TOKOH FALAK NUSANTARA

Bidang falak di Nusantara sering dikaitkan dengan nama Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari. Beliau adalah tokoh terulung yang telah memantapkan bidang fardu kifayah tersebut di rantau ini menerusi pengajaran, penggunaan, dan penyebaran ilmu di kalangan alim ulama yang bertanggungjawab menyusun takwim Islam tempatan.

Syeikh Muhammad Tahir dilahirkan pada hari Selasa, 4 Ramadan 1286 Hijrah (bersamaan 9 Disember 1869) di Ampat Angkat, Bukit Tinggi (Minangkabau), Sumatera Barat. Bapanya seorang ulama dikenali sebagai Syeikh Muhammad (juga bergelar Tuanku Muhammad atau Tuanku Cangking), manakala datuknya keturunan bangsawan Minangkabau bernama Tuanku Ahmad Jalaluddin.

Beliau yatim ketika kecil lagi dan dibesarkan oleh keluarga sebelah ibunya, dan apabila berusia hampir 12 tahun, beliau telah dihantar ke Mekah untuk belajar dan mendalami ilmu-ilmu agama Islam. Beliau berada di Mekah selama lebih 12 tahun. Di antara bidang-bidang yang telah beliau peroleh dan perdalami ialah ilmu-ilmu al-Quran, Hadis, Tauhid, Fiqh, Usul Fiqh, Nahu, Saraf, Bayan, Ma´ani, Badi´, ´Arudh, Mantiq, Tafsir, Hisab Handasah, dan Falak. Beliau banyak dipengaruhi oleh ilmu, pendekatan dan kealiman peribadi gurunya, Syeikh Ahmad Khatib, iaitu saudara sepupunya yang pada waktu itu memegang jawatan sebagai Mufti Mazhab Shafie di Masjidil Haram. Syeikh Tahir pulang ke Sumatera ketika berusia 24 tahun dan selepas empat tahun di tanah kelahirannya itu, sekali lagi beliau berangkat ke Timur Tengah – kali ini ke Mesir pula.

Beliau telah mendalami bidang falak semasa belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir selama empat tahun (1314-1318 H, bersamaan 1893-1897 M). Semasa di Mesir, beliau juga menerima pengaruh daripada pemikiran Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh, tokoh Gerakan Islah (Pembersihan) dan Reformasi Islam yang berjuang bagi ‘membersihkan’ Islam daripada fahaman yang bercampur-baur antara adat resam kuno dengan kesucian Islam, dan mengembalikan Islam ke landasan al-Quran dan Sunnah yang suci. Oleh kerana kegiatan beliau yang berkait dengan pemikiran reformasi inilah beliau dikenali juga sebagai ahli Kaum Muda atau golongan ulama reformis di kalangan masyarakat Melayu-Nusantara.

Semasa di Mesir, beliau mula berdampingan dengan tokoh-tokoh perjuang Islam seperti Syeikh Muhammad Rashid Ridha yang bergiat dalam penulisan rencana-rencana melalui akhbar berunsur Islam, seperti Al-Manar. Syeikh Muhammad Tahir pernah juga menyumbangkan rencana-rencana ilmiah di dalam akhbar tersebut. Pendekatan seperti ini telah beliau terapkan sekembalinya ke tanah kelahirannya, kemudian ke Tanah Melayu, dengan melakukan banyak sumbangan kepada majalah Al-lmam, dan Al-Ikhwan (di bawah kelolaan Syed Syeikh Al-Hadi) dan akhbar Saudara.

Pada zaman mudanya, beliau kerap berulang alik ke Mekah dan Mesir sama ada membawa jemaah haji dari Sumatera mahupun menjalankan perniagaan secara sampingan. Perkahwinan beliau semasa zaman mudanya di Sumatera tidak kekal. Beliau bernikah dan bercerai sebanyak lima kali ketika itu dengan persetujuan pihak para isteri kerana adat Minangkabau ketika itu sangat mendorong para wanita dan keluarga mereka untuk memperolehi zuriat daripada alim ulama. Walau bagaimanapun, sistem Adat Perpatih yang kuat itulah juga di antara sebab-sebab Syeikh Tahir berpindah keluar dari daerah Minangkabau dan merantau ke Tanah Melayu mulai tahun 1317 H / 1899 M.

Perkahwinan Syeikh Muhammad Tahir pada 21 Jamadilawal 1317 H bersamaan 28 September 1899 dengan isterinya yang keenam bernama Aishah binti Haji Mustafa, anak seorang saudagar dari Kuala Kangsar, Perak, kekal sehingga akhir hayatnya. Mereka dikurniakan dengan enam orang anak, iaitu Rahmah, Muhammad, Ahmad, Azizah, Hamdan, dan Hamid. Menerusi asuhan ibu yang penuh dedikasi, juga didikan Syeikh Tahir yang dianggap unik, kemudahan pendidikan bercorak baru dan bakat serta rezekinya sendiri, maka anak Syeikh Tahir yang kelima, Hamdan (Tun Hamdan Syeikh Tahir) terus meningkat dalam dunia pendidikan dan kerjaya sehingga berjaya menjawat beberapa jawatan tinggi dan memperoleh gelaran Tun serta menjadi Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Sebagai ulama dan pejuang agama serta bangsa, Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin telah menjelajah banyak tempat di Alam Melayu-Nusantara termasuk Tanah Melayu, Sumatera, Singapura, dan Kepulauan Riau. Semasa di Sumatera (1348 H/1927 M), beliau pernah dipenjarakan oleh penjajah Belanda atas suatu tuduhan palsu, tetapi akhirnya telah dibebaskan selepas ditahan selama enam bulan. Beliau mempunyai semangat antipenjajah yang kuat, di samping mempunyai pendirian yang tegas dan keras dalam hal-hal keagamaan. Inilah di antara aspek peribadinya yang menyebabkan Syeikh Tahir tidak dapat menetap lama di sesuatu tempat, di samping adanya pergeseran dengan golongan ulama Kaum Tua.

Beliau menjadi Hakim Besar Mahkamah Syariah di Taiping, kemudiannya dilantik sebagai Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan selama tiga tahun pada zaman pemerintahan Sultan Idris Shah. Walau bagaimanapun, fatwa-fatwa Syeikh Tahir tidak diterima oleh ulama golongan Kaum Tua.

Beliau berkhidmat pula dengan negeri Johor Darul Takzim pada tahun 1335 H (1914) sebagai pendidik dan Nazir sekolah-sekolah agama Johor selama empat tahun, dan sekali lagi selama tiga tahun (1346-49 H / 1925-28). Dalam lingkungan masa yang sama, beliau sempat berkhidmat sebagai Mudir (guru besar) Madrasah Haji Muhammad Taib, di Parit Jamil, Muar, iaitu sebuah sekolah menengah agama yang memberi pengajaran-pembelajaran Islam yang menyeluruh sambil menekankan bahawa Bahasa Melayu, Bahasa Arab, dan Bahasa lnggeris hendaklah dipelajari untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Dalam dunia pendidikan, Syeikh Tahir sentiasa mempunyai pemikiran dan pandangan yang jauh ke hadapan daripada pemikiran semasa pada zamannya.

“Beliau sentiasa mendahului zamannya!” menurut kata-kata anak Syeikh Tahir, iaitu Tun Dato´ Seri (Dr.) Haji Hamdan Sheikh Tahir, Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang pada waktu ini.

Syeikh Tahir pernah bermastautin di Singapura untuk memberi sumbangan penulisan dan penerbitan majalah Al-Imam. Beliau berkhidmat di Madrasah Al-Masyhoor, Pulau Pinang sebagai pendidik dan Pengetua selama tiga tahun (1341-44 H / 1920-23), kemudian pulang ke Kuala Kangsar.

Syeikh Tahir ke Mekah sekali lagi pada tahun 1349 H (1928), kemudiannya bersara di Kuala Kangsar, Perak mulai tahun 1350 H (1929). Namun begitu, beliau terus aktif sehingga akhir hayatnya sebagai ulama-penulis dan ahli Falak Syar´i yang menabur khidmat baktinya kepada ramai penuntut yang kemudiannya menjadi ulama.

Syeikh Muhammad Tahir telah menghasilkan karya-karya yang meliputi beberapa bidang – yang paling penting dari sudut Falak Syar´i ialah kitab Natijatul ´Umur (diterbitkan pada tahun 1357 H / 1936), iaitu kira-kira atau hitungan untuk Takwim Hijrah dan persamaannya dengan Takwim Miladi (Masihi), hala kiblat, dan waktu solat untuk sepanjang zaman, dan Kitab Jadual Pati Kiraan, iaitu panduan untuk menentukan waktu solat dan arah kiblat beserta logarithms untuk mengiranya (diterbitkan pada tahun 1362 H / 1941).

Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari telah kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat 21 Rabiulawal 1377 H (bersamaan 26 Oktober 1956) pada usia 87 tahun, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Baru, Kuala Kangsar, Perak. Jabatan Muzium Negara Malaysia telah mengisytiharkan tempat pemakaman beliau sebagai makam bersejarah untuk memperingati jasa beliau. Kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan sebuah Pusat Observatori di Pantai Acheh, Pulau Pinang sebagai Pusat Falak Syeikh Tahir, bagi memperingati peranan dan ketokohan beliau dalam bidang falak.

Catatan: Ibnu Hayyan

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com