ULAMA ADALAH TUKANG KEBUN TUHAN

Muhammad Ibnu Hussain al-Khatibi (1152-1231M) adalah seorang ulama yang cukup berpengaruh di Konya dan sebelumnya di Balkh (sekarang Afghanistan), dikenali dengan panggilan Bahaudin Walad. Beliau adalah ayahanda kepada Jalaludin Rumi (1207-1273). Walaupun tidak banyak penulisan mengenai Bahaudin Walad dibuat, beliau seorang sufi besar yang telah mempengaruhi pemikiran Jalaludin Rumi di peringkat awal perkembangan intelektualnya.

Rumi kemudiannya muncul sebagai seorang sufi teragung di mana sehingga sekarang karyanya terus menjadi santapan ruhani baik di dunia Islam mahupun di dunia barat. Bahkan, karya-karya Rumi dikatakan mampu mengubati "jiwa luka" dan "memenuhi lubuk spiritual" manusia yang semakin hilang deria keenam dalam diri akibat kemelut kehidupan moden yang materialistik, individualistik dan hedonistik.

Di Barat, khususnya di Amerika Utara, karya Rumi diterjemahkan secara meluas sehingga pernah muncul fenomena Rumimania sekitar tahun 1990-an. Keghairahan masyarakat Amerika mempelajari pengetahuan sufi banyak dikaitkan dengan kekesalan mengetepikan keperluan batin, dan mula berkembang pada Abad ke-19. Ia dikatakan bangkit semula selepas Islam muncul sebagai "kekuatan baharu" yang berpengaruh, yang bertitik tolak daripada revivalisme yang muncul setelah Revolusi Iran (1979).

Pada Abad ke-21, idealisme dan karya sufi Rumi menjadi semakin banyak diperkatakan, bahkan turut diadaptasi ke pelbagai bentuk seni dan ekonomi, termasuk pelancongan mistik. (Sophia Rose Arjana, Buying Buddha, Selling Rumi, 2020). Buku-buku Rumi dikategorikan sebagai "self help" atau "motivation" untuk menarik minat pembeli. Jika diletakkan di rak dalam kategori sastera dan budaya, ia mungkin tidak meraih sambutan pembeli, kerana sebahagian "pembaca" cukup mengharapkan idea bagaimana mengatasi tekanan hidup dan kemelut psikososial.

Akibat propaganda melampau, Islam mula diberikan perhatian untuk mereka melihatnya dari dalam, dan mula memahami bahawa nilai-nilai murni kemanusiaan Islam cukup besar. Mereka juga sedang bergelut dengan pelbagai masalah sosial dan psikologi akibat materialisme dan individualisme melampau. Faham kebebasan juga turut mengakibatkan masyarakat semakin dilanda kebejatan dan psikososial yang rencam.

Penyebaran kaedah spiritual yang berasaskan sufi dikatakan sampai ke kemuncaknya di Amerika Utara menerusi kemasukan tokoh-tokoh mistik dari Asia Tengah (terutama Iran, Irak dan Turki) selain dari belahan timur (India, Pakistan dan Sri Lanka). Antaranya, para murid Syeikh Muzafar Ozak (1916-1985) dan Fedhulah Gulen (Turki, 1941-2024), Fedhulah Haeri (Irak), dan Bawa Muhayaddeen (Sri Lanka, meninggal 1986 di Philadelphia, USA). Ia turut diikuti oleh rakyat Amerika sendiri yang mula mempelajari sastera klasik Parsi, yang kemudiannya menjadi tenaga pengajar sama ada dalam bidang sastera Parsi mahupun teologi (falsafah agama).

Kaum imigran yang menjadi sebahagian penduduk Amerika turut memberikan sumbangan besar memperkenal dan mengembangkan kaedah sufi sebagai jalan penyelesaian kemelut kehidupan. Mereka ikut menterjemah, menulis dan meneroka ruang kreatif berunsurkan pengetahuan sufi seperti dilakukan oleh Elik Safak dalam karyanya, termasuk novel terlaris Forty Rules of Love (2009).

Tentunya, mereka mula melihat kepada hasil-hasil seni dan sastera Islam, kerana dalam seni dan sastera itulah terlahirnya keindahan kemanusiaan yang mereka perlukan. Antaranya, mereka mula melihat sastera dan hasil seni Parsi kerana dalam dunia peradaban Islam, seni dan sastera Parsi cukup kuat berbanding sastera dan seni Arab.

Ini kerana selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW dan berakhirnya kepimpinan khalifah ar-Rasyidin, Parsi berkembang sebagai pusat kebudayaan, intelektual dan sastera Islam, sama ada menggunakan bahasa Arab atau bahasa Parsi. Jazirah Arab seolah-olah dilanda "kebekuan intelek dan seni" kerana tradisi pendidikan yang berlangsung tidak bersifat terbuka, hanya sekadar bertalaki dan menghafal, sedangkan di luar Arab mula mengadaptasikan kaedah pendidikan moden dan berstruktur (kurikulum dan teknik pembelajaran, bukan sekadar menghafal dan menerima, turut melibatkan wacana, perbincangan dan kajian pemikiran).

Kemuncak perkembangan intelektual Islam mencapai mercu tanda yang cukup besar dalam masa Empayar Abasiyah, yang berpusat di Baghdad. Sebahagian penulisan dilakukan dalam bahasa Parsi. Misalnya, karya-karya Rumi, walaupun Rumi tidak bermastautin di Iran atau Irak. Rumi cukup mahir berbahasa Parsi. Dalam masa yang sama, konsep kebangunan pendidikan Islam mencapai kemuncaknya di Andalusia (Sepanyol) di bawah Empayar Muawiyah II. Di situ lahir tokoh-tokoh pemikir Islam yang sampai kini disebut sebagai "penyambung warisan Greek' dalam bingkai Islam. Antaranya,.Ibnu Rusyd, al-Kindi, al-Farabi dan Ibn Khaldun.

Rumi yang hafiz sejak remaja, tidak banyak menulis dalam bahasa Arab, kecuali enam bab (ceramah) daripada 71 Ceramah yang dikumpulkan dalam Fihi Ma Fihi. Itupun, menurut penterjemah kitab itu ke bahasa Arab, Isa Ali al-Akkub, nalar bahasa Arabnya "memiliki struktur yang lemah" dan kerana itulah beliau melakukan penyuntingan agar idea dan penjelasan tersebut tidak disalahfahami.

Rumi tidak menulis sendiri karya-karyanya, termasuk Mastnawi, ia dilakukan oleh muridnya, Hishamudin Chelebi, yang kemudian menjadi pengetua madrasah selepas kematiannya, sebelum diteruskan oleh Sultan Valad, putera sulong Rumi. Sultan Valad juga turut memperkemaskan beberapa karya Rumi termasuk Fihi Ma Fihi, Ruba'iyat, Diwan-i- Kabir, koleksi Surat-Surat Rumi dan Majalis Sab'ah. (Lihat "Pengantar" penterjemah bahasa Arab, Fihi Ma Fihi, yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Abu Ali dan Taufik Damas, Fihi Ma Fihi: 71 Ceramah Rumi Untuk Pendidikan Ruhani, Jakarta: Pustaka Zaman, 2016, hal. 23 -24).

Karya Rumi diterjemahkan dalam pelbagai ragam sehingga versi tasawuf cuba dibebaskan daripada hakikatnya yang asli, yakni dibebaskan dari bingkai ketuhanan. Ia sesuai dengan resam masyarakat barat yang menjadikan agama sebagai "hal peribadi". Semua orang tahu, Rumi dalam beberapa perkara, pemikirannya dilihat bebas dan bersifat universal, tetapi secara keseluruhannya, untaian kata-katanya cukup kuat dengan apa yang difahaminya daripada al-Qur'an, hadis dan sisi makrifat. Beliau banyak menggunakan watak dan tokoh yang ada dalam al-Quran dan hidup dalam masyarakat Islam.

Bingkai tasawuf yang berakar dalam Islam telah digantikan dengan istilah sufi oleh masyarakat Barat dengan niat untuk membandingkannya dengan tradisi "kerahiban" dan maksud "isolasi" yang dilakukan oleh pemuka agama Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha mahupun paganisme.

Sedangkan bagi Rumi, bahagian kehidupan dunia tidak wajar ditinggalkan, kerana bagi Islam, dunia adalah "kebun" yang akan menghasilkan buah dan buahnya akan dituai di akhirat. Itulah juga yang menjadi pegangan Bahaudin Walad, sehingga beliau menganggap, seorang ilmuan adalah ‘tukang kebun Tuhan’.

Sebagai ‘tukang kebun Tuhan’, ia perlu menanam benih terbaik untuk menghasilkan "buah terbaik" yang bermaksud, murid-murid yang dihasilkan (keluar daripada madrasah itu) sentiasa mendekatkan diri dengan Tuhan, dan mengamalkan Jalan Cinta Abadi. Hidup dalam Cinta dan tidak menggadaikan cinta untuk mendapat material dan jawatan di mana Cinta wajib ditafsirkan dalam erti kata ketuhanan, bukan cinta oleh tarikan seksual.

"Kini aku telah memutuskan apa sebenarnya pekerjaanku,

Aku adalah tukang kebun Tuhan.

Aku ingin Tuhan puas hati dengan apa yang aku telah kerjakan, dalam memelihara kedamaian di hati setiap insan."

[Bahauddin Walad, Al Ma'arif seperti dikutip oleh Ahmad Yulden Erwin dalam pengantar "Kitab Kearifan Dari Tukang Kebun Tuhan" yang diadaptasi dan apresiasi, Maarif: Kitab Kearifan, Jakarta: PT One Earth Media, 2006, hal.1. Berikutnya, akan diringkaskan sebagai BW Maarif].

Sufi dikaitkan dengan pengetahuan mistik, luar biasa, berada di luar nalar logik dan tanggapan inderawi. Sedangkan tasawuf membawa maksud "mendekatkan diri dengan Allah SWT" dan dijadikan amalan tanpa meninggalkan kehidupan dunia sebagaimana para pertapa dalam agama selain Islam yang cuba menolak keseluruhannya sehingga kehidupan disara oleh masyarakat, termasuk makanan dan sebagainya.

Kata BW: "Orang-orang Muslim tidak bimbang tentang mata pencarian (rezeki kehidupan), mereka lebih mengutamakan kedalaman kepasrahan kepada Tuhan. Sahabat-sahabat Nabi Muhammad tidak pernah berbincang mengenai bagaimana mereka akan mendapatkan makanan atau tempat tinggal ketika mereka sedang berziarah menuju Tuhan. Al-Quran bukanlah sebuah buku pegangan untuk membuat hidup menjadi lebih tenteram." (BW Maarif, Kitab Satu, bab 86).

Beliau cukup memahami al-Quran, sebab itu dikatakan "bukanlah sebuah buku pegangan" tetapi mempraktikkan apa yang diperintah, menjauhi apa yang dilarang dan menyusun kehidupan berdasarkan kehendak-Nya, bukan kehendak nafsu sebagaimana yang dialami oleh masyarakat moden masa kini.

Sambung BW: "Cubalah melakukan muhasabah (introspeksi), selama ini: agamamu, imanmu, dan kepasrahanmu dengan cara-cara yang engkau gunakan untuk meraih rasa tenteram, agar hidupmu lebih baik. Seseorang berkata: "Aku telah beriman," mungkin orang itu telah berdusta.

"Sebabnya, ketergantungannya kepada Tuhan mungkin dimotivasikan untuk mengejar kenikmatan, atau menghindari kesusahan. (BW Maarif, Kitab Satu, Bab 57). Fenomena sedemikian sedang bermaharajalela dalam pemikiran umat Islam, sebab itulah ada kecenderungan "boleh lakukan' walaupun dilarang oleh syariat, atas nama "kerjaya" ataupun "survival". Mereka seolah-olah tidak yakin bahawa Tuhan telah menetapkan rezeki seseorang, kerana itu sanggup "menipu' atau "berbohong' atas kepentingan politik dan sebagainya. Frasa yang cukup membingungkan ialah "dalam politik bohong dibolehkan".

Oleh kerana Barat yang bermazhabkan kapitalisme, mereka mengambil bahagian-bahagian yang boleh dieksploitasikan sesuai dengan kehendak yang muncul ketika itu (karya Rumi). Ia dilakukan secara bebas, tafsiran sufi Rumi sebagai kaedah motivasi sebagaimana yang dibentuk dalam kerangka psikologi ciptaan mereka.

Ini dapat dilihat daripada terjemahan bebas yang dilakukan oleh Coleman Barks (1937-2926), Deepak Chopra dan kutipan-kutipan komentar Oprah Winfrey. Tidak sekadar itu, nama Rumi dieksploitasikan dalam bentuk "kem spiritual", cetakan t-shirt, pusat-pusat latihan kerohanian dan juga dalam media popular seperti filem, novel sufi dan filem animasi.

Coleman Barks, yang berjaya memperkenalkan Rumi dalam masyarakat Amerika Syarikat dan berbahasa Inggeris pernah mengakui keperluan tersebut. Beliau mula diperkenalkan dengan puisi Rumi oleh Robert Bly (1926-2021) pada tahun 1976. Mereka kemudiannya bekerjasama untuk menterjemahkan karya Rumi dalam bahasa yang mudah, dan juga melepaskan tautan dengan tasawuf sehingga puisi-puisi tersebut menjadi fenomena di Amerika Syarikat, terutama Rumi: The Books of Love (2006).

Coleman Barks ikui mendapat kerjasama John Moyne, Nevit Ergin, AJ Arberry, RA Nicolson dan MG Gupta. Ia diperlukan kerana Coleman Barks tidak mampu membaca puisi-puisi Rumi dalam bahasa asal, iaitu bahasa Parsi. Coleman Barks dan John Moyne turut menterjemahkan sebahagian daripada prosa puitis BW Maarif dan dicetak dengan tajuk The Drowned Book: Ecstatic and Earthy Reflections of Bahauddin Walad, the Father of Rumi (2004). Coleman Barks meraih pengetahuan sufi setelah berguru dengan Bawa Muhayaddeen yang menetap dan membuka kelas ajaran sufi di beberapa tempat, termasuk California dan Philadelphia. Ketika ini, terdapat zamalah (fellowship) yang diberikan dibawah Yayasan Bawa Muhayaddin.

Ayah Rumi, Bahaudin Walad turut dikenali sebagai Sultan al-Ulama, yang turut menyumbangkan pengaruh besar dalam pembentukan dunia intelektual anaknya, yang sejak kecil lagi sudah dilihat sebagai "samudera luas" (pandangan Faridudin Atar, 1152-1221) tidak mempunyai banyak karya, kecuali sebuah catatan pemikiran yang ditulis seumpama "diari pemikiran". Koleksi catatan itu dibukukan dan diberikan tajuk al-Maarif. Kitab ini mempunyai dua bahagian (atau dua kitab).

Bahagian pertama mengandungi 102 catatan manakala bahagian kedua sejumlah 67 perenungan diri yang muncul dalam pelbagai situasi dan perkara. Kesemua renungan sufistik yang dikumpulkan itu ditulis dalam bentuk prosa dalam bahasa yang sangat puitis. Ia berbeza dengan Rumi, renungan sufistiknya dilontarkan dalam bentuk puisi sama ada bercirikan ruba'iyat, ghazal, masnawi mahupun jenis puisi Arab yang lain.

Annamarie Schimmel (1922-2003), orientalis perempuan yang berbangsa Jerman, yang banyak menulis mengenai mistisisme Islam menilai bahawa Bahaudin sebagai teolog besar yang dapat "melihat masa depan" sedangkan Rumi tidak mempunyai kekuatan tersebut.

Misalnya, Annamarie Schimmel, Akulah Angin, Engkaulah Api; (Bandung: PT Mizan, edisi keempat, 2016, hal.25 berkata:

"Dia dapat memutuskan perkara dan memiliki kekuatan melihat hal-hal yang belum terjadi di balik sesuatu, walaupun tidak pernah menjadi seorang sufi dalam erti lazim (hal.25).”

Ada juga yang mengatakan bahawa perpindahan Bahaudin, keluarga dan murid-muridnya dari Balkh yang berlaku antara tahun 1215-1220, adalah disebabkan "kenampakan" nya akan diserang oleh Monggol. Monggol ketika itu sudah pun berjaya menguasai Baghdad, yang merupakan pusat pemerintahan Empayar Abasiyah, juga menjadi pusat utama kebudayaan dan pendidikan Islam. Jadi, Balks akan menjadi sasaran seterusnya.

Walau bagaimanapun, Annamarie Schimmel meragui faktor itu secara tunggal, kerana sama ada Bahaudin Walad "pernah meramalkan terjadinya bahaya itu atau tidak, masih merupakan suatu pertanyaan yang belum terjawab selama belum adanya kepastian pada tahun berapa dia meninggalkan tanah airnya." (hal.27).

Apa yang jelas berkenaan Bahaudin Walad pada pandangan Annamarie Schimmel ialah: "...seorang sufi, tetapi sulit untuk memastikan apakah dia mengikuti rantai inisiatif (pentasbihan) yang turun temurun atau tidak.

"Fritz Meler telah memperkenalkan kepada kita Ma'arif, karya Baha'i Walad, sebuah koleksi catatan, komentar-komentar mirip buku harian dan khutbah-khutbah yang telah mengejutkan sebahagian besar orang yang cuba membacanya, kerana pengalaman mistik yang ditunjukkan alim dari Transoknia ini, dalam tulisan-tulisannya sangat tidak biasa [menakjubkan]. Kebebasannya dalam mengungkapkan pengalaman cinta spiritualnya sangat menakjubkan.

"Sesungguhnya dia telah mengalami tahapan mistik tertinggi, sesuatu yang sensual, suatu cinta yang sempurna kepada Tuhan, sampaikan dia berada dalam pelukan-Nya, dan dia menyedari aktiviti mencintai Tuhan ini, "kebersamaan-Nya" dengan segala sesuatu (ma'iyyah) dalam kehidupan segala yang tercipta.

"Pergilah ke pangkuan Tuhan, dan Tuhan akan memelukmu dan menciummu, dan menunjukkan bahawa Dia tidak akan membiarkanmu lari dari-Nya.

Dia akan menyimpan hatimu dalam hati-Nya, siang dan malam. (Ma'arif, hal.28)." (Annamarie Schimmel, 2016, hal.28-29).

Sebab yang lain perpindahan Bahaudin Walad dan rombongannya dikatakan berlaku apabila berlaku perselisihan faham dengan seorang ulama moden Balkh, iaitu Fakharuddin ar-Razi (1150-1210). Fakharuddin merupakan seorang ahli falsafah yang cukup cemburu dengan kejayaan Bahaudin Walad, baik dari segi keilmuan agama yang dimiliki mahupun percanggahan pendapat berhubung dengan wawasan pemikiran. Fakharuddin al-Razi mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan pembesar, yakni kerajaan Khawarizmi yang berkuasa. Beliau berjaya mempengaruhi sultan ketika itu, Muhammad Khawarizmisyah.

Fakharuddin cukup bermusuh dengan Bahaudin yang merupakan pengamal tarekat Kubrawiyah, sedangkan dirinya sangat terpengaruh dengan kebijaksanaan falsafah yang meletakkan akal sebagai kuasa pemutus. Tarekat Kubrawiyah diasaskan oleh Ahmad al-Ghazali (1061-1123/1126), iaitu saudara Imam al-Ghazali (1058-1111M). Al-Ghazali juga dikatakan banyak mendapat pengalaman tasawuf daripada saudaranya, termasuklah ketika Ahmad tidak bersedia berjemaah bersamanya. Ketika itu, Ahmad yang berada di belakang "melihat darah" di jubah abangnya.

Setelah selesai, al-Ghazali bertanya kepada Ahmad. Ahmad kemudiannya menjawab, bagaimana boleh berimankan seseorang yang jubahnya penuh darah. Al-Ghazali ketika itu sedang berada di kemuncak intelektual, tetapi mula merasakan ada sesuatu yang kurang dari dalam dirinya. Setelah mendengar jawapan Ahmad, al-Ghazali bersedia untuk belajar dan meminta Ahmad mencari guru untuk tujuan tersebut. Ia kemudiannya membawa al-Ghazali kepada seorang "penjual daging" yang hidupnya cukup sederhana di sebuah kampung.

Ada yang mengatakan, guru spiritual al-Ghazali itu seorang "tukang kasut". Tetapi yang lebih penting bagi al-Ghazali ialah untuk merasai kehidupan "zuhud" yang cukup sederhana itu. Sebagai seorang pelajar, al-Ghazali meletakkan adab di atas segala-galanya, maka dalam pengajaran pengalaman itu, al-Ghazali hanya diminta untuk membersihkan rumah gurunya. Setelah berhari-hari, al-Ghazali mula merasakan dirinya belum diajar dengan pengalaman sebagaimana yang diharapkan.

Beberapa hari kemudian, al-Ghazali bertanya kepada gurunya. Lalu dijawab bahawa pelajarannya sudah selesai. Dari situlah al-Ghazali berfikir, merasai sesuatu pengalaman itu adalah lebih penting daripada hanya sekadar mengetahui. Mungkinkah itu yang membawa al-Ghazali membuat keputusan untuk meninggalkan jawatannya sebagai mahaguru di Universiti Nizamiyyah, lalu menyepikan diri selama sepuluh tahun?

Kita tahu, setelah meninggalkan jawatan dan berkelana dengan alasan "menunaikan haji", tugas mengajar digantikan oleh adiknya, Ahmad, al-Ghazali banyak menghabiskan masa berkhalwat, beruzlah dan merenung diri. Ia dapat menjawab sedikit sebanyak teka-teki itu setelah selesai membaca al-Munqiz min wal-Dhalal. Edisi terjemahannya cukup banyak, terutama dalam bahasa Indonesia. Dalam bahasa Melayu, terjemahan terbaharu ialah Penyelamat Daripada Kesesatan yang diterbitkan oleh IBDE (terjemahan Anwar Yusuf dan Farhan Affandi, 2022)

Dari proses perenungan yang panjang itulah lahirnya beberapa penulisan al-Ghazali yang cukup monumental, dan menjadikannya sebagai seorang ulama terbesar pernah hadir dalam peradaban Islam. Karyanya, Ihya' Ulumuddin disifatkan sebagai huraian terhadap praktis agama Islam dan sehingga kini menjadi rujukan penting.

Hampir sama pengalaman yang ditempuhi oleh Jalaludin Rumi. Perbezaannya, setelah kematian ayahnya (1231), Bahaudin Walad, Rumi mula didedahkan dengan pengetahuan dan praktik tasawuf apabila anak murid ayahnya, Bahauddin Muhaqqiq at-Tarmizi. Beliau datang ke Konya pada tahun 1232.

Bahauddin akhirnya menunjukkan kitab karangan Bahaudin Walad, guru yang sangat disayanginya untuk ditelaah oleh Rumi. Ini bermakna semasa hayat ayahnya, Rumi tidak mengetahui bahawa guru pertamanya itu mengarang sebuah kitab. Kesannya, Rumi tekun mempelajari apa yang ada dalam tulisan ayahnya, yang tidak semua murid-murid Bahaudin Walad memilikinya. Hanya muridnya yang dipercayai diberikan salinan kitab tersebut.

Dari situlah kita ketahui bahawa Bahaudin Walad adalah seorang sufi besar, bahkan pemikirannya cukup menakjubkan. Bahauddin at-Tarmidzi kemudiannya mendidik Rumi mempraktikkan pengalaman tasawuf dengan mengarahkan agar berpuasa selama 40 hari, dan merasa pengalaman spiritual sebagai asas pemenuhan diri. Dari situ juga Rumi mula merasakan pengetahuan yang dimiliki belum cukup, maka bermulalah pengembaraan Rumi untuk mendapatkan pengalaman dan pengetahuan spiritual selama empat tahun.

Dalam kembara ilmu Rumi dikatakan pernah bertemu dengan Syamsudin Tabriz dan juga Ibnu Arabi, seorang teolog dan sufi dari Andalusia yang berkelana ke Damascus. Pengalaman itu juga membawa Rumi bersedia menerima konsep "wahdatul wujud" yang dikaitkan dengan Ibnu Arabi, dan asas-asasnya juga terdapat dalam karya ayahnya, al-Ma'arif, yang menjadi kitab utama telaahnya selepas kematian Bahaudin Walad.

[Franklin D Lewis, Rumi, Past and Present, East and West: The Life, Teachings and Poetry of Jalal al-Din Rumi (2000); Sefik Can, Fundamentals of Rumi Thought: A Mevlevi Sufi Perspective (2009); John Renard, All the King's Falcons: Rumi on Prophets and Revelation (1994); Afzal Iqbal, The Life and Work of Jalal-Ud-Din Rumi (2014); dan Annamarie Schimmel, Akulah Angin, Engkaulah Api: Hidup dan Karya Jalaludin Rumi (2016)].

(bersambung)

 

KAMARUN KH

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com