TOK SELEHOR DAN TOK KENALI: DAKWAH MELALUI SENI (BAHAGIAN IV)
Seperti mana diketahui umum, Tok Selehor merupakan salah seorang teman rapat Almarhum Muhammad Yusuf Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali. Mereka sering bersama-sama bagi membincangkan masalah agama dan usaha untuk mengembangkan Islam di negara ini mengikut uslub semasa (kontemporari).
Antaranya, mereka menggunakan seni dan sastera sebagai media dakwah. Tok Selehor mendapat gelaran daripada Tok Kenali sebagai ‘Penyair Kita’ disebabkan minat Tok Selehor yang mendalam terhadap seni dan sastera. Tok Selehor juga boleh mengalunkan syair dengan suara yang amat merdu, sehingga dapat menarik dan menyedarkan masyarakat berubah menjadi baik.
Kedua-dua rakan karib itu masing-masing berbakat dan mahir dalam menyusun syair. Selain itu, Tok Kenali juga mahir dalam ilmu penulisan dan kewartawanan sehingga mampu mengasas dan menerbitkan sebuah majalah yang amat popular iaitu “Pengasuh”.
Tok Selehor seorang yang zahid, warak dan tawaduk, tidak banyak bercakap perkara sia-sia dan suka beribadat. Raut wajah tokoh ini juga sentiasa ceria dan sering tersenyum.
Minat Tok Selehor dalam bidang seni sastera bukan suatu perkara biasa, Beliau sangat minat dan cenderung untuk membaca dan mengkaji buku-buku sastera lama berbentuk syair, seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau juga pandai membacanya dengan lagu-lagu yang lunak. Suara yang merdu serta pula dapat menarik minat umum untuk mendengar dan belajar.
Tok Selehor bukan sekadar pandai mendendangkan syair tetapi juga pandai mengarang syair. Kepandaian Tok Selehor mengarang syair pada ketika itu tidak dapat ditandingi oleh sesiapa.
Oleh sebab kebolehannya yang agak luar biasa itu, namanya menjadi masyhur dan beliau pernah diminta mengarang syair romantis. Lantaran syairnya, beberapa pasangan suami isteri yang dalam krisis kembali berdamai setelah menerima lembaran syair yang ditulis oleh Tok Selehor. Ini merupakan salah satu cara Tok Selehor memberikan motivasi dan mendamaikan krisis dalam sebuah keluarga.
Antara syair yang sangat berpengaruh yang masih diingati oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Che Yim dan Che Abdullah dari Kampung Kok Pasir, Tumpat adalah seperti berikut:
Tiap-tiap malam kanda bermimpi,
Adinda di tengah kanda di tepi,
Menghisap rokok meminum kopi,
Memeluk tengkuk mencium pipi,
Sedap rasanya tiada terperi,
Harum baunya umpama kasturi,
Suka dan hilai senang di hati,
Kasih mesra hingga mati.
Jika dilihat lirik syair ini biasa sahaja, tetapi kesannya begitu mendalam, bahkan masih segar hingga ke hari ini apabila dibaca dan didengar alunannya. Ini kerana syair ini dilahirkan dan ditulis dari suara hati, dan sampai ke hati.
Itulah salah satu “keramat” Tok Selehor yang jarang-jarang didedahkan oleh penganalisis sejarah. Betapa tajamnya lidah dan masinnya madah Tok Selehor, dari hati ke lidah, dari pena langsung menusuk dalam hati.
Catatan: Ibnu Majid