachok (1860-1953) dari Bachok, Tok Jelapang (1861-1934) dari Pasir Mas dan Tok Kemuning (1885-1934) dari Machang.
Tok Selehor merupakan sahabat baik Tok Kenali, terkenal kerana kealimannya dalam ilmu agama. Beliau menyebarkan ilmunya kepada para pelajar dengan membina pondok di Kampung Selehor. Kini kampung tersebut dikenali dengan nama Kampung Kok Pasir. Kemunculan beliau selaku seorang yang tersohor bukan terjadi secara semula jadi, sebaliknya melalui rempuhan pelbagai ujian dan kesusahan dalam masa menuntut ilmu (selama lebih kurang 30 tahun dalam alam pengajian) dan menjalani kehidupan (masa perjuangan) dalam masyarakat hingga mencapai usia 64 tahun.
Dalam tempoh itu terserlah kehebatan yang dimiliki oleh Tok Selehor dalam penyampaian dakwahnya. Kuliah ilmunya (pengajian kitab Hikam) telah menarik minat masyarakat dari penduduk tempatan hingga ke luar, khususnya dari Pattani, Kemboja, Palembang, Jawa, Siak dan seluruh Tanah Melayu. Mereka datang menuntut ilmu dan membaiah sanad ilmu dengan beliau yang bersambung sanadnya kepada guru-gurunya, terus kepada Rasulullah SAW.
Apabila diimbas kembali sejarah beliau menuntut ilmu, pada peringkat awalnya beliau mengaji al-Quran dengan bapanya sendiri. Selepas itu orang tuanya menghantar Tok Selehor belajar secara memondok di Sungai Pinang, berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Malik selama beberapa tahun.
Tuan Guru Haji Abdul Malik merupakan guru beliau selepas ayah beliau sendiri, iaitu Tuan Guru Osman bin Senik, seorang qari al-Quran yang amat merdu suaranya. Salain qari, Haji Osman Senik juga seorang ulama, tetapi lebih menonjol selaku qari dan guru al-Quran dan tajwid.
Dengan keazaman dan semangat yang kuat untuk belajar, beliau melanjutkan pengajiannya ke Pattani Darus Salam, kerana pondok-pondok di negeri Pattani pada masa itu sedang berkembang dengan cukup pesat dan termasyhur sekali ke seluruh rantau dunia Islam. Bermula dari situ, Tok Selehor keluar dari kepompong kampungnya berkelana ke negara jiran, Pattani dan memondok di Pondok Tuan Guru Haji Abdul Rashid Kuala Bukit atau Kuala Bekah. Sebaik sahaja mula mengaji selama beberapa tahun, Tuan Guru Abdul Rashid telah ditangkap oleh kerajaan Siam berpunca daripada fitnah dan salah faham akibat pergolakan politik.
Dalam menempuhi ujian dan cabaran hidup, Tok Selehor seorang yang mempunyai semangat dan jiwa yang kuat (berjiwa besar). Buktinya, ketika sedang belajar di Pattani, walaupun beliau telah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga (isteri dan anak-anak), beliau mampu membahagikan dan menumpukan masa pada pelajaran, tanpa terjejas terhadap kedua-dua kewajiban dan urusan tersebut.
Menurut catatan Ismail Daud dalam bukunya yang bertajuk “Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1)”, lazimnya isteri Tok Selehor yang bersama-sama secara serentak ialah seramai empat orang. Ertinya, Tok Selehor mampu menguruskan dua keadaan kehidupan yang berbeza dalam satu-satu masa. Menguruskan keluarga yang ramai dan menumpukan untuk menuntut ilmu. Ini tidak mungkin boleh dilakukan, kecuali oleh seorang yang bersemangat dan berjiwa besar.
Salah satu tanda Tok Selehor tekun dalam menuntut ilmu adalah setiap butir ilmu yang dipelajari dicatat dengan terperinci, sehingga ilmu yang dipelajarinya turut dikutip (catatannya) oleh ulama besar ketika itu, iaitu Tok Kenali.
Menurut Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Hussin (Haji Lah Hutan Pasir), guru Tok Selehor di Makkah ialah Pak Cik Daud, mentua pada Pak Da Eil, guru bangsa Melayu yang termasyhur di Makkah. Dalam masa pengajiannya itu, Tok Selehor tidak lupa pesanan Rasulullah SAW dan juga tokoh idola beliau, Imam al-Ghazali, bahawa ilmu (hikmah) ibarat barang yang hilang dan juga ibarat binatang hidup, jika kamu jumpa hendaklah kamu ambil dan ikatnya, kerana kalau tidak diikat, ia akan lari daripada kamu.
Kerana itu, Tok Selehor mencatat setiap butir dan patah ilmu yang disanadkan kepadanya sehingga menjadi sebuah kitab lengkap. Oleh itu, untuk mendapat keberkatan ilmu yang sanadnya bersambung pada Pak Cik Daud, maka sahabat seperjuangannya, Tok Kenali meminjam catatan-catatan dan penerangan-penerangan (syarah) yang ditulis oleh Tok Selehor itu yang terkenal dengan kitab Musalli, untuk mengajar murid-muridnya pula.
Ini salah satu bukti, di samping mengurus rumah tangga, Tok Selehor masih mampu belajar dengan gigih sehingga berupaya menjadi seorang tokoh ulama.
Catatan: Ibnu Majid