TAREKAT KAZARUNIYYAH - SEJARAH ISLAM YANG DIPADAM
Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Pembohongan Historiografi Moden
Sejak di bangku sekolah, kita diajar bahawa Islam tersebar luas merentasi benua hanya kerana faktor ekonomi, iaitu dibawa oleh "pedagang Muslim". Historiografi moden sengaja memfokuskan kegemilangan tamadun Islam hanya kepada empayar kaum penguasa dan sumbangan material kaum intelek.
Namun, sedarkah kita bahawa ada satu sudut di dalam sejarah Islam yang sengaja digunting, dikaburkan, dan dinisankan oleh Orientalis Barat? Siapakah sebenarnya "enjin kerohanian" di sebalik kekuatan para pedagang yang merentas dunia ini? Siapakah pembimbing di sebalik tokoh-tokoh kepimpinan Islam, dan guru yang melahirkan ulama muktabar yang mempertahankan benteng Islam?
Tarekat Kazaruniyyah - Empayar Al-Ihsan
Abad ke-10 hingga ke-11 Masihi menyaksikan kemunculan seorang tokoh sufi besar dari Parsi, Abu Ishaq Kazaruni. Beliau merupakan pengasas kepada Tarekat Kazaruniyyah, sebuah gerakan yang merubah lanskap peradaban Islam.
Gerakan ini bukanlah semata-mata kelompok sufi yang duduk berzikir di masjid, tetapi merupakan sebuah institusi Islam bertaraf antarabangsa. Golongan sufi Kazaruni telah membina rangkaian "Khanqah" atau pusat sufi yang berfungsi sebagai pusat pendidikan, rumah musafir, dapur makanan bagi mereka yang memerlukan, dan tempat perlindungan fakir miskin. Mereka beroperasi persis sebuah institusi sosial antarabangsa moden yang wujud hari ini.
Melalui sistem ekonomi berteraskan Awqaf dan jaringan perdagangan maritim, para pedagang yang bernaung di bawah tarekat ini tidak hanya membawa barangan dagangan, tetapi mereka membawa bersama agama, budaya, bahasa, keilmuan dan akhlak Islam yang asli ke seluruh dunia.
Menawan Manusia Tanpa Pedang
Kehebatan terbesar Tarekat Kazaruniyyah adalah keupayaan mereka menyebarkan Islam melalui pendekatan yang amat melembutkan hati. Mereka menakluk jiwa manusia bukan dengan paksaan pedang, tetapi melalui jalan kasih sayang, kebajikan, sifat zuhud, dan pelayanan terhadap golongan miskin.
Pendekatan bersifat kemanusiaan ini menyebabkan masyarakat dari Parsi, India, Asia Tengah, hinggalah ke dunia maritim di Nusantara, berbondong-bondong memeluk Islam dengan rela hati. Tarekat ini menghidupkan budaya ilmu dengan menyeimbangkan antara ilmu zahir seperti fiqh, dengan ilmu batin iaitu akhlak dan tasawuf. Tradisi ini turut mekar dalam bentuk puisi Islam, muzik rohani, dan budaya qasidah yang membentuk wajah peradaban Islam yang sangat lembut dari segi spiritual.
Jihad Melawan Ego
Namun, apakah yang membuatkan ajaran sufi tarekat ini sangat berbahaya kepada musuh-musuh Islam?
Kekuatan Tarekat Kazaruniyyah terletak pada penekanan mereka terhadap penyucian hati, yakni "jihad melawan ego". Dalam tradisi sufi, musuh terbesar manusia adalah penyakit hati, nafsu, kesombongan, tamak, dan riak, berbanding tentera musuh di luar. Apabila umat Islam dibersihkan hatinya oleh ajaran tarekat ini, mereka menjadi manusia yang sangat tawaduk, berani, dan tidak mampu dibeli dengan harta dunia.
Kekuatan rohani yang utuh inilah yang menjadi tunjang kekuatan setiap kali berlakunya pertembungan antara angkatan tentera Islam menentang bala tentera kuffar di zaman pertengahan.
Konspirasi Melenyapkan Identiti
Hakikat ketahanan jiwa orang Islam seperti yang diajar Tarekat Kazaruniyyah inilah yang paling digeruni oleh penjajah Barat. Musuh Islam sedar bahawa untuk menjarah bumi umat Islam, mereka perlu mencabut "enjin kerohanian" ini terlebih dahulu.
Jika seseorang mengkaji sejarah Islam, akan timbul satu persoalan besar. Mengapakah elemen sufisme, tasawuf, dan aliran tarekat sentiasa dijadikan sasaran untuk dimusnahkan oleh kaum penjajah?. Bermula dengan siri serangan tentera Salibiyyah, kekejaman Mongol, kezaliman Inkuisisi Andalus, hinggalah penaklukan semasa Perang Dunia Kedua di seluruh negara umat Islam, penjajah secara sistematik memisahkan elemen kerohanian ini dari kehidupan umat Islam.
Mereka memadamkan peranan tokoh sufi dari lembaran sejarah. Mereka mahu identiti dan jati diri umat Islam dikaburkan, lalu digantikan dengan ajaran sekularisme yang kini semakin dominan dalam masyarakat. Apabila umat Islam diputuskan sanadnya dari ajaran tarekat yang menyucikan hati, maka runtuhlah akhlak dan jiwa Islam yang sebenar. Operasi penyingkiran tasawuf ini akhirnya bergerak seiring dengan kejayaan Kuffar Barat meruntuhkan sistem Khilafah Islam, dan membahagi-bahagikannya kepada negara bangsa sekular yang wujud pada hari ini.
Mencari Kembali Roh Yang Hilang
Sistem sejarah ciptaan penjajah Barat telah mencabut "jantung" umat Islam dari dadanya. Islam tidak diutuskan sekadar sebagai sebuah empayar politik dan perundangan syariah yang kaku, tetapi ia adalah peradaban hati dan pembinaan jiwa kemanusiaan. Islam membebaskan manusia dari pengabdian kepada dunia.
Selagi kita tidak kembali menautkan roh umat ini dengan ajaran penyucian hati bersanad seperti yang dipelopori oleh Tarekat Kazaruniyyah dan gerakan sufi muktabar yang lain, umat Islam akan terus terumbang-ambing tanpa identiti; hanya hebat pada material, tetapi mati pada spiritualnya.
