TELADAN DARIPADA NABI ZULKIFLI A.S.
Kisah Nabi Zulkifli a.s. disebut secara ringkas dalam al-Quran, namun nama baginda dikaitkan dengan sifat sabar dan kebaikan. Di sebalik kisah yang tidak panjang, terdapat teladan tentang kesungguhan dalam memikul amanah dan menepati janji.
Zulkifli adalah putra Nabi Ayub a.s. Nama aslinya adalah Basyar. Al-Qur’an menyebutnya hanya dua kali dengan nama Zulkifli. Dalam hadis sahih bahkan tidak ada petunjuk yang mengacu kepada kisah Zulkifli. Kisahnya dalam Al-Qur’an tidak disebut secara terperinci, hanya ada dalam surah dalam surah Al-Anbiya’ ayat 85-86 dan surah Shad ayat 48. Itu pun dikaitkan dengan nabi lain seperti Idris, Ismail, dan Ilyasa’, sebagai orang sabar, soleh dan paling baik.” Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Zulkifli.
Semua mereka termasuk dalam orang yang sabar. Kami telah memasukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk dalam orang-orang yang soleh” (Surah Al-Anbiya’ ayat 85-86). “Dan ingatlah kisah Ismail, Ilyasa’ dan Zulkifli. Semuanya termasuk orang-orang yang baik” (Surah Shad ayat 48). Zulkifli termasuk dalam seorang nabi yang menjadi raja. Ia melanjutkan dakwah ayahnya, Ayub, dan mengajak kaumnya untuk rajin beribadah. Menurut beberapa sejarawan, misalnya at-Tabari (839-923), Zulkifli wafat di Syam (Suriah) dalam usia 75 tahun.
Zulkifli telah terbiasa menjalankan ibadah, sebelum dan sesudah menjadi raja. Ia selalu beribadah. Pada siang hari ia berpuasa. Zulkifli benar-benar sanggup menggantikan sang raja yang sudah uzur dan tidak mempunyai keturunan. Ia kemudian menjadi raja Bani Israil dan rajin beribadah serta ahli dalam memberi hukum.
Dalam suatu kisah diceritakan bahawa raja Israil, Ilyasa, sudah tak berdaya lagi menjalankan pemerintahan. Lalu sang raja mengumpulkan rakyatnya dan meminta kesediaan mereka untuk menggantikannya sebagai pemimpin Bani Israil dengan beberapa syarat.
Antara syaratnya ialah berpuasa di siang hari, beribadah pada malam hari, dan tidak boleh marah-marah. Tidak seorang pun yang sanggup menjalankan syarat-syarat tersebut. Lalu, seorang pemuda yang bernama Basyar berdiri menyatakan kesediaan dan kesanggupannya. Kerana sang Raja belum yakin, maka pemuda itu berkali-kali mengatakan bahawa ia sanggup memenuhi syarat tersebut. Itulah sebabnya, Basyar dipanggil Zulkifli, yang bererti “orang yang sanggup memegang janji”. Dalam sebuah kisah lainnya lagi, Zulkifli diberi makna “kelipatan” kerana ia menerima nikmat berlipat ganda dari Tuhan sebagai balasan atas amal solehnya.
Suatu ketika, Zulkifli hendak beristirehat. Syaitan dengan menjelma sebagai manusia telah datang ke kediamannya. Syaitan berpura-pura menjadi tamu dan berupaya memancing kemarahan Zulkifli. Sekalipun syaitan masuk dengan cara memaksa, Zulkifli tetap bersabar dan menerima sang tamu dengan lapang dada. Syaitan akhirnya gagal memperdayakan Zulkifli yang tetap berpegang teguh pada janjinya untuk tidak marah.
Dalam kisah lain disebutkan, Zulkifli pernah memerintahkan kaumnya memerangi rakyatnya yang derhaka. Mereka bersedia berperang apabila Zulkifli menjamin kehidupan mereka, kerana mereka masih senang hidup di dunia ini. Dengan sabar, Zulkifli memohon agar Allah s.w.t melimpahkan rahmat-Nya. Dan doanya pun dikabulkan.
Kisah Nabi Zulkifli a.s. mengajar kita bahawa amanah bukan sekadar sesuatu yang dilafazkan, tetapi perlu dibuktikan melalui kesungguhan dan kesabaran. Baginda tetap berpegang pada janji walaupun berdepan dengan cabaran dan cubaan untuk membangkitkan kemarahannya. Oleh itu, sifat sabar, menepati janji dan istiqamah dalam beribadah merupakan antara teladan penting yang boleh kita contohi dalam kehidupan seharian.
Catatan: Ibnu Majid
