(BAHAGIAN 2)
IBN KHALDUN DAN PEMERKASAAN BUDAYA DAN TAMADUN DENGAN MERUJUK KEPADA "AL-MUQADDIMAH"
Cara yang paling mudah untuk memperoleh “malakah” ini ialah dengan jalan melalui latihan lidah guna mengungkapkan fikiran-fikiran dengan jelas dalam diskusi dan perdebatan dalam masalah-masalah ilmiah. Inilah cara yang mampu menjernihkan persoalan …
Kemudian beliau membezakan mereka yang mendengar sahaja pengajian dan mengamalkan hafalan tanpa menggunakan kecekapan berfikir dalamunazarah dan juga tanpa menggunakan kemahiran dalam bahasa.
Orang-Orang Timur secara umumnya jauh lebih mantap dan teguh berbanding dengan masyarakat Maghribi dalam keahlian memberi pengajaran ilmudan dalam keahlian-keahlian lainnya. Bahkan ramai orang-orang Maghribi yang pergi ke Timur dalam mencari ilmu pengetahuan mempunyai anggapan bahawa secara umumnya akal fikiran orang-orang Timur adalah lebih sempurna daripada orang-orang Maghribi. Mereka beranggapan bahawa nafsu natikah (atau bahagian jiwa yang berfikir dan menerima ilmu) (orang-orang Timur) adalah lebih sempurna pada tabiat kejadiannya daripada apa yang ada pada orang-orang Maghribi. Mereka mendakwa ada terdapat perbezaan pada hakikat kemanusiaan antara kami (orang-orang Maghribi) dan mereka itu, kerana kemahiran mereka dalam ilmu-ilmu dan kemahiran dan pertukangan kelihatan luar biasa kepada mereka. Tetapi hal yang sebenar bukanlah demikian. Tidak ada perbezaan antara Timur dan Barat yang sedemikian besar (sehingga dianggapkan) ianya perbezaan dalam hakikat (tabiat kejadian manusia) yang memang (hakikat kemanusiaan itu) adalah satu (dan sama di mana-mana juga).
(Kelainan yang sedemikian itu) sebenarnya ada dalam kawasan-kawasan yang beriklim tidak sederhana seperti iklim yang pertama dan ketujuh. Sikap jiwa di sana tidak sederhana, dan jiwa juga tidak sederhana sesuai dengan keadaan yang ada, sebagaimana yang telah disebutkan.(Sebenarnya) kelebihan para penduduk Timur dengan penduduk Barat terletak pada akal tambahan (‘aqlul-mazid’) yang ada pada jiwa yan datang hasil daripada pengaruh-pengaruh kebudayaan (hadharah) sebagaimana yang telah disebutkan dalam hubungan dengan keahlian-keahlian.
Selanjutnya sekarang kami akan membicarakannya secara lebih lanjut dan, mengesahkannya; ianya seperti berikut:
Orang-orang yang hidup dalam berbudaya secara menetap memiliki peraturan-peraturan dalam segala perkara yang mereka lakukan dan yang akan mereka kerjakan ataun yang mereka tidak akan kerjakan, dan dengan demikian merekapun mendapati cara-cara tertentu dalam mengusahakan penghidupan, mencari tempat-tempat tinggal, mendirikan bangunan-bangunan, menangani masalah-masalah keagamaan dan keduniaan mereka, termasuk masalah-maalah adat-adat kebiasaan pada adat istiadat mereka, serta kira bicara mereka dengan orang lain, dan kegiatan-kegiatan lain mereka. Cara-cara bertindak yang menjadi kebiasaan tetap ini merupakan batasan yang tidak dilanggar oleh mereka, dan pada masa yang sama (di dalamnya ada terdapat kebiasaan-kebiasaan yang bersifat sebagai-p) kepandaian-kepandaian (atau cara-cara pertukangan) yang diterima oleh generasi kemudian daripada generasi yang awalnya. Tidak syak lagi setiap kemahiran itu ada kedudukan yang baik dalam susunan tertib kemahiran-kemahiran yang ada, dan ianya mempengaruhi jiwa manusia dan menjadikannya mendapat akal tambahan (‘aql al-mazid) (additional intelligence) yang menyiapsediakan jiwa itu untuk menerima kemahiran-kemahiran lainh selanjutnya pula (dengan itu ia menjadi semakin lama semakin bijak dan cekap-p). Dengan itu maka akal manusia itu disediakan untuk mencapai ilmu secara cepat dan segera.
Kebiasaan-kebiasaan yang baik dalam pengajaran ilmu (“scientific instruction”), dalam kemahiran-kemahiran pertukangan, dan dalam semua kegiatan-kegiatan yang dilakukan manusia, itu menambahkan lagi pencerahan dalaman pada akalnya dan juga memberi pencahayaan (enlightenment) pula pada pemikirannya, kerana dengan itu jiwanya itu mencapai banyak kebiasaan-kebiasaan padanya. Kita telah nyatakan dahulu bahawa jiwa manusia itu berkembang di bawah pengaruh pengesanan pancaindera yang diterimanya dan kemahiran-kemahiran (“malakah”) yang timbul daripadanya. Dengan itu maka orang-orang Timur menjadi lebih pandan kerana jiwa-jiwa mereka terpengaruh dengan kegiatan ilmiah. Orang awam menyangka bahawa itu adalah kelainan dalam hakikat kemanusiaan. Ini bukan yang sebenarnya.
Apabila seseorang membandingkan orang-orang dalam masyarakat berbudaya dengan orang-orang Badui, maka boleh diperhatikan bagaimana lebih banyaknya kecerahan pemikiran dan kepandaian yang ada pada orang yang berbudaya tetap itu. Dengan itu maka seseorang itu mungkin terfikir bahawa mereka itu berbeza daripada orang-orang Badui itu dalam hakikat kemanusiaan dan akalnya. Ini bukan demikian. Sebabnya hanyalah kelainan ada kerana orang yang berbudaya menetap itu mempunyai kebiasan-kebiasaan dalam bidang teknikal dan juga adat kebiasaan budi pekerti yang halus dalam hubungan dengan kegiatan-kegiatan yang sudah menjadi kebiasaan hidup dan juga suasana-suasana hidup budaya menetap, yang semua itu tidak diketahui oleh orang-orang Badui itu. Orang-orang yang hidup berbudaya menetap memiliki banyak kemahiran-kemahiran dan juga kebiasaan-kebiasaan yang berjalan bersekali dengan semua itu, juga mereka mempunyai (cara) yang baik untuk mengajar kemahiran-kemahiran itu. Oleh itu mereka yang tidak mempunyai kebiasaan-kebiasaan itu berfikir bahawa itu semua menunjukkan kesempurnaan akal yang dimiliki oleh mereka yang hidup dalam budaya menetap itu, dan bahawa kecekapan tabi’I orang-orang Badui itu adalah lebih rendah daripada yang ada pada orang-orang yang berbudaya menetap itu. Ini bukan demikian. Kita boleh dapati ada sebahagian daripada orang-orang Badui yang memiliki kefahaman, dan kesempurnaan akal serta kecekaan semula jadi yang paling tinggi sekali.
Nampaknya apa yang kelihatan secara lahir (sebagai kelebihan) orang-orang berbudaya menetap adalah hanya hasil daripada penghalusan dan penggilapan kemahiran-kemahiran serta pengajaran ilmu-ilmu yang diterima oleh mereka. Itu semua mempengaruhi jiwa sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini. Sekarang, para penduduk Timur lebih teguh dan lebih terkedepan kedudukan mereka dalam pengajaran ilmu dan kemahiran-kemahiran (daripada orang-orang Maghribi) dan orang-orang Maghribi pula adalah lebih dekat kepada kehidupan padang pasir, sebagaimanan yang kami nyatakan dalam bahagian yang terdahulu. Ini menyebabkan orang-orang yang dangkal akalnya memikirkan bahawa para penduduk Timur mengatasi kelebihannya daripada orang-orang Maghribi dengan sebab kesempurnaan (yang tertentu) yang ada pada mereka yang menyangkut hakikat kemanusiaan.Ini tidak benar, sebagaimana yang sepatutnya difahami. (Terjemahan penulis dengan mengambil kira terjemahan Rosenthal).
Dalam hubungan dengan kebiasaan yang baik yang menguatkan peradaban juga, kita lihat ibn Khaldun menyebut tentang budaya ilmu dan pengetahuan berkembang dalam kebudayaan dan peradaban yang berkembang pesat. Kata beliau:
(Ilmu pengetahuan menjadi banyak cabangnya bilamana tamadun itu besar dan budaya hidup menetap dikota menjadi terbentuk dengan tingginya). Ini kerana pengajaran ilmu, sebagaimana yang kami nyatakan berupa satu daripada kemahiran-kemahiran. Kami telah nyatakan bahawa kemahiran-kemahiran banyak terdapa hanya di kota-kota. Kualiti dan bilangan kemahiran-kemahiran atau pertukangan-pertukangan itu terletak pada lebih besar atau kecilnya peradaban (‘umran) (‘civilization’) dalam kota-kota itu dan pada budaya menetap dan hidup mewah yang dinikmati di kota-kota itu, kerana (kemahiran-kemahiran dan pertukangan-pertukangan yang terbentuk dengan baik itu) adalah sesuatu yang berupa tambahan kepada mencari penghidupan semata-mata. Bila orang-orang yang berperadaban ada mempunyai tenaga buruh yang lebih daripada apa yang mereka perlukan setakat untuk mencari penghidupan sahaja, maka (tenaga buruh) demikian yang berlebih itu digunakan untuk kegiatan-kegiatan yang lebih lagi dan mengatasi apa yang digunakan hanya untuk mencari penghidupan sahaja. Kegiatan-kegiatan sedemikian ini adalah hak istimewa manusia. Ianya terdiri daripada ilmu-ilmu dan kemahiran-kemahiran serta pertukangan-pertukangan ….
Ini diikuti dengan kenyataan beliau berkenaan dengan kebiasan-kebiasan bertaraf tinggi yang melibatkan perkembangan budaya ilmu di pusat-pussat tamadun Islam yang terkenal. Kata beliau:
Ini boleh ditunjukkan contohnya dengan kenyataan-kenyataan kami yang terdahulu berkenaan dengan Baghdad, Qurtubah, Qairawan, Basrah dan Kufah.Pada masa permulaan Islam, peradaban-peradaban (para penduduk kota) adalah ramai, dan budayan hidup menetap wujud di kalangan mereka. Maka ilmu-ilmu melimpah di sana dan penduduk-penduduknya tampail sebagai ahli dalam pelbagai jenis peristilahan teknikal dalam pengajaran ilmu-ilmu dalam pelbagai cawangan ilmu pengetahuan, dan ahli dalam menimbulkan persoalan-persoalan dan (menciptakan) disiplin-disiplin ilmu (yang baharu). Mereka itu (semua) mengatasi para ahli ilmu yang datang sebelum mereka dan mengatasi semua yang datang kemudian daripada mereka. Tetapi bila tamadun merusut dan penduduknya berkurang, gambarannya menjadi terbalik pula daripada apa yang terdahulunya. Ilmu pengetahuan dan pengajarannya tidak ada lagi dalam kota-kota tersebut tetapi dipindah dan ditanam di kota-kota Islam lainnya.
Kita pada masa ini melihat bahawa ilmu pengetahuan dan pengajaran ilmu ada di Kahirah pula iaitu di Mesir, kerana tamadun di sana (Mesir) terbentuk dengan tingginya dan budaya menetapnya telah menjadi tetap teguh beribu-ribu tahun lamanya. Oleh itu maka kemahiran-kemahiran terdiri tetap teguh di sana dalam banyak jenisnya. Satu daripadanya ialah pengajaran ilmu di sana. (Keadaan yang sedemikian) ini diperteguhkan lagi dan dijaga di Mesir oleh beberapa peristiwa dalam dua ratusan tahun lalu di bawah dinasti Turki, semenjak masa pemerintahan Salahud-Din al-Ayyubi dan seterusnya….
Ini diikuti dengan beberapa perkembangan tentang kemunculan ilmu-ilmu dalam Islam samaada ilmu-ilmu Syariah atau juga ilmu-ilmu akliah.
Perkara-Perkara Yang Perlu dielakkan Untuk Menguatkan Bangsa dan Tamadun:
Nampaknya ada beberapa perkara yang kita boleh renungkan sebagai perkara-perkara yang melemahkan tamaddun yang perlu dielakkan.Antaranya adalah seperti berikut:
Ibn Khaldun menyatakan bahawa peranan agama ialah menyatupadukan Bangsa Arab dan membawa kemajuan kepada mereka dan masyarakat mereka.Ia menunjukkan bahawa ketidakadilan, sifat kuasa raja bermahrajalela, dan penindasan adalah tanda-tanda yang menunjukkan kejatuhan dalam sesebuah negara. Beliau menunjukkan bahawa falsafah yang berbentuk metafisika mendatangkan faedah mempertajamkan akal fikiran seseorang. Beliau menyatakan juga bahawa pengetahuan tentang perkara-perkara metafiska terutama dalam hubungan dengan keimanan boleh didapati hanya daripada wahyu.
Beliau juga seorang yang terkemuka dalam pendidikan. Beliau menyatakan bahawa paksaan adalah seteru kepada pendidikan, membawa kepada timbulnya sifat malas, berbohong dan sifat bermuka dua. Beliau juga menunjukkan kepada pentingnya contoh tauladan yang baik untuk ditiru.serta juga penguasaan yang baik dalam penggunaan bahasa. Beliau menyanjung ilmu yang sampai menjadi “malakah” dalam seseorang.
Oleh kerana beliau hidup dalam zaman permulaan menurunnya peradaban Islam maka apa yang dialami itu menyebabkan beliau mengumpulkan dan membuat ringkasan serta menghafal himpunan ilmu yang ditinggal oleh nenek moyangnya.Beliau menyerang amalan-amalan yang tidak sihat yang menimbulkan kebekuan dalam kalangan Muslimin dan mengurangkan kreativiti di kalangan para ahli ilmu.
Kesimpulan Tentang Usaha Menguatkan Budaya Dan Tamadun Bangsa:
Dalam hubungan dengan berfikir tentang menguatkan budaya dan umat, maka ada beberapa pengajarann yang kita boleh ambil dari ibn Khaldun dengan "al-Muqaddimah"nya. Antaranya adalah seperti berikut:
Oleh: Muhammad ‘Uthman El-Muhammady
