SYAHRISTANI
Syahristani ialah ulama terkenal pada abad ke-12 dalam bidang teologi dan sejarah agama. Beliau juga merupakan ahli perbandingan agama dan mazhab. Syahristani ialah nama yang diambil sempena nama tempat kelahirannya, Syahristan, sebuah kota di utara Khurasan, Iran.
Beliau lahir pada 479H/1085M dan nama penuhnya ialah Muhammad Abdul Karim bin Ahmad Abu al-Fath asy-I al-Mutakallim. Sejak kecil, Syahristani sudah menunjukkan kebolehan yang luar biasa dalam penguasaan ilmu agama yang dipelajarinya daripada beberapa ulama terkenal pada masa itu.
Sebagai pakar dalam bidang perbandingan agama, Syahristani menunjukkan reputasi tinggi dan dilihat sebagai seorang yang bersikap objektif dan kritis oleh pakar perbandingan agama.
Untuk mendalami ilmu dan meluaskan wawasannya, Syahristani sering mengembara ke banyak negeri. Beliau mengajar di Madrasah Nizamiyah dan menetap selama tiga tahun di Baghdad yang pada masa itu merupakan pusat ilmu pengetahuan dan kebudayaan.
Pada 510H/1116M, beliau ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji, dan kemudian kembali ke tanah kelahirnnya. Beliau kemudiannya menetap di Khurasan dan meninggal dunia di situ pada 548H/1153M.
Syahristani membahagikan peduduk dunia berdasarkan iklim dunia, arah mata angin dan bangsa besar dunia. Beliau berpendapat bahawa iklim merupakan punca wujudnya perbezaan manusia, selain warna kulit, tabiat dan keperibadiannya.
Di samping itu, Syahristani yakin bahawa empat mata angin juga menjadi salah satu sebab bangsa yang mendiami bahagian itu mempuntai tabiat dan peraturan yang berbeza. Karya Syahristani yang terkenal ialah kitab al-Milal wan al-Nihal (Agama dan Aliran-aliran) yang memberikan huraian tentang perbandingan agama, mazhab dan falsafah. Hampir seluruh dasar pemikiran Syahristani dimuatkan dalam buku ini.
Di dalam al-Milal wan al-Nihal, beliau memuatkan hasil kajiannya dan memberikan penjelasan tentang sistem keagamaan. Beliau juga mengkaji aliran teologi yang terdapat islam seperti Muktazilah, Syiah, Khawarij dan Asy’ariyyah.
Salah satu pendapat Syahristani yang cukup popular ialah tentang perbezaan pendapat yang terdapat dalam haluan pemikiran Islam. Perbezaan pemikiran ini menyebabkan perbezaan pandangan yang disebabkan oleh empat masalah utama, iaitu masalah sifat dan keesaan Allah s.w.t; masalah takdir dan keadilan; masalah janji dan ancaman; dan masalah akal, rislah dan imamah.
Catatan: Ibnu Hayyan
