ULAMA 5 SERANGKAI (BAHAGIAN II)
Pada penghujung abad ke-19, telah muncul Ulama 5 Serangkai Warisan Patani mengharumkan nama Kelantan ke seluruh Nusantara. Mereka ialah Tok Jelapang (Tok Goloq / Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Abdul Halim 1861 1934) dari Pasir Mas, Tok Kenali (Tok Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad 1868 1933) dari Kota Bharu, Tok Bachok (Tok Guru Haji Uthman bin Haji Muhammad 1868 1953) dari Bachok, Tok Selehor dari Tumpat, (1871 1935), dan Tok Kemuning (Tok Guru Haji Ismail bin Senik 1885 1934) dari Machang.
Pada zaman ketamadun Islam ketika itu, khususnya di Kelantan, pengajian al-Quran dipandang suatu perkara yang amat mustahak, yang mana muda-mudi yang tidak menghabiskan al-Quran 30 juzuk itu dipandang dengan suatu pandangan tidak begitu terhormat dan sukar mendapat pasangan untuk berkahwin. Bagi Tok Selehor, beliau beruntung besar kerana bapanya, selain ulama dia juga sebagai seorang guru al-Quran, yang menyebabkan beliau dapat menghabiskan pengajian al-Quran langsung dengan bapanya sendiri.
Bapa beliau, Haji Uthman bin Senik mempunyai cita-cita supaya anaknya menjadi seorang ulama, kerana pada pandangannya anak yang soleh itu akan dapat memberikan faedah besar kepadanya, sama ada ketika hidup apatah lagi setelah meninggal dunia. Tentu hadis berkaitan cuba untuk dilaksanakan oleh Haji Uthman. Tentu beliau tidak lupa wasiat Nabi SAW, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan (jariah), ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya. (Hadis riwayat Imam Muslim).
Oleh kerana hasrat itulah, maka beliau telah menghantar anaknya, Haji Abdul Rahman atau akhirnya beliau lebih dikenali dengan panggilan Tok Selehor, belajar di Sungai Pinang kepada Tuan Guru Haji Abdul Malek. Di sini, Tok Selehor hanya sekadar mempelajari pelajaran bahasa Arab sahaja, menyebabkan beliau kemudiannya terpaksa menyambung pelajarannya ke Patani untuk lebih mendalami dan memantapkan lagi ilmunya dalam semua jurusan. Lagi pun, beliau telah ketahui bahawa di Patani terdapat guru-guru termasyhur dan ramai di kalangan anak-anak muda di Kelantan berhijrah ke sana untuk mendalami ilmu. Ulama Patani juga bukan sahaja membuka Pusat Pengajian di Patani, bahkan ramai antara mereka menjadi Tuan Guru dan mengajar di Makkah. Ini bertambah, menjadi pendorong kepada Tok Selehor untuk melanjutkan pelajaran di sana. Terbukti, selepas belajar di Patani, beliau menyambung lagi belajar ke Makkah.
Catatan: Ibnu Majid